Archive for July 15th, 2008

15 Jul 2008 Kad Kredit: Kadar Faedah Rendah Jika Bayar Ikut Jadual
 |  Category: Motivasi |  3 Comments

Mulai 1  Julai 2008, bank akan mengenakan kadar faedah yang berbeza bagi penguna kad kredit yang belum menjelaskan hutang mereka.

Ianya berdasarkan pelaksanaan sistem yang ditetapkan oleh Bank Negara pada Julai tahun lalu, iaitu pelaksanaan sistem penentuan kadar tiga peringkat bermula pada 1 julai 2008.

Kategori Pertama :

Pemilik kad kredit yang mempunyai rekod pembayaran balik mengikut jadual hanya dikenakan 15% kadar faedah bagi setiap baki hutang kad kredit. Bagi pemegang kad kredit yang membayar sekurang-kurangnya bayaran minimun daripada hutang mereka mengikut jadual secara konsisten selama 12 bulan yang lalu dikenakan 15% iaitu 3% lebih murah daripada kadar standard.

Kategori Kedua :

Pemegang kad kredit yang mempunyai rekod 2 kali lewat membayar ansuran bulanan sepanjang 12 bulan yang lalu akan dikenakan caj 17%.

Kategori ketiga :

Pemegang kad kredit yang ada rekod pembayaran lambat melebihi 2 kali sepanjang 12 bulan yang lalu, dikenakan caj pada kadar maksimun iaitu 18%.

Saya amat mengalu-alukan langkah Bank Negara itu walaupun ianya belum yang terbaik, tetapi ianya adalah langkah pertama bagi menggalakkan pemegang kad kredit menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih baik.

“Perjalanan seribu tahun bermula dengan langkah pertama”

Kaedah ini adalah praktikal bagi dilaksanakan kepada pemegang kad kredit yang belum menangung hutang tertunggak.  Saya mencadangkan agar Bank Negara merangka dasar baru yang lebih membantu para pemegang kad kredit yang sedang menangung bebanan hutang kad kredit. Ya pemegang yang  sudah tidak mampu bagi menjelaskan akibat jumlah hutang yang besar dan di tambah kadar 18% setahun yang terus meningkatkan jumlah hutang tertunggak.

Saya mencadangkan agar Bank Negara dalam mengeluarkan arahan bagi membenarkan pemegang kad kredit yang ada hutang kad kredit sebelum 1 Julai 2008 bagi menukarkan hutang mereka itu kepada pinjaman berjangka ‘term loan’. Di mana kadar caj yang dikenakan mestilah tidak lebih daripada 10%. Ini bagi membantu pemegang kad kredit yang sudah tidak mahu mengunakan kad kredit lagi dalam hidup mereka.

Bagi pemegang kad kredit yang baru mahu berjinak untuk berhutang dengan kad kredit, nasihat saya jangan. Ianya ibarat api, kecil-kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. Kita dibebani dengan 1001 masalah di hari muka.

Saya menyarankan agar memilih kad debit yang ada simbol visa ataupun mastercard sebagai alternatif, jika tidak ingin membawa duit yang banyak di dalam poket.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!