Archive for January, 2008

Kedai Pilihan Masjid

Sudah tiba masanya, setiap Masjid dan Surau memainkan peranan yang amat kritikal pada ketika ini,  iaitu menyokong ekonomi umat Islam.

Bagaimana sebuah masjid ataupun surau boleh membantu? Ini bukan soalan yang biasa ditanya. Soalan yang banyak didengar adalah ’Bagaimana awak dapat membantu masjid?

Dalam menjadikan institusi masjid itu penting ianya perlu memainkan peranan dalam membantu ahli kariahnya.

Satu daripada cara tersebut adalah dengan menyokong kedai-kedai yang menyokong institusi masjid. Sebagai contohnya, Pihak Masjid akan mempamerkan senarai kedai pilihan masjid tersebut di papan notis untuk tatapan ahli jemaah. Salah satu kriteria bagi mendapatkan penarafan tersebut adalah, pemilik kedai itu mestilah individu yang menyokong masjid sama ada melalui sumbangan duit ataupun adalah ahli jemaah selalu hadir ke Masjid.

Setiap kedai pilihan itu juga akan menerima sticker “Kedai Pilihan Masjid As-Syakirin’ contohnya. Sticker ini perlu ditampal sama ada pada pintu kaca utama ataupun dinding kedai tersebut yang dapat dilihat dengan jelas oleh orang ramai. Setiap ahli kariah perlu memberi sokongan kepada institusi masjid dengan mengutamakan kedai yang mendapat penarafan ini.

Bagi kedai makan, pihak masjid juga akan melihat kepada kriteria lain seperti bahan mentah yang digunakan adalah halal ‘Jakim’. Tempat penyediaan juga mestilah bersih.

Kepada pihak yang berminat untuk mengimplemtasi konsep ini di Masjid atau Surau di kawasan anda, sila email ke info@shamsuddinkadir.com dengan tajuk “Kedai Pilihan Masjid“. Insyaa-Allah saya akan membantu dalam menyediakan dokumen lengkap termasuk semua kriteria yang diperlukan bagi memastikan ianya dapat dijayakan.

 

Rasuah Bulanan! Kenapa ianya berlaku?

Terkejut saya membaca tajuk berita di muka utama Harian Metro pada pagi ini. Otak ketika itu masih memikir tentang kuliah subuh  sekejap tadi di Masjid Seksyen 24, Shah Alam.

Apabila membaca lagi,  ‘Tujuh pegawai syarikat kereta nasional ditahan’. Kehidupan mewah segelintir pegawai sebuah syarikat pengeluar kereta nasional terbongkar apabila mereka dipercayai menerima suapan berjumlah ratusan ribu ringgit setiap bulan daripada vendor penyeggara peralatan di syarikat itu. Berita lengkap di Harian Metro yang bertarikh 23 Januari 2008.

* * *

Sanggupkah kita makan dan memberi makan anak dengan rezeki yang HARAM ini.

Bayangkan berapa kos yang perlu ditanggung oleh majikan ataupun syarikat automobil yang terpaksa membayar lebih kepada Vendor? Semata-mata untuk menangung duit poket HARAM sebahagian daripada pekerja-pekerjanya.

Yang menjadi mangsa adalah pembeli-pembeli kereta yang terpaksa menangung setiap RM 1 duit rasuah bulanan kepada sebahagian pekerja yang tidak beretika. Ini adalah di antara faktor yang menyebabkan syarikat menangung kerugian dan pembeli kereta terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk setiap kereta baru.

Kenapa ianya masih berlaku dalam masyarakat kita hari ini?

  • Adakah kerana bebanan kos semakin tinggi?

  • Adakah kerana Keinginan untuk hidup mewah, bergaya?

  • Adakah kerana tiada lagi Iman disanubari?

  • Ataupun tidak tahu perbuatan itu salah disisi undang-undang dunia dan akhirat?

Ianya telah wujud sejak sekian lama dan bukan sahaja di syarikat automobil ia meliputi organisasi swasta dan kerajaan yang terlibat dalam membuat keputusan dan penguatkuasaan.  

Rasuah bulanan ini wujud disebabkan terdapatkelemahan yang wujud dalam organisasi yang BELUM diberikan perhatian oleh majikan dengan tindakan yang sewajarnya.

Rasuah akan terus bermaharajalela selagi tiada tindakan yang dibuat untuk membasminya.

Dua faktor utama yang menyebabkan perkara di atas berlaku adalah :

  • Iman - Seseorang yang berada di dalam keadaan beriman tidak akan melakukan sesuatu yang HARAM ataupun DILARANG oleh Tuhan yang telah menjadikan kita sebagai manusia dan bukannya haiwan.

  • Duit - Seseorang yang bijak menguruskan wang gaji secara efektik dapat memastikan dirinya tidak dibebani dengan komitmen sara hidup yang tinggi. Ini membebaskannya daripada tekanan stres akibat berbelanja mengikut gerak hati.

Jabatan seperti penguatkuasaan, pembelian (purchasing), perolehan adalah sebahagian daripada jabatan yang melibatkan tugas membuat keputusan dalam memilih vendor/kontratkor dan sebagainya.

Kami di Ultra Mind Resources, menyediakan penyelesaian masalah yang menjerumus kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan dengan program bersepadu. Antara Kursus yang menepati keperluan di atas adalah “Kursus Panduan Menguruskan Wang Gaji”. Modul kursus ini dibina bagi memastikan setiap pekerja hidup tenang dan bahagia dengan gaji masing-masing. Maklumat lanjut info@shamsuddinkadir.com

 ”Kursus Panduan menguruskan wang gaji adalah satu kemestian bagi setiap kakitangan untuk memastikan mereka hidup bahagia dan tenang dengan gaji masing-masing”

Majlis Perbandaran Port Dickson adalah di antara organisasi  yang bertindak  mengadakan kursus tersebut bagi kakitangan dari peringkat rendah sehingga atasan.

Dilema seorang pelajar

Pelajar di peringkat sekolah rendah ataupun sekolah menengah banyak yang masih keliru tentang tujuan sebenar  kenapa mereka pergi ke sekolah. Ada yang berfikiran sebagai menghilangkan perasaan bosan kerana ibubapa tiada di rumah. Ada yang menyangka mereka perlu ke sekolah untuk belajar membaca dan mengira. Tetapi kini mereka sudah pandai mengira dan membaca tetapi kenapa masih terus belajar? Apakah tujuan sebenar mereka perlu hadir di sekolah.

Jika anda seorang pelajar,  anda mungkin tidak pasti di waktu bila yang dipanggil zaman peralihan dan zaman penentuan.

Zaman peralihan mula berlaku apabila anda masuk di tingkatan satu. Konsep matematik sudah berubah, jika dahulu anda hanya belajar 6- 4 = 2, kini anda diajar 4 - 6 = -2.  Walaupun kedua-dua jawapan itu adalah 2 tetapi simbol - atau + membezakan nilainya. Jika anda tidak memulakan langkah awal untuk memahaminya, anda  kehilangan satu peluang keemasan dalam hidup ketika mendapat keputusan PMR (Penilaian Menengah Rendah). Jika matematik anda lemah,  anda tidak dibenarkan masuk ke kelas sains. Pelajar yang layak memasuki kelas sains adalah pelajar yang menguasai matematik pada peringkat PMR. Ini berlaku kerana pada tingkatan 4 pelajar sains akan didedahkan dengan mata pelajaran matematik tambahan.

Konsep ataupun hukum matematik yang anda pelajar pada peringkat ini (Tingkatan 4) adalah berat berbanding matematik sewaktu di tingkatan 1 hingga 3. Pelajar yang ada prinsip asas matematik yang teguh dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang ketara ini. Di sini kepandaian anda bermain dengan hukum logik anda menjadi penyebab ke mana hala tuju anda selepas ini.

Selagi anda belum melepasi zaman penentuan iaitu di tingkatan 3 anda mempunyai banyak masa untuk bertindak. Gunakan masa yang ada untuk memperbaiki diri terutama dalam penguasaan matematik dan Inggeris tanpa mengabaikan subjek lain.  Jika pelajar lain dapat cemerlang dalam matematik kenapa anda tidak ? Otak setiap daripada kita adalah sama, yang membezakan hanyalah azam dan sikap. Apabila kita ada azam yang kuat untuk berjaya dan ditambah dengan usaha yang berterusan membuat latihan dan bertanya, tiada lagi halangan yang berani mendekati kita.

Halangan menjadi penyebab kenapa sebahagian pelajar gagal. Manakala halangan juga menjadi penguat semangat sebahagian lagi pelajar yang berjaya dengan cemerlang.

Keputusan PMR adalah penentu sama ada anda akan ke aliran sains, sastera, perdagangan dan sebagainya. Aliran yang berbeza ini membawa anda ke dunia yang berbeza mulai tingkatan 4, masuk universiti dan sehingga anda menempuhi dunia pekerjaan. Jangan gadaikan masa depan anda dengan tidak membuat persediaan.

Yakin kepada diri sendiri. Saya juga pernah menghadapi kegagalan dalam matematik, tetapi ianya bukan bermakna dunia saya sudah berakhir. Kegagalan yang berlaku kepada saya itu yang menjadi penguat dan sebab kenapa saya perlu mencapai kejayaan. Akhirnya segala impian untuk mendapat markah 100% adalah sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah apabila semua prinsip sudah ada pada diri.

Nikmat berjaya itu hanya dapat dirasai apabila anda benar-benar berjaya. Bayangkan jika keputusan matematik anda pada ujian ataupun peperiksaan akan datang adalah 100%. Best tak? Mulakan langkah pertama dengan mengambarkan anda mendapat 100% dalam matematik.

Salam ceria dari saya

info@shamsuddinkadir.com

Dibebani dengan kad kredit

Rakyat Malaysia mula mengubah gaya hidup dengan drastik apabila mendapat sokongan 24 jam daripada bank. Ini berlaku apabila ramai individu yang bekerja ataupun berniaga memilih untuk memiliki kad kredit.

Mungkin anda juga tidak terkecuali memiliki sekurang-kurangnya 1 kad kredit itu. Kad kredit dapat memberikan sama ada kemudahan ataupun bebanan kepada anda. Ianya bergantung kepada kaedah anda mengunakannya.

Kaedah terbaik untuk melihat sama ada anda layak memiliki dan mengunakannya adalah bergantung kepada perkara seperti di bawah :

1. Anda ada wang simpanan ? Jika Ya, adakah jumlahnya melebihi daripada 6 bulan gaji anda? Jika ya, anda lulus ujian pertama.

2. Adakah jumlah perbelanjaan bulanan anda termasuk membayar ansuran dan hutang tidak lebih daripada 70% daripada duit yang masuk ke dalam akaun anda pada setiap bulan ? Jika ya, anda lulus ujian kedua.

3. Adakah anda merekod semua perbelanjaan bulanan anda di dalam komputer ataupun di atas kertas. Di mana anda mengetahui setiap jenis perbelanjaan yang dibuat. Contohnya berapa jumlah belanja dapur bulanan anda ? Jika anda tahu jumlah sebenar anda lulus ujian ketiga.

4. Adakah anda tidak suka membeli secara berhutang dan membeli secara skim ansuran mudah ? Jika jawapannya Ya, anda lulus ujian keempat

Jika anda memenuhi keempat-empat syarat di atas, anda boleh memulakan langkah bagi memiliki kad kredit. Pastikan kad kredit yang di ambil adalah yang dikeluarkan di bawah skim perbankan Islam. Ianya bagi memastikan anda tidak terlibat dengan riba dan bersekongkong dalam pelaburan yang haram dan meruntuhkan nilai murni manusia.

Empat syarat yang ditetapkan di atas adalah yang paling minimun. Jika pada bulan kedua penyata kad kredit anda menunjukkan baki hutang yang belum dijelaskan pada bulan lalu, ini bermakna anda sudah memasuki perangkap. Keluar perangkap dengan menjelaskan terus baki hutang itu dengan segera dan lihat untuk sebulan lagi. Jika anda tidak dapat membayar semua transaksi yang dibuat dengan kad kredit, sila pastikan ini adalah bulan terakhir anda mengunakan kad tersebut. Kerat 2 kad itu dan jangan mimpi untuk memiliki kad kredit.

Tukar strategi kepada kad debit yang mempunyai kemudahan mastercard ataupun visa. Ini bermakna anda dapat mengunakan kad debit anda itu di semua kedai yang anda logo visa ataupun mastercard.

Awasi pengunaan kad kredit anda.

Jika anda ada sebarang pertanyaan sila emailkan kepada info@shamsuddinkadir.com 

Masa semakin terhad

Alhamdulilah, rezeki datang mencurah-curah apabila kita berusaha dalam membantu insan lain. Saya baru  mendapat sms dari Tuan Zamri Mohamad penulis buku ‘Buat Duit Cara Mudah sebagai Penulis Bebas”.

Bertepatan dengan kemahirannya, beliau menawarkan saya bagi mengisi slot artikel kewangan pada setiap bulan bagi tujuan yang sama iaitu memandaikan ummah. Insyaa-Allah saya akan menyiapkan artikel yang dikehendaki sebelum hujung bulan ini.

Walaupun masa 24 jam yang saya ada pada setiap hari semakin penuh berisi dengan aktiviti, saya masih peruntukan masa untuk bersama keluarga tercinta. Saya gembira mempunyai jadual aktiviti yang bermanfaat kerana ia di antara pesanan nabi Muhammad (s.a.w) kepada Abu Hurairah r.a bahawa jangan tinggalkan majlis ilmu.

Kepada Tuan Zamri, terima kasih kerana sentiasa mengkhabarkan saya dengan berita baik. Tuan Zamri adalah penulis bersama saya bagi sebuah buku kewangan dan komunikasi untuk pengantin baru.

Kuliah Subuh - Pengguna yang professional

Pagi tadi saya telah menyampaikan kuliah subuh bertajuk ‘Kita sebagai pengguna’ di sebuah Masjid yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam. Sehingga kini saya dijemput bagi menyampaikan kuliah dalam pengurusan kewangan Islam pada setiap hari ahad  minggu ketiga.

Saya terpanggil bagi membicarakan isu berkenaan dengan pengguna, kerana rata-rata individu yang terlibat dengan instrumen kewangan haram adalah mereka yang tidak kisah tentang halal dan haram. Bermula dengan makanan yang dibeli di pasar raya ataupun kedai. Pemahaman dan keperluan memilih yang halal amat kurang dihayati oleh sebahagian daripada indvidu. Ini yang menyebabkan mereka secara terang-terangan sanggup mengambil pinjaman yang melibatkan riba. 

Pengguna yang professional bukan sahaja bijak memilih ataupun membandingkan barangan, tetapi membeli barangan yang diiktraf sebagai benar-benar halal dan mampu untuk dimiliki.

Jadilah pengguna yang professional dan bukannya pengguna yang sudah dipergunakan ataupun yang sudah dipijak. Mulakan langkah pertama dengan memilih barangan yang ada logo halal Jakim yang rasmi.

Alhamdulilah, semoga kuliah itu tadi dapat disampaikan kepada muslimin dan muslimat yang tidak dapat hadir ke Masjid TTDI Jaya itu.

Kepada anda yang ingin mendapatkan satu salinan nota kuliah subuh itu, sila emailkan kepada saya sebelum 23 Januari 2008 di info@shamsuddinkadir.com, nyatakan “Nota Kuliah Subuh - 20 Jan 08″ pada subjek email. Ini bagi memudahkan kerja penghantaran nota kuliah tersebut.

Awasi Wang Anda!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan satu lagi kes kecurian yang semakin meningkat di seluruh negara. Peragut di sana sini, saya ternampak sebuah banner yang bertulis”Awas peragut sedang memerhatikan anda” sewaktu saya sampai di deretan kedai yang terletak di Seksyen2, Shah Alam.

 Jika anda menjadi mangsanya, sudah pasti semua yang ada didalam beg anda itu lenyap termasuk duit. Tujuan kebanyakan kes ragut adalah bagi mendapatkan duit haram secara mudah tetapi berisiko tinggi.

Apa yang hendak saya kongsikan adalah tetang wang anda yang berada selamat di dalam poket itu boleh terlepas ke tanggan orang lain secara sah. Anda dengan sukarelanya mengeluarkan duit itu dan memberikan kepada orang lain tanpa ada sebarang paksaan.

Kes seperti ini berlanjutan sejak daripada hari pertama manusia mula mengunakan matawang iaitu duit bagi mengantikan sistem ‘barter’ .

Ini di antara kes kehilangan duit yang tidak dilapurkan oleh pemilik kepada polis, kerana polis akan memarahi anda kembali jika terus berdegil untuk melapurkan.

Bagaimana kes ini berlaku dan kenapa polis tidak menerima laporan menjadi satu pertanyaan.

Apabila kita tidak melengkapkan diri kita dengan ilmu yang berkaitan dengan kewangan dan pengguna kita mudah dipengaruhi. Kita dengan senang diperdaya untuk membeli sesuatu yang kita tidak perlu. Ataupun sesuatu yang kita tidak mampu. Sebagai contohnya, apabila kita keluar ke pusat membeli belah dengan niat untuk ‘window shopping’ dan akhirnya kita pulang dengan sebuah handphone baru. Handphone sedia ada masih elok dan berfungsi dengan baik dan cukup dengan keperluan yang  diperlukan.

Apa yang peliknya, kita merasakan ianya perlu ditukar ketika berada di pusat membeli belah dan merasa tidak memerlukannya ketika berada dirumah. Ini yang banyak berlaku dalam kehidupan harian kita. Banyak barang ataupun servis yang kita beli ataupun langani tetapi sebenarnya kita tidak memerlukannya. Ada pengguna yang dibebani dengan barangan yang tidak diperlukannya.  Adajuga  pengguna yang menangung hutang yang tidak perlu dengan membeli barangan diluar kemampuan untuk membayar balik.

Duit yang dibawa di dalam poket sentiasa berkurangan akibat daripada terpedaya dengan sesuatu yang anda tidak perlukan. Tanpa menjadikan diri anda sebagai pengguna bijak anda akan terus dipijak oleh penjual-penjual bagi barangan ataupun perkhidmatan yang anda tidak memerlukan.

Salah satu kelebihan menjadi individu yang celik pengguna, anda tidak membeli barangan yang anda tidak memerlukannya. Di mana anda hanya membeli barangan seperti yang tertera dalam senaraiyang anda telah buat. Ini membebaskan anda daripada diragut oleh diri sendiri.

 Hujung minggu adalah hari di mana anda  menjadi peragut kepada diri sendiri jika tidak berjaya menjadi pengguna bijak.

Mulakan langkah pertama mengawasi wang anda dengan belajar menguruskan wang gaji dengan betul.

Shamsuddin Abdul Kadir

Info@shamsuddinkadir.com

Tazkirah Jumaat - Kewangan Islam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dunia ini satu, Tuhan yang menciptakan manusia satu, bilangan manusia yang diciptakan oleh Tuhan itu banyak berbilion-bilion. Semuanya diciptakan dengan satu tujuan supaya manusia menyembah kepadaNya.

Jika di lihat di dalam dunia ini, tidak semua yang berpeluang menjadi manusia. Ada yang menjadi binatang seperti harimau, lembu dan kambing. Ada yang menjadi pokok seperti pokok jambu, pokok kelapa dan pokok lada.

Dijadikan sebagai manusia adalah satu penghormatan yang paling tinggi yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia.

Andaikan sebelum Tuhan membuat manusia, Tuhan menguli gandum seperti untuk membuat roti yang ada pelbagai bentuk dan saiz. Tuhan membuat bentuk kita seperti kambing dan menjadikan diri kita kambing. Adakah kita boleh berbuat apa ? Adakah kita boleh menindakkan kuasa Tuhan itu? Dengan menjadi manusia adalah satu ‘Takkrim’ iaitu satu penghormatan yang diberikan oleh Tuhan kepada makhluk yang terpilih menjadi manusia.

Apabila kita dijadikan sebagai manusia, satu lagi yang kita perlu tempuhi bagi mencari agama apa yang membawa kita kepada Tuhan yang telah menciptakan kita. Kita diberikan penghormatan untuk kali kedua iaitu nikmat Iman. Lihat kepada bapa saudara Nabi Muhamad bin Abdullah yang bertungkus lumus dan sentiasa mendoa agar bapa saudaranya yang dikasihinya memeluk agama yang benar. Tetapi tidak berjaya. Akhirnya bapa saudaranya itu mati dalam keadaan sesat. Mati dalam keadaan tidak mengenali dan berpaling tadah kepada Tuhan yang sebenarnya wujud dan yang menciptakannya.

Kepada anda yang beriman kepada Tuhan Allah yang satu dan mengaku Muhammad bin Abdullah sebagai pesuruh Allah mendapat dua nikmat daripada Allah.

1. Mensyukuri Allah kerana dijadikan manusia iaitu ciptaan Allah yang paling sempurna.
2. Di berikan nikmat keyakinan dan perasaan yang tidak berbelah bagi kepada Tuhan yang sebenarnya.

Bagi memudahkan manusia itu memahami bagaimana manusia itu sepatutnya berfungsi. Tuhan menghantarkan manual ataupun garis panduan yang ditulis sendiri olehNya, ianya dipanggil dengan nama Al-Quran ataupun Tulisan Allah. Bagi memastikan manusia itu lebih memahami apa yang terkandung di dalam buku manual itu, Tuhan menghantarkan seorang Trainer iaitu Muhammad bin Abdullah. Segala maklumat yang terdapat di dalam buku manual ini diterangkan dengan perumpamaan dan kisah bagi memastikan para pembaca ataupun pendengar dapat memahaminya dengan jelas.

Salah satu bahagian yang dibicarakan oleh Tuhan di dalam buku manual adalah yang berkenaan dengan kewangan. Perkara yang tidak dapat dipisahkan dengan hal kewangan adalah duit.

Muhammad sebagai Trainer yang diutuskan telah mengadakan ceramah dan latihan di atas muka bumi ini  selama 23 tahun apabila  dilantik menjadi Trainer. Di dalam usaha selama 13 tahun pertama beliau hanya dapat membawa 40 orang mengenali Tuhan yang menciptakan manusia. Pada 10 Tahun yang kedua beliau berjaya mendidik dan meningkatkan kepercayaan beribu-ribu umat Islam.

Fakta seorang Islam

• Apabila memilih Tuhan Allah, anda telah hadkan diri anda berbanding orang yang tidak ada Tuhan. Had itu berlaku apabila anda beriman kepada Allah.

• Apabila anda memilih untuk bersembahyang 5 waktu anda telah menghadkan masa anda untuk aktiviti lain.

• Apabila anda memilih untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, anda memilih untuk tidak menikmati pelbagai jenis kuih sepanjang waktu berpuasa. Anda menghadkan masa yang anda boleh makan dan tidak boleh makan. Siapa yang menghadkan anda? Bukannya mulut anda ataupun tangan anda, tetapi Iman.

• Apabila anda memilih untuk makan, anda menghadkan diri anda untuk makan makanan yang halal sahaja. Iaitu makanan dan minuman yang ada tanda halal Jakim yang tulen ‘original’. Adakah anda kena masuk penjara di Malaysia jika anda tidak memilih makanan yang ada tanda halal Jakim? Tidak. Kenapa ataupun apa yang menyebabkan anda hanya memilih makanan yang ada logo/tanda halal Jakim untuk makan? Ianya tidak lain dan tidak bukan, yang membuat kan anda berbuat demikian bukannya disebabkan hukuman penjara tetapi kerana Iman.

• Apabila anda memilih untuk berpakaian sopan yang menepati apa yang digariskan oleh Trainer Muhammad bin Abdullah. Anda menghadkan aktiviti yang anda boleh sertai dan anda juga menghadkan diri anda daripada bebas memilih apa sahaja pakaian yang ada di pasar raya untuk dibeli. Adakah anda ditangkap apabila anda berpakaian seksi ataupun tidak sopan? Tidak. Oleh itu apa yang membuatkan anda menghadkan jenis pakaian yang anda boleh pakai? Ianya disebabkan kerana Iman.

• Apabila anda ingin mendirikan rumahtangga, iaitu hidup serumah dengan pasangan yang lain jantina dengan anda, anda memilih untuk berkahwin dengan mengikut hukum. Anda bukannya berkahwin sepertimana sepasang harimau mendirikan rumah tangga dengan hanya suka sama suka. Anda melakukannya bukan kerana takut kepada ibubapa tetapi kerana Iman.

Secara kesimpulannya, setiap apa yang anda lakukan, anda menetapkan had. Had ini bukannya untuk menghalang anda daripada berjaya ataupun bertambah kaya. Ianya wujud bagi memastikan anda bertindak mengikut apa yang boleh dilakukan oleh manusia yang mengenali KUASA yang telah menciptakannya.

Had ini wujud dalam diri kita dan ianya wujud hanya disebabkan oleh Iman. Iman ini yang menjadikan kita manusia yang bersyukur kepada Tuhan yang menjadikan kita sebagai manusia dan bukannya binatang. Bersyukur dan taat kepada perintah Tuhan seperti mana yang terdapat di dalam buku manual yang dipanggil Al-Quran.

 

Persoalannya : Kenapa ramai orang yang mengaku dirinya beriman tetapi tidak memilih sistem kewangan Islam sepanjang dirinya bergelar muslim? Iaitu memilih institusi kewangan yang menawarkan produk yang menambah kepada kebaikan pada diri, roh dan iman.

Wujudnya sistem kewangan mengikut Islam disebabkan adanya orang yang berIman. Hanya orang yang berIman memilih produk kewangan Islam. Antara produk kewangan Islam adalah seperti berikut :

• Akaun simpanan Al-Wadiah
• Akaun semasa Al - Mudharabah
• Pinjaman Peribadi - Bai Inah
• Pembiayaan Perumahan - Al-Bai’ Bithaman
• Zakat
• Unit amanah yang mengikut syariah
• Saham-saham yang mengikut syariah

Had timbul daripada Iman bagi mengelakkan manusia daripada melakukan aktiviti yang merosakkan ataupun memusnahkan manusia itu sendiri. Manusia yang bertindak di luar batasan yang dihadkan oleh buku manualnya akan menjadi rosak, punah ataupun jahat. Manusia yang hidup mengikut Iman adalah manusia yang selamat. Manusia yang hidup bergantung 100% kepada akal, perasaan, fikiran, minda ataupun apapun selain daripada Iman tidak selamat sampai bila-bila. Satu jalan untuk selamat adalah dengan kembali kepada Iman iaitu dengan bersyukur dan bersabar pada setiap masa.

Yakin kepada Tuhan bahawa tepat pada masa yang telah ditentukan anda akan kembali menghadap Tuhan bagi dibicarakan. Ketika ini tiada lagi rayuan yang boleh dibuat. Hanya Iman yang dipelihara sewaktu hidup di dunia yang menjadi hujah di mahkamah Tuhan. Percayalah bahawa setiap apa yang anda buat di dunia ini dibalas. Segala kerosakan kepada diri sendiri ataupun mahkluk lain akan dibalas oleh Tuhan.

Segala apa yang ada pada kita pada hari ini semuanya adalah anugerah Tuhan. Iaitu pinjaman Tuhan kepada kita, jangan jadikan kita bertindak melebihi Pencipta kita. Ibarat kita meminjam kereta Bos, jangan di bawa ke sana ke sini dengan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Kita bawa kereta mewahnya dengan niat hendak menunjuk-nunjuk, berlagak.

Begitu juga dengan anggota tubuh badan, otak, duit, kereta, rumah, pasangan, anak, emas dan segala apa yang ada pada kita semuanya dipinjamkan oleh Tuhan kepada kita. Sejauh mana kita menyedari dan mempercayai bahawa semua yang kita miliki ini adalah pinjaman!

Sekian sahaja untuk kali ini, Insyaa-Allah kita jumpa pada Tazkirah Jumaat akan datang.

Shamsuddin Abdul Kadir 

info@shamsuddinkadir.com

P/s : Kepada insan yang beriman kepada Allah, sila pastikan anda berselawat ke atas Nabi setiap kali nama Muhammad disebutkan di dalam artikel ini. Perlu diingatkan hampir semua artikel di dalam blog ini ditulis mengunakan teknik Fasa Mekah. Ianya boleh dilihat di dalam Al-Quran di mana ayat-ayat yang diturunkan ketika Nabi Muhammad (s.a.w) berada di Mekah mengunakan nama Tuhan mengantikan Allah.

Manakala teknik menulis mengikut Fasa Madinah, ayat-ayat di dalam Al-Quran diturunkan ketika Nabi di Madinah dengan mengunakan perkataan Allah mengantikan perkataan Tuhan.

Hari ini dan 20 tahun akan datang

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Apa yang ada pada hari ini mungkin tiada lagi pada 20 tahun akan datang. Salah satu daripada yang mungkin sudah tiada adalah diri kita sendiri. Sudahkah kita bersedia menghadapi saat kematian ? Itu satu persoalan yang perlu kita fikirkan sekarang. Jika diizinkan oleh Tuhan kita akan membincangkannya di  dalam segmen Tazkirah Jumaat.

Pada hari ini, kita ingin membincangkan tetang kos yang kita perlu tanggung. Adakah ianya kekal tidak berubah, berkurangan ataupun bertambah dengan peredaran masa ?

Kos pada hari ini lebih mahal daripada 20 tahun yang lalu tetapi lebih murah daripada 20 tahun akan datang.

Sebagai contohnya mengikut satu kajian yang dibuat di dalam negara, kos bagi sarapan pagi, tengahari dan malam untuk sehari adalah RM20 pada tahun 2007 dan ianya menjadi RM 64 pada tahun 2027. Secara puratanya kenaikan kos adalah RM 1.70 setahun [RM64 - RM20] / 20 Tahun. Ini bermakna anda memerlukan RM1,920 [RM64 X 30] untuk makan diluar selama sebulan ketika berada di tahun 2027.

Bayangkan itu hanya untuk kos sarapan di kedai. Bagaimana dengan kos lain seperti minyak petrol ? Berapa yang anda jangka kos bagi satu liter minyak petrol 20 tahun dari sekarang? Ketika ini petrol dijual dengan RM1.92 bagi setiap liter. Minyak naik sebanyak RM.30 pada awal tahun 2007. Semuanya mengetahui minyak bagi setiap tong mencecah USD 100 pada hari ini, masing-masing sedang menunggu bila ianya akan naik lagi. Mengikut apa yang digembar gemburkan, minyak petrol dijangka naik antara RM0.30 hingga RM0.40 bagi setiap liter.

Apabila minyak yang menjadi sumber utama bagi pengangkutan di Malaysia, sudah pasti hampir semua barangan mendapat impaknya. Bagi individu yang hidup dengan makan gaji akan menerima kesan secara langsung daripada kenaikan bahan mentah iaitu minyak ini.

Kos sudah pasti  naik cuma yang tidak pasti adalah berapa jumlah yang naik dan adakah anda mampu dan bersedia menghadapi kenaikan barangan. Kos barangan naik sejak dari hari pertama lagi manusia mengunakan matawang. Kenaikan ini berterusan sehingga ke hari Kiamat. Satu-satunya tempat yang tidak mengalami inflasi adalah Syurga. (Saya akan bincangkan hubungan inflasi dengan kenaikan harga di artikel akan datang).

Yang perlu kita bersedia adalah menghadapi risiko apabila kita tidak bersedia menangung bebanan sara hidup yang semakin bertambah.

Banyak individu, keluarga dan pelajar terutama di universiti mengalami tekanan apabila tidak bersedia dengan kos yang akan terus naik dan naik. Impaknya sangat kuat dalam kehidupan harian kita. Antara impak yang paling dirasai ialah jumlah hutang peribadi semakin bertambah, tidak upaya membayar balik hutang, fikiran selalu terganggu, bercelaru dan cepat marah. 

Duit…Semua orang memahaminya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Penemuan yang saya lihat dan dengar dengan mata dan telinga sendiri amat menakutkan. Di mana satu-satunya perkataan yang semua orang memahaminya bukannya kewujudan Tuhan yang Maha Agung.

Itu yang merungsingkan, kerana sebodoh-bodoh manusia janganlah sampai tidak mengenal akan Tuhan yang menjadikannya. Manusia itu menjadi zalim kepada dirinya apabila tidak berterima kasih kepada Tuhan yang telah menjadikannya manusia. Apa yang boleh kita buat jika Tuhan ingin menjadikan kita sebagai binatang seperti kerbau. Cuba bandingkan kita dengan kerbau, sudah pasti 100% kita ada kelebihan yang tidak dapat ditandingi oleh kerbau.

Kisah ini berlaku sewaktu saya bertugas di sebuah syarikat ‘Charter Aeroplane’ yang menawarkan kapal terbang cargo untuk disewa, di Senai Airport, Johor. Ketika di pejabat, CEO saya seorang berbangsa Inggeris memberi arahan kepada staf saya tentang operasi harian yang perlu diuruskannya. Yang melucukan staf saya tidak memahaminya. Dia bukannya tidak faham bahasa Inggeris, tetapi dialek yang digunakan oleh Boss kami itu pekat, seperti sebahagian rakyat Kelantan bercakap dengan mengunakan dialeknya yang pekat. ‘Mat Salleh’ ini cuba mengulang beberapa kali, tetapi staf saya masih mengeleng-gelengkan kepalanya, tanda tidak faham. Saya berada di situ pada ketika itu dan syukur dapat memahami apa yang tersirat. Saya menerangkan kepada staf saya apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Boss saya itu.

‘Mat Salleh’ yang sedikit berang apabila melihat staf saya menganguk-anguk ketika saya menerangkan di dalam bahasa melayu. Ini membuatkan ‘Mat Salleh’ itu tidak selesa dan terus melemparkan kata-kata seperti berikut (yang telah diterjemahkan).

“Jika saya bercakap tentang kerja tiada siapa yang memahami apa yang saya ingin katakan. Alasan yang diberikan, saya tidak faham bahasa Inggeris. Tetapi yang peliknya kenapa ke mana sahaja saya pergi di dalam Malaysia ini, semua orang memahami apa yang saya katakan jika ianya berkenaan dengan Money” Ia seolah-olah rakyat Malaysia hanya peka kepada duit semata-mata dan hanya ingin mempelajari semua bahasa hanya yang berkenaan dengan duit sahaja.”

Adakah duit adalah segala-galanya? Kata bidalan, duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit…

Kita akan mempelajari sesuatu perkara itu apabila kita merasakan ianya penting pada diri kita. Jika kita mengatakan duit itu penting, kita akan mempelajari segala nama yang manusia guna untuk menyatakan duit. Contohnya, duit, wang, rial, money, dollar, Pound, Euro, Rupiah, Ringgit Malaysia, kaya, senang, saham, pelaburan, simpanan, tabung kecemasan, sedekah, zakat, cukai, belanja. Itu hanya sebahagian daripada nama yang ada kaitan dengan duit.

Apabila kita merasakan sesuatu itu penting kita akan menariknya ke dalam hidup kita umpama magnet. Apabila kita merasakan ilmu itu penting bagi membina kehidupan yang terbaik, sudah pasti buku, belajar, mendengar, kursus, bimbingan, kelas adalah di antara nama-nama penting dalam hidup kita. Kita sentiasa membeli buku-buku baru, menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya.

Oleh itu kenal pasti apa yang penting kepada kita, kerana kita hanya menguasai perkara-perkara yang kita merasakan penting. Jika kita merasakan duit itu penting, uruskan duit itu dengan bijak. Tetapi bagaimana ya?

Yang pelik ramai yang memahami duit itu penting dalam hidupnya tetapi masih ramai yang tidak memperdulikannya. Iaitu tidak mahu menguruskannya dengan bijak.

“Duit adalah hamba yang bagus, tetapi Tuan (Bos) yang teruk”

Anda yang menentukan sama ada ingin menjadi Tuan kepada duit ataupun sebaliknya menjadi hamba kepad duit.

Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah yang pertama. Mulakan langkah pertama untuk menjadi celik kewangan hari ini.