12 Feb 2008 Membebankan Diri Dengan Simbol Kekayaan

Mata yang rabun menyukarkan kita untuk melihat dengan jelas. Banyak masalah yang kita hadapi sepanjang masa. Silap langkah kita akan terjatuh ke  dalam longkang. Dapatkan cermin mata jika rabun  supaya kita dapat mengelakkan daripada bahaya yang berada di hadapan mata.

Begitu juga dalam kewangan, bagi individu ataupun keluarga yang tidak mendorong dirinya untuk menjadi celik kewangan terpaksa hidup dalam kumpulan ‘rabun kewangan’.

Orang yang rabun kewangan sentiasa hidup dibebani dengan masalah ‘duit’. Sama ada duit tidak cukup, hutang semakin bertambah, membeli barangan yang salah dan sebagainya.

Orang yang rabun kewangan suka membeli simbol-simbol kekayaan tetapi bukannya kekayaan itu sendiri. Ini yang menyebabkan mereka menangung bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Antara simbol-simbol kekayaan yang dibeli terutama oleh orang yang hidup makan gaji adalah seperti :

1. Susu bayi yang paling berjenama dan yang paling mahal

2. Jenama lampin pakai buang yang berjenama dan mahal

3. Kereta yang paling mahal yang bank boleh luluskan pinjaman

4. Rumah yang paling besar yang bank boleh luluskan pinjaman

5. Pemilikan kad-kad kredit yang bertaraf ‘Gold ataupun Platinum’ Dengan ‘credit limit’ berpuluh ribu.

6. Pakaian yang berjenama tersohor

7. Handphone dari model yang terkini dan termahal

8. Aksesori diri dari jenama yang diiklankan di kaca TV

9. Aksesori kereta dari jenama-jenama luar negara

10. Memasang penghawa dingin di setiap ruang di dalam rumah termasuk dapur dan bilik stor. 

11.  Membeli barangan yang dilihat menarik tetapi barangan itu bukannya satu keperluan

12.  Membeli hampir semua barangan dengan kad kredit, tetapi hanya membayar 5% pada setiap bulan, iaitu bayaran minimun.

13. Hantar anda masuk tadika yang berjenama tinggi dan ‘ada class’ – Tetapi apabila anak berumur 7 tahun, di hantar ke sekolah kebangsaan dan bukannya sekolah swasta yang ‘ada class’. Di tadika bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris, tetapi di sekolah kebangsaan bahasa pengantar dalam bahasa Melayu.

Dan banyak lagi simbol-simbol kekayaan yang anda lebih arif.

Simbol-simbol kekayaan seperti ini bukannya menambahkan kekayaan. Ianya hanya mengakibatkan kita menangung beban besar. Contohnya membeli kereta yang kita terpaksa membayar ansuran selama 9 tahun, mengakibatkan hidup  dibebani dengan ansuran, penyelengaraan, cukai jalan, insurans dan juga petrol.

Untuk mengurangkan ataupun membebaskan diri kita daripada bebanan yang tidak perlu adalah dengan mengelakkan daripada memiliki simbol-simbol kekayaan yang tidak perlu. Rendahkan gaya hidup kita.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

6 Responses

  1. 1
    Abu Afham 

    Salam.
    Mentor saya ini selalu mempunyai entri-entri yang menarik sehinggakan saya menjadikan blog ini sebagai satu blog yang WAJIB DIKUNJUNGI apabila saya melayari internet.

    Banyak perkara baru tentang dunia kewangan yang saya pelajari dalam blog ini. Cukup masa boleh buat E-Book seperti kata Tuan Osman.

  2. Salam,

    Terima kasih di atas sokongan dan pandangan Tuan Abu Afham.

    Banyak maklum balas yang saya terima supaya lebih banyak entri berkenaan dengan kewangan di blog ini. Banyak yang merasa bebanan sara hidup semakin menekan ‘jiwa’

    Bagus cadangan Tuan itu, insyaa-Allah saya akan usaha. Harap Tuan juga sudi memberi komen apabila ianya sudah siap nanti.

  3. 3
    SifuPTS 

    Tuan Shamsuddin,

    Saya pernah makan gaji kecil semasa baru berkhidmat dalam kerajaan, dan makan gaji besar semasa hampir meletakkan jawatan.

    Apabila saya sudah kaya, baru saya tahu, bagi orang makan gaji, apa yang mereka sangka “simbol kekayaan” sebenarnya bukan simbol kekayaan.

    Memang barang-barang itu mahal-mahal, seperti yang tuan tuliskan dalam entri tuan. Walaupun mahal, barang-barang itu bukan simbol kekayaan. Itu adalah “barang mahal”.

    Bagi orang yang tidak banyak duit, “barang mahal” adalah simbol kekayaan. Tetapi, “barang mahal” dapat dimiliki oleh orang yang tidak banyak duit sekalipun.

    Bagi orang yang banyak duit, semua barang-barang mahal itu bukan “simbol kekayaan”.

    “Simbol-simbol kekayaan” adalah perkara-perkara (bukan hanya benda-benda) yang memang tidak dapat dimiliki melainkan seseorang itu kaya.

    Jadi, kita sangat kasihan menonton tingkah laku orang yang yakin dia telah berjaya membeli “simbol-simbol kekayaan” sedangkan sebenarnya mereka cuma membeli barang-barang mahal!

  4. Puan Sifu,

    Kini saya lebih memahami kenapa ‘Barangan Mahal’ di sangkanya ‘Simbol Kekayaan’

    Mereka membeli barangan mahal bagi menyatakan mereka juga ada duit banyak, walaupun barangan itu dibeli secara hutang.

    Semoga Puan terus dapat menyumbangkan pandangan yang ‘amat berharga’ itu di halaman blog ini.

  5. Assalamualaikum En. Shamsuddin,

    Mesej tuan dalam entri ini dan entri yang lain juga sangat bagus. Memang perlu tuan menulis lebih banyak buku lagi tentang isu-isu begini untuk menyedarkan orang-orang lain yang belum lagi peka untuk membezakan ‘Barang Mahal’ dengan simbol kekayaan.

    Perkara-perkara ini amat penting di’tasak’ dalam minda orang-orang muda. Amat ngeri apabila kita melihat cara berbelanja kehidupan masa kini. Semuanya bagaikan berlumba2 menunjukkan siapa lagi ‘BESAR’.

  6. Waalaikummuslaam Puan Norlela,

    Terima kasih di atas pandangan dan sokongan Puan. Saya juga memerlukan pendapat, pengalaman Puan bagi memberikan input terbaik bagi setiap isu dan panduan dapat memberi manfaat kepada pembaca nanti.

    Kini budaya menunjuk-nunjuk semakin berleluasa, menjadi kenyataan seperti apa yang Al-Ghazali utarakan iaitu ‘nafsu’ yang paling BESAR.

Leave a Reply