Makan Gaji Sehingga Bersara?

Majoriti individu yang memilih sektor pekerjaan sebagai sumber mendapat duit, terus kekal sebagai pekerja sehingga bersara. Secara umumnya, umur 55 tahun dikatakan sebagai umur bersara. Banyak tafsiran tentang kenapa angka 55 tahun dipilih. Bersara bererti secara puratanya seorang individu dapat menyumbangkan kepada kemakmuran ekonomi negara. Apabila umur sudah melebihi  angka 55, jumlah sumbangan seseorang individu tidak setimpal dengan kos membiayai gaji bulanannya. Itu adalah berdasarkan umur purata yang dibandingkan dengan prestasi yang dibuat oleh pakar dari ‘barat’.

Adakah seseorang individu itu perlu  bekerja ‘makan gaji’ sehingga bersara? Ini di antara dilema yang dihadapi oleh kebanyakan pekerja. Matlamat yang jelas dapat memberikan mereka dorongan sama ada untuk kekal makan gaji ataupun bertukar menjadi ahli bisnes. Bagi pekerja di sektor awam, anda boleh mendapatkan skim pencen yang terus memberikan anda duit pada setiap bulan selepas bersara. Bagaimana dengan pekerja di syarikat swasta? Adakah duit KWSP dalam akaun ketika berumur 55 tahun itu mencukupi bagi menampung sara hidup sehingga mati?

Kita biarkan dahulu persoalan di atas?

Apabila anda bekerja di syarikat swasta, setiap tahun apabila anda menerima kenaikan gaji, secara automatiknya kos operasi bulanan syarikat meningkat. Adakah anda dapat memberikan justifikasi yang jelas bagaimana kenaikan gaji anda itu memberikan kenaikan dari segi jualan ataupun penurunan kos syarikat? Secara puratanya kita dapat melihat banyak kenaikan gaji adalah mebebankan pemilik syarikat. Ini kita dapat lihat melalui kenyataan yang pernah keluar dalam surat khabar Inggeris tempatan pada tahun 2007. Di mana akhbar itu melapurkan bahawa ‘Majoriti majikan di seluruh dunia berpendapat mereka terlebih bayar gaji kepada kakitangannya”.

Setiap kali kedatangan awal tahun, banyak majikan yang pening memikirkan tentang kos tambahan yang perlu ditanggung. Bagi kebanyakan bidang pekerjaan masa selama 3 tahun, sudah mencukupi bagi memastikan seorang graduan dapat menguruskan  tugas setaraf dengan pekerja yang sudah melebihi 5 tahun bekerja. Ini bermakna kos gaji seorang pekerja dengan pengalaman selama 3 tahun bekerja adalah jauh lebih murah daripada seorang pekerja yang sudah menjawat jawatan itu selama berpuluh tahun.

Di era ini, banyak syarikat dan bank yang memilih untuk mengambil pekerja secara kontrak. Di mana semakin kurang kekosongan jawatan diisi oleh pekerja tetap. Hampir semua pekerja adalah pekerja kontrak. Selepas memperbaharui kontrak untuk beberapa tahun, pihak majikan mencari alasan bagi tidak memperbaharui kontrak. Saya pernah bertemu dengan seorang kakitangan kontrak yang sudah bergaji melebihi RM5,000 ++. Dia dimaklumkan oleh majikannya bahawa kontraknya tidak akan disambung. Jika dia ingin terus berkerja, mereka sanggup untuk menyambung kontraknya dengan syarat gaji turun menjadi RM2,000. Sama dengan gaji yang dia mula-mula terima pada 5 tahun yang lalu.

Bayangkan dia ketika menerima gaji RM2,000 pada 5  tahun yang lalu, beliau adalah seorang yang belum berkahwin dan hanya memiliki sebuah motor. Kini dia ada tanggungan yang lebih besar iaitu , isteri, 2 anak dan sebuah kereta baru yang perlu ditanggungnya.

Beliau menerima tamparan yang amat besar, tetapi nasibnya masih baik, kerana ketika itu dia masih muda. Iaitu di awal 30 tahun. Bagaimana jika ketika itu dia berusia 48 ataupun 50 tahun?

Ada pekerja tetap yang sudah bekerja melebihi 10 tahun dan bergaji lebih daripada RM10,000 akhirnya diberikan tekanan yang teramat banyak, supaya dirinya berhenti kerja. Adakah selamat untuk menetapkan maltamat iaitu terus makan gaji sampai bila-bila?

Bagi pekerja kerajaan anda dikecualikan, tetapi bagaimana dengan anak-anak anda yang tidak bekerja dengan kerajaan?

Saya amat mengalukan sebarang pandangan, turut juga menjemput  Puan Ainon Mohd bagi memberi pandangannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

9 comments on “Makan Gaji Sehingga Bersara?”

  1. Muhammad Aimin Mikhail Bin Sudin Reply

    Assalamualaikum!

    Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Shamsuddin Kadir kerana telah berjaya menarik minat ramai untuk melayari laman blog ini.

    Untuk pengetahuan tuan, saya baru sahaja selesai membaca buku tuan yang pertama Hidup Tenang Walaupun Berhutang, itupun setelah di desak oleh sahabat sepejabat saya yang tidak pernah putus asa memujuk semua staf di ofis saya untuk membaca buku tersebut.

    Buku tuan yang kedua, InshaAllah saya akan baca pada hari ini. Itu pun sahabat saya yang pinjamkan. Bila saya fikirkan balik patutlah sahabat saya beria-ia menyuruh kami semua membaca buku tersebut, ianya memang banyak faedah terutama kakitangan kerajaan seperti kami semua yang gaji tak seberapa memang suka berhutang dan suka berbelanja menggunakan kad kredit. Sahabat saya memang sudah tak gunakan kad kredit lagi katanya takut mati nanti papan tanda hutang kad kredit terpacak atas kubur. Buku Tuan Shamsuddin ini memang memberi kesan yang mendalam kepada pembacanya.Tahniah tuan.

    Kami kakitangan kerajaan sudah tentulah sentiasa bersyukur kerana kami semua mendapat faedah pencen bila bersara nanti. Walaubagaimanapun bagi pekerja yang gajinya tak seberapa perlulah mencari altenatif tambahan untuk menambahkan sedikit lagi rezeki untuk kesejahteraan keluarga. Yang penting dalam hidup ini kita mestilah mempunyai niat kenapa kita bekerja, untuk apa, untuk siapa dan KERANA SIAPA. Jika kita tidak pernah lupa kerana siapa kita bekerja, InshaALLAH hidup kita tidak akan susah dan otak kita dan hati kita akan berasa tenang dan tidak akan berasa kekurangan walaupun sedikit. Yang penting sebelum melangkah kaki kanan untuk keluar bekerja pasangkan niat didalam hati dulu barulah melangkah keluar. Dan kita mesti selalu ingat bekerja itu adalah IBADAH.

    Tahniah sekali lagi kepada Tuan Shamsuddin Kadir.

    Muhammad Aimin Mikhail
    Kajang, Selangor.

  2. hadi Reply

    Assalamualaikum

    Dari apa yang saudara tuliskan membuat saya berfikir… Makan Gaji tapi tension…
    Makan gaji umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meletup … itulah yang saudara katakan dalam buku tulisan yang saya telah baca. Bagi mengatasi masalah ini pengurusan kewangan adalah penyelesaian masalahnya.

    Bagi pandangan saya kekayaan dan pengurusan kewangan adalah sesuatu yang berbeza. Orang kaya tetapi gagal mengurus kewangan dengan baik mungkin tidak akan terus kaya tetapi orang yang pandai mengurus kewangan dengan baik pastinya akan menjadi kaya.

    Sebab itu kita perlu memulakan konsep pengurusan kewangan dari mula lagi bermula dari mulanya kita berkerja makan gaji. Sekiranya kita amalkannya dengan baik kita tidak akan terus berkerja makan geji.

    Apa yang boleh kita buat ialah buat potongan gaji terus ke akaun yang boleh diuruskan oleh majikan kita sekuangnya 20% dari gaji yang kita perolehi. Ini kerana pada mula kita bekerja kita belum lagi mempunyai komotmen yang tinggi.

    Pada setiap tahun kita akan menerima kenaikan gaji dari majikan bukan. Apa salahnya kita ambil sebahagian dari kenaikan gaji kita untuk membuat potongan penyimpanan. Sekurangnya 50% hinggan 70% dari kenaikan gaji tahunan kita. Dan tanam dalam minda kita kenaikan gaji kita hanya bakinya sahaja. Pada tahun sebelumnya pendapatan kita mencukupi tapi dengan kenaikan gaji kita pendapatan kita jadi tidak mencukupi.

    Percayalah sekiranya apabila saudara mengamalkannya saudara akan merasakan nikmatnya selepas beberapa tahun. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi tentunya tidak memerlukan masa yang lama untuk saudara mencapai target simpanan bulanan yang saudara kehendaki seperti RM1,000 atau rm2,000 atau lebih setiap bulan. Apabila target telah dicapai gunakan lah semua sekali kenaikan gaji yang kita perolehi setiap tahun untuk keperluan saudara.

    Dengan kekuatan tunai yang kita ada sebenarnya boleh membuat banyak lagi tunai dan tunai dan… Percaya tak cuba fikirkan…

    Saya sebenarnya berasa rugi lambat memulakannya walaupun baru berkerja selama 6 tahun. Sepatutnya dari awal lagi telah saya lakukan perkara diatas.

  3. hadi Reply

    Bukan nak promosi tapi cuma nak beritahu….

    Bagi yang bercita-cita nak menjadi kaya carilah buku bertajuk “menjejaki jutawan senyap”. Bukan niat saya nak membelakangi saudara Sham tetapi saya juga telah membaca beberapa buku yang ditulis oleh Saudara Sham. Buku Menjejaki Jutawan Senyap merupakan buku yang boleh digunakan sebagai motivasi untuk menjadi kaya. Ianya hanyalah cerita tapi tidak di bukti dengan fakta. Dengan membaca buku Saudara Sham dan memahami konsep dan fakta yang sertakan tentunya saudara dapat menjadi seperti mereka yang diceritakan dalam buku bertajuk “Menjejaki Jutawan Senyap”.

    Konsep Manusia cari wang kemudian Wang Cari wang perlu dipratikkan…… Dan yang paling power Manusia dan wang berkerja sama mencari wang ha… ha…

    Wasalam

  4. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudara Muhammad Aimin Mikhail,

    Semoga Allah melimpahi dengan kebaikan yang datang mendadak dan memudahkan segala urusan dunia dan akhirat Saudara Mikhail dan juga sahabat saudara yang telah mencadangkan buku saya itu. Ya Allah perkenankan doaku ini.

    Saya bersyukur juga di atas ilmu yang Allah anugerahkan kepada saya yang dapat membantu saudara dan rakan saudara itu. Kirim salam saya padanya.

    Saya amat suka, gembira membaca entri saudara yang mengingatkan saya kepada Allah. Terima kasih. Saya juga amat gembira dan rasa rendah diri apabila saudara menyatakan kesyukuran di atas nikmat yang Allah berikan kepada para kakitangan awam dengan nikmat pencen. Tahniah kerana saudara di antara manusia yang mendapat nikmat ‘Iman’ dari Allah.

    Berusaha dan terus berusaha, yakinlah pertolongan Allah akan sampai.

  5. SifuPTS Reply

    Tuan-tuan pengunjung blog ini…

    Tidak semua orang mempunyai bakat hidup dengan membayar gaji kepada dirinya sendiri.

    Bagi mereka yang tidak mempunyai bakat berdiri sendiri, nasihat saya hiduplah dengan makan gaji sampai bersara. (Kebetulan saya berkahwin dengan lelaki seperti itu.)

    Saya memiliki saham dalam syarikat yang membayar gaji kepada hampir 70 orang. (Saya juga dibayar gaji RM3 ribu sebulan oleh syarikat ini).

    Saya berdoa moga-moga mereka akan terus berada bersama-sama saya, sebagai rakan seperjuangan saya, makan gaji dalam syarikat saya, sehingga mereka bersara.

    Saya beriltizam, nanti suatu hari mereka akan dapat membeli saham syarikat saya itu, dan sekaligus menjadi rakan-rakan kongsi saya.

    Banyak orang yang puas hati dan seronok makan gaji. Mereka hidup selesa, dapat membeli sedikit sebanyak harta, dan bahagia dengan gaji yang diterima. Mereka tidak dibebani dengan hutang.

    Orang yang mempunyai masalah hutang keliling pinggang bukan disebabkan mereka tidak cukup wang. Mereka mempunyai trait psikologi “tidak dapat hendak menangguhkan kepuasan”. Ia adalah sejenis penyakit.

  6. Shamsuddin Kadir Reply

    Terima Kasih kepada saudara Hadi yang terus sudi memberikan pandangan.

    Kaedah pengunaan duit kenaikan gaji yang ekstra itu adalah di antara yang terbaik untuk dipratikkan. Ianya memerlukan seseorang yang mampu menguasai ‘nafsu’ supaya tidak tergoda untuk merompak semua duit ekstra setiap kali menerima kenaikan gaji.

    Individu yang sudah ada matlamat yang jelas, sudah pasti dapat mempratikannya.

  7. Ainna Reply

    Assalamualaikum Tuan Shamsuddin!

    Saya bersetuju dengan pendapat sifuPTS bukan semua manusia mempunyai bakat untuk berdiri dengan sendirinya. Tuan Shamsuddin Kadir adalah salah seorang insan yang bertuah yang telah dianugerahkan oleh ALLAH s.w.t yang mempunyai bakat tersendiri. Teruskan lah perjuangan tuan untuk memajukan lagi umat islam dan sentiasalah bersyukur dengan anugerah tersebut ya Tuan.

    Hutang adalah penyakit kronik tetapi ramai yang suka mendekati virus penyakit tersebut. Orang yang selalu dijangkiti virus penyakit tersebut adalah orang yang kurang sifat kesabarannya dan tinggi dengan sifat tamak halabonya, yalah semuanya nak cepat …. nak cepat ada semua benda.. nak cepat kaya tetapi akhirnya ….

    Orang sebegini walaupun kita nampak kehidupannya mewah tetapi hatinya tidaklah tenang, hatinya tidak lah mewah … hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya.

    Marilah kita sama-sama bersyukur di atas apa yang kita ada dan berusahalah untuk memajukan diri kita, keluarga kita, jiran kita dan sahabat-sahabat kita. Ikutlah panduan seperti yang saudara Muhammad Aimin amalkan InshaALLAH hidup kita akan berjaya, tidak kiralah kita bertugas dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri. Panduan yang Tuan Shamsuddin Kadir berikan juga elok diikuti, sikit-sikit lama-lama InshaALLAH kita akan berjaya juga.

    Tidak semua orang yang kita nampak pada zahirnya mewah hatinya tenang dan tidak semua orang yang pada zahirnya kita nampak susah hatinya tidak tenang.

  8. Shamsuddin Kadir Reply

    Saya gembira juga mendapat pandangan daripada seorang Sifu yang pernah makan gaji dan kini seorang usahawan wanita yang berjaya.

    Saya membawa isu ini, supaya ianya dapat dibincangkan secara terbuka. Saya percaya masih ramai individu yang hidup makan gaji tertanya adakah mereka patut meneruskan makan gaji sehingga bersara. Jawapan yang diberikan oleh Puan Ainon membuka satu lagi dimensi dalam pemikiran kita.

    “Tidak semua orang mempunyai bakat hidup dengan membayar gaji kepada dirinya sendiri”

    Puan Sifu, bagaimana seseorang individu itu dapat mengetahui sama ada dia mempunyai bakat untuk berdiri sendiri?

    Adakah ketika seorang individu mula bekerja, ataupun selepas 10 tahun bekerja ataupun….

    Saya membuka kepada semua pengunjung dan juga Puan Ainon untuk memberikan pandangan.

    Semua pandangan Tuan dan Puan amatlah dihargai.

  9. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Puan Ainna,

    Semoga Allah sentiasa mengurniakan dengan limpahan rahmat sepanjang masa kepada Puan. Semoga Allah juga mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada Puan sekeluarga. Amin

    Baik sungguh hati Puan yang mengingatkan saya untuk berterima kasih pada Allah.

    Terima kasih di atas pandangan Puan yang amat bernas itu. Semoga ianya juga memberi panduan kepada kita semua terutama bagi individu yang terus hidup dengan makan gaji.

    Saya amat selesa dan gembira jika Puan terus menyumbangkan pandangan Puan bagi dikongsikan bersama di blog ini.

Leave a Reply to Ainna Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *