Archive for August, 2008

Selamat Hari Merdeka Ke-51 Tahun

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 51. Ini bermakna sudah 51 tahun kita ‘merdeka’ iaitu bebas dari ‘dijajah’. Apakah erti kemerdekaan kepada kita jika walaupun kita di negara sendiri tetapi terpaksa menjadi ‘hamba’ kepada nafsu dan ‘hamba’ kepada hutang. Bebaskan diri kita dan keturunan kita yang seterusnya sehingga hari Kiamat daripada terjebak ataupun menangung bebanan akibat terpenjara akibat bebanan kewangan yang tidak perlu.

Selain daripada membebaskan diri kita, ahli keluarga kita, keturunan kita daripada ‘penjajahan’ era baru, kita juga ada tanggungjawab bagi membebaskan ’saudara’ kita dari dijajah. Setiap orang Islam itu adalah bersaudara, bantu-membantu di antara satu sama lain, adalah sifat manusia sebenar.

Insyaa-Allah sebuah buku lagi yang sedang saya siapkan berkenaan dengan bagaimana ekonomi umat Islam dapat dibangunkan supaya semua umat Islam hidup dalam keadaan bersatu, tenang dan bahagian sepanjang hayat, Insyaa-Allah. Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan bagaimana kita dapat membangunkan ekonomi setiap muslim bagi memastikan kita dapat menguasai diri kita sendiri dan bukan dijajah.

Kita amat terbelakang di dalam menguasai ekonomi di dalam masyarakat kita sendiri. Semoga kehadiran buku itu nanti di pasaran mendapat sokongan Tuan dan Puan nanti. Semoga ianya menjadi amalan yang kita bawa ke akhirat nanti.

Salam kemerdekaan, bebaskan diri dari belenggu stres akibat kewangan diri.

Diari SK : Book Talk Di MPH Alamanda Putrajaya

Saya dengan rendah diri menjemput saudara dan saudari yang tinggal di Putrajaya ataupun yang akan berkunjung ke Alamanda, Putrajaya bagi menghadiri book talk pada 30 Ogos ini. Insyaa-Allah saya akan menjayakan booktalk pada hari sabtu ini selama 1 jam mulai jam 3.30 - 4.30 petang, di kedai buku MPH.

Kepada tetamu yang membaca buku-buku saya dan tetamu blog, penonton motivasi kewangan di TV3, saya amat mengalu-alukan kedatangan saudara/i bagi bertukar-tukar fikiran dan juga mengeratkan silaturahim.

Informasi di bawah ada dipamerkan di halaman www.mph.com.my.

 EVENT AT MPH ALAMANDA, PUTRAJAYA

Date/Time

Event

  

30 Ogos 2008 (Saturday)  

3.30 – 4.30pm

Kaya dengan RumahBooktalk: Secrets on the Importance of Property Investment in Malaysia by Shamsuddin Abdul Kadir, author of Kaya dengan Rumah, Buat Duit Dengan Rumah, Hidup Tenang Walaupun Berhutang, Makan Gaji Tetapi Kaya and many more.

Jika diizinkan Tuhan, kita akan bertemu di sana.

——————————————

Terima kasih di atas sokongan Tuan dan Puan semua yang telah turut serta dalam program bicara buku pada petang tadi. Tahniah juga kepada pemenang kuiz yang membawa pulang buku terbaru iaitu Buat Duit Dengan Rumah yang dimenangi oleh Puan Dayang Suzana dan Tuan Mior Mohd Fahmi manakala bagi buku Makan Gaji Tetapi Kaya di menangi oleh Tuan Abdul Latip (Penulis Tersohor Tanahair).

Ini adalah kali pertama saya membawa buah tangan kepada pendengar bicara buku saya. Ini sebagai ucapan terima kasih kepada pengunjung MPH yang telah menjadikan buku Kaya dengan Rumah menjadi buku  paling laris bagi bulan April dan Mei 2008 berdasarkan carta PTS. Manakala ketiga-tiga buku yang telah diterbitkan itu menjadi buku terlaris sepanjang 6 bulan pertama tahun ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong, saya amat menghargainya.

Kali pertama saya menjayakan booktalk di Alamanda pada Ogos tahun lalu sempena MPH BookTalk, insyaa-Allah saya akan datang lagi bulan hadapan bagi mempromosikan buku ‘Biskut Ajaib’ jika ada peluang.

Tonton Motivasi Pagi TV3, Sabtu 30 Ogos Ini

Saya dengan rendah diri sekali lagi menjemput saudara/i bagi menonton Motivasi Pagi di TV3 Pada hari sabtu, 30 Ogos 2008 jam 7.00 pagi.

Berikut adalah jadual Motivasi Pagi  terakhir oleh saya di TV3 untuk bulan Ogos 2008.

SABTU 30 Ogos - Minat Menabung

Motivasi pagi yang seterusnya adalah di bulan Oktober iaitu selepas hari raya. Insyaa-Allah, TV3 akan menyambung lagi di siri akan datang, jika mendapat sambutan mengalakkan.

Terima kasih juga kepada Puan SifuPTS di atas dorongan dan sokongan yang berterusan.

Saya amat mengalu-alukan sebarang pandangan berkenaan dengan isu yang dibicarakan, jika bersesuaian pandangan itu juga akan di hantar kepada pihak TV3 bagi meneruskan rakaman motivasi  kewangan di masa hadapan.

Saya memohon kemaafan, kerana rakaman itu tidak disiarkan pagi tadi. Mungkin pihak TV3 telah menukarkan tarikh siaran bagi rakaman yang keempat itu. Saya memohon maaf sekali lagi. Insyaa-Allah rakaman motivasi kewangan itu akan di keudarakan lagi di bulan Oktober nanti, selepas bulan berpuasa.

info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Diari SK: Sehari Di Maktab Polis DiRaja Malaysia

Saya akan berada di Maktab Polis DiRaja Malaysia, Cheras esok khamis, 28 Ogos 2008. Undangan dari Puan Ainon Mohd iaitu Chairman PTS, yang akan menjayakan kursus sehari di sana.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Bajet 2009 : Apa Yang Anda Harapkan

Pada 29 Ogos 2008 Perdana Menteri akan membentangkan bajet 2009. Apakah yang anda harapkan pada bajet kali ini? Adakah pemansuhan cukai, ataupun penurunan cukai dan mungkin kenaikan cukai untuk sesuatu barangan ataupun perkhidmatan ?

Sudah pasti setiap individu ada harapan masing-masing. Begitu juga dengan saya. Harapan saya bagi bajet 2009 antaranya adalah :

1. Cukai Perkhidmatan untuk makanan di restoran di luar hotel dihapuskan bagi mengelakkan individu terutama pekerja menangung kos ekstra yang dicajkan oleh peniaga.

2. Cukai perkhidmatan untuk makanan segera di kekalkan.

3. Meningkat jumlah ‘personal relief’ untuk diri sendiri dari RM 8,000 kepada RM10,000.

4. Meningkatkan jumlah ‘relief’ untuk isteri dari RM 3,000 kepada RM 5,000.

5. Penurunan cukai untuk individu.

6. Peningkatan rebet untuk membeli buku dari RM 700 kepada RM 1,200.

7. Menghapuskan cukai perkhidmatan yang perlu di bayar oleh orang awam bagi menikmati keperluan ‘asas’ seperti cukai perkhidmatan bagi ‘parking’, cukai atas pengunaan telefon, cukai atas tambang pengangkutan awam.

8. Cukai istimewa bagi pengusaha bisnes kecil - bagi orang yang baru memulakan perniagaan. Ataupun insentif cukai bagi rakyat yang baru ataupun ingin menceburi bisnes kecil yang mendaftar sebagai enterprise.

9. Menurunkan lagi cukai syarikat bagi mengalakkan lagi pertumbuhan bisnes dan menarik lebih ramai pelabur memulakan bisnes di Malaysia.

10. Meningkatkan lagi pelepasan cukai bagi royalti dari penulisan buku yang memandaikan rakyat daripada RM20,000 kepada RM 30,000 bagi mengalakkan penulis menghasilkan lebih banyak buku baik.

11. Menyediakan peruntukan kepada pengusaha industri buku memandaikan rakyat seperti peruntukan yang diberikan kepada industri perfileman (FINAS).

12. Kadar tol di bezakan di antara waktu puncak, waktu biasa, hujung minggu dan ketika musim perayaan. Di mana kadar tol mesti pada kadar yang rendah pada hujung minggu, ini kerana majoriti penguna adalah orang awam yang membawa keluarga bersiar-siar dan balik kampung.

13. Mewajibkan setiap individu beragama Islam membayar zakat secara tolakan daripada gaji, bagi memastikan pengagihan kekayaan di nikmati oleh orang-orang yang amat memerlukan seperti fakir miskin. 

dan banyak lagi. Insyaa-Allah akan disambung oleh para tetamu blog ini.

Surat Pembaca : Menggandakan Wang Saya

Assalamualaikum Tuan Sham,

Saya Shamsul (bukan nama sebenar) berumur 31 tahun dan berasal dari Alor Star dan sudah berkahwin.

Saya sudah membeli sebuah buku karangan tuan sham iaitu *Kaya dengan Rumah*. Banyak kali saya ‘khatam’ kerana ulasannya yang jelas dan kena dengan situasi semasa. Saya bekerja sebagai guru SM dan gaji boleh lah sara keluarga setakat ini.

Cuma selepas kenaikan harga minyak, budget terpaksalah lebih sikit dari sebelumnya. Jadi di sini saya ingin mendapat khidmat nasihat dan rujukan tuan Sham berkenaan bagaimana saya boleh menggandakan wang saya menjadi lebih berganda sebelum saya pencen pada umur 56 tahun nanti. Saya sudah target (tetapkan sarasan) pada umur 41 tahun nanti saya juga akan bebas hutang!!

Jadi, dalam saya bekerja saya telah berjaya mengumpul RM100,000 dalam ASB.
Bank? Sekadar alat transaksi sahaja.

Duit simpanan itu saya simpan dalam ASB saja. Nak dapat untung dari ASB terpaksa tunggu setahun sekali. ada naik
turun juga keuntungan ASB nie.

jadi bagaimana caranya saya boleh menggandakan wang simpanan saya itu menjadi lebih berganda sebelum saya
pencen dengan nilai simpanan terkumpul RM1juta.

Emmm insya-Allah. Dalam masa ini saya cuma ada* 4 hutang *yang sedang ditunaikan tanpa tergendala tiap-tiap bulan.

1-Hutang rumah(RM125000 sahaje) (beli rumah dengan Government loan)-potong via gaji
tiap bulan untuk selama 10 tahun RM1030.00. umur 41 tahun selesai hutang.

2-Hutang kereta (baki tinggal RM30k lagi settle).bulanan RM572- umur 36
selesai

3-Hutang PTPTN (baki tinggal RM16k lagi ) bulanan RM250- anytime boleh di jelaskan

4-Hutang ASB RM20,000 (loan bank XYZ ASB RM25,000)- bulanan RM200-anytime
boleh disettled. Ikut kawan ambil loan ini masa mula kerja dulu.

Jadi, bagaimana caranya saya boleh menggandakan wang simpanan saya ini?

Saya boleh menggunakan wang simpanan RM100k itu untuk menyelesaikan hutang-hutang yang saya listkan di atas tapi tak berjayalah saya untuk menggandakan wang saya itu tuan Sham.

Saya amat berharap tuan sham dapat memberi jalan kepada saya bersama tips-tips yang boleh saya ikuti.

Shamsul (Bukan nama sebenar)
Alor Setar

—————————

Waalaikummusalam,

Semoga Allah sentiasa melimpahi saudara dengan limbahan kebaikan yang datang mendadak dan keberkatan rezeki yang berterusan. Ya Allah perkenankan lah doaku ini. Amin. 

Syukur kerana saudara seorang daripada orang yang ‘terselamat’ kerana menangguhkan kepuasaan. Tahniah sekali lagi. Walaupun umur baru mencecah 31 tahun saudara sudah dapat mengumpul timbunan tunai RM100,000.

1. Saudara boleh meneruskan pembayaran ansuran rumah dengan pembiayaan oleh skim kerajaan.

2. Saudara juga boleh meneruskan ansuran pembayaran kereta ataupun membuat ‘full settlement’ jika perlu bagi mengurangkan bebanan kredit bagi mendapat lebih banyak pinjaman baru.

3.  Bagi simpanan di ASB saudara boleh kekalkan ataupun membuat beberapa pelaburan lain bagi mengandakan wang saudara itu.

  • Saudara boleh melaburkan sebahagiannya di dalam unit amanah yang syariah compliant, cari bank tempatan yang terkenal dengan unit amanah yang berdaya maju. Ada unit trust yang telah memberikan pulangan melebihi 20% setahun.

  • Saudara juga boleh mengunakan bagi membayar duit muka bagi membeli rumah perlaburan seperti yang saya nyatakan di dalam buku ‘Buat Duit Dengan Rumah’ yang akan memasuki pasaran dalam pertengahan bulan September dengan izin tuhan.

  • Berkenaan dengan bayaran ansuran pinjaman PTPTN itu saudara boleh teruskan tanpa menjelaskan secara sekaligus.

  • Berkenaan pinjaman yang dibuat dengan bank bagi membeli saham ASB itu saya tidak dapat memberikan pandangan kerana sehingga kini pinjaman yang disediakan oleh bank adalah berlandaskan ‘konvensional’ iaitu pinjaman bertunjangkan riba. Menggandakan wang melalui sistem konvensional adalah bertentangan dengan kehendak Allah.

  • Secara keseluruhan, saya berpendapat, saudara perlu memecahkan duit perlaburan saudara itu kepada beberapa jenis perlaburan yang ada di luar sana. Bagi memahaminya dengan lebih terperinci dapatkan buku Hidup Tenang walaupun Berhutang dan Makan Gaji Tetapi Kaya.

Dalam setiap pelaburan ada risikonya, kita dapat mengurangkan risikonya dengan banyak membaca buku yang berkaitan dengan perlaburan yang kita ingin ceburi.

Tahniah dan selamat berjaya.

Di alu-alukan tetamu blog bagi memberikan pandangan.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Surat Pembaca : Membeli Rumah dan Kereta Secara Tunai

Apa Khabar Tuan Sham,

Pertama sekali, saya hendak perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya AS (Bukan nama sebenar). Saya ingin minta maaf sekiranya tulisan saya ada kesalahan dari segi tatabahasa & sebagainya kerana sya tidak begitu pandai berbahasa Melayu. Harap tuan tidak kisah. Saya sebenarnya ada membaca buku tuan yang bertajuk ” Makan gaji tetapi Kaya”. Buku ini amat menarik perhatian saya.

Saya ingin bercerita sedikit tentang perjalanan hidup saya untuk dikongsi bersama, Saya berkelulusan ijazah dari sebuah universiti tempatan pada tahun 2006. Sekarang saya berumur 25 tahun dan bekerja di Pulau Pinang di XYX (Sebuah syarikat komputer). Saya menerima gaji 2 ribu lebih pada setiap bulan, saya ada menyimpan hampir 75% gaji saya di dalam saham. Untuk pengetahuan tuan, kerja saya berhadapan tekanan yang hebat kerana perlu berurusan dengan pelanggan dan pihak-pihak lain. Tekanan ini menyebabkan saya menggunakan segala wang yang diperolehi pada setiap hujung bulan dengan sebaik-baiknya kerana saya berpendapat wang yang diperoleh itu terlalu bernilai.

Untuk pengetahuan tuan juga, saya tidak menggunakan Kad Kredit, Kereta, Komputer atau membuat pinjaman lain seperti pinjaman perumahan dan sebagainya kerana saya terlalu takut untuk berhutang. Saya juga tidak pasti sama ada, saya disifatkan sebagai seorang yang kedekut ataupun tidak. Wang yang saya peroleh pada setiap bulan hanya digunakan untuk membayar balik pinjaman PTPTN, sewa rumah, bil air & elektrik dan makan minum. Selebihnya saya akan laburkan di dalam saham. Saya juga ingin mempunyai rumah dan kereta sendiri seperti orang lain tetapi saya bercadang untuk membayarnya secara tunai kerana saya terlalu takut untuk berhutang.  Saya rasa pasti hidup tidak akan bahagia sekiranya saya berhutang. Saya tidak pasti ini adalah idea yang bernas ataupun tidak.

Untuk pengetahuan tuan lagi, saya bercadang untuk berhijrah ke Australia 2 tahun lagi. Untuk mencari pekerjaaan baru. Ia sememangnya sesuatu yang nampak tidak masuk akal. Tetapi itulah impian saya sejak hari pertama masuk ke universiti.

Seandainya tuan bertanya kepada saya apa yang ingin saya capai di sana?  Saya sebenarnya ingin menjadi seorang yang hebat dan menjadi Jutawan. Sebab itulah saya peruntukkan sebahagian besar gaji saya untuk dilaburkan.

Untuk pengetahuan Tuan Sham lagi, saya sebenarnya merupakan seorang yang tidak pandai dalam pelajaran, namun keputusan SPM saya telah melayakkan saya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6. Saya terpaksa belajar bersungguh-sungguh dan berkorban semasa di Tingkatan 6 semata-mata mahu memastikan saya berjaya memperoleh tempat di universiti. Akhirnya, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Di universiti juga, saya perlu berkorban lagi untuk memastikan saya berjaya dengan cemerlang. Saya berjaya mendapat segulung ijazah pada tahun 2006. Sebab ini jugalah menyebabkan saya berjimat.

Sekarang saya berasa bangga dengan diri sendiri tetapi sentiasa merasakan bahawa saya sebenarnya boleh berjaya lagi,,,. Saya sebenarnya merupakan seorang yang takut membuat keputusan dan berhadapan dengan cabaran baru (fobia). Saya juga merupakan seorang yang takut kehilangan pekerjaan, sebab ini juga menyebabkan saya berjimat dan tidak berhutang.

Saya ingin meminta pendapat Tuan tentang beberapa masalah saya:

1) Adakah tindakan saya menyimpan wang di dalam amanah saham sehingga 75% dari gaji merupakan tindakan yang betul?2) Adakah idea saya untuk membayar secara Tunai untuk pembelian rumah atau kereta merupakan tindakan yang betul?

3) Adakah penyimpanan harta dalam bentuk Tanah dam Emas boleh membawa pulangan yang tinggi?

4) Saya sering berhadapan tekanan dari pelbagai pihak dalam pekerjaan dan membawa kesan negatif kepada kesihatan dan masalah tidur kepada saya. Minta tuan memberi beberapa tips dalam mengatasi masalah ini

Akhir sekali, terima kasih kerana sudi mendengar masalah saya dan berharap agar tuan sihat selalu serta murah rezeki  Maaf sekali lagi sekiranya ada kesalahan dalam tulisan Sekian,

AS

Pulau Pinang

—————————-

Salam sejahtera Saudara AS,

Bahasa yang saudara gunakan sungguh baik. Pertama-tamanya saya ingin mengucapakan tahniah kepada saudara kerana dapat menyimpan 75% daripada gaji pada setiap bulan. Itu adalah satu langkah permulaan yang amat baik. Tindakan saudara tidak ingin berhutang juga satu lagi sifat yang amat terpuji ada pada saudara. Tahniah sekali lagi.

Saya tidak sempat untuk menjawab ke semua pertanyaan ataupun dilema yang dihadapi oleh saudara, kerana kesuntukan masa dan ada di antara perkara yang ditanya itu saya tidak ada pengetahuan mendalam. Walau bagaimanapun tetamu-tetamu blog www.shamsuddinkadir.com akan membantu saudara memberikan pelbagai pandangan yang kita boleh renungkan bersama.

Berkenaan dengan pertanyaan pertama saudara :

Saudara telah membuatkan tindakan yang terbaik dengan berbelanja tidak melebihi 25 peratus ketika ini. Saya yakin dengan izin tuhan, saudara tidak akan mengidapi penyakit berbahaya iaitu ‘dibebani dengan hutang’. Berkenaan dengan tindakan tuan melaburkan 75% dalam saham amanah itu, saya tidak dapat huraikan secara terperinci cuma fahami pepatah ini “Jangan letakkan semua telur di dalam satu bakul”. Saya cadangkan saudara terus membaca buku saya yang lain iaitu buku  Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan buku Kaya Dengan Rumah.

Pandangan berkenaan dengan pertanyaan kedua saudara :

Ramai juga individu yang membeli rumah dan kereta secara tunai. Sebuah rumah yang berharga RM200,000 yang dibeli secara bayaran ansuran selama 20 tahun, umpama saudara membeli dua buah rumah. Satu buah rumah saudara hadiahkan kepada bank dan rumah kedua itu milik saudara. Maksudnya jumlah keuntungan yang saudara perlu bagi kepada bank kerana membiayai pembelian rumah itu menyamai jumlah pinjaman tersebut. Sebenarnya saudara tidak perlu risau tentang kos keuntungan oleh bank. Jika untuk kereta saya tidak merasakan pelik, tetapi jika untuk rumah terutama di kota, kenaikan harga rumah yang mendadak mungkin membantutkan usaha kita memiliki rumah. Walau bagaimanapun jika duit gaji ataupun duit perlaburan saudara bercambah lebih cepat berbanding dengan kenaikan harga rumah, silakan membelinya secara tunai.

Pandangan berkenaan dengan persoalan saudara yang ketiga:

Saya telah menghuraikannya dalam buku Kaya Dengan Rumah, secara ringkasnya pulangan amat lumayan dalam hartanah. Manakala untuk emas sekadar memiliki di dalam jumlah yang dalam kita tidak pening ataupun risau memilikinya.

Pandangan berkenaan dengan persoalan saudara yang keempat:

Saya belum ada pengetahuan yang mendalam di dalam isu ini, walau bagaimanapun saya menyarankan kepada saudara bagi mendapatkan buku-buku berkenaan dengan pengurusan stress dan bagaimana menguruskan diri sewaktu di pejabat. Banyak buku yang membicarakan isu ini secara terperinci di pasaran.

Saudara juga perlu banyak lagi membaca agar saudara mengetahui kenapa kita perlu banyak membuat keputusan dan bukannya takut membuat keputusan. Takut membuat keputusan akan menjadikan kita orang yang tidak pernah ‘gagal’ Orang yang gagal adalah orang yang tidak sanggup bertindak dan melakukan sesuatu yang mereka tidak pernah melakukannya.

Secara keseluruhan saya tidak jelas dalam satu perkara, apakah yang saudara ingin lakukan di Australia bagi mencapai impian menjadi orang yang hebat dan jutawan? Pada pandangan saya dengan umur saudara yang masih muda dan dengan dan kepandaian saudara menanguh kepuasaan, saudara juga boleh menjadi  orang terhebat dan juga jutawan di Malaysia dengan izin Tuhan.

Antara Beli Dan Sewa Rumah

Salam,

Antara dengan beli rumah dan sewa rumah pada masa bujang, mana yang lebih menguntungkan? Bagaimana pula, bila yang baru berkahwin?

Terima kasih

 ZI

—————————————–

Salam saudara ZI,

Terima kasih di atas pertanyaan yang bagus. 

Bila kita patut beli rumah, sebelum ataupun selepas berkahwin. Mengikut kajian perempuan ataupun isteri lebih menghormati lelaki yang ada harta bujang seperti rumah. Harta bujang seperti rumah ataupun tanah yang dibeli oleh individu bernama lelaki amat di sanjungi oleh bakal isteri kerana ianya menunjukan bakal suaminya seorang yang bijak dan berfikir tentang masa hadapan. Bukan sahaja bakal isteri yang kagum, ibubapa mertua juga melihat bakal menantunya adalah orang yang matang kerana berfikir untuk hari tua.

Memiliki harta seperti kereta, tv, radio, komputer, handphone canggih, laptop tidak termasuk di dalam harta bujang yang memikat naluri sebenar isteri. Ini bukannya bererti lelaki yang tidak ada rumah itu tidak pandai dan bijak, cuma ianya memberikan kredit kepada lelaki yang memilikinya.

Itu jika kita lihat dari sudut pandangan wanita dan bakal ibubapa mertua kita. Bagaimana pula dengan pandangan diri kita sendiri?

Jika ada kemampuan dan kita tidak akan berpindah melebihi 70 km contohnya, di masa hadapan, adalah amat sesuai kita membuat pelaburan. Ada banyak lagi isu yang kita perlu fikirkan. Rujuk kepada buku Kaya Dengan Rumah.

Akan tetapi rumah  pertama yang bagus untuk dibeli adalah rumah perlaburan dan bukannya rumah indaman. Saya menyarankan seramai yang mungkin individu yang bergelar lelaki dan juga perempuan bagi memiliki telaga emas dengan memiliki rumah perlaburan.

Jika ketika ini kita tidak ada duit bagi membayar duit muka dan kos peguam, gunakan peluang untuk menyewa terlebih dahulu. Sebaiknya bagi individu yang masih bujang, beli sebuah rumah perlaburan, sewakan sebahagian bilik dan pastikan anda dapat menjelaskan ansuran rumah bulanan dengan mengenakan sewa ke atas setiap kawan anda yang lain yang tinggal menyewa di rumah anda itu.  Ini bermaksud, anda tinggal di rumah anda itu secara percuma.

Itu adalah maklumat secara ringkas yang saya dapat sediakan. Kepada saudara yang sarankan bagi memahami setiap bab yang dimaksudkan di dalam buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang, Makan Gaji Tetapi Kaya terlebih dahulu. Jika sudah membacanya saudara boleh memiliki buku Kaya Dengan Rumah dan Buat Duit Dengan Rumah.

Emel : info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Diari SK : Bengkel English Sure Boleh

Pada pagi Jumaat  saya bergegas ke seksyen 7 Shah Alam, atas jemputan  sahabat baik Tuan Osman Affan (rakan trainer) bagi mengikuti bengkel English Sure Boleh. Bengkel separuh hari ini yang bermula pada pukul 9 pagi di anjurkan oleh English SeminarCoach Ridz dan Coach Sha yang saya kenali pada kali pertama di bengkel Train of trainers (TOT) yang dijayakan oleh Tuan Osman Affan pada awal tahun yang lalu.

Bengkel English Sure Boleh dijayakan untuk  untuk guru tadika di Akademi Irsyadiah, seksyen 7 Shah Alam. 

Saya sebenarnya datang sebagai pemerhati, tetapi turut menjadi peserta program ini. Selepas mengikuti program English Sure Boleh, saya mendapati program ini adalah program ‘wajib’ untuk diikuti oleh setiap ibubapa, guru tadika dan setiap individu yang masih merasakan dirinya ada kekurangan di dalam berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris. 

Jika diberikan penilaian secara keseluruhan program 4 jam yang saya ikuti tadi, saya memberikan 9.9  daripada markah penuh 10.

Jika diberikan peluang oleh Coach Ridz dan Coach Sha, saya ingin datang lagi program yang amat menyeronokkan ini.

Apa yang paling mengejutkan saya adalah apabila mendapat tahu mereka mengenakan yuran RM50 seorang sahaja. Bagi saya kursus ini bernilai jauh lebih tinggi daripada harga RM50 itu. Bag ‘goody’ yang diberikan juga penuh dengan aksesori yang percaya kita mungkin tidak dapat sebanyak ini walaupun membayar RM 200 seorang.

Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program-program yang di anjurkan oleh Coach Ridz da Coach Sha boleh melayari www.englishguru.com.my .

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas peluang yang diberikan bagi menghadiri bengkel English Sure Boleh, terima kasih Coach Ridz dan Coach Sha. Saya ingin datang lagi…

Gambar dalam halaman ini disalin dari www.motivasibelajar.com (Halaman Tuan Osman Affan).

Kemahiran yang dipelajari di dalam sesi ini memastikan kita tidak perlu dibebani kos yang melampau bagi mendidik anak dan diri kita pandai berkomunikasi dalam bahasa mat salleh.

Berapa Banyak Peruntukan Duit Raya?

Berapakah jumlah duit yang perlu diperuntukkan untuk duit raya? Setiap individu mempunyai bajet yang berbeza, bergantung kepada jumlah duit yang ada dan juga jumlah yang kita ingin berikan saudara mara, jiran dan tetamu.

Adakah perlu kita memberikan duit raya yang banyak kepada saudara mara dan apakah rasionalnya?

Apakah pesanan ‘message’ yang difahami oleh kanak-kanak apabila kita memberikan duit raya yang banyak kepada mereka?

Kadangkala kita ataupun pasangan kita menghadapi dilema apabila ingin menentukan jumlah duit raya yang kita ingin berikan. Sebaiknya jangan pedulikan jumlah yang individu lain berikan kepada anak kita (jika kita sudah ada anak), kita tentukan berdasarkan kepada kemampuan kita. Bagi memastikan kita tidak bersangka buruk terhadap individu lain, elakkan daripada melihat jumlah duit raya yang diberikan oleh individu lain kepada anak-anak kita. Kumpulkan semua duit raya sebelum membukanya, ini bagi memastikan kita tidak mengingati siapa yang memberikan RM1 dan siapa yang memberikan RM 100.

Jika kita telah tetapkan kita akan memberikan RM 1 kepada anak saudara kita, elakkan daripada menambah jumlah itu apabila kita melihat adik-beradik kita yang lain memberikan RM 10 kepada anak kita. Pemberian kita adalah berdasarkan jumlah yang kita mampu. Jangan bebani kos duit raya kita disebabkan tidak sanggup berhadapan dengan saudara mara dan jiran tertangga dengan memberikan dengan jumlah yang sedikit.

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Harga Minyak Petrol Turun Esok

Mulai 12.01 malam ini harga minyak petrol Ron 97 turun sebanyak 15 sen. Pemilik kenderaan yang mengunakan petrol hanya perlu membayar RM 2.55 sen. Penurunan harga minyak di harap dapat membantu menurunkan inflasi yang dikatakan setinggi 8.8% pada bulan Julai 2008. Kadar inflasi setinggi itu membuatkan lebih ramai individu yang ketika ini berbelanja 100% duit gaji berhutang. Hutang yang dibuat melalui kad kredit, skim ansuran mudah, pinjaman peribadi dan ‘ah long’.

 

Tonton Motivasi Pagi TV3, Sabtu 23 Ogos Ini

Saya dengan rendah diri sekali lagi menjemput saudara/i bagi menonton Motivasi Pagi di TV3 Pada hari sabtu, 23 Ogos 2008 jam 7.00 pagi.

Esok tepat jam 7.00 pagi di TV3.

Berikut adalah jadual Motivasi Pagi oleh saya di TV3 untuk bulan Ogos 2008.

SABTU 23 Ogos - Minat Menabung

SABTU 30 Ogos - Merancang Sara Hari Tua

Terima kasih juga kepada Puan SifuPTS di atas dorongan dan sokongan yang berterusan.

Saya amat mengalu-alukan sebarang pandangan berkenaan dengan isu yang dibicarakan.

 

info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Diari SK : Book Talk Di MPH Alamanda Putrajaya

Insyaa-Allah saya akan berada di Alamanda Putrajaya mulai pukul 3 petang pada hari Sabtu,30 Ogos ini. Saya akan menyampaikan book talk di kedai rangkaian buku MPH. Saya dengan rendah diri menjemput saudara/i yang ada kelapangan untuk turut serta di dalam program yang akan dianjurkan pada 30 Ogos ini. 

MPH Alamanda Putrajaya

Tarikh: 30 Ogos 2008 (Sabtu)
Penulis: Shamsuddin Abdul Kadir
Masa: 3.30 - 4.30 petang

Buku: Kaya Dengan Rumah

Diskripsi: Membongkar rahsia kepentingan melabur dalam hartanah di malaysia bersama penulis.


 

Maklumat di atas di salin dari www.universitipts.com iaitu halaman Puan SifuPTS.

info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Persediaan Menghadapi Hari Lebaran

Hari lebaran bakal muncul tiba selepas sebulan kita berpuasa, tetapi persiapan di lakukan 1 - 2 bulan awal. Pada ketika ini tempahan bagi menjahit baju kurung, Melayu atau lebih spesifik baju raya sudah ditutup. Kebanyakan kedai jahit sudah tidak lagi menerima tempahan.

Jika dahulu persiapan duit raya yang paling diutamakan tetapi sejak 15 tahun ini, terdapat perubahan yang besar dalam keutamaan perbelanjaan.

Ada pasangan yang sedang memilih sofa, langsir dan pelbagai lagi peralatan rumah yang ingin ditukar baru. Keperluan ini wujud dalam sebahagian individu terutama wanita yang mengangapkan satu kemestian ‘wajib’ setiap kali ingin menyambut kedatangan hari lebaran.  

Ada yang sedang memikirkan kereta apa yang ingin ditempah dalam masa terdekat, supaya ianya dapat digunakan ketika menyambut hari lebaran. Keperluan membeli kereta baru bagi memenuhi tuntutan keperluan ‘Kereta Raya’.

Bagaimana jika pada tahun ini kita hanya membelanjakan pakaian raya yang boleh dipakai juga selepas hari raya, iaitu dipakai untuk ke pejabat, ke rumah jiran dan menghadiri jemputan kenduri. Ada pakaian yang dibeli hanya sesuai di pakai ketika hari raya dan majlis tertentu sahaja.

Adakah hari lebaran menjadi suram apabila perabut, langsir, kereta, meja makan tidak ditukar baru?

Adakah hilang seri hari raya apabila kuih dan biskut raya yang disediakan adalah dari jenis biasa dan murah dan bukannya yang penuh dengan bahan yang tidak baik untuk kesihatan?

Kebanyakan tindakan yang dilakukan oleh kebanyakan individu yang menukarkan perabot, langsir, kereta setiap kali kedatangan hari lebaran bukannya kerana ingin mengindahkan suasana hari lebaran tetapi lebih bagi memuaskan ‘ego’. Puas apabila dapat menunjukkan kepada para tetamu di atas keupayaan menukarkan dengan semua yang baru. Adakah itu ‘roh’ hari raya yang kita ingin hidupkan?

Saya cukup teruja apabila melihat seorang individu yang saya amat kenali yang cukup sederhana di dalam berbelanja untuk dirinya sekeluarga. Sebaliknya dia memperuntukan sebahagian besar duit raya bagi diberikan kepada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim yang beliau temui sewaktu pulang berhari raya di kampungnya.

Ada yang berbelanja sehingga berpuluh-puluh ribu untuk langsir rumah, adakah ianya berbaloi? Bagaimana dengan keadaan orang miskin yang tidak tentu sama ada mereka dapat makan esok hari? Mengurus kewangan bukan sahaja memastikan perbelanjaan itu mesti di dalam kemampuan kita, tetapi kita juga perlu memastikan kita tidak berbelanja dengan membazir.

Wang bonus ataupun duit gaji bukannya diperuntukkan bagi menunjukkan kepada tetamu dan orang ramai bahawa kita ada duit dan mampu beli apa yang baru. Menukarkan peralatan yang masih dalam keadaan elok dan selamat adalah satu langkah yang membazir.

Gunakan duit yang saudara/i dapat jimatkan daripada membeli barangan ‘keegoaan’ itu untuk dilaburkan. Hasil daripada perlaburan nanti dapat digunakan bagi membiayai impian hakiki anda. Berhati-hati dengan jurujual yang sibuk mempromosikan produk-produk yang sebenarnya saudara/i tidak perlukan bagi memastikan hari raya dapat disambut dengan ketenangan dan penuh kebahagian.

Elakkan daripada bertanding ataupun membuat perbandingan dengan jiran ataupun sesama adik-beradik, ipar duai dalam menyediakan persiapan menyambut hari lebaran. Jika sifat itu ada pada kita, ianya tanda bertapa egonya kita. Duit sebanyak manapun tidak akan cukup bagi membiayai keegoaan kita. Tengok berapa banyak sudah duit yang kita bazirkan bagi membiayai hari lebaran selama ini? Adakah kita ingin meneruskannya pada tahun ini?

Elakkan juga daripada mendidik anak kita dengan membeli mereka pakaian yang ‘mewah’ kerana apa yang mereka pelajari hanya satu iaitu ‘kepentingan menunjukkan keegoaan kepada orang lain’. Beli pakaian baru yang selesa di pakai dan harga yang murah’.

emel : info@shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Menjawab Emel Secara Individu

Bagi makluman semua tetamu www.shamsuddinkadir.com yang saya muliakan, saya mengalu-alukan sebarang pertanyaan yang berkenaan dengan kewangan. Ianya boleh diajukan sama ada melalui ruangan komen yang disediakan di halaman ini, ataupun melalui emel yang di hantar ke info@shamsuddinkadir.com ataupun shamsuddinkadir@yahoo.com.

Di sini saya ingin memaklumkan sekali lagi bahawa saya hanya memberikan pandangan ataupun maklumbalas terhadap emel ataupun pertanyaan Tuan dan Puan melalui entri di halaman www.shamsuddinkadir.com sahaja. Ini kerana masa terluang yang saya ada amat terhad dan tidak mampu bagi menjawab setiap emel dan pertanyaan secara peribadi yang dikemukakan oleh tetamu blog, pembaca buku, peserta kursus, penonton motivasi kewangan di TV3 dan lain-lain.

Oleh itu, hampir semua pertanyaan yang diajukan akan dijawab di ruangan blog bagi memastikan tetamu lain juga mendapat manfaatnya. Insyaa-Allah nama penghantar emel yang sebenar tidak akan digunakan kecuali berkenaan isu yang tidak akan mengaibkan penghantar emel tersebut.

Bagi tetamu yang mahukan saya membalas pertanyaan berkenaan kewangan  secara peribadi, saudara/i boleh menanyakan ketika saya menjayakan kursus ataupun ceramah di  organisasi saudara/i.  Saya boleh di hubungi melalui emel info@shamsuddinkadir.com bagi menjayakan kursus ataupun ceramah di organisasi saudara/i.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!