Archive for July, 2008

Diari SK : Muncul Di Ruangan Motivasi Pagi TV3

Insyaa-Allah mulai 3 Ogos iaitu pukul 7 pagi ahad saya akan ke udara dalam Motivasi Pagi buat julung kalinya di TV3. Saudara/i dijemput dan dialu-alukan bagi memberikan maklum balas berkenaan dengan segmen Motivasi Kewangan. Insyaa-Allah jika program ini mendapatkan maklum balas yang baik, ianya akan diteruskan di masa hadapan. Mohon maaf jika bahasa yang digunakan itu ada yang membuatkan hati di antara penonton yang terguris. Tiada niat saya untuk menyakiti, tujuannya semata-mata bagi memberi peringatan kepada kita semua. 

tv3_clr.jpgLogo TV3 ini di salin dari halaman rakan trainer Tuan Fadzli Yusof. Beliau juga yang memberi sokongan  di atas kapasiti beliau sebagai setiausaha TAMRIN kepada Tuan Fasil (TV3).

Saya akan muncul dalam siri MOTIVASI PAGI TV3 seperti berikut:

1. 03/08/2008  - Mengurus Hutang

2. 10/08/2008 - Mengurus Perbelanjaan

3. 23/08/2008 - Minat Menabung

4. 30/08/2008 - Merancang Sara Hari Tua

5. 19/10/2008 - Antara Keperluan & Kehendak

Gambar di atas dan sebahagian informasi di salin dari halaman SifuPTS.

Saya mengalu-alukan sebarang komen, sokongan, pandangan yang berkemungkinan besar saya akan ajukan kepada Tuan Penerbit TV3.

Surat Pembaca : Tempahan Buku

Assalamualaikum Tuan Shamsuddin,

Nama saya , Mohd Sofian Bin Mohammad Rosbi.    Saya ingin bertanya berkenaan perkara
berikut:

(1)Di manakah saya boleh memperolehi buku karangan Tuan di negeri Perlis?
(2)Saya sudah mencari di sekitar negeri perlis, tetapi tidak menjumpai buku
tersebut. Bagaimanakah caranya saya dapat membeli buku karangan Tuan Shamsuddin?

Terima kasih.
M.Sofian

……………………………………
Waalaikummusalam Saudara Sofian,

 Terima kasih di atas sokongan Tuan kepada buku-buku kewangan itu.

Tuan boleh mencuba di kedai buku MPH Bookstores , rangkaian kedai buku Popular, ataupun kedai buku-buku biasa. Kebanyakan masalah para pembaca buku saya sebelum ini, adalah buku itu sudah habis di kedai. Walaupun kebanyakan buku itu sudah memasuki cetakan kedua.

Saya mencadangkan kepada Saudara bagi membelinya secara online di syarikat penerbit buku iaitu di www.bookcafe.com

Saya tidak lagi menjualkan secara online, kerana tidak mampu bagi memenuhi tempahan yang diluar kemampuan saya bagi menyediakan perkhidmatan penghantaran.

Terima kasih sekali lagi di atas sokongan Saudara Sofian itu. 

Diari SK: Rakaman Motivasi Pagi Dengan TV3

Insyaa-Allah saya akan membuat rakaman kali ketiga dengan TV3 bagi dua lagi segmen pada pagi esok di Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor. Terima kasih kepada Tuan Mohd Fasil yang menjemput saya lagi bagi menjayakan Motivasi Kewangan ini. Insyaa-Allah, jika rakaman berjalan lancar ianya akan ditayangkan mulai bulan Oktober nanti. Tajuk untuk kali ini adalah

  • Antara Keperluan dan Kehendak
  • Menanguh Kepuasan

p6240266.JPG

Bagi empat segmen motivasi pagi yang sudah siap, akan mula ditayangkan d

Virus Gila Dalam Produk Kewangan

Sejak tahun 1997 produk kewangan tumbuh seperti cendawan. Pelbagai promosi yang diberikan oleh bank, institusi kewangan, ‘Along’ dan usahawan.

Pembiayaan membeli kereta, rumah, pinjaman peribadi, skim ansuran mudah, skim cepat kaya, MLM dan banyak lagi produk yang sedia ada tetapi dipermudahkan agar menarik lebih ramai pelanggan. Kini penguna kad kredit dibekalkan dengan beberapa keping cek kosong bagi memudahkan lagi penguna ‘berhutang’.

Skim-skim ansuran mudah di tawarkan dengan pelbagai insentif yang menarik, sama ada tanpa bayaran ansuran untuk 2 bulan pertama ataupun mendapat hadiah seperti pembakar roti. Pembeli rumah juga di tawarkan dengan boucer petrol sebanyak RM2,000. Ada juga penjual kereta yang menawarkan petrol percuma ataupun tiada bayaran muka ‘down payment’. Ada juga penawar pinjaman peribadi dengan jelasnya memaklumkan ke dalam brosur mereka bahawa wang ini boleh digunakan bagi menjelaskan hutang kad kredit, membesarkan rumah dan menyambut perayaan.

Kad kredit adalah satu lagi produk kewangan yang paling efektif dalam menyebarkan virus kepada pengguna yang tidak dibekalkan dengan ‘anti virus’. Hutang kad kredit yang paling banyak sekali pernah saya dengan adalah RM1,000,000. Ada yang menyara susu dan lampin pakai buang anak dengan berhutang RM400,000 dengan kad kredit.

Kebanyakan produk kewangan yang ada di pasaran pada hari ini adalah produk kewangan yang datang bersama dengan Virus Gila. Virus yang membuatkan pengguna menangung hutang yang menghasilkan kemiskinan. Virus yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin. Banyak produk kewangan yang ada di luar sana bukan untuk kita. Mengambil pinjaman kereta bagi tempoh 9 tahun menyebabkan kita menangung banyak masalah. Kebanyakan kereta akan mula mengalami kerosakan, di mana ada bahagian yang perlu ditukar mulai tahun ke-5. Ini menyebabkan kos penyelengaraan kereta kita mula naik mulai tahun ke-5. Jika kita mengambil pinjaman untuk tempoh 4 -5 tahun sahaja, kita dapat menyediakan duit bagi menangung kos pembaikan yang mula meningkat dari tahun ke tahun.

Kita terpaksa menangung lebih banyak bebanan apabila memilih pembiayaan melebihi 5 tahun. Nilai harga kereta di pasaran jauh lebih rendah daripada jumlah baki hutang semasa dengan bank walaupun sudah membayar ansuran untuk 4 tahun. Bebanan ini telah dirasai oleh majoriti orang yang memilih pinjaman melebihi daripada 5 tahun, adakah kita juga ingin menangung bebanan yang sama?

Pinjaman peribadi adalah satu lagi daripada barah ataupun virus yang ada di pasaran, hampir 98% daripada tindakan kita mengambil pinjaman tersebut membantu kita mengali lebih banyak lubang hutang. Walaupun niat asalnya untuk menjelaskan hutang kad kredit dan hutang lain.

Skim ansuran mudah antara virus yang sudah menular hampir ke dalam setiap rumah di Malaysia. Pengaruh iklan, ketidakupayaan menanguh kepuasan dan rabun kewangan penyebab utama kenapa ramai yang terlibat dengan skim ansuran mudah.  Bebanan menangung pelbagai jenis virus kewangan menyebabkan ramai berkelakuan seperti orang ‘gila’.

Skim cepat kaya adalah satu lagi virus yang melanda individu yang sedang dalam kesempitan duit ataupun yang hilang punca pendapatan. Atas desakan hidup dan terpengaruh dengan skim-skim berasaskan ‘Pak Man Telo’ yang telah dimodenkan, ada individu yang terpengaruh dengan strategi ‘flyer’ atau brosur yang ditulis mengunakan strategi mempengaruhi para pembaca untuk menyertainya.

Kaedah terbaik bagi menghindari virus-virus ini adalah dengan tidak membaca brosur yang diedarkan ataupun dengan meningkatkan kecelikan kewangan supaya kita tidak menjadi rabun yang tidak mampu melihat kewujudan virus-virus ini.

Kita memerlukan anti virus bagi mengelakkan sistem pemikiran dan duit masa depan kita dirampas, dikawal oleh orang lain melalui produk-produk kewangan yang ada di dalam pasaran.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

TEMUI SAYA DI PKNS SHAH ALAM HARI INI

 

 

 

 

 

Saya dengan ingin menjemput dan mengalu-alukan saudara dan saudari semua ke Pesta Buku Selangor 2008 di Kompleks PKNS Shah Alam yang terletak di sebelah tasik Shah Alam. Insyaa-Allah saya akan berada di Kompleks PKNS mulai pukul 2 petang. Saya akan berada di booth PTS mulai pukul 3 hingga 4 petang. Dapatkan buku dengan harga diskaun.

Insyaa-Allah kita jumpa di sana nanti.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

 

Di Sebalik Pindahan Baki ‘Balance Transfer’

Tuan,

Soalan ringkas. Apa yang tersirat disebalik transfer baki kad kredit ke kad baru? ****bank boleh offer 2 - 3 ribu cash jika kita transfer balance. Bank berorietasikan keuntungan, apa muslihat disebaliknya?

Mohon jawapan.

Asmawee, Kepong.

…………………………………….

Persoalan utamanya yang kita perlu ketahui adalah apa yang menyebabkan kita menangung hutang kad kredit. Ianya biasa berlaku disebabkan kita tidak dapat ‘menanguh kepuasan’ iaitu, kita tidak dapat mengawal diri daripada berbelanja di luar kemampuan sebenar kita. Ini bermaksud kita belum berjaya mengenali dan ‘berkuasa’ ke atas diri kita. 

Apabila kita di bebani dengan hutang, bank-bank turut mengunakan peluang ini bagi ‘memancing’ pelanggan baru dengan menawarkan pindahan baki hutang kad kredit kepada kad kredit bank mereka. Bank menawarkan kadar ‘faedah’ @ keuntungan yang rendah ada yang serendah 0%. Tawaran itu sungguh menarik, tetapi kita perlu ingat terdapat syaratnya yang perlu dipenuhi. Antaranya adalah, pemegang kad kredit perlu membayar jumlah ansuran secara tetap dengan jumlah yang dipersetujui pada setiap bulan tanpa gagal. Apabila pemegang kad kredit terlewat atau membuat pembayaran kurang daripada jumlah bayaran minimum maka kadar faedah @ keuntungan setinggi 18% contohnya, akan dicajkan. Tiada lagi kadar istimewa yang diberikan.

Antara kesan tidak baik yang berlaku kepada pemegang kad kredit yang membuat pindahan baki adalah :

  • Mengunakan semula kad kredit lama yang semua baki hutangnya telah dipindahkan ke kad kredit di bank lain. Ini meningkatkan semula bebanan hutang pemegang kad kredit.

  • Mengunakan kad kredit baru bagi membuat pembelian seterusnya, di mana kad kredit baru itu dibekalkan dengan lebihan had kredit bagi membenarkan pemegang meneruskan pembelanjaan tidak terkawal mereka. Ini sudah pasti membebanbkan lagi pemegang kad kredit berbanding sebelum membuat pindahan kredit.

Antara langkah pencegahan daripada dibebani dengan lebih banyak hutang yang membuatkan kita semakin miskin adalah dengan mempratikkan langkah-langkah seperti berikut:

  • Tamatkan khidmat kad kredit lama, iaitu pergi ke bank bagi menutup akaun kad kredit tersebut.

  • Potong kad kredit baru yang diberikan oleh bank yang membiayai pindahan baki tersebut.

  • Jangan ambil duit yang ditawarkan melalui pindahan baki  kad kredit. Bank mengetahui bahawa kita tengah ‘terdesak’,

  • Potong semua kad kredit lain yang kita miliki pada hari kita mendapat gaji.

  • Baca buku-buku berkenaan dengan mengurus kewangan - contohnya Buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang

  • Celik Kewangan contohnya dengan mengikuti entri-entri di dalam blog ini, iaitu bagi meningkatkan keupayaan pengguna bagi menanguhkan kepuasan supaya tidak dibebani dengan hutang yang tidak perlu.

Hutang kad kredit adalah berpunca daripada kegagalan seseorang daripada mengawal dirinya daripada membuat pembelian ataupun perbelanjaan diluar kemampuan. Pemegang kad kredit yang belum dapat menanguhkan kepuasaan digalakkan bagi menutup ataupun menamatkan semua akaun kad kredit yang ada. Ini bagi memastikan kita tidak dibebani dengan bebanan lubang-lubang hutang yang kita gali sendiri.

Tukarkan kad kredit kita itu dengan hidup dengan kad debit. Dapatkan kad debit dengan kemudahan visa di bank yang berdekatan. Kepada muslim gunakan akaun bank yang islamik iaitu bebas dari riba bagi menyimpan, melabur duit kita.

www.shamsudddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Pesta Buku Selangor 2008

Pesta Buku Selangor 2008 akan di adakan di Kompleks PKNS, Shah Alam mulai 25 Julai sehingga 3 Ogos 2008. Kebiasaannya kebanyakan penerbit dan penjual menawarkan diskaun hebat kepada para pengujung. Insyaa-Allah saya akan berada di pesta buku Selangor pada hari Sabtu ini 26 Julai 2008 mulai jam 3 petang. Saya juga akan berada di Pesta Buku Malaysia di PWTC pada hari Ahad 3 Ogos 2008.

Kepada saudara/i saya mengalukan kedatangan semua dan saya amat berharap dapat berjumpa dengan pembaca buku dan pelawat halaman blog shamsuddinkadir.com di sana. Jika tiada program, saya akan ke sana. Insyaa-Allah kita berjumpa di booth PTS.

 

 

 

 

 

 

Foto ini di salin dari halaman SifuPTS. Salah satu daripada kos perbelanjaan yang meningkatkan qualiti hidup kita adalah membaca buku yang bermanfaat. Semoga perbelanjaan kita ini, meningkatkan lagi keupayaan kita bagi menghasilkan lebih banyak pendapatan dan disamping  itu, kita terus dapat hidup dengan tenang dan bahagia.

Jumpa di Pesta Buku Selangor. Insyaa-Allah saya akan hadir di hari pertama Pesta Buku Selangor.

www.ShamsuddinKadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Habiskan Duit Dengan Kemewahan Untuk Anak

Apabila keinginan ibubapa sewaktu kecil tidak tercapai, mereka berusaha bagi mendapatkan lebih banyak duit bagi memastikan mereka dapat memenuhi setiap impian anak-anak mereka. Bagi mereka semua keinginan anak-anak perlu dipenuhi bagi menjadikan anak-anak itu kasih kepada mereka dan juga bergerak mengikut perubahan zaman.

Saya amat sedih apabila melihat ada ibubapa yang sanggup hidup di dalam kesusahan iaitu memakai pakaian sampai lusuh dan juga memakai handphone terpakai, semata memuaskan impian anak-anak. Ibubapa sanggup melengkapi anak-anak dengan handphone yang ada pelbagai fasiliti dan juga mesin permainan yang terkini. Bagi mereka anak-anak perlu dilengkapkan dengan keperluan terkini seperti IT bagi memastikan mereka bergerak sebaris dengan orang yang ‘pandai’.

Saya juga sedih apabila  ada ibubapa yang memaksa dan memastikan anaknya pergi tuisyen bagi semua matapelajaran, sehingga waktu terluang yang anak-anak ada terlalu sedikit. Semata-mata untuk melihat anak-anak mereka mendapat 5A ketika UPSR, ataupun 8A di peringkat PMR dan 10A1 di peringkat SPM.

Saya amat berharap ibubapa yang termasuk di dalam kedua-dua kategori ini telah mengkaji dan menganalisa dengan terperinci kesan yang telah berlaku dan sedang berlaku akibat tindakan ibubapa yang mendidik anak dengan cara di atas.

Mengikut kajian yang dibuat oleh saya sendiri, kedua-dua cara di atas  menyebabkan sebahagian besar ibubapa terpaksa menangung kos yang tinggi dan mengakibatkan mereka tidak mencapai sasaran yang sebenar.  Anak yang didedah dengan pelbagai hiburan (mainan) dan kemudahan tidak menjadikan mereka berdikari dan juga mengetahui nilai sebenar setiap ringgit yang kita belanjakan kepada mereka. Berapa ramai pelajar-pelajar yang telah mendapat semua A dalam semua mata  pelajaran telah menjadi orang hebat pada hari ini. Malaysia telah merdeka sejak 50 tahun yang lalu, belum seorang pun yang berjaya mendapat semua A dalam pelajaran menjadi orang yang terkaya di Malaysia.

Lihat Bill Gates orang yang terkaya di dunia, apakah ciri yang ada pada beliau?

Lebih baik kita belajar daripada kesilapan yang dibuat oleh orang lain, daripada belajar daripada kesilapan yang dibuat oleh diri sendiri. Sebelum kita ingin mempratikkan sesuatu, tengok hasil yang dikecapi oleh orang yang terdahulu daripada kita. Di situ kita boleh menjangkakan apa yang berlaku jika kita mengunakan konsep di atas di dalam mendidik anak.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Simpanan Persaraan Pekerja Di Paras Bahaya

Mengikut satu laporan dari sebuah akhbar tempatan pada hari ini, bahawa purata simpanan rakyat Malaysia berumur 54 tahun yang menyimpan secara aktif  dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2007 adalah RM 121,163.

Ini bermaksud ada pencarum iaitu pekerja yang mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000 apabila pencen. Bayangkan jika setiap pekerja yang mempunyai simpanan sebanyak RM120,000 hanya dapat membelanjakan sebanyak RM500 sebulan selama 20 tahun selepas bersara. Mengikut satu kajian, jangka hayat purata rakyat Malaysia adalah 75 untuk lelaki dan 78 untuk wanita.

Kos sara hidup pada hari ini bagi menikmati makan di luar untuk 3 kali sarapan adalah RM 20, ianya menjadi sekurang-kurangnya RM64 sehari pada tahun 2027. Bayangkan dengan kos makan diluar menjadi RM 64 X 30 Hari = RM 1,920 sebulan. Itu belum di kira keperluan asas yang lain. Kos sara hidup kita pada bulan pertama selepas bersara adalah menyamai 70% daripada gaji terakhir yang kita terima. Sudah pasti gaji terakhir yang kita terima adalah melebihi RM 500. Oleh itu bagaiaman kita dapat hidup dengan wang serendah RM 500 sebulan?

Mengikut satu kajian oleh sebuah akhbar tempatan pada tahun lalu, pekerja memerlukan RM 1.44 Juta untuk hidup dengan selesa sewaktu menempui alam pesaraan.

Sudahkah kita membuat persiapan ke dunia persaraan yang akan kita tempuhi nanti?

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Elak Dari Belanja Yang Tidak Perlu

Sewaktu menjayakan kursus dengan peserta dari FRIM pada hari Sabtu yang lalu, saya diajukan soalan bertubi-tubi tentang bagaimana untuk mengelakkan daripada penjual?

Ya, jurujual yang sentiasa menghampiri kita sewaktu berada di pasaraya ataupun di kawasan letak kereta dan juga di rumah.

  • Apabila gas untuk memasak kita habis, adakah kita menunggu sehingga jurujual ’salesmen’ datang membawa gas? Ataupun kita terus menelefon penjual gas supaya menghantarkannya sekarang.

  • Apabila beras habis, adakah kita menunggu sehingga jurujual datang bagi membeli beras daripadanya? Sudah semestinya kita terus mendapatkan beras di kedai yang berhampiran atau di pasaraya.

  • Apabila tisu di rumah kita habis adakah kita keluar mendapatkannya sekarang ataupun hanya membelinya apabila ada keluar ke kedai.

Di sini kita dapat melihat, kita tidak dapat menunggu apabila barangan keperluan habis. Kita perlu mendapatkan seberapa segera. Tetapi apabila tisu habis kita tidak akan dengan serta merta mendapatkannya di kedai.

Jurujual yang datang kepada kita ingin mempromosikan produk yang tidak termasuk di dalam senarai keperluan kita. Jika barangan itu termasuk dalam keperluan, kita tidak akan tunggu sehingga jurujaual datang, kita terus mendapatkannya di kedai.

Oleh itu perkara terbaik yang boleh kita lakukan adalah dengan mengucapkan terima kasih kepada jurujual tersebut dan terus beredar daripada tempat tersebut. Apa yang berlaku jika kita terus melayan jurujual? Saudara/i sudah arif akan akibatnya, iaitu kita balik dengan membeli produk ataupun perkhidmatan tersebut.

Jurujual telah dilatih dan mempunyai keupayaan bagi menukarkan perkataan tidak mahu ataupun ‘NO’ kepada mahu ataupun ‘YES’.

Itu sebab apabila kita ingin memasuki pasaraya, pastikan kita membawa senarai. Kita hanya membeli apa yang telah kita muktamadkan berdasarkan senarai yang kita buat terlebih dahulu.

Elakkan juga terpedaya dengan ‘Lambang’lambang Diskaun’.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!