Archive for September, 2008

Saya Memohon Maaf Zahir Dan Batin

Assalamualaikum wbt,

Kepada semua tetamu blog Shamsuddinkadir.com (SK), pembaca buku-buku yang ditulis oleh SK, peserta-peserta kursus, pendengar bicara kewangan di corong radio bersama SK, penonton motivasi pagi di TV3 bersama SK dan semua mentor-mentor yang saya amat muliakan.

Pertama-tamanya saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan Dato’, Tuan dan Puan semua yang membantu sehingga saya dapat mencapai sehingga tahap ini dalam meningkatkan kesedaran bertapa pentingnya menguasai ilmu kewangan dan juga keupayaan menguruskannya. 

Saya memohon maaf kerana tidak sempat bagi menulis entri yang sempurna bagi memohon maaf zahir dan batin di atas segala tindakan saya sama ada secara terlanjur ataupun dengan sengaja (jika ada) selama kita berkenalan sama ada secara berdepan ataupun di alam maya.

Saya ada exam pada hari sabtu ini sebelum berangkat pulang pada sebelah malamnya. Sekarang tengah mengadap  nota persediaan sebelum melangkah ke bilik peperiksaan pada hari sabtu ini.

Insyaa-Allah entri terbaru akan bermula pada hari Ahad 29 September ini.

Maaf Zahir dan Batin

Shamsuddin Abdul Kadir

info@shamsuddinkadir.com @ shamsuddinkadir@yahoo.com 

Hari Ini 1.2 Juta Kakitangan Kerajaan Berpesta

Sejak dari pukul 12.01 minit pagi tadi, 1,200,000 kakitangan kerajaan menerima duit bonus. Jalan raya di Kuala Lumpur mulai sesak pada hari ini, kerana sebahagian daripada kakitangan mengambil cuti bagi ‘menghabiskan’ duit bonus yang baru diterima itu.

Sudah pasti majoriti kakitangan menunggu duit bonus itu, kerana tanpanya mungkin raya tahun ini tidak dapat balik kampung. Ada yang tidak dapat membeli baju baru tanpa duit bonus. Di antara kakitangan kerajaan yang tidak mengharapkan duit bonus bagi menyediakan persiapan menyambut hari raya adalah Kart (Pembaca terawal buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang).

Saya mendoakan agar sekurang-kurangnya kakitangan kerajaan dan swasta turut mencontohi Kart yang tidak lagi bergantung kepada duit bonus selepas berbelanja mengikut sistem sampul surat.

Sebaiknya sebelum Tuan dan Puan mengeluarkan duit tersebut, pastikan senarai perbelanjaan menyambut hari raya sudah dimuktamadkan supaya Tuan dan Puan boleh berbelanja terhad kepada jumlah yang telah saudara peruntukannya.

Selamat berbelanja mengikut apa yang telah ditetapkan di dalam senarai.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Diari SK: Temujanji Dengan Pegawai Bahagian Latihan

Setiap kali datangnya bulan Ramadan saya mengunakan kesempatan membuat temujanji dengan kakitangan yang mengendalikan urusan latihan dan pembangunan organisasi bagi memperkenalkan perkhidmatan Ultra Mind Resources. Ketika bulan Ramadan adalah masa sesuai bagi bertemu dengan kakitangan yang menguruskan hal ehwal latihan. Di mana kursus-kursus yang dianjurkan pada bulan Ramadan amat berkurangan.

Insyaa-Allah pada pagi ini saya akan ke ibupejabat Felda Holding Bhd berdekatan dengan Universiti Teknologi Malaysia Cawangan Kuala Lumpur di jalan semarak dan juga akan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jalan Duta.

Esok, di sebelah pagi saya akan ke SUK Selangor, manakala pada sebelah petang saya akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) di Hotel De Palma, Ampang. 

Saya juga mengalu-alukan sebarang jemputan daripada mana-mana organisasi bagi mengadakan pertemuan membincangkan keperluan kursus yang disediakan oleh Ultra Mind Resources. Tuan ataupun Puan boleh menghubungi saya di 019 300 1 200 ataupun emelkan ke info@shamsuddinkadir.com

Membiayai Sambutan Aidilfitri Dengan Berhutang

Setiap kali ketibaan bulan Ramadan, ada di antara kita tertekan memikirkan persediaan menyambut hari raya. Tertekan kerana tidak ada duit bagi menyediakan keperluan asas pada hari raya dan ada juga tertekan kerana ingin menyambut hari raya secara besaran.

Kategori orang fakir dan miskin adalah kategori  individu yang mungkin tidak dapat menyediakan baju baru untuk anak-anak mereka tanpa ada bantuan daripada insan yang mulia. Kategori yang kita ingin bincang bersama pada entri kali ini adalah kategori orang biasa tetapi ingin merayakan melebihi daripada kemampuan.

Apabila kita membiayai sambutan Aidilfitri dengan berhutang,

  • kita sebenarnya telah berbelanja di luar kemampuan

  • Kita sebenarnya ingin ‘menunjuk-nunjuk’

  • kita sebenarnya telah dipengaruhi oleh nafsu

  • kita sebenarnya ‘mungkin’ tidak mendapat kebaikan yang ada di bulan Ramadan,

  • kita sebenarnya terlalu ego yang tidak boleh dipatahkan

  • kita sebenarnya rabun kewangan, kita sebenarnya sedang diperalatkan

  • kita sebenarnya akan dibebani dengan hutang piutang yang menghilangkan ketenangan

Mulakan raya pada tahun ini dengan memastikan setiap perbelanjaan adalah dibiayai secara tunai.

Ini bermakna jika kita membuat pembayaran bagi membeli baju, kuih dan sebagainya mengunakan kad kredit, kita perlu membayar balik jumlah hutang yang dibuat mengunakan kad kredit sebaiknya sebelum kita balik beraya.

Kos servis kereta, minyak, tol seharusnya dibiayai dengan duit sendiri dan bukannya mengunakan kad kredit bagi menyelesaikan masalah tiada duit mencukupi untuk balik raya di kampung.

Bagi menjaminkan kita sentiasa hidup di dalam kemampuan, pastikan setiap transaksi mengunakan kad kredit, kita mempunyai duit di dalam bank untuk menjelaskannya hari ini. Jika kita terpaksa menunggu hujung bulan, iaitu apabila mendapat gaji baru dapat bayar hutang, kita sebenarnya telah hidup dalam ketidaktentuan. Umpama nyawa di hujung tanduk lembu.

Tinggalkan kad kredit di rumah jika kita takut ianya mempengaruhi kita bagi membeli baju-baju dan persiapan raya yang di luar batasan keupayaan kita.

Jika tahun ini kita tidak mampu bagi membeli baju baru, tidak mengapa kerana syarat sah sembahyang hari raya bukannya terletak kepada baju baru ataupun baju lama. Kemeriahan hari raya juga masih kita rasai, kerana kemeriahan yang sebenarnya adalah di dalam kita sendiri. 

Selamat berbelanja secara tunai! Islam menegah/melarang umatnya yang berbelanja secara berhutang bukan kerana bagi sesuap nasi, tetapi bagi menjaga status ‘keegoaan’ yang ada pada diri kita.

“Bulan Ramadan belum sampai ke penghujungnya, ada yang sudah terjebat dengan dosa”

Ubat Kepada Kebodohan Adalah Bertanya

Setiap penyakit itu ada penawarnya, begitu juga dengan penyakit bodoh ataupun tidak tahu yang ada dalam diri kita. Ubat bagi merawatinya adalah dengan bertanya. Ya, dengan bertanya kita dapat mengetahui dengan jelas tentang sesuatu yang kita belum ataupun kurang memahaminya.

Saya masih mengingati sewaktu berada di tingkatan 2, saya suka sangat bertanya kepada cikgu tuisyen (seorang pakcik yang berumur 75 tahun dengan pendidikan sehingga darjah 3).

Saya merasa pelik ketika itu kenapa pelajar lain tidak bertanya kepadanya.

“Pakcik kenapa mereka tidak bertanya kepada pakcik?” Tanya saya ingin kepastian

“Mereka tidak tahu apa yang mereka tidak tahu” Jawab pakcik ringkas 

“Habis, kenapa pula saya suka bertanya?” Tanya saya lagi untuk mendapat kepastian

“Sham tahu apa yang sham tidak tahu” Jawab Pakcik Yusof

“Apabila fikiran kita terbuka, kita suka bertanya ataupun mencari sumber bagi menyelesaikan kekusutan yang berlaku di dalam kehidupan harian kita”

Saya membicarakan isu ini apabila teringat kepada kata-kata ustaz yang menyampaikah kuliah subuh pada pagi Sabtu 20 September 2008.

Di zaman Nabi dahulu ada seorang lelaki yang ditimpa batu besar yang mengena kepalanya, yang mengakibatkan banyak darah keluar daripada bahagian kepalanya itu. Beliau bertanya kepada sahabatnya bolehkah dia bertayamun, sahabatnya berkata tidak boleh kerana air ada. Lalu beliau mandi dan sejurus itu beliau mati. Sahabatnya pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w dan menceritakan apa yang telah berlaku, Nabi memaklumkan kepadanya bahawa beliau telah membunuh sahabatnya itu. Jika sahabatnya itu bertanya orang lain dahulu mengenai isu bolehkan kawannya bertayamum, mungkin nyawa kawannya itu dapat diselamatkan. Nabi menyambung lagi “Ubat kepada kebodohan adalah bertanya”.

Ini yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita, bahawa kebanyakan kita adalah jenis yang segan hendak bertanya. Dengan mengaplikasikan budaya membaca dan membina rangkaian dengan orang yang berilmu (mentor) kita dapat mengubati setiap kebodohan yang ada pada diri kita.

Iman Syafie pernah berkata “Semakin aku belajar, semakin aku kenal akan kebodohan diriku sendiri”

SPOKEN ENGLISH Cuti Sekolah In Klang Valley Dec 08

Di  sini saya ingin mewawarkan tentang satu program yang dianjurkan oleh rakan trainer (CoachRidz dan CoachSha) yang akan di adakan pada bulan 12 ini.

Saya menyokong sepenuhnya program oleh mereka (englishguru.com.my) kerana yang pertama :

  • Saya bersetuju dengan kaedah yang dipratikkannya, kerana ianya adalah kaedah yang paling praktikal

  • Ianya bernilai untuk setiap sen yang dibelanjakan

Saya juga menyarankan kepada ibubapa untuk turut serta menyertai program separuh hari “English Sure Boleh” supaya senang kita memahami bagaimana anak kita dapat berkomunikasi dalam bahasa English dengan mudah dan cepat tanpa perlu bersusah payah dan menghabiskan duit. Saya pernah menghadirinya.

Maklumat di bawah di salin dari halaman www.englishguru.com.my

SPOKEN ENGLISH Cuti Sekolah in Klang Valley Dec 08

Enrol your kids now for fun-filled school holiday experience with us. *Locations* #Bandar Baru Bangi (Seksyen 9) #Seri Kembangan (Taman Equine) #Shah Alam (Seksyen 7) #Tmn Keramat Permai- LRT Setiawangsa *Total hours : 10 hours (5 consecutive days) *Class size : 6-8 students *Fee : RM10 per hour only + RM50 reg *Schedule : will be posted soon ** BOOK YOUR PLACE NOW!!** coachsha@englishguru.com.my

Baju Baru vs Baju Raya

Pada hari Rabu 18 September 2008 yang lalu saya menyampaikan ceramah bertajuk “Persediaan Perbelanjaan Menghadapi Aidilfitri” di SUK Negeri Selangor. Terima kasih kepada Tuan Khairul Ashraff di atas undangan tersebut. Satu daripada isu yang saya utarakan adalah Baju Baru vs Baju Raya.

Ikuti kisah benar perbualan dua wanita yang hidup di dalam gaya hidup yang berbeza. Wanita pertama (A) yang tinggal di dalam sebuah rumah yang besar dan mempunyai halaman yang luas. Manakala wanita kedua (B) hanya tinggal di sebuah apartment.

“Sudah beli baju raya anak?” Tanya wanita A

“Baru beli separuh!” Jawab wanita B ringkas

“Berapa duit sudah habis beli baju raya itu? ” Wanita A ingin tahu lebih lanjut

“RM 100!’ Jawab wanita B bersahaja.

“Satu ratus sahaja!” wanita A terbeliak matanya

“Ya, belanja sikit-sikit, kenapa?” Wanita B keliru

“Saya sudah belanja lebih RM 3,000, itupun ada lagi yang hendak beli” kata wanita A

“Itu sahaja yang kami mampu, Puan lainlah orang kaya, mestilah belanja besar” kata wanita B

“Awak belanja raya RM 100 tunai, tetapi saya RM3,000 itu hutang! kata wanita A rendah diri.

Apakah yang dimaksudkan oleh wanita A dengan mengatakan dia berbelanja sebanyak RM3,000 tetapi secara berhutang?

Seorang wanita membeli baju baru untuk anak-anaknya, manakala seorang lagi wanita membeli baju raya untuk anak-anaknya.

Seorang wanita gembira kerana membeli baju baru secara tunai untuk hari raya, manakala seorang lagi membeli baju raya dengan berhutang.

Ajaran Islam mengalakkan manusia bagi memakai pakaian baru di hari raya dan bukannya memakai pakaian raya. Sebahagian pakaian raya tidak sesuai untuk dipakai lagi selepas hari raya, kerana fesyennya yang over ‘menunjuk-nunjuk’. Pakaian baru adalah pakaian yang dibeli ataupun ditempah yang mana ianya adalah pakaian harian, dimana pakaian ini dapat dipakai sepanjang masa.

Peluang Menjadi Trainer Yang Diiktiraf

Kini peluang terbuka seluasnya kepada Trainer dan Motivator Muslim yang ingin bernaung di bawah Pertubuhan Perunding Latihan Dan Motivator Muslim Malaysia (TAMRIN).

Peluang ini seharusnya direbut bagi trainer dan Motivator sebagai langkah pertama agar  kredibiliti kita di akui secara sah dan juga kita dapat membina hubungan mentor-mentee. Bagi trainer yang baru berkecimpung boleh menjadi mentee manakala Trainer seperti YM Dr. Tengku Asmadi layak menjadi mentor. 

Satu majlis berbuka puasa anjuran TAMRIN akan di adakan seperti berikut:

 

Tarikh: RABU 24 September 2008
Tempat: Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur.
Masa: 6.30pm
Yuran: RM75 seorang

Antara yang akan hadir adalah YM Dr. Tengku Asmadi, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Dr. Uthman el Muhammady, Tuan Kamal Effendi, Tuan Osman Affan, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Amin Idris dan Insya-Allah Shamsuddin Kadir.

Bagi menyertainya, saudara/i boleh smskan nama dan nombor HP tuan kepada Bendahari TAMRIN, Tuan Osman Affan ataupun En Arif 012-9028747

 

Tempat adalah terhad. Sebanyak 30 tempat dibuka kepada Trainer & Motivator yang ada di luar sana bagi turut serta.

Saudara juga boleh meninggalkan nama, no. telefon dan emel di sini, ataupun boleh hubungi saya  di 019 – 300 1 200 untuk maklumat lanjut.

Gunakan kesempatan ini juga bagi membina rangkaian hubungan yang erat di antara sesama trainer.

Saudara juga boleh memaklumkan kepada kenalan yang merupakan trainer bagi turut serta dalam majlis ini.

Insyaa-Allah kita jumpa di sana.

Sudah Terbit Di Jakarta : Hidup Tenang Walau Berutang

Alhamdulilah, akhirnya buku yang dinantikan terbit juga di Indonesia. Buku yang bertajuk Hidup Tenang Walau Berutang adalah buku saya yang pertama yang telah diterbitkan di dalam bahasa Indonesia. Buku di pasaran Malaysia bertajuk Hidup Tenang Walaupun Berhutang.

Terima kasih Tuan Zamri Mohamad (rakan trainer dan penulis) yang memaklumkan kepada sahaja sekejap tadi. Ianya sememangnya berita baik yang ditunggu selama ini. Terima kasih kepada semua tetamu blog dan pembaca buku yang terus menerus memberikan sokongan.

http://www.mizan.com/viewimage.php?id=7385

Bedah Siasat Hutang Kad Kredit

Kepada individu yang memiliki kad kredit, cuba kita lihat penyata yang dihantar oleh bank. Adakah penyata kad kredit itu menunjukkan baki hutang yang dibawa  dari bulan lepas?

  • Jika ya, adakah kita mampu menjelas semua hutang tersebut hari ini? Jika tidak boleh, adakah ianya dapat dijelaskan hujung bulan ini?

  • Jika jawapannya masih tidak boleh, sebaiknya tentukan tarikh kita perlu bercerai dengan semua kad kredit yang kita miliki. Tarikh perceraian yang terbaik adalah pada tarikh kita menerima gaji ataupun pendapatan bulanan.

Kenapa disebabkan hutang dengan satu kad kredit, kita perlu bercerai dengan semua kad kredit yang kita ada? Kerana nila setitik habis susu sebelangga.

Hutang yang berbaki di satu kad kredit itu adalah pertunjuk bahawa di dalam diri  kita ada kanser yang aktif apabila tangan kita menyentuh kad kredit yang tertera nama kita padanya. Kanser itu menjadi lemah sedikit apabila kita memotong semua kad kredit kita kepada dua bahagian. Kanser itu hanya hilang apabila kita mendidik diri kita dengan kemahiran menguruskan kewangan.

Seperti susu sebelangga yang terkena dengan setitik nila, hidup kita juga akan hancur, masa depan gelap, apabila kita terus membiarkan diri kita mengunakan kad kredit.

Hentikan serta merta pengunaan kad kredit, gantikan dengan debit kad. Kita akan dapati hidup kita sedikit sengsara apabila kita berhenti mengunakan kad kredit. Ini berlaku kerana kita tidak lagi menjamu nafsu kita dengan ‘berhutang’. Nafsu kita akan bertindak, memberontak…jika kita sanggup bersabar, Insyaa-Allah satu persatu nafsu akan tunduk kepada kita.

Kepada saudara/i yang belum mengunakan kad kredit, sebaiknya jangan, kerana risiko di atas dan yang kedua, majoriti kad kredit yang ada diluar sana adalah beroperasi mengikut sistem riba. Allah di dalam Al-Quran , surah Al-Baqarah telah menerangkan bahawa Allah dan Rasul melancarkan perang terhadap manusia yang diciptakan tetapi derhaka kepadanya dengan melibatkan diri dengan urusniaga ‘Riba’.

Di bulan puasa ini, gunakan peluang selagi hayat masih ada, bagi menukarkan semua kad kredit yang berlandaskan sistem konvensional kepada yang Islamik, tetapi sebaiknya terus tukar kepada debit kad (mastercard ataupun visa).

Individu yang hidup dengan kad debit sahaja tidak akan dibebani dengan hutang yang tidak perlu.

Sudah Terbit : Biskut Ajaib

Alhamdulilah, akhirnya buku Biskut Ajaib yang ditunggu akhirnya sampai ke stor PTS Publications di Batu Caves, Selangor. Saya telah mengambil 110 unit pada petang kelmarin bagi memenuhi permintaan pelawat blog yang telah menempahkannya.  Terima kasih kepade team PTS Pro dan staff sales yang berjaya menyiapkannya just in time.

 Harga yang tertera pada buku tersebut adalah RM11.50. 

 Kepada tetamu blog yang ingin mengantikan duit raya dengan angan-angan boleh memilih buku ini bagi menghasilkan langkah pertama kepada kanak-kanak. Insyaa Allah buku ini boleh diperolehi di kedai buku mulai awal minggu hadapan. 

Terima kasih juga kepada Cik Rozita (editor pengurusan PTS) Dan Tuan Nazrul (Pengurus PTS Pro) yang sentiasa memberi sokongan, panduan dan juga merealisasikannya. Terima Kasih.

Kepada yang ingin membuat tempahan melalui saya, tempahan minimun adalah 10 unit dengan harga RM 11 sebuah. Ini bermakna untuk 10 naskah harganya menjadi RM 110. Harga ini tidak termasuk kos penghantaran, kos pembukusan dan penghantaran adalah RM 10 untuk semenanjung dan RM 15 untuk Sabab & Sarawak. (Sila maklumkan jika saudara/i ingin mendapatkan autograf penulis bagi buku yang ditempah)

Saudara/i juga boleh mendapatkan buku tersebut, Insyaa-Allah di kedai buku Popular, Kinokuniya dan beberapa lagi kedai buku mulai awal minggu hadapan.

Gantikan duit raya danengan angan-angan.

Mengurangkan Risiko Dengan Belajar

Setiap hari kita akan berhadapan dengan perkara ataupun benda yang kita belum ketahui dengan jelas. Ada dua cara kita boleh pilih bagi mengetahui kewujudan perkara ataupun benda baru itu.  Belajar daripada kesilapan sendiri ataupun belajar daripada orang terlebih dahulu sudah mempelajarinya.

Cara termudah bagi mempelajarinya adalah dengan mencari sekurang-kurangnya 10 mentor. Di mana kita melantik orang yang berilmu dan berpengalaman sebagai ‘penasihat’ kepada isu-isu ataupun ketidakpastian yang bermain di fikiran kita dari masa ke semasa.

Cari mentor sekurang-kurangnya 2 orang bagi setiap bidang yang berkait dengan kehidupan harian kita. Jadikan mereka sumber rujukan kita dalam meningkatkan ‘kualiti’ hidup sebagai khalifah Allah.

Mentor tidak semestinya seseorang yang terkenal. Asalkan seseorang itu layak untuk dijadikan mentor sudah mencukupi. Di samping belajar dengan mentor-mentor itu, kita juga boleh belajar melalui buku.

Jadikan waktu menonton televisyen pada waktu malam dihadkan kepada 30 minit sahaja dan gunakan waktu yang berbaki itu untuk membaca. Anak-anak hanya meminati buku apabila mereka melihat conthoh yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka.

Semakin banyak yang kita pelari semakin kurang risiko yang kita perlu berhadapan. Daripada kita menghiasi almari ruang tamu dengan hiasan ‘olok-olok’ adalah lebih bermanfaat jika almari display itu dijadikan mini library keluarga di ruang tamu. Ini akan menyemarakkan lagi aura menuntut ilmu.

Elakkan dari membeli majalah, surat khabar dan buku-buku yang ‘diibaratkan sampah’ ini kerana apabila dibaca oleh kita ataupun anak kita maka pemikiran ‘kotor ataupun busuk’ yang terhasil. Yang dibaratkan sampah adalah bahan bacaan yang hanya membincangkan gosip (meningkatkan fitnah), gejala sosial, dan yang merosakkan akidah dan mendorong pembaca melakukan aktiviti yang tidak senonoh.

Semakin banyak ilmu yang kita perolehi semakin kurang risiko yang kita perlu atasi. Pagi ini selepas bersahur, saya  menyambung  membaca buku “The Chinese Dilmema” manakala isteri saya membaca buku Brian Tracy ‘Psikologi Menjual’.

Akan Terbit : Biskut Ajaib

Entri ulangan (Entri pertama terbit pada 4 September 2008) 

Buku Biskut Ajaib di bawah siri usahawan cilik akan berada di pasaran dalam pertengahan September 2008. Banyak lagi buku-buku dari siri ini akan lahir, antaranya Garaj Aiman.

Buku ini Hasil daripada cetusan idea Puan Ainon Mohd kepada saya ketika Pesta Buku Antarabangsa 2007 berlangsung di Putra World Trade Centre (PWTC). Insyaa-Allah banyak lagi cetusan idea Puan Ainon yang saya akan usahakan nanti.

Insyaa-Allah buku ini akan menjadi langkah pertama bagi kanak-kanak menceburi dunia bisnes.

Terima kasih juga kepada Cik Rozita (editor pengurusan PTS) Dan Tuan Nazrul (Pengurus PTS Pro) yang sentiasa memberi sokongan, panduan dan juga merealisasikannya. Terima Kasih.

Baca entri menarik berkenaan buku Biskut Ajaib di halamn SifuPTS.

Insyaa-Allah saya akan maklumkan apabila buku ini sudah siap di cetak.

Menyambut kedatangan Tanggal 1 Syawal

Tinggal kurang daripda 20 hari lagi kita akan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Pelbagai persiapan yang telah dilakukan oleh kita dengan cara dan kemampuan masing-masing.

  • Ada yang membesarkan rumah

  • Ada yang menukarkan langsir rumah

  • Ada yang menukarkan perabot rumah seperti sofa baru

  • Ada yang membeli baju-baju ‘raya’

  • Ada yang membeli set pinggan mangkuk yang baru

  • Ada yang sudah menukarkan duit raya

  • Ada yang menukar kereta baru

  • Ada yang mengecat rumah

  • Ada yang membeli rumah baru

  • dan banyak lagi…

Persiapan bagi menyambut 1 Syawal banyak yang berbelanja di luar batasan, kadangkala belanja itu di dalam kemampuan, tetapi adakah ianya perlu. Sebagai umat Islam kita berbelanja bukan sahaja perlu di dalam kemampuan tetapi lebih mencari kepada keredhaan Allah. Kita diperintahkan untuk berpuasa selama sebulan adalah salah satu cara bagi Allah menunjukkan hak kita sebenarnya bukan yang kita, semuanya hak Allah. Di mana Allah menunjukkan walaupun kuih muih yang kita beli itu adalah halal dan mengunakana duit halal, tetapi kita tidak boleh makannya di siang hari sepanjang bulan Ramadan. Walaupun halal, kita tetap mengikut perintah Allah.

Dalam Islam juga digalakkan untuk memakai baju baru dan bukannya baju ‘raya. Baju baru adalah baju yang kita belum gunakan ataupun yang baru kita beli. Manakala baju raya adalah baju yang kita beli semata-mata bagi menghiaskan diri kita supaya orang lain nampak kita ‘ada class’. Membeli pakaian baru untuk diri dan sekeluarga adalah perlu apabila kita berkemampuan dan sebaiknya elakkan daripada membeli pakaian semata-mata ingin menunjuk-nunjuk. Bukan sahaja kita menghabiskan duit yang banyak, kita juga dijauhi oleh teman, rakan, jiran ataupun saudara mara. Mereka tidak selesa untuk berdampingi kita.

Kuih Muih juga perlu dibuat ataupun dibeli berpatutan dengan kemampuan kita, jika niat kita adalah untuk menunjuk-nunjuk lebih baik batalkan sahaja ‘pembaziran itu’. Raya tetap dapat disambut dengan meriah walaupun tiada kuih muih yang mahal.

Duit raya umum. Jika orang lain memberikan anak kita dengan RM2 jangan sesekali kita memberikan RM 2 juga, jika bajet kita hanya RM1. Tetapkan peraturan dengan hanya memberi apa yang kita mampu sahaja.

Saya cukup rimas melihat pelbagai fesyen show yang melampau sewaktu hari raya, kerana sebahagian daripada fesyen terkini yang dipakai itu adalah semata-mata bagi menunjukkan bahawa ‘mereka’ kaya ataupun ada duit ataupun ada klass. Saya cukup suka dan tenang melihat orang ramai  yang pakai pakaian baru dan dengan tidak terlalu berfesyen, kerana selesa untuk mendekati dengan mereka. Kaum wanita banyak yang menempah ataupun membeli baju yang hanya boleh di pakai waktu raya sahaja, ini adalah sesuatu pembaziran.

Jika bajet kita untuk hari raya sememangnya banyak, jangan lupa yang memberikannya 100% adalah Allah. Gunakan sebahagian duit itu bagi membantu jiran ataupun ibubapa yang sedang pening memikirkan di mana untuk mencari duit bagi memenuhi keinginan anak bagi merasai walaupun sepasang baju raya.

Gunakan peluang yang ada ini bagi menunjukkan kepada masyarakat dan kepada dunia, bahawa kita ini bukan orang yang mementingkan diri sendiri.

Tidak ada kemeriahan yang paling hebat di pagi Syawal melainkan kita mengunakan duit ekstra kita bagi membantu anak-anak yang ibubapa mereka tidak dapat memberi apa yang kita berikan kepada anak-anak kita.

Saya pernah bertemu seorang jutawan, pada setiap tahun beliau menukarkan kereta mewahnya dengan yang baru pada bulan Ramadan supaya beliau dapat memandunya pulang ke kampungnya. Beliau hanya mampu menunjuk-nunjuk untuk hanya beberapa tahun sahaja, kini beliau tidak lagi mampu berbuat demikian. Selama mana kita mampu menunjuk-nunjuk?

www.ShamsuddinKadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

Kursus 5 Hari Train The Trainer di Pembangunan Sumber Manusia Berhad

Pada pagi Jumaat, 12 September 2008 yang lalu peserta kursus seramai 15 orang di bahagikan kepada dua kumpulan. Saya bersama Tuan Osman Affan, Tuan Azzam Sabtu berada di dalam kumpulan pertama. Manakala YM Dr. Tengku Asmadi, Tuan Fadzli Yusof dan Tuan Sabtu  dalam kumpulan kedua.  Setiap peserta perlu membuat presentation di hadapan peserta lain yang ada di dalam kumpulan dan akan di perhatikan oleh seorang Master Trainer yang akan memberikan markah.

Alhamdulilah, tetap pukul 10.10 pagi adalah giliran saya membuat persembahan yang bertajuk ‘How To Avoids Impulse Buying’ di hadapan 7 peserta lain dan seorang Master Trainer Puan Sahlah Ibrahim yang telah memberi tunjuk ajar kepada kami selama 5 hari kami berkampung di bilik training bangunan Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Jalan Beringin, Damansara Height.

Tuan Shamsuddin Kadir

Sebenarnya saya adalah peserta ketiga daripada lapan peserta yang perlu membuat persembahan selama 20 minit. Syukur saya dapat menyiapkan presentation tersebut tepat 20 minit.  Tuan Osman Affan adalah peserta pertama yang membuat presentation dengan tajuk  ‘Memory Skills for beginners’.

Presentation

Alhamdulilah kami semua dapat membuat persembahan yang terbaik, walaupun sedikit berdebar kerana ini kali pertama kami di evaluate oleh Master Trainer. Keputusan persembahan kami itu akan diketahui dalam masa 3 minggu lagi. Insyaa-Allah semoga semuanya menjadi ‘Certified Trainer’ dalam masa 3 minggu lagi.

PSMB

Gambar kenangan  bersama dengan Ms Angie, Mr. Vincent, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Osman, Mr Chong, Ms Thila, Puan Sahlah (Master Trainer) Tuan Sabtu, Mr. Eddie, Tuan Azzam, Tuan Azlan, YM Dr Tengku Asmadi dan Ms Chan (Sister Chan Chan), satu peserta yang gambarnya tiada ada Mr. Karthig. Mereka semua  memberikan komitmen bagi memastikan program yang dirancangkan berjalan lancar.

Terima kasih tidak terhingga juga kepada Master Trainer Puan Sahlah Ibrahim yang banyak memberikan input bagi kami meningkatkan lagi kualiti dalam mengendalikan kursus di masa hadapan.

Terima kasih juga kepada kakitangan Pembangunan Sumber Manusia Berhad yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar. Terima kasih.

Semua gambar dalam entri ini di salin daripada halaman Tuan Osman Affan.