Pengaruh Iklan – Membeli Sesuatu Di Luar Keperluan

Jika dahulu iklan hanya digunakan oleh syarikat bagi memperkenalkan produk baru  mereka kepada pengguna.  Di sini, pengguna dapat membuat keputusan tanpa ‘dipengaruhi’. 

Kini di arus kemodenan dan dengan kepandaian manusia, iklan adalah alat bagi mempengaruhi pendengar, penonton dan pembaca bagi membeli ataupun melanggan produk mereka. Dengan kos pengiklanan yang semakin tinggi, peniaga tidak sanggup menangung kos mengiklan, jika ianya semata-mata mahu memperkenalkan produk mereka. Dengan sedikit kos ekstra, peniaga dapat memastikan iklan mereka itu dapat menarik hampir setiap individu yang melihat, membaca ataupun mendengarnya teruja untuk memilikinya.

Syarikat pengiklanan yang dianggotai oleh individu yang ada kepakaran ‘luar biasa’ dengan mudahnya dapat menyampaikan pesanan peniaga secara tersurat dan tersirat. Ini adalah bidang kepakaran mereka, sudah pasti mereka ada selok belok yang perlu dilakukan bagi memastikan setiap iklan itu mencapai hasratnya.

Ramai peserta kursus saya menanyakan kepada saya tentang ‘skim-skim cepat kaya’ yang ada di luar sana. Saya memberitahu mereka, bahawa setiap ayat yang ada di dalam brosur ataupun di halaman web mereka itu berunsur bagi mempengaruhi kita. Mereka telah mengkaji tentang kelemahan kita. Contohnya jika kita seorang yang hidup dengan makan gaji dan ketika ini tiada duit simpanan kerana semua duit gaji dibelanjakan setiap bulan. Kita akan minat untuk membaca, apabila ayat-ayat di dalam brosur itu mengatakan anda dapat menyimpan 3 kali ganda daripada gaji pokok anda pada setiap bulan. Anda tidak perlu bekerja lebih masa… ‘ada orang hanya melihat tanpa mengambil sebarang langkah, itu yang menyebabkan mereka terus dibebani dengan masalah duit…

Sebaiknya elakkan membaca brosur ‘flyer-flyer’ jika kita takut kita dipengaruhi. Ada pengguna setiap kali melihat ada menu baru dalam iklan kedai makanan segera, mereka tidak sabar untuk mencuba ataupun menikmati menu baru itu.

Cuba lihat di rumah kita, berapa banyak barangan ataupun perkhidmatan yang kita belikan tetapi kita tidak memerlukannya, ataupun yang diluar kemampuan kita.

Ada yang membeli handphone ‘canggih’ dengan pelbagai aplikasi, sedangkan pengguna tersebut hanya mengunakan telefon itu untuk menerima panggilan dan membuat panggilan. Handphone yang dibelinya itu ada aplikasi seperti melayari internet, menghantar email, menonton movie dan sebagainya.

Sehingga kini saya masih berjumpa dengan individu yang mengupgrade komputer mereka dengan membeli model baru. Apabila ditanya kenapa dia berbuat demikian, beliau berkata model baru ini dilengkapi dengan processor yang lebih pantas. Saya menanyakannya apakah kegunaan komputernya itu, beliau memberitahu untuk menulis surat dan membuat lapuran.

Jika aplikasi kita hanya mengunakan word, excel sebagai contohnya, tiada guna kita mengupgrade komputer, kerana dengan komputer baru kita taip A keluar juga A. Kita digalakkan membeli komputer baru, jika kita baru terniat dihati untuk menaip A, di skrin komputer kita itu sudah keluar perkataan A dan sebagainya. Salah satu yang menyebabkan sebahagian kita menghabiskan duit dari hasil kerja adalah akibat terpengaruh dengan iklan.

Islam juga melarang apabila kita melakukan tindakan yang membazirkan. Komputer lama masih dapat memenuhi keperluan semasa kita tetapi kita menghabiskan duit lagi bagi membeli komputer baru. Kita tidak mampu jika ingin mengejar populariti dengan menayangkan kepada orang disekeliling kita bertapa kita memiliki semua aplikasi yang terkini yang ada di pasaran. Hari ini kita membeli handphone mencecah ribuan ringgit, esok model yang lebih hebat dilancarkan dipasaran. Dalam keadaan ingin menunjuk-nunjuk kita sebenarnya telah menjadi agen pemasaran percuma bagi produk tersebut.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

4 comments on “Pengaruh Iklan – Membeli Sesuatu Di Luar Keperluan”

  1. Afiq Zaim Reply

    Assalamualaikum Tuan,

    Pagi ini sekali lagi saya membaca buku Tuan, `Hidup Tenang Walaupun Berhutang’ untuk memahami lagi tentang pengurusan kewangan.

    Sampai saja di bab tip untuk semua, bila terpandang 2 soalan yang tuan kemukakan
    (i) mampukah saya membelinya?
    (ii) adakah saya perlu memilikinya?,

    Teringat saya kepada wallet seseorang. Dia ada menulis ayat tersebut di atas kad dan menampal di dalam wallet beliau, memang saya rasa pelik dan kelakar ketika membacanya dan sekarang baru saya faham mungkin beliau ingin mengawal nafsu dan untuk peringatan kepada beliau ketika membeli sesuatu. Mungkin cara tersebut membuatkan beliau akan berbelanja secara berhemah.

    Tahniah Tuan, tak sia-sia buku yang tuan tulis ini. Banyak faedahnya dan ramai dah ikuti panduan yang tuan berikan.

    Afiq.

  2. Muhammad Hadif Haniq Reply

    Assalamualaikum Tuan Shamsuddin dan para pembaca sekelian.

    Saya bersetuju dengan Tuan Shamsuddin, iklan banyak mempengaruhi pengguna. Bukan setakat orang dewasa sahaja yang tertarik dengan iklan-iklan tetapi kanak-kanak malah bayi juga setiap hari terdedah dengan iklan-iklan di tv.

    Di sini penting bagi ibu bapa untuk menerangkan baik buruknya iklan-iklan yang disiarkan pada setiap hari. Sedikit demi sedikit peringatan dan nasihat kepada anak-anak pada setiap hari akan menjadikan anak-anak bijak dalam menilai sesuatu.

    Laman blog ini banyak membantu dan buku-buku yang ditulis oleh penulis seperti Tuan Shamsuddin dan penulis-penulis lain boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa dan kita semua.

    Tuan Shamsuddin, banyakkanlah lagi tulisan-tulisan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, hutang-piutang dam lain-lain untuk dijadikan panduan kepada semua terutama di zaman kegawatan sekarang ini.

    Terima kasih.

    Hadif Haniq.

  3. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudara Afiq,

    Semoga Allah mengurniakan kepada saudara dengan limpahan ilmu kewangan supaya ianya dapat menjaga saudara dari ‘tertipu’ dan dibebani dengan hutang yang tidak perlu. Saya juga doakan agar Allah membantu saudara dan para pelawat halaman ini, supaya mengandakan setiap wang yang diperolehi dengan perlaburan yang menguntungkan. Amin.

    Terima kasih di atas makluman tentang ayat tersebut di dalam wallet kawan saudara itu. Insyaa-Allah saya akan memaklumkan kepada peserta saya sebagai satu alternatif dalam mengawal nafsu kita.

  4. Shamsuddin Kadir Reply

    Waalaikummusalam Saudara Hadif Haniq,

    Terima kasih di atas sokongan saudara. Saya juga bersetuju bahawa anak kita perlu dilatih dan diterangkan tentang maksud iklan yang sebenar. Agar mereka juga dapat mengawal nafsu mereka.

    Insyaa-Allah saya akan tingkatkan bilangan entri berkenaan dengan kewangan terutama dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat secara mendadak sejak 2005.

Leave a Reply to Shamsuddin Kadir Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *