Adab-Adab Memasuki Pasaraya

Kita biasa dengan adab-adab ketika ingin masuk ke Masjid dan ketika berada di dalam Masjid.

Untuk masuk ke pasaraya kita juga digalakkan untuk mengaplikasikan adab-adab tertentu bagi mengelakkan kita menangung bebanan. Terlebih belanja, membeli barangan yang tidak perlu, lari bajet,  adalah di antara bebanan yang sering menimpa para pengunjung pasaraya.

Antara Adab-adab memasuki pasaraya adalah seperti berikut :

  • Membawa senarai barangan yang ingin dibeli. Elakkan pergi ke Pasaraya tanpa membawa senarai yang telah diluluskan.

  • Membawa perut yang kenyang. Elakkan datang dalam keadaan berlapar. Nafsu makan meningkat ketika waktu lapar. Semua makanan ingin dimakan. Di sini kita akan berbelanja diluar batasan normal jika tidak mengendahkannya.

  • Gunakan sistem tunai. Iaitu bayar dengan duit bukannya kad. Jika anda mengamalkan pembayaran mengunakan kad, pastikan jumlah harga barangan untuk dibeli itu ditetapkan terlebih dahulu. Contohnya, apabila mendapat senarai barangan yang telah diluluskan, buat anggaran harganya, dan jangan cajkan kad kredit itu jika jumlah yang sebenar melebihi 5% daripada harga yang anda telah bajetkan.  Implikasinya, anda akan berbelanja diluar kemampuan, jika tidak menghadkan bagi setiap pembelian.

  • Bawa duit berdasarkan angaran kos mengikut senarai yang disediakan itu. Jangan bawa duit lebih. Duit lebih memberikan anda peluang untuk anda berbelanja melebihi bajet.

  • Beli secara pukal barang keperluan harian – Bagi barangan kering rancang untuk sebulan sekali. Jimat Petrol, jimat masa anda.

  • Fokuskan kepada waktu ‘Jualan Murah’ kepada barangan keperluan harian seperti susu dan lampin pakai buang anak. Beli untuk tempoh 3 bulan sekali jika perlu.

  • Beli barangan yang ada di dalam senarai sahaja. Bukan semua barangan yang terdapat di dalam pasaraya adalah dalam kemampuan kita pada masa ini. Apabila sampai di pasaraya terdapat 1001 barangan yang tiada dalam senarai yang kita ingin beli. Ianya adalah barangan yang kita tidak perlukan. Jika ianya adalah barang yang kita perlukan, sudah pasti nama barangan itu sudah tertera di dalam senarai anda.

  • Jangan Pandang untuk kali kedua. Jika kita terpandang barangan yang tiada di dalam senarai, elakkan daripada memandangnya kali kedua. Pandangan kali kedua akan membuatkan kita jatuh cinta padanya. Jika barangan itu tiada di dalam senarai, ianya bermakna barangan itu bukannya barangan yang kita perlukan.

  • Beli barangan dari jenama yang lebih murah tetapi berkualiti.

  • Pastikan anda menyimpan semua resit yang diberikan untuk rujukan di masa akan datang.

  • Untuk lebih menjimatkan, elakkan membawa anak bersama, jika anda tidak dapat mengawal ‘nafsu’ mereka. Kebanyakan keluarga terlebih berbelanja akibat daripada memuaskan kehendak anak-anak yang ‘terpengaruh’ trick pasaraya.

Selamat berbelanja, tetapi jangan lupa adabnya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

8 comments on “Adab-Adab Memasuki Pasaraya”

  1. Abu Afham Reply

    Inilah blog pertama yang saya pernah jumpa menulis artikel ADAB-ADAB MEMASUKI PASARAYA.

    Beberapa minggu lepas, ketika membeli belah barangan keperluan asrama di sebuah pasaraya terkemuka, kawan saya ada berkata, “Bila perut lapar, semua makanan yang dijual kat pasaraya ini nampak sedap je. Kalau nak ikutkan hati, rasa nak beli semua!”.

    Saya selalu juga buat senarai barang yang hendak dibeli, tapi jarang beli barang yang disenaraikan sahaja. selalunya, mesti terbeli barang lain sebab bila dah sampai kat pasaraya, capai katalog yang disediakan, mula la nampak itu ini murah. sudahnya, over budget. Betul juga kata Tuan, JANGAN PANDANG UNTUK KALI KEDUA. NANTI JATUH CINTA. hehe

  2. Shamsuddin Kadir Reply

    Saudara Afham,

    Agak janggal juga ketika saya ingin menaip tajuk tersebut, tetapi kerana kepentingannya saya tetap mengunakan perkataan itu.

    Terima kasih di atas informasi yang saudara nyatakan itu. Ianya amat menyokong adab-adab yang saya nyatakan dan memudahkan pembaca memahami kepentingan mengaplikasikan adab-adab tersebut.

    Semoga saudara juga dapat mengaplikasikan dalam kehidupan harian, supaya tiada lagi ‘over budjet’

    Jika saudara belum berpunya ‘Boleh untuk pandang kali kedua’ tetapi pastikan Si dia itu menutup aurat. Ini juga perlu mengikut adab-adab memilih bakal isteri.

  3. Abu Afham Reply

    Ait? Jatuh cinta yang saya maksudkan adalah berdasarkan konteks membeli barang yang bukan dalam senarai seperti yang tuan tulis dalam artikel tuan.

    Bukan calon isteri la tuan. Tersenyum lebar saya di depan pc ini bila membaca respon tuan. Tapi bagus juga. nanti saya berguru dengan tuan untuk ADAB-ADAB MENCARI ISTERI pula.

  4. Shamsuddin Kadir Reply

    Saya faham maksud saudara Afham berkenaan dengan jatuh cinta yang saudara nyatakan itu. Saya saja hendak mengusik…

    Cuma adab masuk pasaraya itu berbeza dengan adab mencari isteri. Sudah pasti kita perlu memandang untuk kali kedua bagi memastikan ‘dia’ adalah calon yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.

    Pandangan peribadi saya kepada saudara tentang memilih calon isteri.
    Memilih calon isteri tidak sama seperti kita memilih ikan di pasar, iaitu memilih dengan hanya melihat dari sudut luaran iaitu, mencari ikan yang segar.

    Untuk ikan, kita hanya makan untuk sehari. Tetapi isteri akan menjadi teman seumur hidup. Mencari isteri adalah keperluan untuk kita mengenali ibubapanya dan keluarganya sebelum kita ‘jatuh cinta kepadanya’. Asal usul wanita itu penting, asal usul keturunan ikan yang kita hendak makan itu tidak penting.

  5. Mariam Reply

    Hmmm… Senyum saya pada kali ini membaca posting Tn Sham…Itulah yang berlaku pada zaman kejahilan saya tentang adab membeli belah.

    Tak cukup cash, saya guna kad kredit…sekarang saya pulak yang rasa azabnya bila melupakan hal hal yang berkaitan adab membeli belah. Sesungguhnya perubahan saya pada hari ini satu hijrah besar dalam diri saya.

  6. Roslan Isa Reply

    Assalammualaikum.

    Tuan Shamsuddin saya pun setuju dengan Abu Afham, tulisan artikel itu memang cukup sesuai dengan orang Melayu yang kaya budi bahasa tetapi kurang budi, adab dalam merancang kewangan.

    Pendekatan yang kontemporari tetapi elemen asli tetap dijaga utuh.

    Mohon kebenaran saya mahu ambil artikel ini dan sebarkan di kalangan staff PTS.

  7. Shamsuddin Kadir Reply

    Puan Mariam, Terima kasih kerana sudi menterjemahkan implikasi adab tersebut dalam kontek realiti.

    Pandangan dari Saudara Afham dan Puan Mariam itu lebih menyakinkan kepada pelawat untuk memahami apa impaknya jika kita tidak mempratikkan adab-adab membeli belah.

    Berhijrah pada setiap hari dengan mencari ilmu baru dan mempratikkan setiap ilmu yang berguna itu. Tinggalkan konsep hidup yang bercanggah dengan ilmu yang kita baru pelajari.

  8. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Tuan Roslan,

    Mohon maaf saya tidak sediakan kompang bagi menyambut kedatangan Tuan.

    Tuan silakan gunakan entri ini, supaya lebih ramai individu dapat manfaatnya, Insyaa-Allah.

    Untuk makluman para pelawat blog.
    Tuan Roslan adalah Editor buku saya, yang baru mengambil alih jawatan di bahagian PR di syarikat yang sama.

Leave a Reply to Roslan Isa Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *