Archive for May, 2008

Dimensi Muslim : Antara Yang Murah dan Mahal

Pada hari Rabu yang lalu saya ingin membeli  sejenis ubat yang telah habis dalam stok di rumah. Setiap sepapan tablet mengandungi 20 biji ubat. Saya bercadang untuk membeli 2 papan ubat tersebut. Saya pernah ke kedai farmasi yang dimiliki seorang muslim bagi membeli ubat tersebut, tetapi kedai tersebut tidak menjualnya. Saya menyarannya untuk mendapatkan ubat itu, sebab saya akan menjadi pelanggannya pada setiap masa. Pelayan pada ketika itu berkata “Kami hanya menjual ubat dari jenis yang satu lagi”. Saya berkata bahawa saya hanya berminat dengan ubat yang berjenama ‘XYZ’ sahaja. Penjual itu hanya mengelengkan kepalanya. Saya terus beredar.

Mulai dari saat itu saya pergi ke farmasi lain bagi mendapatkan ubat yang berjenama XYZ. Selang beberapa bulan saya pergi lagi ke farmasi muslim itu, tetapi mereka masih tidak menjualkannya. Oleh itu, saya terus mendapatkan bekalan daripada farmasi yang berdekatan sehingga kelmarin. Pada petang Rabu yang lalu, saya pergi kembali ke farmasi Muslim dan saya menanyakan tentang ubat tersebut. Alangkah gembiranya saya apabila mereka sudah mula menjualkannya. Saya bertanyakan harga bagi sepapan, mereka memberitahu RM 6.90, waw, mahalnya di dalam hati saya. Jika sebelum ini saya membelinya dengan harga RM 5.40 untuk sepapan dan bagi 2 papan hanya RM 10.80.

Saya memberitahunya saya memerlukan dua papan dan berharap harganya dapat dikurangkan (diskaun). Pelayan farmasi muslim itu melihat saya dengan muka yang terkejut (kerana meminta diskaun) lalu menawarkan pada harga RM6.50. Saya membayarnya RM13 untuk dua papan ubat XYZ.

Jika dahulu saya membayar RM 10.80 untuk 2 papan ubat XYZ, kini saya membayar RM 13.00 untuk dua papan ubat XYZ yang sama, yang membezakan hanya dari farmasi yang berbeza. Hati saya merasa puas dan tenang, walaupun saya terpaksa membayar ekstra RM 2.20, kerana saya dapat membantu saudara muslim lain mengusahakan bisnes farmasi. Ini adalah langkah pertama saya dalam membantu farmasi muslim itu.

Persoalan di sini : Ramai yang bertanya saya apakah rasionalnya, jika hanya kita seorang yang menyokong rangkaian bisnes muslim? Jawapan saya : Ketika Nabi Ibrahim a.s sedang dibakar, burung pipit berulang alik membawa air di paruhnya bagi membantu memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim. Apabila burung yang lebih besar berkata bahawa usahanya itu adalah sia-sia, kerana dengan air sedikit itu tidak mampu memadamkan api yang besar itu, burung pipit itu berkata “Ini adalah usaha yang yang aku mampu lakukan”

Allah tidak memberi pahala berdasarkan hasil yang kita kecapi, tetapi Allah memberikan pembalasan baik berdasarkan apa yang kita usahakan, walaupun usaha itu gagal mencapai matlamat yang kita inginkan.

Insyaa-Allah saya akan  menyampaikan Tazkirah Kewangan pada setiap pagi Ahad (kuliah subuh) minggu ketiga di Masjid TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Dilema Pekerja : Hutang 15 KAD KREDIT

Pada hujung minggu lepas, saya minum petang bersama seorang daripada sifu saya iaitu Encik Yim Choong Chow ‘Business Coach’, di Subang Jaya berdekatan dengan kediamannya.

Sewaktu berbincang tentang isu kewangan semasa, beliau memberitahu bahawa ada seorang wanita bekerjaya yang sudah lewat usia mengadu kepada beliau. Wanita ini memberitahu gaji yang diterimanya iaitu RM2,800 tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup bulanan.

Apabila ditanya apakah pekerjaan suaminya, beliau memberitahu bahawa suaminya sudah pencen wajib dengan jawatan terakhir di pejabat kerajaan adalah ketua kerani. Apabila suaminya pencen, mereka melancong ke luar negara bagi meraihkannya mengunakan duit simpanan suaminya di dalam KWSP (duit sewaktu bekerja dengan swasta) dan juga duit gratuiti yang diterima sewaktu mula melangkah ke dunia persaraan. Apabila kembali semua duit yang ada di dalam simpanan semuanya habis dibelanjakan bagi menampung kos di luar negara dan juga hadiah untuk saudara mara.

Kini, suaminya menjadi pesara sepenuh masa dan hanya mengambil elaun pencen ‘yang tidak seberapa’ itu pada setiap bulan. Semua wang pencen bulanan suaminya itu digunakan sebagai duit poket bulanan untuk suaminya menghabiskan ’sisa-sisa’ kehidupan.

Selepas balik dari bercuti diluar negara, keluarga ini ditimpa musibah yang amat besar, iaitu bebanan hutang daripada 15 kad kredit yang berjumlah lebih dari RM30,000. Kini wanita itu tidak dapat menampung kos sara hidup mereka, apabila satu sumber pendapatan sudah tertutup (apabila suaminya pencen). Dengan wang gaji RM2,800 beliau perlu membayar ansuran kereta wiranya RM600 sebulan dan sewa rumah RM 800 sebulan. Beliau juga perlu membayar sekurang-kurangnya RM1,500 untuk bayaran minimun bagi semua kad kredit yang dimilikinya itu. Daripada tiga kos di atas sahaja beliau perlu menangung RM2,900 iaitu melebihi daripada pendapatan bulanannya. Itu belum termasuk belanja dapur, petrol, bil elektrik, telefon, dan sebagainya.

Beliau benar-benar tertekan dan meminta nasihat. Apabila sifu saya menasihatinya supaya

  • menukarkan kereta wira kepada kereta kancil ataupun motor, wanita itu mengatakan “Tidak boleh”

  • berpindah ke rumah kos rendah yang sewanya RM400 ke bawah, wanita itu menjawab “Tidak boleh”

  • suaminya mengajar tuisyen di rumah, yang sekurang-kurangnya dapat membawa masuk RM1,000 sebulan, wanita itu menjawab “Tidak boleh”

  • suaminya mencari kerja bagi mengurangkan bebanan, wanita itu menjawab “Tidak boleh”

Sifu saya memberitahunya “Jika semuanya tidak boleh, tiada apa yang saya boleh bantu, kerana anda sendiri tidak sudi untuk membantu diri anda”

Bayangkan saudara/i, dengan mempunyai masalah yang banyak itu, beliau masih ingin hidup bergaya (malu untuk berhadapan dengan realiti).

Insyaa-Allah saya akan ke udara lagi di radio 24 (93.9fm) bagi segmen bicara kad kredit pada 31 Mei 2008 (Sabtu)  5.00 - 6.00 petang. Kepada sesiapa yang ada kelapangan dan ingin mengikutinya sila tunekan saluran radio anda ke 93.9 Radio 24, Sebenar dan Semasa.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Pesta Pekerja Datang Lagi

Seperti biasa setiap bulan setiap kakitangan menuai hasil yang diusahakan selama sebulan. Pada penghujung bulan mulai 22 hingga 30/31 haribulan adalah antara hari yang paling menyeronokkan bagi hampir setiap individu yang makan gaji.

Adakah kita masih tidak menyediakan senarai bagi segala kos yang akan dibelanjakan dengan mengunakan duit gaji yang sudah dan akan diterima pada minggu ini?

Adakah kita masih membiarkan kaedah lama terus menguasai cara kita menghabiskan duit gaji?

Tidak kira apa kaedah yang kita pilih, yang akan merasa kesannya adalah diri kita sekeluarga dan bukannya orang lain. Sebaiknya cuba senaraikan kos yang kita akan bayar mengunakan duit gaji kita pada bulan ini. Contohnya:

1. Tabung Simpanan RM 300

2. Ansuran Kereta RM 700

3. Ansuran Rumah RM 900

4. Kad Kredit 1 RM 200

5. Kad Kredit 2 RM 150

6. Pinjaman Peribadi ‘Personal Loan’ RM 300

7. Petrol RM 250

8. Belanja Dapur RM 400

9. Duit Poket (suami & isteri) RM 300

10. Belanja Anak (Susu, Lampin,….) RM 280

11. Duit Poket (ibubapa) RM 200

12. Bil Air, Elektrik, Telefon + ‘Astro’ RM 300

Jumlah perbelanjaan yang dirancang RM 4,080

Gaji bersih bulanan adalah RM 3,400.

Ada defisit sebanyak RM680. Ada beberapa kos yang berlaku perlu dicantas, supaya ianya berkurangan. Pengurangan ini perlu dilakukan pada setiap bulan sehingga jumlah belanja bulanan kita tidak lebih daripada RM 2,380 jika gaji bersih yang diterima adalah rm3,400.

Untuk makluman, senarai di atas adalah tidak lengkap ada beberapa lagi kos yang belum dimasukkan. Apabila anda membuat senarai tersebut, buat senarai  yang mengikut kos yang anda perlu tanggung.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Dimensi Muslim : Mencipta dan Membuka Peluang

Semoga Allah senantiasa mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada saudara/i dan dilindungi daripada segala kejahatan yang ada di dalam dunia ini, Ya Allah perkenankan doaku ini. Amin.

Jika kebanyakan bisnes barat bergantung kepada keupayaan mencipta peluang, bagi memastikan mereka dapat menembusi pasaran, ianya sedikit berbeza dengan bisnes muslim. Apabila setiap muslim mempratikkan setiap apa yang dituntut melalui ‘Fardhu Kifayah’, secara terang-terangan ianya dapat mencipta dan membuka 1001 peluang kepada setiap muslim yang ingin menceburi dan berjaya dalam bisnes.

Kejayaan setiap ahli bisnes muslim tidak hanya bergantung kepada kepandaiaannya menguruskan bisnes, tetapi secara majoritinya bergantung kepada pelanggannya. Apabila setiap individu berusaha menjadi seorang individu muslim yang super, sudah pasti tiada lagi alasan kenapa ahli perniagaan muslim tidak dapat berjaya.

Apakah ciri seorang individu yang memiliki ciri muslim super, iaitu ciri muslim yang dituntut oleh Pencipta manusia iaitu Allah?

  • Memenuhi Fardhu Ain

  • Memenuhi Fardhu Kifayah

Seseorang Muslim yang menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung di dalam Fardhu Ain, menjadikan dirinya seorang yang jujur dan amanah. Ini sudah memastikan beliau tidak akan menipu, mengkhianati ataupun melakukan sesuatu dengan niat untuk merugikan orang lain.

Apabila seorang muslim yang mempunyai ciri itu melengkapkan dirinya dengan menjalankan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam ‘Fardhu Kifayah’, maka beliau akan memastikan setiap aktivitinya adalah memberikan kebaikan yang paling maksimun kepada individu muslim lain.

Contoh yang paling mudah adalah, apabila seseorang muslim itu merasai akan nikmat yang diberikan oleh Penciptanya, beliau akan memastikan setiap perbuatannya adalah menepati Fardhu Ain dan Kifayah. Apabila ingin membeli barangan keperluan harian, beliau akan mengutamakan kedai yang dimiliki oleh saudara seagamanya (orang Islam itu adalah bersaudara). Apabila membeli barangan, beliau juga memastikan barangan itu terdapat tanda halal yang diiktiraf (Jika di Malaysia, tanda halal Jakim). Apabila ingin membeli kereta buatan luar negara, beliau akan membeli dengan jurujual muslim supaya komisen yang diterima oleh jurujual muslim itu dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan dirinya yang menjadi sebahagian daripada masyarakat Islam.

Apabila di lihat di dalam kontek negara Malaysia, masyarakat Muslim dapat hidup dan berdiri tanpa bergantung kepada kumpulan masyarakat lain. Apabila setiap orang Islam itu mula mempratikkan tuntutan Fardhu Kifayah, timbulnya keperluan mendadak dalam masyarakat bagi mengadakan lebih banyak pasaraya muslim, bengkel kereta muslim, kedai roti dan kek muslim, stesyen minyak muslim, dan banyak lagi… Ini dengan sendirinya membuka peluang kepada individu ataupun syarikat yang dimiliki orang muslim untuk menguasai pasaran lebih daripada 10 juta masyarakat muslim di Malaysia.

Tuhan Allah yang menciptakan manusia, turut menciptakan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah bagi menyenangkan setiap muslim untuk hidup dengan tenang dan bahagia tanpa perlu bergantung kepada masyarakat yang belum mengenali Allah.

Menjadi muslim super adalah impian bagi setiap manusia yang mensyukuri nikmat Allah yang telah menjadikan mereka manusia dan bukannya makhluk lain yang ada di sekeliling kita.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Mengurus Wang Gaji : Cara yang paling praktikal

Terdapat pelbagai cara yang dipraktikkan oleh pekerja dalam menguruskan wang gaji yang diterima pada setiap bulan. Satu sistem yang paling diminati oleh pekerja adalah dengan membiarkan mesin ATM yang menentukan berapa yang mereka boleh keluarkan. Apabila duit di dalam akaun menunjukkan baki kurang dari RM50, maka perbelanjaan untuk bulan itu sudah berakhir.

Ada pekerja sehingga mencapai umur bersara masih belum mengetahui bagaimana kaedah menguruskan wang gaji yang selamat. Saya pernah bertemu dengan seorang pesara yang sudah berumur lewat 60an yang tidak mengetahui ke mana duit gajinya hilang pada setiap bulan sewaktu masih bekerja. Beliau hanya memahaminya setelah mengikuti Tazkhirah Kewangan di Masjid Seksyen 24, Shah Alam.

Bukan sahaja duit gaji sahaja yang perlu diurus, duit poket, biasiswa, pinjaman semuanya perlu diuruskan dengan mengunakan kaedah yang dapat menyelamatkan kita dari terlebih berbelanja ataupun duit itu habis terlebih dahulu.

Saya menjemput saudara/i bagi memberikan pandangan tentang saudara/i menguruskan wang gaji/duit poket yang diterima pada setiap bulan. Pada masa yang sama, apakah cara yang paling terbaik untuk menguruskan wang?

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Diari SK: Ceramah Bisnes, Minda & Kewangan

Insyaa-Allah saya bersama-sama beberapa penulis akan menjayakan program ‘book talk’ di Mahkota Parade, Melaka pada awal bulan Jun ini.

Berikut merupakan jadual aturcara, lokasi dan ceramah yang bakal disampaikan oleh para penulis berikut.

Penceramah : Tuan Amar Mahmood
Tarikh : Khamis, 5 Jun 2008
Masa : 3.00 petang – 4.30 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Rahsia Menarik Kekayaan

Penceramah : Puan Norlela Zubir
Tarikh : Khamis, 5 Jun 2008
Masa : 4.30 petang – 6.00 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Cabaran Dalam Bisnes Keluarga

Penceramah : Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Muhammad Faisal Sharbuddin
Tarikh : Sabtu, 7 Jun 2008
Masa : 3.00 petang – 4.30 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Rahsia Bisnes Mamak

Penceramah : Tuan Shamsuddin Kadir
Tarikh : Sabtu, 7 Jun 2008
Masa : 4.30 petang – 6.00 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Kaya dengan Rumah

Di jemput semua pembaca dan pelawat halaman blog ini yang berada di Melaka untuk turut serta dalam program ini. Kami juga amat mengalu-alukan kehadiran mana-mana organisasi ataupun pihak daripada jabatan latihan bagi mendapatkan informasi terkini. Insyaa-Allah semua buku yang dibeli ketika program ini berlangsung akan mendapat autograf daripada penulisnya.

Kepada pegawai bahagian sumber manusia ataupun mana-mana organisasi yang ingin mendapatkan maklumat tentang kursus Dimensi boleh menghubungi saya melalui info@shamsuddinkadir.com

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Zam : Kursus Untuk Menjadi Jutawan Segera!

Salam En. Din,

Kekalutan akan timbul bila rezeki yg dikurniakan untuk kita dirasakan tak pernah cukup. Lebih menyedihkan apabila budaya kehidupan hari ini lebih mendorong kepada memiliki barangan ‘kehendak’ melebihi barangan ‘keperluan’.

Melihat kepada trend ini, wujud sekelompok manusia yg kononnya cuba membantu golongan di atas untuk mencapai impian mereka. Kebelakangan ini terdapat banyak kursus-kursus untuk menjadi jutawan segera samada dihebahkan melalui phamplet atau iklan di media cetak.

Minta pandangan En. Din tentang perkembangan ini.

Salam.

Nota Sham : Penyebab utama kenapa semakin ramai orang ingin menjadi ‘Jutawan Segera’ adalah disebabkan oleh kesempitan hidup. Kesempitan hidup yang bukannya disebabkan oleh kekurangan duit bagi memenuhi keperluan asas, sebaliknya bagi memenuhi kehendak di luar batasan kemampuan.

Penyebab utama individu pada zaman ini dapat membolosi had berbelanja melebihi wang gaji adalah kad kredit.  Dengan kad kredit seseorang itu boleh berbelanja sehingga berpuluh-puluh kali ganda wang gaji bulanannya. Apabila kehidupan  tersempit akibat gaji tidak dapat membayar bebanan gaya hidup yang diluar batasan normal, individu berkenaan akan mencari ataupun mencipta peluang bagi menyelesaikan masalahnya dengan segera.

Fokus utamanya adalah untuk menyelesaikan bebanan hutang kad kredit, skim ansuran mudah, ansuran rumah dan kereta, pinjaman peribadi dan banyak lagi hutang yang tidak disenaraikan di sini. Apabila tiada jalan mudah bagi memperolehi wang dalam jumlah yang banyak, maka pelbagai cara dicipta bagi menyakinkan orang ramai tentang ‘Program mendapat duit dengan segera’.

Tiada lagi konsep berniaga jual barang (keperluan) secara nyata akan dilakukan, banyak program yang hanya memerlukan anda memasukkan sejumlah duit, sama ada sebagai pendaftaran, pelaburan dan banyak lagi nama-nama yang indah yang digunakan.

Beberapa peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang menghadiri program Dimensi III telah mengambil pinjaman sehingga berpuluh-puluh ribu bagi melabur dalam program ‘Jutawan Segera’. Apa akan terjadi apabila pelaburan itu lenyap?

Masjid juga menjadi tempat para ‘peniaga jutawan segera’ memasarkan pamplet bagi memancing ‘pelanggan’.

 Sebahagian individu suka ‘mencuba’ terlebih dahulu walaupun Bank Negara sudah menasihatkan melalui pengedaran risalah di bank-bank dan juga iklan di media elektronik. Ada individu yang terlebih dahulu suka mengelakkan daripada belajar daripada kesilapan diri sendiri. 

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Kakitangan Gelabah…Gaji Belum Masuk Hari Ini

Saya menerima sms pada pagi ini, tentang isu kakitangan kerajaan mengelabah di Putrajaya. Penghantar memaklumkan beliau telah menghantar informasi lengkap ke shamsuddinkadir@yahoo.com

Assalamualaikum Sham,

Pagi ini di ofis saya, ramai pegawai dan kakitangan bising dan gelabah sebab gaji yang sepatutnya  masuk hari ini tidak masuk. Ramai yang hampa.

Betullah pandangan Sham, kita perlu ada wang simpanan. Saya bernasib baik kerana mengikut nasihat Sham, jadi tak lah saya gelabah.

Terima kasih

Suhaila (Bukan nama sebenar)

Kakitangan kerajaan, Putrajaya

Nota Sham : Perkara ini bukan baru berlaku pada hari ini, tetapi sejak manusia mula menceburi dunia pekerjaan. Apabila seorang pekerja membelanjakan semua  duit gaji pada setiap bulan, dia tidak dapat menerima impak apabila gaji seterusnya tidak diterima pada waktu yang sepatutnya.

Ukur baju di badan sendiri bukannya bermakna, kita perlu membelanjakan semua duit gaji pada setiap bulan. Ianya bermaksud, berbelanja dengan tidak melebihi 70% daripada gaji yang diterima pada setiap bulan.

Perbelanjaan kita biasanya melebihi daripada 70% apabila kita membiarkan orang lain iaitu seperti bank bagi menentukan gaya hidup kita. Tindakan ini akan membebankan kita apabila setiap bulan kita membelanjakan hampir ataupun melebihi separuh daripada duit gaji untuk membayar ansuran.  Pelbagai ansuran yang kita tanggung, ansuran kereta, rumah, kad kredit, skim ansuran mudah, ansuran pinjaman peribadi…

Masalah ini adalah masalah ’sulit’ yang kebanyakan kakitangan tidak dapat menyelesaikannya dengan hanya berdiam diri. Masalah sulit ini di antara penyebab utama kenapa prestasi kakitangan atasan dan bawahan menurun.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Surat Pembaca : Berniaga Atau Sambung Belajar

Saya ingin mendapat pendapat tuan,

I am studying at UiTM in diploma business study…. saya dalam semesta terakhir…. apa pendapat tuan, if i futher my study to degree… saya harap tuan dapat memberi pendapat, kursus apa yang perlu saya sambung when I further my study….. and one more thing, saya keliru sama ada untuk sambung belajar atau memulakan bisnes sendiri ?

Ahmad Nizam (Bukan nama sebenar)

Nota Shamsuddin Kadir : Pertama-tamanya saya mengucapkan rasa syukur di atas pemikiran saudara yang amat terbuka.

Soalan pertama - adakah saya perlu sambung dalam kursus yang sama di peringkat Ijazah? Mengambil jurusan yang berbeza ketika diperingkat diploma dan Ijazah memberikan kita satu kelebihan berbanding seorang graduan yang hanya menumpukan kepada satu bidang profesion sahaja. 

Contohnya. Encik Ali adalah tukang kayu  yang bekerja selama 5 tahun dalam kilang membuat kerusi, membantunya menguasai kemahiran membuat kerusi sahaja. Gajinya adalah RM 3,000.

Manakala Encik Burhan adalah tukang kayu yang berkerja selama 4 tahun dalam kilang membuat kerusi dan meja, memberikan dia dua kemahiran yang berlainan. Kemahiran membuat kerusi dan kemahiran membuat meja. Gajinya RM3,000.

Jika anda ingin memulakan perniagaan membuat perabut, siapa yang menjadi pilihan anda?

Itu jika dilihat dari satu dimensi. Bagaiamana jika anda bercita-cita untuk menjadi ahli yang pakar dalam satu bidang sahaja contohnya Akauntan, Peguam, Doktor, Arkitek, Jurutera ? Sebaiknya anda hanya fokus dalam jurusan itu sahaja, akan tetapi ianya tidak salah jika anda ingin mempelajari juga dalam bidang lain sebagai ‘tambah nilai’ kepada perkhidmatan yang anda akan berikan kepada pelanggan. Contohnya anda adalah graduan dalam bidang kedoktoran dan menyambung dalam bidang psikologi bagi membantu dirinya melayani pesakit-pesakit dengan nilai tambah.

Apa yang penting sekarang, adalah anda perlu mengenalpasti keinginan diri anda. Apa yang anda ingin capai. Jumpa dengan orang yang sedang dan sudah berjaya bagi mendapatkan pandangan sebelum anda membuat keputusan.

 “Degree is just a license, but it is not license to kill”

Seorang sahabat karib saya, mengambil jurusan perniagaan ‘business study’ ketika di peringkat diploma dan menyambung dalam bahagian perakaunan di peringkat ijazah. Beliau memulakan pekerjaan sebagai audit dalaman dan kini bekerja di bahagian perolehan ‘procurement’.

Seorang lagi sahabat karib saya memulakan pengajian dalam bidang perakaunan di peringkat diploma dan menyambung dalam bidang pemutusan ‘Decision-Making’ di peringkat Ijazah.

Soalan Kedua - Jika berkemampuan sambung belajar di peringkat Ijazah dan sambil itu berkecimpung dalam bisnes. Sebolehnya bisnes trading iaitu bisnes jual barang. Jika boleh elakkan barangan yang diperolehi melalui skim jualan langsung, kerana ketika ini anda memerlukan kemahiran bergantung atas diri sendiri 100% supaya anda dapat melihat dimensi anda ketika itu.

Maklumkan kepada saya dari masa ke semasa di halaman blog ini, supaya saya dan rakan pembaca dan pelawat lain dapat memberikan pandangan. Di jemput saudara dan saudari untuk turus menyumbangkan pandangan dan nasihat.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

 

Surat Pembaca : Buku Kaya Dengan Rumah

Assalamualaikum Tuan Shamsuddin Kadir. Semoga tuan sentiasa dilimpahi dengan ilmu oleh ALLAH SWT.

Saya baru sahaja menamatkan perkhidmatan saya di Jabatan Kerajaan secara sukarela setelah umur saya genap 46 tahun. Sebelum bersara saya ada menerima email dalaman dari staff di Jabatan saya berkenaan dengan buku tuan ini Kaya Dengan Rumah.

Saya sudah membeli buku ini di MPH Alamanda, memang bagus buku ini. Kenapalah dari dulu Tuan tak keluarkan buku ini…. tentu saya dah jadi hartawan sekarang ini (berangan pula saya).

Buku ini saya akan hadiahkan kepada anak-anak saya yang masih menuntut di UTM Skudai dan UMS Sabah, walaupun saya tak berikan kekayaan kepada mereka, tapi buku ini adalah ilmu yang paling berharga… jika mereka ikuti insyaallah mereka akan berjaya mencari kekayaan.

Tuan Shamsuddin ikhlas memberi ilmu kepada orang ramai melalui buku tuan, sudah semestinya ALLAH memberi kejayaan kepada Tuan. Tahniah Tuan dan Sentiasalah Bersyukur.

Nur Maisarah (Bukan nama sebenar)

Pesara Jabatan Kerajaan.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Surat Pembaca : Hutang Kad Kredit

Assalamualaikum Saudara Shamsuddin Kadir.

Saudara Shamsuddin,

Maaf kerana mengganggu saudara di hari cuti begini. Saya dapat no. email saudara ini dari sahabat isteri saya. Katanya saudara Shamsuddin boleh memberi nasihat dan pandangan mengenai masalah hutang piutang.

Saya adalah pengguna kad kredit yang setia. Setelah kad kredit saya telah maksimum digunakan, saya menggunakan kad kredit isteri saya pula tanpa pengetahuan beliau sehinggalah bank menghantar surat saman kepada isteri saya. Disebabkan terlalu marahkan saya dia hanya membisu hampir dua minggu lamanya dan selepas itu dia memberitahu saya bank akan menarik balik surat saman tersebut dengan syarat membayar hutang RM1,200 pada setiap bulan selama 5 tahun.

Rupanya dia telah pergi ke bank tersebut untuk membuat rayuan. Jadi sekarang setiap bulan saya kena bayar RM 3,000 sebulan kepada Bank untuk kad kredit saya dan isteri. Gaji saya hanya RM 4,600 sahaja, hutang rumah dan kereta juga saya perlu bayar. Duit simpanan saya telah habis membayar hutang piutang saya.

Atas nasihat saudara Shamsuddin juga,  saya telah menghubungi pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, dimana pihak AKPK tersebut dalam proses untuk membantu saya. Saya dan isteri masing-masing ada mempunyai rumah. Saya bercadang untuk menjual rumah saya iaitu rumah yang sekarang kami duduki dan duit tersebut saya bercadang untuk membayar hutang kad kredit isteri saya dan sementara itu kami akan menyewa dulu rumah yang saya mampu. Rumah isteri saya pula di Johor Bahru, sayang pula nak jual sebab sewanya agak mahal. Saya minta pandangan Saudara Shamsuddin Kadir, betul tak tindakan saya ini. Harap Saudara dapat membantu saya.

Terima kasih Tuan Shamsuddin Kadir. Buku Tuan `Hidup Tenang Walaupun Berhutang’ memang dapat menyedarkan dan menginsafkan diri saya. Saya akan membelinya nanti untuk simpanan saya.

Sekali lagi, saya mohon agar saudara Shamsuddin dapat membantu saya memberi pandangan terhadap masalah saya ini.

 

Ismail Ali (Bukan nama sebenar)

Bandar Baru Sungai Buloh.

Nota Shamsuddin Kadir :  Waalaikummusalam Saudara Ismail, Semoga Allah mengurniakan ilmu yang bermanfaat kepada saudara bagi dijauhi daripada bebanan yang diakibatkan oleh hutang itu.

Alhamdulilah, syukur Tuan telah mengambil langkah yang bijak dengan menghubungi AKPK.

Tindakan Tuan untuk menjual sebuah rumah adalah satu tindakan yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ‘hutang’ saudara Ismail, tetapi pada pandangan peribadi saya, elok saudara menunggu sehingga pihak AKPK menstruktur semula hutang itu.

Jika penstrukturan itu masih membebani saudara, menjual satu daripada rumah tersebut ‘mungkin’ pilihan yang terbaik yang saudara harus lakukan.

Sementara menunggu nasihat daripada AKPK itu, dicadangkan agar saudara Ismail, memulakan langkah memotong kos belanja hidup kepada tidak lebih dari 70% gaji yang diterima.

Penggunaan kad kredit telah menyebabkan saudara hidup diluar batasan kemampuan sebenar saudara. Ini bererti, saudara perlu menukar gaya hidup diri, pasangan dan keluarga kepada gaya hidup yang menyamai 70% wang gaji bersih yang diterima.

Sekian, terima kasih

www.shamsuddinkadir.com

Penguna kad kredit yang sudah masuk perangkap kewangan sebenarnya telah mengubah gaya hidupnya kepada gaya hidup yang tidak mampu dibiayainya tanpa pertolongan ‘kad hutang’.

Dilema Pekerja : Kenaikan Gaji Yang Selamat

Ini adalah salah satu daripada soalan cepu emas yang biasanya berlegar di minda para pekerja. Bagi saya soalan ini perlu diketahui terutama pekerja swasta. Pekerja di sektor awam yang gajinya berdasarkan kelayakan di peringkat Ijazah dan ke atas tidak menerima kesan seperti mana pekerja bawahan (yang belum ada Ijazah) yang paling menerima impak maksimun ke atas ‘inflasi’ dan pelbagai kejutan kos sara hidup.

Kadar inflasi bagi lembah Klang seperti yang dilapurkan di dalam akhbar tempatan pada 2007 adalah 6%. Ini adalah 2 kali ganda daripada kadar inflasi yang sampai dicorong telinga kita. Ini bermakna Jika gaji kita pada ketika ini RM1,000  maka kenaikan sebanyak RM60 hanya menampung ‘inflasi’ ataupun kesusutan kuasa beli bagi setiap RM 1. Kita perlu mendapatkan kenaikan sekurang-kurangnya 11% iaitu 5 % di atas kos inflasi setempat.

Jika syarikat ataupun tangga gaji jawatan kita tidak mampu memberikan kita kenaikan sebanyak itu, maka kita perlu mengambil beberapa langkah segera bagi mengelakkan duit kita itu di makan oleh anai-anai (inflasi) dalam jumlah yang menyebabkan kita menangung bebanan hutang keliling pinggang.

Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan :

1. Tingkatkan kelayakan (Sijil, Diploma, Ijazah) ataupun ambil kursus-kursus singkat bagi meningkatkan kemahiran ‘Soft skill’ bagi memberikan nilai tambah kepada organisasi yang kita sertai.

2. Tingkatkan mutu kerja, kembangkan potensi dan serlahkan prestasi. Ini dapat dilakukan dengan kita mencari mentor yang amat terkenal dengan prestasi yang memberangsangkan. Tingkatkan pembacaan buku-buku yang dapat memberikan semangat dan juga panduan dalam melihat keupayaan kita yang sebenar.

3. Tukar ke jabatan lain ataupun mencari kerja di syarikat lain yang dapat meningkatkan pengalaman kita dan juga memberikan imbuhan yang dapat menjaminkan masa depan kita.

4. Jika boleh dapatkan seorang mentor yang berjaya didalam bidang perniagaan untuk memberikan pandangan tentang kemampuan kita. Kadang kala kita tidak nampak keupaayaan kita sebenar, tetapi orang yang berjaya dapat melihat ciri-ciri seorang pejaya. Siapa tahu, kita mungkin mempunyai keupayaan untuk memulakan langkah menjadi seorang ahli bisnes di masa hadapan. Jika tidak, kita boleh melatih anak kita untuk memulakan bisnes sendiri selepas tamat pengajian mereka.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

Diari SK : Saya Di Jakarta

Untuk makluman para pelawat dan pembaca www.shamsuddinkadir.com

Saya tidak dapat menjawab sebarang pandangan, pertanyaan yang dihantar ke www.shamsuddinkadir.com dan juga kepada  email saya iaitu info@shamsuddinkadir.com dan shamsuddinkadir@yahoo.com sehingga hari Ahad ini.

Saya hanya akan mula memberi maklum balas mulai hari Isnin (19 Mei 2008). 

Diari SK : Saya Ke Jakarta Hari Ini

Insyaa-Allah pada petang hari ini 16 Mei 2008 saya akan ke Jakarta, Indonesia bagi urusan dalam bidang latihan ‘training’.  Ini adalah lawatan kedua saya ke Indonesia, iaitu yang pertama pada bulan Ogos 2007.

Ketika menjejaki kaki untuk kali pertama di Indonesia, banyak perkara terutama dalam sudut kewangan yang saya pelajari ketika berada di sana. Bagi saya kehidupan rumpun Melayu di Malaysia dan di Indonesia mempunyai banyak persamaan. Di mana ramai penduduknya memilih pekerjaan sebagai sumber menyara kehidupan.

Banyak kesan negatif yang telah berlaku di Indonesia ‘bakal’ berlaku di Malaysia dalam sedikit masa lagi, jika kecetekan ilmu kewangan terus tidak diendahkan oleh individu yang bergelar pekerja yang terutamanya.

Krisis makanan yang berlaku ketika ini, belum separah yang saya ramalkan berdasarkan apa yang sudah di alami oleh Indonesia. Rakyat Malaysia yang tidak ‘bersedia’ bakal menghadapi bebanan hidup yang sama dengan majoriti rakyat Indonesia tidak lama lagi.

Jika kita membuat kajian tentang 30 tahun yang lalu, kita dapat membuat pelbagai tanggapan. Insyaa-Allah saya akan dedahkan kajian  saya  dalam sedikit masa lagi. Saya mengambil kira perubahan yang berlaku negara serantau seperti di Singapura, China, Indonesia, Arab dan Amerika.

“Laut di luar sana semuanya sudah diterokai, kenapa kita tidak bertanya kepada orang yang sudah menerokainya ?”

Jangan melakukan kesilapan dengan mempelajari daripada kesilapan diri sendiri, gunakan peluang untuk mempelajari daripada kesilapan yang telah dibuat oleh orang yang sudah mendahului kita.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

Surat Pembaca : Perihal Hutang-Hutang

Assalamualaikum wbt…

Terlebih dahulu saya meminta maaf jika emel saya ini menggangu tuan. Tahniah kepada Tuan sebab telah menulis buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’. Ianya amat berguna sekali terutamanya kepada orang-orang yang selalu berhutang, biasa berhutang, sedang berhutang dan akan berhutang…bagus sekali panduannya.

Untuk pengetahuan tuan, saya adalah salah seorang yang terjerat dengan hutang kad kredit dan pinjaman iaitu pinjaman peribadi. Saya telah mempunyai 5 kad kredit dan 4 pinjaman peribadi.  Akhirnya saya telah tidak dapat membayar hutang kad-kad kredit tersebut dan juga semua pinjaman peribadi itu. Maka saya telah mengambi jalan itu pun rakan saya yang menasihatinya, supaya masuk dalam program AKPK iaitu satu program di bawah pengawasan Bank Negara untuk menolong orang-orang yang mempunyai hutang yang banyak.

Alhamdulilah, sekarang saya kena bayar RM900 sebulan terhadap semua kad-kad kredit dan juga semua personal loan itu, berbanding RM2,000 sebulan jika say amembayar hutang-hutang tersebut seperti biasa. Untuk makluman, saya perlu membayar RM900 itu selama 10 tahun.

Di sini, ingin saya meminta pandangan atau pendapat tuan, tentang apa yang telah saya lakukan ini. Adakah ianya langkah yang tepat atau ada lagi jalan yang lebih tepat supaya saya dapat selesaikan semua hutang saya itu?

Atau mungkin tuan ada cadangan yang lain?

Terima kasih di atas pandangan yang akan tuan berikan nanti

Wassalam,

Salam hormat

Salman (bukan nama sebenar)

Nota Sham : Saudara telah mengambil langkah yang amat baik dengan menghubungi dan mendapat khidmat dari AKPK. Dengan bayaran ansuran RM900 sudah pasti meringankan bebanan berbanding RM2,000 sebulan. Teruskan dengan kaedah AKPK itu.

Apa yang saudara boleh lakukan pada waktu ini, adalah memastikan perbelanjaan bulanan, tidak lebih daripada 70% daripada wang gaji atau pendapatan yang diterima setiap bulan. Tingkatkan kesedaran dan kemahiran menguruskan duit dan hutang dengan banyak membaca bahan berkaitan dengan kewangan. Saudara juga boleh mendapatkan informasi terkini di www.shamsuddinkadir.com yang mengandungi banyak pandangan dari pelawat yang amat baik untuk difikir dan dipratikkan.

Teruskan pembacaan buku ‘Makan Gaji Tetapi Kaya’ untuk memberikan dimensi kedua dalam diri saudara. Insyaa-Allah ianya membantu saudara bagaimana untuk menyelesaikan bebanan RM900 sebulan itu.

Sekian.

Informasi untuk pembaca www.shamsuddinkadir.com 

Jumlah hutang selepas distruktur semula oleh AKPK adalah RM 900 X 12 bulan x 10 tahun, iaitu RM 108,000. Bayangkan hutang pembelian kad kredit dan pinjaman peribadi itu menyebabkan kita menangung bebanan selama 10 tahun untuk sesuatu ‘barangan’ yang kita tidak miliki. Jika kita membeli sebidang tanah secara ansuran, di akhir 10 tahun  kita memiliki sebidang tanah yang dahulunya berharga RM108,000 tetapi kita mungkin sudah satu ataupun 2 kali ganda daripada nilai asalnya.

Elakkan daripada menyelesaikan masalah hutang kad kredit dengan mengambil pinjaman peribadi. Kita terjebak dengan satu lagi perangkap.  Tingkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam selok belok kewangan sebelum kita mengambil tindakan yang terbaik.

Bacaan awal yang dicadangkan adalah buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’ Boleh didapati di kedai buku yang berhampiran dengan anda.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!