Archive for February, 2008

Pesta Untuk Pekerja Datang Lagi

Adakah kedatangan hari pekerja yang membuat pekerja paling gembira? Kebanyakan pekerja hanya merasakan kenikmatan hari itu sebagai hari yang mereka tidak perlu bekerja. Setiap kali kehadiran tanggal 1 Mei setiap tahun, majoriti syarikat dan pejabat kerajaan tutup.

Adakah 1 Mei yang menjadikan hari bagi Pekerja untuk berpesta? Ohh tidak…Hanya segelintir pekerja yang dapat merasainya.

Majoriti pekerja menjadikan hari-hari terakhir dalam kalendar setiap bulan adalah hari untuk berpesta. Ini dapat di rasai bagi setiap wargakerja awam dan swasta yang masing-masing menerima ‘Duit Gaji’ pada penghujung setiap bulan. Pesta ini dapat disaksikan apabila ruangan letak kereta di pasaraya tiba-tiba penuh, sesak dan ada yang menunggu setengah jam bagi mendapatkan tempat meletak keretanya.

Bagaimana dengan kedai-kedai yang menjual makanan segera. Ada yang terus makan di situ, ada yang membawa pulang beberapa plastik yang mengandungi pelbagai makanan segera.

Muka-muka para pekerja menjadi berseri-seri, ini menyatakan mereka sedang berpesta. Di mana sahaja, pekerja dilihat dalam keadaan berseri-seri. Terdapat segelintir pekerja yang tidak merasai nikmat ini, apabila wang gaji itu hanya cukup untuk membayar hutang dan belanja bulanan. Tiada bagi untuk mereka berpesta.

Ada yang dapat meraikan pesta tetapi hanya untuk beberapa hari pertama selepas menerima gaji. Selepas seminggu pertama, tangan sudah mulai menggaru kepala yang tidak gatal. Ini berlaku apabila kita tidak memastikan belanja bulanan kita tidak melebihi daripada 70% daripada pendapatan  yang kita terima pada setiap bulan.

Tidak salah untuk meraihkan hari pesta, tetapi pastikan ianya di bawah 70% dari duit gaji yang dibelanjakan sepanjang bulan. Ini bagi memastikan kita terus tersenyum sehingga bertemu dengan bulan yang seterusnya.

Hentikan meraikan pesta, jika anda sudah membelanjakan melebihi 70% daripada gaji anda pada setiap bulan. Tabiat yang meraikan pesta dengan berbelanja melebihi 70% menunjukkan anda telah berbelanja melebihi apa yang anda sebenarnya mampu. Menghentikan segala cara yang anda gunakan bagi meraikan ‘duit gaji’ untuk sementara waktu menghindarkan anda daripada bebanan stres yang melampau.

Ramai yang sudah menderita dengan terus berbelanja melebihi 70%, jangan jadikan anda mangsa yang seterusnya. Jumlahkan semua perbelanjaan dan bayaran ansuran hutang anda. Jika jumlah itu melebihi 70%, itu bermakna anda menikmati hidup yang lebih bergaya daripada yang anda sebenarnya mampu.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Kesan Di Saman Oleh Bank

Entri yang dihantar oleh seorang pelawat blog ini

Salam Sejahtera

Saya adalah peminat blog tuan dan telah membaca dua buku tuan iaitu Makan Gaji Tetapi Kaya dan  Hidup Tenang Walaupun Berhutang.

Walau bagaimana pun, saya masih mencari jawapan apa kesan dari tindakan saya gagal membayar hutang bank samada kad kredit atau pinjaman peribadi. Saya ingin mengetahui langkah demi langkah yang diambil oleh pihak bank ke atas saya.

Sekarang ini saya diperingkat mendapat surat dari pihak peguam yang dilantik oleh bank. Makluman tuan, semalam saya ada menerima sms dari pihak peguam mengenai satu saman dari pihak bank. Sms itu menyuruh saya menhubungi kembali pihak yang menghantar sms itu. Oh ya, kad kredit saya sudah memasuki tiga bulan tunggakan. Juga, saya sudah tidak menerima sebarang surat menyurat dari pihak bank kerana berpindah rumah dan tempat kerja .

Buat masa sekarang saya tidak menjawap segala panggilan dari pihak bank dan nombor panggilan yang tidak saya kenali.

Bolehkah saya berterusan begini, saya sekarang berada dikedudukan yang jauh terperangkap dengan hutang sehingga pihak AKPK pun tidak dapat menolong. Maksudnya di sini, penyata pendapatan dan perbelanjaan yang dibentangkan kepada pihak AKPK menunjukkan defisit.

Harap dapat tuan berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan cadangan kepada saya. .

Sekian, terima kasih.

Saudara Y (Bukan nama sebenar) kiriman melalui emel.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Makan Gaji Sehingga Bersara?

Majoriti individu yang memilih sektor pekerjaan sebagai sumber mendapat duit, terus kekal sebagai pekerja sehingga bersara. Secara umumnya, umur 55 tahun dikatakan sebagai umur bersara. Banyak tafsiran tentang kenapa angka 55 tahun dipilih. Bersara bererti secara puratanya seorang individu dapat menyumbangkan kepada kemakmuran ekonomi negara. Apabila umur sudah melebihi  angka 55, jumlah sumbangan seseorang individu tidak setimpal dengan kos membiayai gaji bulanannya. Itu adalah berdasarkan umur purata yang dibandingkan dengan prestasi yang dibuat oleh pakar dari ‘barat’.

Adakah seseorang individu itu perlu  bekerja ‘makan gaji’ sehingga bersara? Ini di antara dilema yang dihadapi oleh kebanyakan pekerja. Matlamat yang jelas dapat memberikan mereka dorongan sama ada untuk kekal makan gaji ataupun bertukar menjadi ahli bisnes. Bagi pekerja di sektor awam, anda boleh mendapatkan skim pencen yang terus memberikan anda duit pada setiap bulan selepas bersara. Bagaimana dengan pekerja di syarikat swasta? Adakah duit KWSP dalam akaun ketika berumur 55 tahun itu mencukupi bagi menampung sara hidup sehingga mati?

Kita biarkan dahulu persoalan di atas?

Apabila anda bekerja di syarikat swasta, setiap tahun apabila anda menerima kenaikan gaji, secara automatiknya kos operasi bulanan syarikat meningkat. Adakah anda dapat memberikan justifikasi yang jelas bagaimana kenaikan gaji anda itu memberikan kenaikan dari segi jualan ataupun penurunan kos syarikat? Secara puratanya kita dapat melihat banyak kenaikan gaji adalah mebebankan pemilik syarikat. Ini kita dapat lihat melalui kenyataan yang pernah keluar dalam surat khabar Inggeris tempatan pada tahun 2007. Di mana akhbar itu melapurkan bahawa ‘Majoriti majikan di seluruh dunia berpendapat mereka terlebih bayar gaji kepada kakitangannya”.

Setiap kali kedatangan awal tahun, banyak majikan yang pening memikirkan tentang kos tambahan yang perlu ditanggung. Bagi kebanyakan bidang pekerjaan masa selama 3 tahun, sudah mencukupi bagi memastikan seorang graduan dapat menguruskan  tugas setaraf dengan pekerja yang sudah melebihi 5 tahun bekerja. Ini bermakna kos gaji seorang pekerja dengan pengalaman selama 3 tahun bekerja adalah jauh lebih murah daripada seorang pekerja yang sudah menjawat jawatan itu selama berpuluh tahun.

Di era ini, banyak syarikat dan bank yang memilih untuk mengambil pekerja secara kontrak. Di mana semakin kurang kekosongan jawatan diisi oleh pekerja tetap. Hampir semua pekerja adalah pekerja kontrak. Selepas memperbaharui kontrak untuk beberapa tahun, pihak majikan mencari alasan bagi tidak memperbaharui kontrak. Saya pernah bertemu dengan seorang kakitangan kontrak yang sudah bergaji melebihi RM5,000 ++. Dia dimaklumkan oleh majikannya bahawa kontraknya tidak akan disambung. Jika dia ingin terus berkerja, mereka sanggup untuk menyambung kontraknya dengan syarat gaji turun menjadi RM2,000. Sama dengan gaji yang dia mula-mula terima pada 5 tahun yang lalu.

Bayangkan dia ketika menerima gaji RM2,000 pada 5  tahun yang lalu, beliau adalah seorang yang belum berkahwin dan hanya memiliki sebuah motor. Kini dia ada tanggungan yang lebih besar iaitu , isteri, 2 anak dan sebuah kereta baru yang perlu ditanggungnya.

Beliau menerima tamparan yang amat besar, tetapi nasibnya masih baik, kerana ketika itu dia masih muda. Iaitu di awal 30 tahun. Bagaimana jika ketika itu dia berusia 48 ataupun 50 tahun?

Ada pekerja tetap yang sudah bekerja melebihi 10 tahun dan bergaji lebih daripada RM10,000 akhirnya diberikan tekanan yang teramat banyak, supaya dirinya berhenti kerja. Adakah selamat untuk menetapkan maltamat iaitu terus makan gaji sampai bila-bila?

Bagi pekerja kerajaan anda dikecualikan, tetapi bagaimana dengan anak-anak anda yang tidak bekerja dengan kerajaan?

Saya amat mengalukan sebarang pandangan, turut juga menjemput  Puan Ainon Mohd bagi memberi pandangannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Di Sebalik Kemudahan Kad Kredit

Semakin ramai individu memohon bagi mendapatkan kemudahan kad kredit. Kad itu diperlukan bagi pelbagai tujuan, antaranya untuk tidak membawa banyak duit di dalam dompet dan juga dapat menjadi penyelamat ketika kecemasan.

Kebanyakan pengunaan kad kredit oleh sebahagian pemilik kad itu bukannya untuk tujuan di atas tetapi bagi memuaskan nafsu sendiri. Ada yang tidak menyedarinya, mereka beranggapan mereka terpaksa guna kad kredit bagi menangung kos sara hidup yang semakin tinggi. Bagi mereka ini semua berpunca daripada kenaikan harga barangan.

Kad kredit umpama Api, semasa kecil ianya menjadi kawan, apabila hutang itu menjadi besar ianya menjadi lawan. Di mana ianya memusnahkan kehidupan kita. Ada yang masih menangung hutang kad kredit walaupun sudah bersara.

Kad kredit memberikan kita mimpi di siang hari, bahawa kita ada duit lebih banyak daripada duit yang kita sebenarnya ada. Ini adalah amat bahaya. Kad kredit mengubah cara otak kita berfikir dan bertindak.

Kad kredit dapat mengelakkan kita daripada membawa duit yang banyak pada setiap masa. Ianya juga dapat digunakan ketika kecemasan, seperti kereta rosak ketika perjalanan ke outstation. Segala belanja yang dibuat melalui kad kredit perlu dibayar sebelum ataupun pada tarikh yang ditetapkan.

Tetapi, jika setiap bulan kita hanya bayar, bayaran minimun, ataupun tidak mampu menjelaskan semua jumlah baki hutang, lebih baik kita potong dua kad kredit itu. Sebelum ianya menjadi musuh sepanjang hidup kita, merompak sebahagian daripada duit gaji kita setiap bulan.

Jika kita tidak mampu mendisiplinkan diri kita, iaitu mengawal ‘nafsu’ cari alternatif seperti kad debit yang  menjadikan kita seorang yang berdisiplin.

Kepada individu yang belum memiliki kad kredit, jadikan kad debit sebagai alternatif bagi menjalani hidup yang semakin mencabar.

Kepada individu yang sudah memiliki kad kredit dan ada baki hutang kad kredit yang belum dan tidak mampu dijelaskan kesemuanya. Mulakan langkah membebaskan diri dengan memotong kad kredit itu kepada dua bahagian. Ikuti teknik membebas diri daripada hutang itu melalui panduan dalam buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’.

Hutang kad kredit itu umpama sebuah ketumbuhan ‘tumor’ di dalam otak manusia, apabila ianya menjadi semakin besar, otak  sudah tidak mampu menangung bebanan kesakitan yang teramat sangat. Hidup menjadi gelap. Proses untuk memulihkannya masih ada, tetapi banyak dugaan dan halangan yang perlu dilalui untuk kembali normal.

Kenali Perangkap Kewangan sebelum terjebak dengan menjadikan diri dan ahli keluarga ‘Celik Kewangan’.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Adab-Adab Apabila Hutang Tertunggak!

Apabila kita meminjam duit daripada kawan ataupun saudara, kita memaklumkan bila kita akan bayar balik duit tersebut. Bagaimana pula, apabila kita meminjam daripada bank? Contohnya melalui pembiayaan pembelian kereta, rumah dan pinjaman peribadi. Kita perlu membayar seperti yang telah ditetapkan di dalam perjanjian yang ditandatangani ketika ‘pinjaman’ itu diluluskan.

Apabila berlaku perkara yang diluar jangkaan ataupun risiko yang ditanggung menjadi realiti, kita berhadapan dengan masalah kekurangan duit bagi menangung bebanan pinjaman sedia ada. Contohnya apabila kereta kita mengalami kerosakan teruk dan memerlukan duit beribu-ribu, sudah pasti kepada yang tiada duit tabungan menghadapi masalah. Kereta amat diperlukan untuk ke pejabat, kerana tiada pengangkutan awam yang dapat membawa kita ke tempat kerja pada setiap hari. Itu adalah salah satu contoh bagaimana bermulanya episod hutang tidak dapat dibayar pada masa yang ditetapkan.

Seperti yang saya nyatakan di dalam buku “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” perkara yang kita wajib lakukan adalah menjawab panggilan daripada bank.

Antara adab-adab menguruskan Hutang yang Tertunggak adalah :

  • Jawab semua panggilan telefon daripada bank. Jangan sesekali mengelakkannya. Jika anda sedang tertekan sangat ketika bank menghubungi, anda boleh untuk tidak menjawabnya, tetapi pastikan anda mengetahui nombor bank itu untuk menghubunginya semula pada hari yang sama. Iaitu ketika anda sudah dapat menenangkan sedikit ‘perasaan dan minda’.  Implikasi akan menjadi lebih teruk dan ianya akan membuatkan anda lebih tertekan jika tidak menjawabnya. Salah satu kesan yang paling kerap berlaku anda terus menerima surat SAMAN daripada bank untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah.

  • Ambil semua surat berdaftar ataupun surat yang dihantar oleh bank kepada anda. Ianya bagi memaklumkan kepada anda, bahawa anda sudah terlewat membayar ansuran sebagai contohnya. Hubungi bank jika perlu bagi menyatakan anda dalam kesempitan, dan memohon nasihat daripada bank, bagaimana anda dapat menyelesaikannya. Salah satu contohnya adalah membayar sedikit demi sedikit tanpa berhenti membayar. Ikut nasihat bank.

  • Jaga emosi anda, jangan sesekali menengking ataupun meninggikan suara kepada pegawai bank yang anda jumpa ataupun hubungi. Itu adalah tugas mereka memaklumkan hutang sudah tertunggak kepada anda.

  • Jika anda berpindah rumah, cepat-cepat hubungi bank sama ada datang ke pejabat, telefon ataupun fakkan maklumat alamat terkini beserta dengan no. telefon yang boleh dihubungi. Apabila surat-surat peringatan yang di alamatkan ke rumah lama tidak di ambil perhatian, surat SAMAN akan menyusul.

  • Apabila surat SAMAN dikeluarkan, kos hutang anda menjadi bertambah tinggi, peluang untuk anda menjelaskan menjadi semakin berat. Kos guaman, kos mahkamah dan sebagainya terpaksa ditanggung oleh anda.

  • Tabahkan hati, ingat semua hutang itu dibuat oleh kita  sendiri dan bukannya secara paksa dengan diletakkan sebilah pisau dileher kita untuk kita membuat hutang. Ingat, setiap masalah itu ada jalan penyelesaianya. Bukan kita seorang yang mengalaminya banyak lagi insan lain yang melaluinya. Masalah tetap sama, tetapi cara kita menanganinya yang membezakan kita.

  • Buat bedah siasat gaji kita, betangkan belanjawan kita, bentangkan hutang-hutang kita. Ini memberi kita idea, pedoman, di mana yang kita boleh kurangkan dan kos mana yang kita boleh hapuskan terus.

  • Jangan berputus asa untuk membayar hutang itu, walaupun pakar tentang kewangan juga mengatakan, ”Tiada lagi jalan keluar untuk anda membebaskan diri daripada belenggu hutang tertunggak itu.” . Seorang yang alim pernah berkata kepada seorang yang telah membunuh 99 manusia “Pintu bertaubat masih terbuka untuk kamu, selagi kamu masih hidup”. Inikan bebanan hutang, jangan terperdaya. Kuatkan semangat. Kata pepatah Jepun ‘Jatuh 7 kali, bangun 8 kali’.

  • Yakin pada Tuhan, bahawa akan datang pertolongan daripadaNYa. “Apabila manusia itu berusaha bersungguh-sungguh tanpa berputus asa, yakinlah bahawa pertolongan daripada Allah akan sampai”

  • Jangan cari penyakit, dengan membuat hutang yang baru, yang kononnya untuk membayar hutang lama.

Tiada masalah yang kita tidak dapat menyelesaikannya. Lihatlah di sebuah air terjun yang turun dengan menderu-deru dan bunyinya yang amat kuat dan tidak aman  itu dan dengan air yang bergerak laju adanya seekor tikus yang sedang duduk di dalam sebatang kayu yang  terapung di atas air itu sambil menyusukan 8 ekor anaknya .

Bayangkan tikus itu tenang walaupun sedang berada ditempat yang mengeluarkan bunyi kuat.  Hidup kita sudah pasti tidak terlepas daripada musibah, jangan jadikan musibah itu sebagai penyebab kita tidak dapat meneruskan hidup dengan tenang dan bahagia.

Selamat mempratikannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Adab-Adab Memasuki Pasaraya

Kita biasa dengan adab-adab ketika ingin masuk ke Masjid dan ketika berada di dalam Masjid.

Untuk masuk ke pasaraya kita juga digalakkan untuk mengaplikasikan adab-adab tertentu bagi mengelakkan kita menangung bebanan. Terlebih belanja, membeli barangan yang tidak perlu, lari bajet,  adalah di antara bebanan yang sering menimpa para pengunjung pasaraya.

Antara Adab-adab memasuki pasaraya adalah seperti berikut :

  • Membawa senarai barangan yang ingin dibeli. Elakkan pergi ke Pasaraya tanpa membawa senarai yang telah diluluskan.

  • Membawa perut yang kenyang. Elakkan datang dalam keadaan berlapar. Nafsu makan meningkat ketika waktu lapar. Semua makanan ingin dimakan. Di sini kita akan berbelanja diluar batasan normal jika tidak mengendahkannya.

  • Gunakan sistem tunai. Iaitu bayar dengan duit bukannya kad. Jika anda mengamalkan pembayaran mengunakan kad, pastikan jumlah harga barangan untuk dibeli itu ditetapkan terlebih dahulu. Contohnya, apabila mendapat senarai barangan yang telah diluluskan, buat anggaran harganya, dan jangan cajkan kad kredit itu jika jumlah yang sebenar melebihi 5% daripada harga yang anda telah bajetkan.  Implikasinya, anda akan berbelanja diluar kemampuan, jika tidak menghadkan bagi setiap pembelian.

  • Bawa duit berdasarkan angaran kos mengikut senarai yang disediakan itu. Jangan bawa duit lebih. Duit lebih memberikan anda peluang untuk anda berbelanja melebihi bajet.

  • Beli secara pukal barang keperluan harian - Bagi barangan kering rancang untuk sebulan sekali. Jimat Petrol, jimat masa anda.

  • Fokuskan kepada waktu ‘Jualan Murah’ kepada barangan keperluan harian seperti susu dan lampin pakai buang anak. Beli untuk tempoh 3 bulan sekali jika perlu.

  • Beli barangan yang ada di dalam senarai sahaja. Bukan semua barangan yang terdapat di dalam pasaraya adalah dalam kemampuan kita pada masa ini. Apabila sampai di pasaraya terdapat 1001 barangan yang tiada dalam senarai yang kita ingin beli. Ianya adalah barangan yang kita tidak perlukan. Jika ianya adalah barang yang kita perlukan, sudah pasti nama barangan itu sudah tertera di dalam senarai anda.

  • Jangan Pandang untuk kali kedua. Jika kita terpandang barangan yang tiada di dalam senarai, elakkan daripada memandangnya kali kedua. Pandangan kali kedua akan membuatkan kita jatuh cinta padanya. Jika barangan itu tiada di dalam senarai, ianya bermakna barangan itu bukannya barangan yang kita perlukan.

  • Beli barangan dari jenama yang lebih murah tetapi berkualiti.

  • Pastikan anda menyimpan semua resit yang diberikan untuk rujukan di masa akan datang.

  • Untuk lebih menjimatkan, elakkan membawa anak bersama, jika anda tidak dapat mengawal ‘nafsu’ mereka. Kebanyakan keluarga terlebih berbelanja akibat daripada memuaskan kehendak anak-anak yang ‘terpengaruh’ trick pasaraya.

Selamat berbelanja, tetapi jangan lupa adabnya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Ambil Pinjaman Untuk Melabur

Baca emel di bawah: 

Assalamualaikum

Untuk pengetahuan saudara, saya adalah peminat penulisan saudara samada buku tulisan saudara mahu pun Blog saudara.

Sesungguhnya semua manusia mengimpikan hidup dalam kesenangaan. Dari pembacaan buku tulisan saudara dan blog saudara memang banyak konsep saya dapati bagi membantu ke arah kekayaan.

Kaya walaupun Makan Gaji, Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan beberapa lagi telah saya baca.

Hanya satu pertanyaan saya buat masa ini iaitu apa pandangan saudara sekiranya kita membuat pinjaman untuk mebuat pelaburan saham amanah seperti ASB, ASN, Saham Koperasi dan lain lagi yang mana menawarkan dividen tahunan melebihi 10%.

Adakah ianya sama konsepnya dengan pelaburan hartanah yang dinyatakan pada buku saudara Kaya Walaupun Makan Gaji.

Sebenarnya saya juga telah mula melaksanakan beberapa konsep yang saudara nyatakan seperti mengurangkan hutang yang tak perlu, membuat simpanan berkala di dalam unit amanah, membeli satu unit hartanah dan yang terakhir ialah ingin membuat pinjaman untuk pelaburan amanah. Sebab itu saya meminta pandangan saudara.

Matlamat menjadi jutawan adalah impian saya.

Saudara X (Bukan nama sebenar)

Apa pendapat anda tentang pertanyaan di atas?

Kos Sara Hidup Semakin Membebankan?

Kos sara hidup adalah isu yang paling penting bagi pengundi di Malaysia. Ianya berdasarkan 96% responden yang mengambil berat tentang keadaan ekonomi semasa yang menunjukkan kenaikan barangan pengguna.

Ini adalah berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ianya melibatkan  seramai 2,930 responden dari  12 negeri di semenanjung yang di adakan dari 8 Dis hingga 29 Dis 2007.  Maklumat lengkap ada di dalam surat khabar The Star pada 12 Februari yang lalu.

Apa pendapat anda?  

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Barangan Itu Bukan Untuk Saya

Apabila kita memasuki mana-mana kedai atau pasaraya, barangan yang ada di dalam kedai itu bukan semuanya untuk kita. Ada barangan hanya layak dibeli dan dimiliki oleh orang yang ada duit banyak.

Sebagai contohnya. Jika kita pergi ke bahagian susu bayi, terdapat berpuluh-puluh jenama susu bayi. Dari yang paling rendah harganya sehingga yang paling tinggi harganya. Ada susu yang dibuat daripada susu lembu, ada yang mengunakan pati soya dan sebagainya.  Susu-susu ini adalah bagi menyediakan keperluan kepada pembeli yang paling miskin sehingga kepada orang yang paling kaya.   

Apabila kita memasuki pasaraya tanpa mempunyai matlamat yang ditetapkan, kita akan terpengaruh dengan apa yang ada di dalam pasaraya itu. Umpama seorang yang berpuasa melalui kedai yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa, semuanya ingin dibelinya. Berlainan dengan seorang yang berpuasa tetapi telah menetapkan kuih apa yang ingin dibelinya dan berapa jumlah yang ingin dimilikinya. Apabila dia sampai ke pasar Ramadhan, dia hanya mencari kuih tersebut dan membeli dalam kuantiti yang ditetapkan dan terus balik ke rumahnya. 

Seorang individu yang bernama Al-Ghazali pernah berkata “Benda yang paling besar di dalam dunia bukanlah gunung tetapi ‘nafsu’. Beliau berkata demikian berdasarkan pengalaman dan kajiannya.

Sudah pasti dengan membawa ‘nafsu’ yang bermaharajela di dalam diri, segala benda yang tidak mampu dimiliki akan kita ikhtiar untuk memiliki walaupun secara ‘berhutang’. Jika kita yang menetapkan matlamat ataupun apa yang kita perlukan, kita tidak memberi ruang kepada nafsu kita untuk menguasai kita.

Barangan di dalam pasaraya disusun dan dipak dengan menarik agar dapat’mengoda’ anda memilikinya. Jika tersilap anda membeli barangan yang diluar kemampuan dan barangan itu juga bukan keperluan utama untuk anda hidup dengan tenang dan bahagia. Majoriti barangan di dalam pasaraya itu akan membebankan hidup anda jika anda memasukinya tanpa dengan ’senarai’.

Oleh itu kita perlu kenal pasti barangan yang dikhaskan untuk kita iaitu barangan yang kosnya mengikut saiz duit dalam dompet kita. Sebaiknya kita menetapkan jenis barangan dan lingkungan harga yang kita ingin beli itu sebelum kita pergi ke pasaraya.

Bagaimana anda dapat menentukan barangan jenama dan pada harga berapa yang anda layak untuk membelinya?

Kaedah yang paling mudah adalah dengan menyediakan ’senarai barangan keperluan’. Ianya membantu anda menetapkan barangan yang berada di dalam bajet anda. Insyaa-Allah saya akan kongsikan di artikel akan datang.

Untuk latihan hari ini tanya pada diri anda :

Adakah anda menetapkan harga maksimun bagi barangan yang hendak dibeli sebelum keluar rumah ?

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Membebankan Diri Dengan Simbol Kekayaan

Mata yang rabun menyukarkan kita untuk melihat dengan jelas. Banyak masalah yang kita hadapi sepanjang masa. Silap langkah kita akan terjatuh ke  dalam longkang. Dapatkan cermin mata jika rabun  supaya kita dapat mengelakkan daripada bahaya yang berada di hadapan mata.

Begitu juga dalam kewangan, bagi individu ataupun keluarga yang tidak mendorong dirinya untuk menjadi celik kewangan terpaksa hidup dalam kumpulan ‘rabun kewangan’.

Orang yang rabun kewangan sentiasa hidup dibebani dengan masalah ‘duit’. Sama ada duit tidak cukup, hutang semakin bertambah, membeli barangan yang salah dan sebagainya.

Orang yang rabun kewangan suka membeli simbol-simbol kekayaan tetapi bukannya kekayaan itu sendiri. Ini yang menyebabkan mereka menangung bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Antara simbol-simbol kekayaan yang dibeli terutama oleh orang yang hidup makan gaji adalah seperti :

1. Susu bayi yang paling berjenama dan yang paling mahal

2. Jenama lampin pakai buang yang berjenama dan mahal

3. Kereta yang paling mahal yang bank boleh luluskan pinjaman

4. Rumah yang paling besar yang bank boleh luluskan pinjaman

5. Pemilikan kad-kad kredit yang bertaraf ‘Gold ataupun Platinum’ Dengan ’credit limit’ berpuluh ribu.

6. Pakaian yang berjenama tersohor

7. Handphone dari model yang terkini dan termahal

8. Aksesori diri dari jenama yang diiklankan di kaca TV

9. Aksesori kereta dari jenama-jenama luar negara

10. Memasang penghawa dingin di setiap ruang di dalam rumah termasuk dapur dan bilik stor. 

11.  Membeli barangan yang dilihat menarik tetapi barangan itu bukannya satu keperluan

12.  Membeli hampir semua barangan dengan kad kredit, tetapi hanya membayar 5% pada setiap bulan, iaitu bayaran minimun.

13. Hantar anda masuk tadika yang berjenama tinggi dan ‘ada class’ - Tetapi apabila anak berumur 7 tahun, di hantar ke sekolah kebangsaan dan bukannya sekolah swasta yang ‘ada class’. Di tadika bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris, tetapi di sekolah kebangsaan bahasa pengantar dalam bahasa Melayu.

Dan banyak lagi simbol-simbol kekayaan yang anda lebih arif.

Simbol-simbol kekayaan seperti ini bukannya menambahkan kekayaan. Ianya hanya mengakibatkan kita menangung beban besar. Contohnya membeli kereta yang kita terpaksa membayar ansuran selama 9 tahun, mengakibatkan hidup  dibebani dengan ansuran, penyelengaraan, cukai jalan, insurans dan juga petrol.

Untuk mengurangkan ataupun membebaskan diri kita daripada bebanan yang tidak perlu adalah dengan mengelakkan daripada memiliki simbol-simbol kekayaan yang tidak perlu. Rendahkan gaya hidup kita.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008