Rabun Kewangan Mengundang ‘Petaka’

Seorang pekerja yang bernama Firdaus (bukan nama sebenar) pergi ke bilik pameran kereta bagi membeli sebuah kereta idaman. Selepas  berpuas hati dengan penerangan oleh jurujual dan memandu uji kereta itu, maka urusan penempahan bermula.

Firdaus membayar RM 1,000 untuk penempahan dan melantik jurujual tersebut bagi menguruskan pembiayaan bagi pembelian kereta tersebut. Beliau juga memberikan maklumat peribadi yang dikehendaki termasuk satu salinan Mykad untuk urusan yang berkaitan.

Beliau bersetuju dengan pelan ’emas’ bagi  pembiayaan kereta tersebut iaitu,  pembiayaan sebanyak 95% daripada harga jualan dan tempoh pembayaran balik adalah 9 tahun. Pelan ini dapat memastikan dia hanya perlu keluar duit muka sebanyak 5% sahaja daripada harga kereta. Ia juga membantunya meringankan ansuran bulanan kepada bank.

Sebelum meninggalkan bilik pameran beliau berkata kepada jurujual “Dapatkan pembiayaan maksimun dan ambil tempoh yang paling maksimun”

Sehari kemudian, Firdaus dihubungi oleh jurujual tersebut mengatakan permohonan pembiayaan maksimun telah diluluskan dan beliau dikehendaki hadir menandatangani dokumen dengan bank.

Seminggu kemudian, jurujual tersebut menelefonnya ” Tuan Firdaus, kereta Tuan sudah sampai di pejabat kami, pukul berapa Tuan ingin datang mengambilnya?”

Firdaus menjawab ringkas “Sekarang, saya datang”

Dua tahun kemudian, dia sudah tidak selesa memandu kereta tersebut, apabila melihat ada model baru di pasaran. Apabila beliau menghubungi jurujual untuk ‘trade in’, beliau diberitahu bahawa beliau terpaksa membayar duit tambahan kepada bank kerana baki hutang dengan bank lebih tinggi daripada harga kereta tersebut dipasaran. Firdaus melupakan hasratnya itu. Beliau terus mengunakan kereta.

Genap ulang tahun kelima, keretanya mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang memerlukan kereta itu dihantar ke bengkel. Beberapa keping duit RM100 di hulurkan kepada juruwang bengkel tersebut. Selang beberapa bulan, Firdaus datang lagi, memberitahu penghawa dingin keretanya tiba-tiba tidak berfungsi. Pemilik bengkel memberitahunya bahawa kompressor penghawa dingin telah rosak, dan kos membaikinya adalah RM1,000 +++. Mata Firdaus tiba-tiba terbeliak, terkejut mendengar angka keramat itu. Jumlah sebenar tidak dapat ditentukan sehingga mekanik membuka satu persatu komponen penghawa dingin kereta tersebut.  Mekanik itu memaklumkan jumlah ke semua kos adalah RM 1,350.  Beliau hampir pengsan kerana tidak mempunyai duit sebanyak itu. Mindanya lantas terfikir tentang satu kad ajaib yang terdapat di dalam dompetnya. Akhirnya Firdaus menjelaskan bil itu dengan mengunakan kad kredit.

Dari hari itu, beliau tidak mampu untuk membayar balik kepada bank kerana telah mengunakan duit kad kredit sebanyak RM1,300.

Beliau menyesal kerana telah mengambil pinjaman maksimun untuk kereta tersebut dan juga mengambil tempoh maksimun. Ketika ini, beliau tidak tahu bila ansurannya akan berakhir. Keretanya keluar masuk workshop hampir setiap bulan.  Harga keretanya sudah jatuh merudum di pasaran akibat penawaran model-model yang bukan sahaja baru tetapi dilengkapi dengan teknologi terkini.

Jangan biarkan hidup kita juga ditimpa dengan bebanan seperti Firdaus yang sanggup menempuhi hidup dalam keadaan ‘rabun’. Rabun bukan sahaja bererti untuk mata yang kabur, ia juga bermaksud pemikiran yang cetek dalam hal berkaitan dengan kewangan.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

2 comments on “Rabun Kewangan Mengundang ‘Petaka’”

  1. Husaini Hussein Reply

    Ya Allah, Ya Tuhanku,
    Hindarilah diri hambaMu dari tergolong dalam golongan orang-orang yang rabun kewangan. Berilah petunjuk dan hidayahMu kepada diriku dan juga insan-insan disekelilingku. Kurniakanlah kesihatan yang baik, idea yang bernas buat mentorku, Tuan Shamsuddin Kadir agar beliau dapat terus berjuang memulihkan rabun (kewangan) yang menimpa sebilangan umat Islam masa kini. Tetapkan hati kami dijalanMu Ya Rabbi….

    Moga kami dapat bangkit dengan ekonomi Islam yang mantap! Ameen.

  2. Shamsuddin Kadir Reply

    Ya Allah perkenankan doa Saudara Husaini itu (Ameen)

    Ya Allah, Kurniakan kepada semua pelawat termasuk Saudara Husaini ilmu yang berguna dalam bidang kewangan supaya mereka tidak akan tertipu ataupun terperangkap dengan bebanan hutang yang tidak perlu sampai bila hari kiamat.

    Lindungilah kami daripada segala tipu muslihat kewangan yang ada di luar sana.

    Ya Allah rapatkan saf semua umat Islam agar ekonomi masyarakat Islam akan dikuasai oleh orang Islam kembali.

Leave a Reply to Husaini Hussein Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *