Archive for June, 2008

Makin Ramai Guna Kad Kredit Isi Minyak

Suatu berita yang amat membimbangkan. Peratus pengunaan kad kredit meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak harga petrol naik kepada RM2.70 seliter. Adakah perbezaan sebanyak 78 sen seliter yang menyebabkan pengguna tidak ingin membawa duit yang banyak, lalu memilih mengunakan kad kredit. Jika dahulu kereta Proton Wira hanya memerlukan RM96 untuk satu tangki penuh petrol kini RM 135. Adakah penguna kereta tidak suka membawa wang lebih ataupun sudah tidak mampu bagi menangung kos biaya hidup yang amat tinggi?

Berita Minggu, 29 Jun melaporkan bahawa peningkatan pengunaan kad kredit yang paling ketara adalah di kawasan luar bandar, iaitu sebanyak 30%.

Awas, jika anda ataupun sahabat anda yang termasuk di dalam carta stastitik di atas. Pastikan ianya berlaku bukannya disebabkan kerana tiada duit bagi menangung salah satu dari biaya hidup itu. Lebih banyak implikasi akan berlaku jika pengguna kad kredit tidak menyedari akan bahangnya.

Kepada pengguna kad kredit bagi membayar harga petrol, pastikan anda menyimpan resit bagi setiap pembelian yang dibuat. Lihat jumlah yang anda belanjakan bagi sebulan dengan kadar petrol yang baru ini. Buat sedikit homework, adakah anda mampu menangungnya pada setiap bulan?

Jika tidak mampu, apa alternatif yang anda ada?

1. Kurangkan kos perbelanjaan yang tidak perlu

2. Tingkatkan pendapatan..

Kepada para peserta saya yang terdahulu, pastikan anda membuat bedah siasat seterusnya ke atas wang gaji bagi melihat sejauh mana impak minyak itu ke atas hidup anda. Sesuaikan gaya hidup yang sepadan dengannya. Bagi Peserta yang mengamalkan sistem sampul surat, anda dapat lihat dengan jelas, impak dari kenaikan minyak dalam kehidupan anda. Ini memberikan anda dimensi baru bagi mencari sumber alternatif bagi masa depan yang terjamin.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Diari SK : Kursus Dimensi III Di Kajang

Mulai 30 Jun sehingga 3 Julai saya mungkin tidak dapat mengemaskinikan halaman ini, kerana saya akan menjayakan kursus 4 hari 3 malam kursus Dimensi III yang akan dijayakan di hotel Residense, Kajang. En. Azree Hanifiah akan membantu saya sepanjang program ini berlangsung.

Seramai 40 peserta dari Akademi Percukaian Malaysia akan terlibat. Program ini adalah bagi melatih peserta dalam membina kemahiran mengurus gaji, membuat perlaburan, mencipta pendapatan sampingan dan juga membina dimensi sebenar dalam setiap peserta.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Proton Keluar Kereta NGV Oktober 2008

Mengikut sebuah akhbar tempatan hari ini, Proton mula mengeluarkan kereta berkuasa gas asli (NGV) bagi semua modelnya mulai Oktober ini. Ini adalah satu langkah baik bagi memberikan kemudahan kepada individu yang sedang dalam perancangan untuk membeli kereta ataupun yang ingin mengantikan kereta lama.

Kos pemasangan tangki NGV menjadi lebih murah apabila ianya dipasang terus dari kilang Proton. Harga kereta yang dijual adalah termasuk dengan kos pemasangan NGV, ini sudah pasti meringankan bebanan pengguna baru kereta berkenaan.

Tahniah untuk proton, yang cepat mengambil tindakan bagi mengurangkan bebanan pemilik kenderaan baru berjenama Proton.

Saya juga menyeru kepada Proton agar turut menawarkan kos pemasangan murah kepada pemilik sedia ada bagi kenderaan Proton. Ini bagi menunjukkan Proton komited bukan sahaja bagi mengeluarkan kenderaan yang ekonomi dan juga memastikan servis selepas jualan adalah yang terbaik di Malaysia.

Saya juga menyeru pengeluar automobil lain supaya mengambil langkah yang sama.

Di sini saya ingin mengingatkan kepada para pembeli kereta baru yang dilengkapi dengan NGV. Harga semasa gas asli itu adalah jauh lebih murah daripada harga sebenar. Ini berlaku kerana kerajaan memberikan subsidi. Gunakan peluang yang masih ada bagi memilih kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kita, walaupun jika selepas ini harga gas turut mengalami kenaikan.

“Sediakan Payung Sebelum Hujan” 

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Rakaman Bersama RTM - GEN X

Pada pagi rabu 25 Jun 2008, saya terlibat dengan rakaman bagi program remaja iaitu Gen X. Ianya bakal ditayangkan pada pagi 5 Julai di dalam rancangan remaja.

Terdapat rakaman temubual tentang program-program yang dianjurkan oleh Ultra Mind Resources dan juga salah satu daripada diskusi bersama beberapa peserta.

Insyaa-Allah saya akan siarkan sebahagian daripada gambar yang diambil ketika pengambaran tersebut.

Mohon maaf kerana beberapa hari halaman ini tidak dimuatkan dengan entri terbaru.

Rakaman bersama TV3 - Motivasi Pagi

p6240266.JPG

p6240269.JPG

Maaf, sejak dari hari Isnin sehingga hari selasa (24 Jun) saya bersama dengan krew TV3 bagi menjayakan beberapa Rakaman TV3episod untuk Motivasi Pagi di TV3. Ini adalah di atas jemputan yang dibuat oleh Tuan Mohd Fasil Penerbit Kanan TV3.

Banyak konsep yang saya pelajari daripada Tuan Mohd Fasil. Pertama kali bercakap di hadapan kamera, banyak juga kesilapan yang saya lakukan. Insyaa-Allah saya akan memperbaikinya lagi dari masa ke semasa.Di jemput tuan dan puan bagi memberikan pandangan apabila ianya ditayangkan di skrin TV3 nanti, Insyaa-Allah.

Hanya 4 episod yang berjaya dirakamkan. Insyaa-Allah selepas melalui proses suntingan ianya dapat disiarkan di dalam segmen Motivasi Pagi TV3. Terima kasih sekali lagi kepada Tuan Mohd Fasil dan krew TV3 yang terlibat.

Insyaa-Allah, gambar sepanjang proses rakaman akan dimuatkan di dalam entri ini.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Hutang Kad Kredit : RM400,000

Ini merupakan berita yang paling menakutkan yang pernah saya dengar. Hampir sehari suntuk saya berada di kawasan Wangsa Maju/Setia Wangsa bagi menghantar 2 manuskrip terbaru.

Ketika di sana saya diberitahu bahawa seorang ketua keluarga menangung hutang kad kredit sebanyak RM400,000. Apabila isterinya menasihatinya agar menjelaskan hutang tersebut ataupun menghentikan pengunaan, dia berkata “Jika dihentikan pengunaan kad kredit itu, dia tidak mampu untuk membeli susu untuk anak”

Sungguh saya tidak sangka walaupun buku saya “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” telah menunjukkan kesan yang amat mendalam apabila kita menangung hutang kad kredit, masih ada yang meneruskan amalan berhutang melalui kad kredit.

Ramai pembaca buku tersebut yang telah meninggalkan tabiat berhutang dengan kad kredit. Saya juga terus menerus memaklumkan tentang implikasi yang amat mendalam dalam kehidupan apabila kita tersilap langkah. Masih ada jalan kembali ke pangkal jalan, selagi kita masih hidup.

Saya percaya ramai juga individu yang cukup ‘takut’ apabila ada desakan oleh pemilik stesyen minyak untuk menamatkan pembelian petrol mengunakan kad kredit di stesyen minyak.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Mengurus Perbelanjaan: Makan Di Luar

Inflasi akan sentiasa meningkat dari hari pertama manusia mengunakan matawang sehingga dunia ini Kiamat.

Apabila kos barangan seperti petrol naik di pasaran, sudah pasti banyak kos lain juga akan turut naik. Apabila  perbelanjaan kita naik melepasi had 70%, maka kita perlu melakukan salah satu ataupun kedua-dua perkara di bawah :

1. Mengurangkan cara/gaya hidup kita pada ketika ini

2. Meningkatkan pendapatan kita

Fokus kita pada hari ini, kaedah mengurangkan/merendahkan cara/gaya hidup kita. Contoh yang akan kita gunakan adalah berkenaan makan di luar.

Jika sebelum ini, setiap kali kita makan di luar, kita mengunjungi restoran-restoran yang ‘agak selesa’ yang harganya juga sederhana tinggi, sudah tiba masanya kita menukarkan ke restoran yang harga lebih murah. Tahap kualiti kebersihan restoran itu kita tidak boleh abaikan. Walaupun ke restoran yang lebih murah, tetapi kita perlu pastikan organ dalaman kita tidak terjejas, iaitu elakkan daripada memasuki kedai makan dengan status ‘C’. Kita akan dibebani dengan kos rawatan hospital bagi merawati penyakit seperti Hepatitis A (Barah Hati) yang disebabkan memakan makanan yang disediakan di tempat kotor.

Jika sebelum ini kita memesang nasi bersama air manis, mungkin sudah tiba masanya kita menukarkan kepada air suam ataupun ais kosong. Dalam lauk dan nasi sudah mengandungi kabohidrat (gula), oleh itu pengambilan makanan dengan minuman manis menambahkan lagi kandungan gula dalam badan kita. Ini memberikan risiko tinggi kepada kita untuk menghidap ‘diabetes’ kencing manis. Ketika sihat kita menangung lebihan kos dengan mengambil minuman manis ketika makanan utama, ketika sakit kita dibebani kos rawatan penyakit kritikal itu.

Tidak salah bagi mendapatkan minuman manis tetapi sebolehnya bukan bersama dengan makanan seperti makan tengahari dan malam.

Setiap kali keluar makan secara individu ataupun dengan keluarga, pastikan semuanya memesan air suam (ini yang terbaik) ataupun ais kosong. Ini sudah pasti menjimatkan beberapa ringgit ataupun puluhan ringgit jika bilangan ahli keluarga besar.

Mulai hari ini tukar menu minuman kepada air suam yang ternyata baik untuk kesihatan. Apabila kita memesan nasi, pastikan kita meminta separuh bukannya sepenuh pinggan. Harga nasi untuk separuh pinggan lebih murah berbanding sepinggan nasi penuh. Mengikut kajian, keperluan manusia bagi makan tengahari dan malam terutama pekerja di pejabat adalah mencukupi dengan nasi separuh yang disertakan dengan sayuran.

Dengan mengikuti panduan menjaga kesihatan dengan memakan mengikut keperluan, kita mengelakkan daripada menangung bil-bil perubatan dan menangung kos sara hidup yang tinggi.

Sekali sekala ataupun sekali sehari anda mengambil minuman manis. Dengan penjimatan sebanyak RM 3 - 5 ringgit sehari selama sebulan anda sudah dapat membiayai kos elektrik, air dan telefon untuk sebulan.

Biasakan untuk membawa air mineral/masak yang dibawa setiap kali pergi membeli belah ataupun bersiar-siar. Anda dapat menjimatkan puluhan ringgit setiap bulan yang dapat anda gunakan untuk membeli beberapa helai tuala yang sudah uzur. 

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Surat Terbuka Untuk Kerajaan - Kenaikan Harga Minyak

15 Jun 2008 

Kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Pengarah, atau Pegawai

(Yang ada kuasa bagi mencadangkan dan mengimplementasi kaedah bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan minyak petrol dan diesel)

Yg. Bhg. Dato, Tuan / Puan,

PENYELESAIAN BAGI MENGHADAPI IMPAK KENAIKAN MINYAK

Pertama-tamanya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan yang memberikan insentif kepada rakyat, termasuk duit tunai sebanyak RM625 bagi setiap rakyat yang memiliki kereta di bawah 2000cc ke bawah. Insentif ini sudah pasti meringankan sedikit bebanan walaupun ianya tidak dapat menangung sepenuhnya kesan daripada kenaikan harga petrol tersebut.

Saya di sini ingin mencadangkan kepada kerajaan bagi mengambil langkah di bawah supaya masalah utama kenaikan minyak itu sudah tidak lagi menghantui sebahagian daripada rakyat yang kini sedang tersempit.

Saya mencadangkan agar kerajaan mengarahkan semua bank dan institusi kewangan yang  membiayai pembelian kereta oleh rakyat untuk menawarkan kontrak tambahan ataupun ’supplement contract’.

Kontrak tambahan ini di gunakan bagi memastikan bank akan membiayai pemasangan NGV di kereta setiap rakyat yang tidak ada duit bagi membuat pemasangan tersebut.

Pemilik kereta hanya perlu menandatangani kontrak tambahan ini dengan bank dan bayaran balik secara ansuran bulanan kepada bank akan di satukan dengan ansuran bulanan kereta. Sebagai contohnya, Jika sebelum ini En. Ahmad membayar ansuran bagi kereta Proton Wajanya sebanyak RM650 sebulan, kini beliau perlu membayar RM 720. Peningkatan sebanyak RM 70 sudah pasti tidak membebankan pemilik kereta, kerana ianya membantu setiap rakyat yang bermasalah berjimat ratusan ringgit setiap bulan akibat mengunakan Gas yang murah berbanding harga lama ataupun harga baru petrol.

Jika langkah ini di ambil oleh kerajaan sudah pasti rakyat bukan sahaja terlepas daripada dibebani dengan kenaikan harga petrol tersebut, malah boleh menyimpan lebih banyak duit bagi bekalan mereka ketika waktu bersara nanti.

Cadangan ini tidak memerlukan kerajaan membelanjakan lebih banyak duit untuk rakyat tetapi dapat memberikan kesan yang lebih baik berbanding insentif yang disediakan pada ketika ini. Apa yang diperlukan adalah sepucuk surat daripada Bank Negara bagi mengarahkan semua bank yang menyediakan pembiayaan pembelian kereta, bagi memasukkan kontrak tambahan bagi pemilik kereta yang ingin membuat pemasangan NGV.

Saya bersedia untuk membuat penyampaian ‘presentation’ kepada pihak kerajaan secara menyeluruh tentang cadangan ini jika diperlukan.

Semoga pihak kerajaan dapat menimbangkannya dengan sebaik mungkin , kerana ianya amat memberikan kesan yang maksima kepada rakyat.

Sekian, terima kasih

Yang Ikhlas,

 

Shamsuddin Abdul Kadir

Pengurus

Ultra Mind Resources

No. 13C, Tingkat 3, Blok 1,

Worldwide Business Park

40150 Shah Alam, Selangor

www.shamsuddinkadir.com

……………………………….

Kepada para pelawat dan pembaca blog ini,

Saya amat-amat mengalu-alukan sebarang usaha bagi menyampaikan mesej ini kepada pihak berkuasa dalam mencari kaedah terbaik membantu rakyat yang ingin memasang NGV tetapi tiada duit yang mencukupi. Ingatlah usaha burung Pipit yang mencuba memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim. Allah tidak memberikan pembalasan berdasarkan hasil yang kita kecapi tetapi di atas setiap usaha yang kita lakukan walaupun ianya gagal mencapai matlamat yang kita inginkan. Itu satu dari kemulian dan kesucian Agama Islam. Kita tidak memerlukan kejayaan untuk mencapai kenikmatan, apa yang kita perlukan usaha yang berterusan ke arah kejayaan. Kejayaan hakiki adalah timbunan usaha yang iklas kerana Allah yang kita lakukan semasa di dunia ini.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Surat Pembaca: Rumah - Jual atau Sewa

Assalamualaikum, Sdr Shamsuddin

Saya telah membeli buku saudara dan merasakan ianya amat membantu dalam merancang kewangan keluarga saya.

Saya cuma ada satu soalan sekiranya boleh saudara membantu.

Saya telah terpaksa mengeluarkan wang dari KWSP akaun 1 saya bagi menjelaskan bayaran bulanan yang tertunggak sebuah apartment saya yang telah lama ditinggal kosong. Saya memang bercadang untuk menjual apartment saya malangnya sehingga kini tiada buyer. Akibatnya saya telah tidak mampu untuk meneruskan pembayarannya. Lantas saya telah mengambil jalan untuk mengeluarkan wang KWSP saya.

Soalan saya.

1. Adakah patut saya mengeluarkan wang KWSP saya secukupnya untuk membayar tunggakan saya sahaja dan berharap akan ada pembeli untuk membeli apt saya?

2. Bank telah menasihati saya supaya saya mengeluarkan semua simpanan saya dan membayar sebanyak mungkin agar interest yang dikenakan kurang dan baki yang terpaksa dibayar kurang?

saya harap info yang diberi cukup untuk saudara membantu saya.

Terima kasih

Puan BH

 

Jawapan SK :

Waalaikummusalam Puan,

Terima kasih di atas pertanyaan di atas.

Saya memerlukan maklumat tentang lokasi di mana apartmen Puan itu berada, di tingkat berapa dan maklumat penting lain.

Adakah apartmen di situ banyak dihuni ataupun banyak yang kosong?

Insyaa-Allah saya akan jawab nanti.

Puan juga boleh melawat saya punya blog di www.shamsuddinkadir.com

Sekian terima kasih

Jawapan dari Puan BH:

Assalamualaikum,

Apartmen itu di Seri Aman Puri Kepong. Memang tidak dapat dinafikan sekitar apartmen saya telah banyak apt-apt yang lain, tetapi apt saya mempunyai track record yang baik dari segi keselamatan dan luas kaki perseginya adalah 1030 ‘persegi dan maintenance cukup baik.

Kedudukannya yang paling atas bersebelahan bukit FRIM begitu nyaman. Jika di beri pilihan dengan condo yang saya diami sekarang memang jauh lebih selesa di apt itu, tetapi memandangkan kemudahan sekolah dan sokongan sosial (maksud saya berdekatan dengan ibubapa saya) lebih baik di Ampang ini.  Saya ingin menjual sahaja apartment tersebut kerana tidak mampu untuk menampung 2 hartanah at the same time.

Ianya di tingkat satu, saya tidak rasa di apt itu banyak yang kosong. Saya faham sekiranya saya ingin menjual apartmen itu saya mungkin terpaksa membaik pulih beberapa keaadaan di rumah itu memandangkan ianya telah lama ditinggalkan.

Terima kasih

Puan BH

Jawapan SK:

Pertama-tamanya tahniah kepada Puan, kerana mendahului ibubapa daripada kenikmatan tinggal di apartmen yang lebih nyaman. Semoga Allah memberikan pembalasan baik kepada Puan di atas keperihatinan kepada ibubapa.

Pada pandangan saya, daripada Puan meninggalkan rumah itu tidak berpenghuni lebih baik Puan memikirkan sama ada untuk menyewakan ataupun menjualkannya. Jika nilai sewa bulanan bagi apartmen itu tidak dapat menangung ansuran bulanan kepada bank, lebih baik dijualkan apartmen itu. Sebaliknya, jika sewanya dapat menangung kos bulanan ansuran dan penyelenggaraan apartmen tersebut, lebih baik Puan membatalkan hasrat untuk menjualkannya. Puan juga boleh mengunakan khidmat agen hartanah bertauliah bagi mendapatkan penyewa bagi rumah tersebut.

Jika puan berniat untuk menjualkannya tetapi masih belum mendapatkan pelanggan, cuba guna khidmat agen hartanah. Ya mereka mengenakan caj sebanyak 2 -3 % di atas harga jualan, tetapi ianya berpatutan dengan servis yang mereka berikan. Iaitu mendapatkan pembeli bagi apartmen tersebut.

Sekian, terima kasih.

Dapatkan buku saya “Buat Duit Dengan Rumah” sedikit masa lagi di pasaran bagi memahami konsep jual atau sewa.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar!

Surat Pembaca: Ilmu Kewangan

Salam Tuan Shamsuddin Kadir. Semoga Tuan sentiasa dilimpahi kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin.

Tuan Shamsuddin, memandangkan ekonomi sekarang ini semakin meningkat dan ramai yang merasakan kehidupan mereka semakin tertekan, saya rasa sekarang adalah masa yang amat sesuai untuk Tuan mencari pahala yang berlipat ganda.

Maksud saya Tuan bolehlah mencari peluang untuk menambahkan lagi buku Tuan berkaitan dengan pengurusan kewangan atau Tuan memberi ceramah-ceramah kepada orangramai. Dengan cara ini Tuan dapat memberi nasihat dan bimbingan kepada orang ramai.

Maaf ye jika e-mail saya ini mengganggu Tuan Shamsuddin.

Terima kasih.

AH

Nota SK : Salam kembali kepada Puan AH, semoga Allah senantiaa mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada Puan sekeluarga. Ya Allah perkenankan doaku ini. Amin.

Ini adalah email kedua yang saya terima hari ini berkenaan keperluan sambungan buku dalam hal kewangan. Insyaa-Allah saya akan menghantar manuskrip kepada Editor Cik Rozita (Pts Pro) selewat-lewatnya 31 Ogos 2008.  Doakan saya berjaya menyiapkan buku yang telah mula ditulis sejak pertengahan 2007 lagi.

Saya senantiasa mengadakan ceramah-ceramah terbuka di kedai-kedai buku di lembah klang dan yang terbaru adalah di Mahkota Parade, Melaka pada hari sabtu yang lalu.

Saya mengalu-alukan sebarang jemputan bagi menjayakan ceramah ‘2 Jam’ di mana-mana organisasi. Sila hubungi saya melalui info@shamsuddinkadir.com atau shamsuddinkadir@yahoo.com ataupun 03 5548 4348

Terima kasih di atas sokongan.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar! 

Surat Pembaca: Masa Untuk Mengubah Cara Hidup

Assalamualaikum Encik Shamsuddin Kadir.

Encik Shamsuddin sebagai pakar dalam pengurusan kewangan, perlulah menulis dan mengarang lebih banyak buku berkaitan dengan hal-hal kewangan untuk membantu orang ramai dalam penyusunan semula dan mengurus semula kewangan memandangkan ekonomi sekarang yang tidak menentu.

Saya dan orang ramai perlukan bimbingan dan nasihat daripada pakar seperti Encik Shamsuddin agar hidup kami tidak tertekan dengan kenaikan barangan yang tidak menentu sekarang ini. Ilmu yang ALLAH anugerahkan kepada Encik amat berguna untuk orangramai.

Terima kasih.

AM

Nota Sham : Terima kasih di atas sokongan yang berterusan daripada semua pembaca buku, peserta dan pelawat blog yang sentiasa menyokong, memberikan komen dan mengkritik bagi meningkatkan prestasi supaya dapat menyampaikan lebih banyak informasi bermanfaat kepada kita semua.

Insyaa-Allah dengan sokongan dan doa saudara/i semua saya akan menyiapkan buku dalam isu kewangan keluarga yang tertunda beberapa kali.

Sementara menunggu buku tersebut keluar, saya juga mengalu-alukan sebarang jemputan bagi menjayakan ceramah ‘2 Jam’ di organisasi tuan/puan berkenaan mengelola/mengurus gaji yang kalis inflasi. Saya boleh dihubungi melalui emel info@shamsuddinkadir.com atau shamsuddinkadir@yahoo.com atau 03-5548 4348

Saya juga menjayakan Modul Kursus Dimensi II dan III yang menjadi benteng utama kepada pekerja yang menangani masalah prestasi menurun akibat bebanan ‘kewangan’. Sila dapatkan pegawai menguruskan tentang latihan di organisasi saudara/i untuk menghubungi saya bagi menjayakannya.

Ada sebarang cadangan tentang topik atau isu yang perlu saya huraikan di dalam buku yang bakal terbit itu nanti?

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Prestasi Pekerja Kerajaan dan Swasta Menurun?

Sejak dari kenaikan minyak yang di umumkan beberapa hari lalu, di mana sahaja terdengar perbualan para pekerja sama ada di kedai kopi, stesyen komuter, di pasar raya, membicarakan tentang implikasi kenaikan petrol ke atas gaya hidup mereka sekeluarga.

Ramai yang rungsing dengan kenaikan harga barangan yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Impak yang paling kuat adalah tahap tekanan yang perlu dihadapi oleh setiap wargakerja yang hidup dengan membelanjakan 100% dari duit gaji setiap bulan. Ini bermakna mereka tidak ada duit simpanan. Apabila kenaikan kos minyak yang akan meningkatkan lagi pelbagai barangan lain, memberikan mereka ruang bagi menangung hutang yang tidak berbayar (hutang yang tidak dapat dijelaskan).

Pekerja yang sudah biasa membeli barangan di luar kemampuan adalah di antara individu yang akan menerima kesan awal. Ini berlaku apabila jumlah bagi tidak berbayar bagi setiap hutang kad kredit dan skim ansuran mudah meningkat..

Jika anda seorang pengguna kad kredit pastikan jumlah yang dibelanjakan di dalam kad kredit adalah tidak melebihi apa yang anda telah peruntukan dalam senarai perbelanjaan bulanan.

Jika anda tidak dapat menurunkan kos perbelanjaan bulanan kepada 70%, ianya bakal menimbulkan tekanan apabila anda terpaksa hidup ibarat ‘Kais bulan makan bulan’. Fikiran senantiasa memikirkan tentang bebanan hutang, anda menjadi semakin stres, fokus kepada pekerjaan akan turun, ini sudah pasti menurunkan prestasi anda.

Bagi pencegahan yang efektif, senaraikan semula semua perbelanjaan bulanan dan lihat di tangga mana anda sedang berada. Adakah anda seorang yang berbelanja di bawah 70% ataupun melebihi 100% daripada wang gaji yang diterima? Lihat jenis sabun yang kita gunakan, jenama-jenama yang kita gunakan, adakah ianya berbaloi untuk dikekalkan ataupun perlu ditukar kepada jenama yang lebih murah tetapi dalam kualiti yang kita perlukan.

Mengikut kajian yang saya lakukan terutama kepada peserta saya, majoriti daripada menyatakan, bahawa mereka tidak dapat fokus dalam tugasan yang dipertanggungjawabkan. Ini kerana minda mereka asyik memikir bagaimana untuk mencari duit lebih dan bagaimana mereka dapat menjelaskan hutang-hutang itu.

Kos minyak di jangka akan meningkat kepada AS$ 200 berbanding AS$135 setong pada waktu kini.  Bayangkan apa yang berlaku pada anda apabila harga petrol meningkat sebanyak 48% apabila ianya meningkat AS$200 setong dalam masa 24 bulan?

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

 

Artikel Dan Komen Hilang Lagi

Saya memohon maaf, di atas kehilangan sebahagian komen yang diberikan sejak 7 Jun 2008. Artikel terbaru tentang program ceramah buku yang dimasukkan ke dalam entri pada 8 Jun turut juga hilang. Saya sedang menghubungi pihak pentadbiran server bagi mendapatkan maklumat lanjut kenapa ianya berlaku.

Harap maklum

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Harga Petrol Naik Kos Sara Hidup Naik!

Harga petrol meningkat kepada RM 2.70 bagi setiap liter mulai esok 5 Jun 2008. Jumlah kenaikan adalah 40% berbanding harga lama iaitu RM1.92 seliter. Ini bermakna, bagi  setiap RM 100 yang kita belanjakan untuk petrol pada bulan sebelum ini, akan meningkat kepada RM140. Jika peruntukan petrol bulanan anda pada bulan sebelum ini adalah RM 300, maka ianya meningkat kepada RM 420 mulai bulan Julai 2008. Kos tambahan ini dapat dibendung dengan mengurangkan pengunaan kereta tersebut, sama ada mengurangkan bilangan trip ‘makan angin’ ataupun jarak perjalanan.

Jika sebelum ini senarai kos sara hidup bulanan adalah 70% daripada gaji bersih yang anda terima, kini anda terpaksa membelanjakan melebihi daripada 70% daripada gaji anda. Ini menunjukkan anda sudah berbelanja di luar kemampuan anda. Sama ada anda meningkatkan pendapatan ataupun mengurangkan kos perbelanjaan bulanan. Kenaikan petrol sudah pasti merimaskan anda, jika setiap bulan anda membelanjakan sepenuhnya jumlah 70% yang anda boleh membelanjakan.

Perlu diingatkan kadar elektrik juga dinaikkan kepaa 18% daripada kadar sedia ada. Ini bermakna, secara kasarnya kos elektrik anda meningkat sebanyak RM18 bagi setiap RM 100 yang anda belanjakan.

Awasi senarai kos bulanan anda, semak semula, buat anggaran kos yang bakal ada tanggung setiap bulan mulai bulan Jun ini. Adakah jumlah tersebut melebihi 70% daripada gaji bersih yang anda terima? Jika lebih, apakah kos yang dapat anda kurangkan, ataupun bagaimana anda dapat mengurangkan pengunaan kos barangan tersebut?

Ketika ini ramai pemilik kereta beratur di stesyen minyak diseluruh negara bagi mendapatkan penjimatan sebanyak 40%. Ada stesyen minyak dilapurkan sudah kehabisan minyak beberapa jam sebelum harga baru yang akan bermula tidak sampai 3 jam dari sekarang.

Kepada yang mengunakan kad kredit mungkin tidak begitu merasakan kesannya, tetapi awas, ianya mampu memberikan tekanan apabila baki penyata kad kredit semakin membesar.

Kepada para pembaca dan pelawat : Apakah kesan kenaikan minyak itu kepada anda dan apakah langkah yang anda ingin lakukan bagi menghadapi kenaikan kos petrol itu?

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Book Talk : Bisnes, Minda & Kewangan

Insyaa-Allah saya bersama-sama beberapa penulis akan menjayakan program ‘book talk’ di Mahkota Parade, Melaka mulai 5 Jun ini.

Berikut merupakan jadual aturcara, lokasi dan ceramah yang bakal disampaikan oleh para penulis berikut.

Penceramah : Tuan Amar Mahmood
Tarikh : Khamis, 5 Jun 2008
Masa : 3.00 petang – 4.30 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Rahsia Menarik Kekayaan

Penceramah : Puan Norlela Zubir
Tarikh : Khamis, 5 Jun 2008
Masa : 4.30 petang – 6.00 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Cabaran Dalam Bisnes Keluarga

Penceramah : Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Muhammad Faisal Sharbuddin
Tarikh : Sabtu, 7 Jun 2008
Masa : 3.00 petang – 4.30 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Rahsia Bisnes Mamak

Penceramah : Tuan Shamsuddin Kadir
Tarikh : Sabtu, 7 Jun 2008
Masa : 4.30 petang – 6.00 petang
Lokasi : Pentas Utama, Kompleks Membeli Belah Mahkota Parade, Melaka
Topik : Kaya dengan Rumah

Di jemput semua pembaca dan pelawat halaman blog ini yang berada di Melaka untuk turut serta dalam program ini. Kami juga amat mengalu-alukan kehadiran mana-mana organisasi ataupun pihak daripada jabatan latihan bagi mendapatkan informasi terkini. Insyaa-Allah semua buku yang dibeli ketika program ini berlangsung akan mendapat autograf daripada penulisnya.

Kepada pegawai bahagian sumber manusia ataupun mana-mana organisasi yang ingin mendapatkan maklumat tentang kursus Dimensi boleh menghubungi saya melalui info@shamsuddinkadir.com atau 03 - 5548 4348

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!