Adab-Adab Apabila Hutang Tertunggak!

Apabila kita meminjam duit daripada kawan ataupun saudara, kita memaklumkan bila kita akan bayar balik duit tersebut. Bagaimana pula, apabila kita meminjam daripada bank? Contohnya melalui pembiayaan pembelian kereta, rumah dan pinjaman peribadi. Kita perlu membayar seperti yang telah ditetapkan di dalam perjanjian yang ditandatangani ketika ‘pinjaman’ itu diluluskan.

Apabila berlaku perkara yang diluar jangkaan ataupun risiko yang ditanggung menjadi realiti, kita berhadapan dengan masalah kekurangan duit bagi menangung bebanan pinjaman sedia ada. Contohnya apabila kereta kita mengalami kerosakan teruk dan memerlukan duit beribu-ribu, sudah pasti kepada yang tiada duit tabungan menghadapi masalah. Kereta amat diperlukan untuk ke pejabat, kerana tiada pengangkutan awam yang dapat membawa kita ke tempat kerja pada setiap hari. Itu adalah salah satu contoh bagaimana bermulanya episod hutang tidak dapat dibayar pada masa yang ditetapkan.

Seperti yang saya nyatakan di dalam buku “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” perkara yang kita wajib lakukan adalah menjawab panggilan daripada bank.

Antara adab-adab menguruskan Hutang yang Tertunggak adalah :

  • Jawab semua panggilan telefon daripada bank. Jangan sesekali mengelakkannya. Jika anda sedang tertekan sangat ketika bank menghubungi, anda boleh untuk tidak menjawabnya, tetapi pastikan anda mengetahui nombor bank itu untuk menghubunginya semula pada hari yang sama. Iaitu ketika anda sudah dapat menenangkan sedikit ‘perasaan dan minda’.  Implikasi akan menjadi lebih teruk dan ianya akan membuatkan anda lebih tertekan jika tidak menjawabnya. Salah satu kesan yang paling kerap berlaku anda terus menerima surat SAMAN daripada bank untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah.

  • Ambil semua surat berdaftar ataupun surat yang dihantar oleh bank kepada anda. Ianya bagi memaklumkan kepada anda, bahawa anda sudah terlewat membayar ansuran sebagai contohnya. Hubungi bank jika perlu bagi menyatakan anda dalam kesempitan, dan memohon nasihat daripada bank, bagaimana anda dapat menyelesaikannya. Salah satu contohnya adalah membayar sedikit demi sedikit tanpa berhenti membayar. Ikut nasihat bank.

  • Jaga emosi anda, jangan sesekali menengking ataupun meninggikan suara kepada pegawai bank yang anda jumpa ataupun hubungi. Itu adalah tugas mereka memaklumkan hutang sudah tertunggak kepada anda.

  • Jika anda berpindah rumah, cepat-cepat hubungi bank sama ada datang ke pejabat, telefon ataupun fakkan maklumat alamat terkini beserta dengan no. telefon yang boleh dihubungi. Apabila surat-surat peringatan yang di alamatkan ke rumah lama tidak di ambil perhatian, surat SAMAN akan menyusul.

  • Apabila surat SAMAN dikeluarkan, kos hutang anda menjadi bertambah tinggi, peluang untuk anda menjelaskan menjadi semakin berat. Kos guaman, kos mahkamah dan sebagainya terpaksa ditanggung oleh anda.

  • Tabahkan hati, ingat semua hutang itu dibuat oleh kita  sendiri dan bukannya secara paksa dengan diletakkan sebilah pisau dileher kita untuk kita membuat hutang. Ingat, setiap masalah itu ada jalan penyelesaianya. Bukan kita seorang yang mengalaminya banyak lagi insan lain yang melaluinya. Masalah tetap sama, tetapi cara kita menanganinya yang membezakan kita.

  • Buat bedah siasat gaji kita, betangkan belanjawan kita, bentangkan hutang-hutang kita. Ini memberi kita idea, pedoman, di mana yang kita boleh kurangkan dan kos mana yang kita boleh hapuskan terus.

  • Jangan berputus asa untuk membayar hutang itu, walaupun pakar tentang kewangan juga mengatakan, “Tiada lagi jalan keluar untuk anda membebaskan diri daripada belenggu hutang tertunggak itu.” . Seorang yang alim pernah berkata kepada seorang yang telah membunuh 99 manusia “Pintu bertaubat masih terbuka untuk kamu, selagi kamu masih hidup”. Inikan bebanan hutang, jangan terperdaya. Kuatkan semangat. Kata pepatah Jepun ‘Jatuh 7 kali, bangun 8 kali’.

  • Yakin pada Tuhan, bahawa akan datang pertolongan daripadaNYa. “Apabila manusia itu berusaha bersungguh-sungguh tanpa berputus asa, yakinlah bahawa pertolongan daripada Allah akan sampai”

  • Jangan cari penyakit, dengan membuat hutang yang baru, yang kononnya untuk membayar hutang lama.

Tiada masalah yang kita tidak dapat menyelesaikannya. Lihatlah di sebuah air terjun yang turun dengan menderu-deru dan bunyinya yang amat kuat dan tidak aman  itu dan dengan air yang bergerak laju adanya seekor tikus yang sedang duduk di dalam sebatang kayu yang  terapung di atas air itu sambil menyusukan 8 ekor anaknya .

Bayangkan tikus itu tenang walaupun sedang berada ditempat yang mengeluarkan bunyi kuat.  Hidup kita sudah pasti tidak terlepas daripada musibah, jangan jadikan musibah itu sebagai penyebab kita tidak dapat meneruskan hidup dengan tenang dan bahagia.

Selamat mempratikannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

2 comments on “Adab-Adab Apabila Hutang Tertunggak!”

  1. Mariam Reply

    Satu lagi artikel yang membuka minda saya betapa selama ini saya sering ketakutan dan dihantui rasa bersalah yang amat sangat bila pihak bank menelefon saya.

    Tapi kini saya sedar dan mula menyedari betapa pun saya lari dari pihak bank, hutang saya tidak pernah meninggalkan saya malah semakin bertambah dan bertambah. Kini saya mula menghitung bagaimana nak melangsaikan satu persatu. Pihak bank sebenarnya tidak kejam seandainya kita mahu menyelesaikan masalah kita. Cuma ada beberapa perkara yang masih buntu untuk saya selesaikan.

    Ada satu pertanyaan benarkah kita boleh mendapatkan senarai CCRIS untuk kita melihat sejauh mana hutang kita daripada BNM. Ada yang menyarankan saya berbuat demikian namum saya masih belum melakukannya lagi.

    Harap Tn Sham dapat memberikan pandangan kerana saya sememangnya ingin menstrukturkan semula beban hutang saya.

  2. Shamsuddin Kadir Reply

    Jika senarai CCRIS itu saya tidak pasti sama ada seseorang individu dapat memohon untuk mendapat sejauh mana hutang kita daripada BNM. Tetapi tidak salah atau rugi jika kita mencuba memohonnya. Puan sila maklumkan kepada saya jika Puan telah menghubungi BNM. Sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi di blog ini sama ada ianya dibenarkan.

    Jika Puan ingin mengunakan khidmat BNM, saya cadangkan Puan menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka boleh membantu Puan menstrukturkan semula beban hutang Puan.

    Puan juga boleh mendapatkan kaedah menstrukturkan semula hutang melalui kaedah yang dinyatakan di dalam buku “Hidup Tenang Walaupun Berhutang”.

    Insyaa-Allah saya juga akan terus menyediakan informasi bagi membebaskan diri kita dari bebanan hutang dari masa ke semasa. Terima kasih di atas sokongan Puan dalam memberi informasi berguna kepada masyarakat terutama yang menghadapi dilema hutang.

Leave a Reply to Shamsuddin Kadir Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *