Archive for March, 2008

Kenali Diri Anda Melalui Senarai Barangan

Anda boleh mengenali diri anda sama ada anda seorang yang merancang perbelanjaan ataupun sebaliknya. Terdapat banyak cara untuk kita sifat dan tabiat kita. Jika kita ingin melihat muka, kita boleh mengunakan cermin.

Bagaimana jika kita ingin melihat tabiat berbelanja kita? Cara paling mudah untuk melihatnya adalah dengan membuat semakan seperti berikut :

  • Kita membuat senarai sebelum masuk ataupun keluar pasaraya ?

Adakah kita membuat menyediakan senarai barangan yang diperlukan ketika dirumah ? Jika ya, ini bermakna kita merancang barangan yang benar-benar diperlukan.  Ketika di rumah kita dapat menilai dengan jelas tentang keperluan semasa kita, seperti barangan yang kehabisan stok.  Kita mampu mengenalpasti anggaran kos yang diperlukan. Ini bermakna kita dapat tentukan berapa jumlah duit yang perlu dibawa ataupun jumlah perbelanjaan yang akan dibuat mengunakan kad kredit. Apabila jumlah yang dianggarkan itu menepati bajet, kita akan mengunakan terus senarai tersebut, sebaliknya kita membuat beberapa pemotongan yang perlu.

Jika kita tidak menyediakan senarai sebelum ke pasaraya atau kedai, kita hanya balik dengan senarai yang telah disediakan oleh kaunter pembayaran.  Ini bererti kita mungkin terpengaruh oleh strategi pemasaran yang diatur oleh pasaraya sehingga menjadikan diri kita membeli barangan yang kita tidak perlukan. Apabila kita biarkan kaunter pembayaran yang menentukan jumlah senarai barangan yang kita perlu beli dan bayar, kita terdedah kepada pelbagai risiko. Ia juga menunjukkan, kita sebagai seorang yang tidak suka merancang perbelanjaan.

Mengikut Imam Al-Ghazali, nafsu adalah perkara yang paling besar di dalam dunia ini. Jika kita membiarkan nafsu kita sebebas-bebaskan ketika di pasaraya, sudah tentu banyak benda yang membazir kita beli. Banyak barangan yang diluar kemampuan kita ambil. Dengan menyediakan senarai, sebenarnya kita mengikat nafsu kita supaya ianya tidak bermaharajela tanpa ada kita sebagai Tuannya.

Menyediakan senarai sebelum ke pasaraya banyak kelebihan berbanding keluar dari pasaraya dengan memegang senarai bil yang membebankan.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Kad Kredit Adalah Keperluan Asas!

Setiap kali saya mengadakan kursus ataupun ceramah, ada peserta yang mengatakan “Kad kredit adalah satu keperluan dan ianya mesti di miliki”.

Apabila saya menanyakan kenapa ? Salah satu sebab yang diberikan adalah kerana tayar kereta botak dan tidak mempunyai duit untuk menukarkannya.  Jika dibiarkan tayar botak, akan membahayakan keselamatannya. Pandai pula mereka memikirkan tentang keselamatan di jalan raya. Tetapi adakah dengan membiarkan diri tidak ‘berduit’ bukan sahaja menyempitkan hidup bahkan membahayakan keselamatan diri.

Tanpa mempunyai duit yang mencukupi sebagai simpanan bagi kecemasan dan pelaburan :

  • Kita tidak mampu untuk menukar tayar kereta yang sudah haus (botak) dengan tayar yang baru

  • Kita tidak mampu memperbaharui cukai jalan dan Takaful

  • Kita tidak mampu mendapatkan rawatan berbayar apabila sakit

  • Kita tidak mampu menangung kos apabila kereta kita rosak

  • Kita tidak mampu menjelaskan kos yang timbul akibat musibah yang melanda

  • Kita tidak mampu mendapatkan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak

  • Kita tidak mampu untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi

  • Kita tidak mampu berbuat apa-apa melainkan ‘merungut’ dan menyalahkan kepada keadaan ataupun takdir

Apabila kita tidak ada duit simpanan, perkara yang tidak wajib menjadi wajib. Contohnya kad kredit. Ianya menjadi kewajipan bagi orang yang tiada duit. Ini bagi memastikan apabila musibah melanda, mereka dapat menyelesaikan masalah itu. Ianya hanya dapat menyelesaikan untuk sementara waktu sebelum ketua segala masalah datang menuntut bayaran.

Kad kredit adalah satu kemudahan bagi individu yang mempunyai wang simpanan yang mencukupi. Kad kredit digunakan untuk mendahului pembayaran sesuatu transaksi dan ianya akan dijelaskan sebaik sahaja menerima penyata daripada bank.

Pemilik kad kredit yang tertipu akan melihat dirinya layak mendapat beberapa perkhidmatan yang mereka sebenarnya tidak layak. Contohnya mendapat rawatan di hospital swasta dengan mengunakan kad kredit untuk dirinya ataupun pasangan. Seperti bagi melahirkan anak. Alasan mengunakan kad kredit kerana tidak ada duit untuk membayarnya. Ini bermakna ketika itu, anda belum layak untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Apa yang anda layak pada ketika itu adalah rawatan di hospital kerajaan.

Pastikan anda dapat membezakan antara mampu dengan layak. Apabila anda ada kad kredit anda layak mengunakannya, tetapi ianya tidak bermaksud anda mampu untuk membayar hutang yang dibuat dengan kad itu.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Kursus Dimensi Diri I Di FRIM

Alhamdulilah, kursus Dimensi Diri I telah berjaya dijalankan pada 24 Mac yang lalu di bilik Garcinia, FRIM, Kepong. Ini adalah kali ketiga saya memasuki Institut Kajian Perhutanan Malaysia (FRIM). Pemandangan dan suasana di dalam kawasannya memukau setiap mata yang memandang. Di penuhi oleh pokok-pokok hutan yang amat besar yang menghiasi sebahagian besar kawasan FRIM.

Terima kasih kepada Cik Ruziah dan Cik Nur Azani dari Pusat Sumber Manusia yang banyak memberi bantuan sepanjang program ini berlangsung.

Terima kasih juga kepada para peserta yang tidak putus-putus memberikan pandangan dan juga mengambil bahagian sehingga program ini berakhir.  Banyak juga perkara baru yang dapat saya pelajari daripada para peserta dari FRIM ini yang mempunyai pengalaman yang luas.

Melalui perbincangan awal dengan Cik Ruziah, berkemungkinan besar program ini akan diteruskan dalam siri II ataupun III.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Jaga Periuk Nasi!

Isu ini bukannya berlaku hanya pada zaman ini, bahkan ianya  wujud sejak manusia mula hidup berniaga dan makan gaji.  Jika di zaman kegemilangan umat manusia pada zaman dahulu adalah bertunjangkan kepada amanah dan kejujuran. Di zaman ini kebanyakan individu dibebani dengan kos sara hidup, oleh itu mereka mengutamakan masa depan pekerjaannya berbanding dengan maruahnya.

Apabila sesebuah organisasi dipenuhi dengan wargakerja yang ‘jaga periuk nasi’ segala tindakan yang melampau ataupun menyalahi peraturan tidak akan diambil tindakan, jika ianya dilakukan oleh pekerja atasan. Ini bagi memastikan pekerja bawahan tersebut tidak di ambil apa-apa tindakan oleh pekerja atasan ataupun ketua jabatannya itu.

Kualiti kebanyakan organisasi semakin menurun pada ketika ini, apabila sejumlah besar kakitangan mempunyai masalah dengan kewangan. Hutang yang keliling pinggan, wang gaji tidak dapat menampung kos harian, bla…bla… itu adalah sebahagian daripada komen yang diberikan oleh wargakerja.

Apabila kita tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi, kita tidak dapat fokus dengan pekerjaan kita. Kita juga mudah menjadi umpan bagi pekerja lain untuk mengambil kesempatan ke atas kekurangan kita. Ini yang banyak memberikan tekanan kepada kakitangan.

Salah satu daripada cara untuk meningkatkan prestasi sesebuah organisasi adalah dengan membebaskan kakitangannya daripada menjadi ‘takut’ kepada diri sendiri. Ini boleh di lakukan dengan mendidik kakitangan supaya bijak menguruskan wang gaji mereka.  Kurus Dimensi Diri adalah salah satu daripada penyelesaiannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Esok Kursus Dimensi Diri Di FRIM

Insyaa-Allah saya akan mengendalikan satu kursus Dimensi Diri I, untuk kakitangan Forest Research Institute Malaysia (FRIM) Esok.

Ini adalah program saya yang pertama di FRIM.  Saya mendapat jemputan daripada Puan Liza dan Cik Nur Azani. Terima kasih juga kepada Cik Rozita PTS yang memaklumkan kepada saya tentang undangan Puan Liza.

Program ini adalah program sehari. Insyaa-Allah saya akan memberikan impak ekstra dengan memasukkan 3 modul ekstra.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Didik Keluarga Urus Duit

Adalah menjadi keperluan bagi setiap individu untuk mendidik setiap ahli keluarganya celik kewangan. Tiada gunakan jika kita seorang sahaja ingin berjimat, manakalanya seluruh ahli keluarga kita yang lain itu, berbelanja seolah hari esok tidak akan wujud lagi.

Banyak peserta saya yang mengatakan, mereka mempunyai masalah dengan isteri yang suka berbelanja.

Mengikut kajian saya sendiri, bukan sahaja isteri, suami dan anak-anak adalah sama sahaja dalam tabiat berbelanja. Apa yang membezakan mereka adalah sejarah kehidupan mereka ketika kecil dan juga tahap pendidikan kewangan peribadi yang mereka terima. Apabila seseorang yang biasa dibesarkan dengan keadaan duit yang tidak mencukupi, dia akan tertedah kepada dua keadaan. Sama ada dia menjadi seseorang yang berjimat cermat ataupun yang boros, kerana tidak mahu lagi hidup dalam kesusahan.

Cara yang paling mudah bagi membuatkan setiap ahli keluarga kita termasuk dengan kita bijak menguruskan duit adalah dengan belajar tentang kewangan peribadi. Cara paling mudah adalah dengan membaca buku-buku kewangan dan artikel tentang kewangan peribadi. Melalui pembacaan ianya mengajar kita tentang adab-adab apabila ingin berbelanja. Contohnya, apabila ingin memasuki pasaraya, kita mengetahui bahawa kita perlu membawa senarai. Kita hanya membeli apa yang ada di dalam senarai dan sebagainya.

Semakin tinggi penguasaan ilmu kewangan ini menjadikan kita semakin susah untuk menghabiskan setiap ringgit yang kita ada. Kita menjadikan semua ahli keluarga kita sebagai akauntan dalam membuat keputusan bajet bulanan. Setiap ahli keluarga kita juga adalah auditor yang akan menjalankan audit pada setiap perbelanjaan yang dibuat oleh ahli keluarga yang lain. Ini mewujudkan sistem Check and Balance, di antara satu sama lain di bawah satu keluarga.

Semakin susah  untuk anda menghabiskan duit ‘gaji’ yang anda terima, semakin tenang fikiran anda pada setiap masa. Anda sudah tidak perlu memikirkan ke mana duit anda menghilang pada setiap bulan. Walaupun sudah berkerja selama 25 tahun, masih ada individu yang tidak mampu menentukan ke mana duitnya ghaib pada setiap bulan.

Mulakan dengan mendapatkan buku-buku dalam kewangan peribadi. Buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang adalah buku dalam siri kewangan peribadi.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Kepulangan Kekasih Ke Rahmatullah

Tok Guru Haji LohSemalam saya menerima sms bahawa Guru saya iaitu Tuan Haji Abdullah yang tinggal di Lubuk Tapah, Pasir Mas berada di dalam keadaan tenat.

Pada pagi ini saya menerima sms yang menyatakan kekasih saya itu telah selamat kembali ke Rahmatullah pada pukul 7.10 pagi tadi. Beliau meninggal pada 11 Rabiul Awal iaitu lebih kurang 12 jam sebelum tanggal 12 Rabiul awal iaitu hari ulangtahun keputeraan Nabi Muhammad (s.a.w) .

Terima kasih kepada sahabat saya Osman Affan yang membantu memasukkan gambar beliau di entri ini.

Semoga Allah menempatkan guru saya itu di dalam Syurga Firdaus, Amin.

Rabun Kewangan Mengundang ‘Petaka’

Seorang pekerja yang bernama Firdaus (bukan nama sebenar) pergi ke bilik pameran kereta bagi membeli sebuah kereta idaman. Selepas  berpuas hati dengan penerangan oleh jurujual dan memandu uji kereta itu, maka urusan penempahan bermula.

Firdaus membayar RM 1,000 untuk penempahan dan melantik jurujual tersebut bagi menguruskan pembiayaan bagi pembelian kereta tersebut. Beliau juga memberikan maklumat peribadi yang dikehendaki termasuk satu salinan Mykad untuk urusan yang berkaitan.

Beliau bersetuju dengan pelan ‘emas’ bagi  pembiayaan kereta tersebut iaitu,  pembiayaan sebanyak 95% daripada harga jualan dan tempoh pembayaran balik adalah 9 tahun. Pelan ini dapat memastikan dia hanya perlu keluar duit muka sebanyak 5% sahaja daripada harga kereta. Ia juga membantunya meringankan ansuran bulanan kepada bank.

Sebelum meninggalkan bilik pameran beliau berkata kepada jurujual “Dapatkan pembiayaan maksimun dan ambil tempoh yang paling maksimun”

Sehari kemudian, Firdaus dihubungi oleh jurujual tersebut mengatakan permohonan pembiayaan maksimun telah diluluskan dan beliau dikehendaki hadir menandatangani dokumen dengan bank.

Seminggu kemudian, jurujual tersebut menelefonnya ” Tuan Firdaus, kereta Tuan sudah sampai di pejabat kami, pukul berapa Tuan ingin datang mengambilnya?”

Firdaus menjawab ringkas “Sekarang, saya datang”

Dua tahun kemudian, dia sudah tidak selesa memandu kereta tersebut, apabila melihat ada model baru di pasaran. Apabila beliau menghubungi jurujual untuk ‘trade in’, beliau diberitahu bahawa beliau terpaksa membayar duit tambahan kepada bank kerana baki hutang dengan bank lebih tinggi daripada harga kereta tersebut dipasaran. Firdaus melupakan hasratnya itu. Beliau terus mengunakan kereta.

Genap ulang tahun kelima, keretanya mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang memerlukan kereta itu dihantar ke bengkel. Beberapa keping duit RM100 di hulurkan kepada juruwang bengkel tersebut. Selang beberapa bulan, Firdaus datang lagi, memberitahu penghawa dingin keretanya tiba-tiba tidak berfungsi. Pemilik bengkel memberitahunya bahawa kompressor penghawa dingin telah rosak, dan kos membaikinya adalah RM1,000 +++. Mata Firdaus tiba-tiba terbeliak, terkejut mendengar angka keramat itu. Jumlah sebenar tidak dapat ditentukan sehingga mekanik membuka satu persatu komponen penghawa dingin kereta tersebut.  Mekanik itu memaklumkan jumlah ke semua kos adalah RM 1,350.  Beliau hampir pengsan kerana tidak mempunyai duit sebanyak itu. Mindanya lantas terfikir tentang satu kad ajaib yang terdapat di dalam dompetnya. Akhirnya Firdaus menjelaskan bil itu dengan mengunakan kad kredit.

Dari hari itu, beliau tidak mampu untuk membayar balik kepada bank kerana telah mengunakan duit kad kredit sebanyak RM1,300.

Beliau menyesal kerana telah mengambil pinjaman maksimun untuk kereta tersebut dan juga mengambil tempoh maksimun. Ketika ini, beliau tidak tahu bila ansurannya akan berakhir. Keretanya keluar masuk workshop hampir setiap bulan.  Harga keretanya sudah jatuh merudum di pasaran akibat penawaran model-model yang bukan sahaja baru tetapi dilengkapi dengan teknologi terkini.

Jangan biarkan hidup kita juga ditimpa dengan bebanan seperti Firdaus yang sanggup menempuhi hidup dalam keadaan ‘rabun’. Rabun bukan sahaja bererti untuk mata yang kabur, ia juga bermaksud pemikiran yang cetek dalam hal berkaitan dengan kewangan.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Rahsia Bisnes Orang Islam

Tuhan telah menyediakan satu-satunya sistem yang dapat memastikan umat Islam terus maju sehingga ke hari kiamat. Sistem yang Allah telah turunkan sejak zaman nabi adalah berpaksikan kepada dua. Iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Fardhu Ain – Menekankan kepada setiap individu untuk menjadikan dirinya lebih baik daripada hari semalam. Di sini kita dapat melihat ‘quality improvement’ adalah ‘never ending story’ usaha yang tidak ada penghujungnya. Kualiti tidak ada hadnya. Seperti dalam kebanyakan peperangan yang dilalui oleh nabi kita, tentera Islam hanyalah dalam kuantiti yang amat sedikit tetapi dapat mengalahkan tentera musuh yang ramai. Di sini kita melihat kuantiti tidak memainkan peranan besar berbanding kualiti.

Ini bermakna, kewujudan masyarakat Islam yang ramai di Malaysia tidak dapat membuktikan kita dapat menguasai ekonomi negara ataupun bahagian masyarakat Islam itu sendiri. Ini berlaku kerana, kita pada ketika ini berhadapan dengan jumlah umat Islam yang ramai, tetapi hanya sedikit sahaja yang berkualiti.

Apakah kaedah yang boleh kita gunakan bagi meningkatkan kualiti umat Islam? Bentukkan diri kita mengaplikasikan semua Fardhu Ain. Betulkan sembahyang kita dengan mengetahui maksud semua bacaan wajib dan memastikan aktiviti kita bersamaan apa yang kita zahirkan dengan mulut dan hati ketika di dalam sembahyang.

Paksi bagi satu-satunya sistem yang menyelamatkan orang Islam adalah Fardhu Kifayah. Setiap individu selain daripada menjadi pemimpin yang hebat kepada dirinya sendiri, dia juga dapat memimpin, menyokong semua institusi Islam seperti masjid, bisnes orang Islam dan juga semua yang berkaitan dengan masyarakat Islam. Pada masa yang sama setiap individu itu tidak akan melupakan tanggungjawabnya untuk turut membantu orang yang bukan Islam yang memerlukan pertolongan.

Dengan mengaplikasikan kedua-dua paksi ini dalam setiap daripada individu, kejayaan pasti milik kita bersama.

Langkah pertama pada hari ini. Membantu peniaga, usahawan Islam dengan membeli daripada mereka untuk barangan keperluan harian. Basuh kereta, gunting rambut, servis kereta… semuanya diutamakan kepada saudara seagama kita, bagi memastikan keupayaan kita menguasai ekonomi masyarakat Islam itu sendiri.

Ada yang berkata “Ianya tidak akan menjadi jika saya seorang yang melakukannya” Jawapan anda itu betul, tetapi Allah tidak memberikan kita Pahala berdasarkan hasil yang kita perolehi, tetapi Allah memberikan kita ganjaran dan nikmat Syurga berdasarkan usaha kita.

Seperti burung pipit yang membawa air dengan menyimpan di dalam paruhnya untuk membantu memadamkan api yang sedang membakar Nabi Allah Ibrahim. Apabila diberitahu kepadanya bahawa usahanya itu sia-sia. Burung Pipit menjawab”Ini adalah usaha yang aku mampu lakukan” Kita dipersoalkan di akhirat tentang tanggungjawab mengaplikasikan Fardhu Kifayah.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Tazkhirah Jumaat : Satu Keluarga Satu Bisnes

Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah. Tuhan yang telah menjadikan kita sebagai makhluk ciptaannya yang terbaik, iaitu sebagai Manusia.

Satu Keluarga Satu Bisnes adalah tajuk bagi Tazkhirah Jumaat pada hari ini. Bagi memastikan ekonomi umat Islam sentiasa teguh dan kuat, setiap manusia tidak kira lelaki ataupun perempuan perlu memainkan peranan.

Bagi individu yang sudah bergelar suami dan isteri, perancangan bagi memiliki anak yang bukan sahaja baik dari segi zahir dan batin, bahkan juga sebagai pendokong kepada kemakmuran ekonomi umat Islam.

Bagi mencapai impian itu, setiap keluarga perlu melahirkan sekurang-kurangnya seorang anak yang melibatkan diri dalam bisnes. Ini dapat dijayakan apabila setiap ibubapa memainkan peranan dengan mendidik anak-anak untuk melibatkan diri dalam bidang bisnes sejak di bangku sekolah.

Langkah pertama bagi mendekati anak-anak dengan bisnes adalah dengan memberikan mereka pendedahan tentang duit. Apabila kanak-kanak memahami fungsi duit dan bagaimana untuk mendapatkan duit. Mereka menjadi semakin berminat untuk mencari duit. Ketika ini beri dorongan kepada mereka untuk memulakan bisnes.

Dengan mendedahkan semua anak-anak dengan dunia bisnes, Insyaa-Allah, kita dapat melihat anak mana yang amat berminat dengan bisnes. Teruskan bagi galakan positif kepada anak yang berminat dengan bisnes. Manakala bagi anak yang di dapati belum bersedia ataupun tiada minat untuk meneruskan, bagi dorongan untuk mereka membaca buku-buku dalam bidang pengurusan. Ini dapat menjadikan anak kita berjaya sama ada sebagai ahli bisnesman ataupun pengurus-pengurus syarikat dan di agensi awam yang berjaya.

Semakin ramai umat Islam yang menguasai ekonomi dan jawatan pengurusan, semakin banyak faedah yang dapat dirasai oleh masyarat Islam itu sendiri. Sumbangan, sadeqah, zakat, sokongan daripada anak-anak yang berjaya ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup masyarat Islam yang ditimpa kesusahan. Anak-anak ini juga sebagai tiang-tiang yang terus menyokong ekonomi umat Islam supaya tidak jatuh fakir ataupun merempat seperti berlaku di kebanyakan negara yang majoritinya adalah orang Islam yang miskin.

Dalam keghairahan kita menyambut tuntutan fardhu kifayah ini,  jangan kita abaikan perkara yang paling mustahak iaitu, dekati anak kita itu dengan Penciptanya iaitu Allah. Dengan iman yang kuat, sudah pasti anak-anak kita itu bebas daripada barah yang merosakan dan menghancurkan ekonomi orang Islam iaitu Rasuah, Penipuan dan Riba.

Kepada individu yang belum berumahtangga, anda semua juga boleh mengunakan peluang ini bagi meningkatkan taraf penguasaan ilmu kewangan dan bisnes yang dapat digunakan dalam kehidupan harian.

Memastikan segala keperluan umat Islam di sediakan oleh orang Islam adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam. Oleh itu marilah kita sama-sama membantu saudara seagama yang melibatkan diri dalam perniagaan yang halal untuk terus maju. Membantu yang di maksudkan adalah dengan menyumbang modal, idea, tenaga ataupun membeli di kedai mereka.

Di samping itu, Allah tidak membenarkan kita membuat perniagaan yang salah di sisi Islam. Ketika ini masih ramai manusia yang percaya kepada Allah  yang tidak menghiraukan larangan Allah ini.

Mulakan langkah pertama kita pada hari ini dengan menyuntik anak-anak kita dengan dunia bisnes yang halal.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Ke Mana Menghilangnya Duit Gaji Anda?

Setiap bulan persoalan ini timbul di dalam setiap minda individu yang belum berjaya menguruskan duit gajinya dengan bijak. Dari bulan ke bulan, anda akan terus dibebani dengan tekanan, kerisauan memikirkan ke mana duit anda menghilang.

Sudah pasti setiap individu rungsing apabila tidak mengetahui ke mana duitnya menghilang, kerana sudah pasti ada kos yang tidak dapat dibayarnya.

Anda sudah cuba mengurangkan perbelanjaan, tetapi duit gaji anda semuanya habis, tidak tahu ke mana ianya pergi. Ini berlaku apabila anda tidak mencatitkan segala perbelanjaan yang dibuat dari hari pertama anda mendapat duit gaji sehingga wang itu habis dibelanjakan. 

Walaupun anda menunggu sepuluh tahun, anda tidak dapat mencari puncanya tanpa menyelidikinya secara sistematik dan berterusan. Bebanan yang anda tanggung menjadi semakin berat apabila anda tidak mencari punca masalah itu secepat mungkin. Kos inflasi membuatkan hidup individu yang ‘rabun kewangan’ semakin parah.

Mulakan hari ini untuk mencatitkan setiap perbelanjaan yang dibuat sama ada di atas kertas, ataupun di dalam komputer. Masukkan data-data kos harian ke dalam fail excel dan sebagainya. Lihat kos yang berlaku untuk sebulan. Teruskan bulan seterusnya. Selepas beberapa bulan anda akan dapati, secara tidak sengajanya kos bulanan anda sudah berkurangan disebabkan arahan yang dihantar oleh otak.

Otak normal akan memberikan maklum balas pantas apabila ianya memproses setiap angka kos yang anda senaraikan pada setiap hari itu. Otak akan memberikan isyarat secara semulajadi tentang kos apa yang anda perlu kurangkan. Walau bagaimanapun otak yang tidak dilengkapi dengan ilmu kewangan tidak dapat membantu individu untuk menguruskan bebanan kos sara hidup dengan efektif.

Dengan mengetahui cara anda berbelanja setiap RM duit gaji itu, anda dapat mengenali diri anda yang sebenar. Sama ada anda seorang yang berjimat ataupun yang suka berbelanja melebihi daripada kemampuan sebenar. ‘Biar Papa asalkan Bergaya’

Teruskan mencatit setiap duit yang dibelanjakan dengan mencatitkan ke dalam buku ‘555’ ataupun ke dalam komputer anda. Dengan keizinan Tuhan, kita dapat melihat dengan sejelas-jelasnya ke mana duit kita itu menghilang.

Ianya juga sesuai dipratikkan oleh pelajar sekolah dan universiti bagi menguruskan duit poket harian, bulanan ataupun duit pinjaman PTPTN / biasiswa.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

Didik Anak Memulakan Bisnes

Mendidik anda memulakan bisnes sewaktu di peringkat persekolahan membantu anak menjadi berani, tidak malu dan yakin kepada kebolehan diri.

Anak-anak yang tidak ajar berniaga ketika dibangku sekolah atau universiti akan mempunyai banyak halangan untuk memulakan langkah pertama berniaga. Mengikut satu kajian, kebanyakan graduan yang memulakan bisnes adalah orang yang sudah ada kemahiran berniaga sewaktu di zaman persekolahan.

Mahasiswa yang takut dan tidak ingin menceburi bisnes sewaktu di universiti juga terpaksa menghadapi risiko lebih tinggi apabila tidak berjaya mendapat kerja selepas tamat belajar. Bagi graduan yang ada pengalaman berniaga tidak ad masalah untuk hidup berdikari walaupun tidak berjaya mendapat kerja. Pelajar yang ada pengalaman berniaga mempunyai 1 ekstra peluang. Iaitu talian hayat yang kedua. Jika usaha untuk mendapat kerja tidak berjaya, mereka boleh menceburi bidang perniagaan tanpa perlu menganggur.

Apakah jenis bisnes yang boleh diceburi oleh pelajar sekolah rendah ?

  • Jualan garaj – Menjual barangan terpakai seperti buku-buku terpakai. Ini dapat membantu ibubapa bagi mendapatkan buku bacaan untuk anak-anak mereka dengan harga tidak sampai 50 % harga asal buku tersebut.

Apakah jenis bisnes untuk pelajar sekolah menengah ?

  • Menjual nasi lemak sewaktu hujung minggu -Tahniah kepada seorang pelajar yang tanpa segan menjual nasi lemak biasa berdekatan dengan pintu Masjid Al- Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam.

Apakah jenis bisnes untuk pelajar universiti ? 

  • Tahniah kepada saudara Firdaus Arif yang berjinak dengan bisnes menjual buku pada waktu sebelum dan selepas sembahyang Jumaat di Masjid Wangsa Melati.

  • Menjual kad prepaid untuk para pelajar

  • Menjual nasi lemak “Nasi lemak…karipap…nasi goreng cina….teringat sewaktu di kampus bersama dengan sahabat karib Ebnu Farid”

Pastikan bisnes dilakukan di waktu lapang dan tidak menganggu dengan waktu kelas dan pengajian. Pilih jenis bisnes yang sesuai.

Pengalaman memulakan bisnes dapat digunakan bagi mencipta peluang. Ramai orang suka merebut peluang.  Jika bukan anda yang mencipta peluang bagaimana orang lain hendak mendapat peluang?

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Menjadi Insan Mulia Dengan Bersembahyang

“Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran.”

Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kita daripada keburukan dan kemungkaran.

Tanpa ‘Khusyuk’ iaitu fokus, sembahyang kita tidak dapat mencegah diri kita dari melakukan kemungkaran. Itu yang kita dapat lihat di mana ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari, tetapi masih menipu, mencuri, makan makanan yang tiada tanda halal yang sahih, meminta dan memberi rasuah, terlibat dengan instrumen kewangan yang haram.

Perkara yang  paling asas dalam memastikan sembahyang kita itu ‘Khusyuk’ adalah mengetahui maksud bacaan dalam sembahyang.  Apabila kita memahami maksudnya kita dapat menghayatinya.

Tanpa mengetahui maksud bagi setiap bacaan, minda, perasaan dan hati kita itu selalu bercelaru dan merayau-rayau umpama sebuah kapal tanpa nahkoda. Walaupun jasad kita berdiri teguh di atas tikar sembahyang, tetapi hati kita melayang entah ke mana.

Sembahyang orang yang lalai ialah sembahyang yang sempurna secara zahir iaitu pada pandangan orang lain terhadap kita. Tetapi hati tidak ikut serta di dalam sembahyang itu. Dari mula bersembahyang sehingga tamat, pelbagai perkara yang diingati, difikirkan. Ada yang memikirkan tentang ansuran kereta yang sudah tertunggak, ada yang memikirkan tentang rumah baru yang ingin dibeli dan sebagainya. Ini bermakna dari awal sembahyang sehingga akhir, hati tidak mengingati Allah. Ini adalah sembahyang yang dikategorikan sebagai sembahyang yang lalai.

“Neraka Wail bagi orang yang bersembahyang. Yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya” Ayat Al-Maa’un: 4-5.

Pratik yang terbaik bagi mencapai ‘Khusyuk’ dalam sembahyang adalah dengan kita belajar memahami maksud setiap ayat yang dibaca.

Ketika mulut menyebut Allahhu Akbar, iaitu  memuji  kebesaran Allah, hati juga turut serta mengiakannya. Ketika mulut sedang menyebut “Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin” hati dan seluruh jiwa juga turut mengiakan bahawa sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah.

  • Bagaimana jiwa kita dapat mengiakan, jika tujuan utama kita hidup adalah untuk menjadi kaya dan senang walaupun mengikut jalan yang haram seperti rasuah ?

  • Bagaimana kita dapat mengatakan hidup kita hanya untuk beribadah kepada Allah, sedangkan kita tidak mencari makanan yang sah halal seperti yang ada tanda Halal Jakim yang sah?

  • Bagaimana kita mengatakan hidup kita semata-mata untuk Allah tetapi kita tidak memastikan semua urusan hidup, kita memberi sokongan kepada peniaga-peniaga yang beragama Islam? Contohnya dengan membeli di kedai runcit yang dimiliki oleh orang Islam seperti yang dikehendaki di bawah Fardhu Kifayah.

  • Bagaimana kita mengatakan mati kita hanya semata-mata untuk Allah, sedangkan kita tidak jarang mengingati mati dan tidak pernah bersedia untuk menghadapi ‘hari berkabung’ iaitu hari kita mati?

Insyaa-Allah kita akan sambung dengan maksud terjemahan Al-Fatihah, supaya kita dapat lebih memahaminya dan dapat mencapai sembahyang yang diterima oleh Allah, insyaa-Allah. Kita juga mengharapkan sembahyang kita itu menjadi pencegah kepada segala yang dilarang oleh Allah.

Sementara Allah belum memanggil kita ke alam barzakh, gunakan kesempatan yang masih ada untuk meningkatkan kualiti sembahyang kita.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Bedah Siasat Kereta Kita!

Kali ini kita akan membuat satu bedah siasat tentang kereta yang kita miliki pada ketika ini.  Saudara/i yang dihormati, sila dapatkan sekeping kertas dan satu pen bagi latihan pada hari ini.

Jika sebelum ini kita merekodkan segala perbelanjaan dan ansuran bulanan yang kita perlu tanggung pada setiap bulan. Pada hari ini, kita hanya mengambil salah satu daripada kos yang kita perlu tanggung berkaitan dengan kenderaan untuk membawa kita ke tempat kerja dan semua destinasi lain.

Kita mulakan dengan menyenaraikan informasi yang terlintas di minda kita, supaya ianya mendorong kita untuk mencungkil lebih banyak rahsia tentang kereta kita itu.

Contohnya

1. Jenis Kereta – Proton Wira 1.5 A

2. Harga Beli – RM 51,000

3. D/payment – RM 5,000

4. Tahun beli – 2000

5. Tempoh Pinjaman – RM 46,000  

6. Tempoh Pinjaman – 9 Tahun

7. Kadar Bank – 4.5 %

8. Ansuran Bulanan – RM 580

9. Takaful dan Cukai Jalan – RM                [Setahun sekali ]

10. Servis Kereta – RM                                [minor & major]

11. Tayar dan Bateri – RM                           [1 tahun / 2 tahun sekali]

12. Minor Accident – RM                              [Touch up dan lain-lain]

13. Petrol bulanan  – RM                              [Bergantung kepada harga minyak semasa]

14. Kerosakan mengejut -RM                      [cth : Penghawa dingin - tiba2 tak berfungsi]

15. Sila isi dalam komen…Apa lagi yang belum dimasukkan?

Informasi asas tentang kereta.

1. Mulai tahun kelima, kos penyelengaraan kereta semakin tinggi, disebabkan ada bahagian-bahagian dalam kereta yang perlu ditukar baru. Kerana sudah rosak ataupun mencapai masa yang perlu ditukar ‘useful life’. Ada yang berkata, penyelengaraan kereta saya sama tinggi dengan ansuran bulanan ke bank.

2. Nilai kereta semakin susut dari hari pertama anda memilikinya. Ini bermaksud jika anda ingin menjualkannya sebelum pinjaman tamat, anda berkemungkinan terpaksa membayar balik kepada bank kerana jumlah hutang lebih tinggi daripada harga jualan kereta itu.

3. Prestasi kereta sudah tidak sama dengan ketika membelinya 8 tahun lepas. Ini bererti jumlah pengunaan minyak semakin bertambah dari masa ke semasa.

Berdasarkan maklumat di atas, 

1. Kira jumlah yang  perlu saudara/i keluarkan pada setiap bulan bagi kereta yang di miliki oleh saudara/i itu.

2. Kira jumlah sebenar harga kereta yang saudara/i beli itu. Iaitu dengan menjumlahkan semua ansuran yang saudara/i perlu bayar kepada bank di tambah dengan wang down payment yang dibayar ketika membelinya dahulu.

3. Bandingkan dengan harga kereta pada waktu anda membelinya. Di sini anda dapat melihat berapa kos ekstra yang anda perlu tanggung daripada mengambil pinjaman dengan bank. 

4. Bandingkan jawapan yang diperolehi di soalan no. 2 itu dengan  harga kereta pada hari ini. Anda boleh lihat sendiri berapa banyak duit yang anda cari itu yang telah hangus di makan oleh susut nilai.

Cukup untuk 4 soalan bagi latihan untuk hari ini.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008 

Masa Untuk Berubah!

Kita mampu berubah, selagi kita masih bernafas dan mampu untuk menguruskan kehidupan harian. Jika ketika ini kita sudah membelanja semua wang gaji bulanan, gunakan peluang iaitu masa yang Tuhan masih peruntukan untuk kita bagi membuat perubahan. Ya, membuat perubahan dalam kontek kita mengendalikan perbelanjaan harian kita.

Selagi kita tidak membuat perubahan, selagi itu belenggu bebanan menghempap kepala kita. Kita hanya tahu had maksimun otak kita dapat menerima tekanan apabila sesuatu yang tidak baik itu terjadi kepada kita. Itu adalah kaedah yang paling tidak baik bagi mengenali diri kita. Kita mungkin sudah tiada lagi di dunia ini, apabila menerima tamparan hebat melalui bebanan komitmen hutang yang semakin tidak terkawal.

Apa yang perlu kita buat, jika ketika ini kita tidak pernah membuat pengiraan tentang aliran wang masuk dan keluar apda setiap bulan. Dapatkan sehelai kertas kosong, tuliskan di sebelah kiri semua kos yang perlu tanggung. Senaraikan juga hutang ansuran yang anda perlu bayar pada setiap bulan. Jangan lupa untuk menyenaraikan cukai jalan, Takaful(insurans), kos penyelenggaraan, yuran anak sekolah, cukai pintu dan sebagainya. Kos yang berlaku setahun sekali perlu disenaraikan juga.

Selepas sudah menyenaraikan semua kos dan komitmen bulanan, masukkan jumlah kos yang perlu ditanggung pada setiap bulan di sebelah kanan.

Contohnya:

1.  Ansuran Kereta                RM 700

2.  Ansuran Rumah               RM 920

3. Cukai Jalan & Takaful     RM 100 [ RM 1,200/12]

4. Belanja Dapur                  RM 350

5. Petrol                                RM250

Teruskan menulis…

Jumlahkan semua kos yang anda perlu tanggung pada setiap bulan itu. Andaikan gaji anda RM 2,000.  Jumlah kos bulanan anda adalah RM 1,800. Jumlah perbelanjaan bulanan anda adalah [RM1,800/RM2,000] X 100 = 90% ini bererti anda sudah berbelanja di luar kemampuan. Jumlah yang anda boleh belanja adalah 70% iaitu RM1,400 sahaja. Gunakan peluang ini untuk berfikir tentang kos apa yang anda boleh kurangkan ataupun buang terus. Ini bererti kos itu sudah berkurangan ataupun anda sudah tidak perlu menangungnya lagi. Jika sebelum ini anda menjadi ahli kelab yang tidak begitu bermakna kepada anda, mungkin anda perlu hentikan supaya anda tidak perlu membayar yuran pada setiap bulan ataupun tahunan.

Kurangkan…kurangkan…terus kerungkan sehingga anda mendapat angka 70% bagi jumlah kos bulanan anda.

Selamat menyenaraikan kos anda. Lakukan sekarang…Berapa peratus yang anda dapat?

Opss 130%! Sabar…walaupun ianya telah melebihi daripada gaji anda, masih ada peluang untuk anda membebaskan diri daripada ‘musibah’. Jika anda tidak melakukan perubahan hari ini bagi membebaskan diri daripada tekanan, bila anda rasa anda akan lakukan?

Hutang… Jika anda tidak berlawan dengannya, anda kekal menangung bebanan sepanjang hayat.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com
Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008