Archive for May, 2009

Bicara Buku Di Read Malaysia & Alamanda

Apabila dipermudahkan oleh Allah, SK akan menjayakan book talk di pesta buku Read Malaysia di Mines pada 7 Jun dan 28 Jun 2009 di MPH Alamanda.

Insyaa-Allah maklumat yang lebih terperinci akan dimaksudkan.

Gambar ini di ambil oleh Tuan Zamri Mohamad sewaktu menikmati minum petang dan roti John (bin Abdullah) di Pantai Klebang. Kami menjayakan book talk di Mahkota Perade, sempena sambutan ulang tahun ke60 Kedai Buku Thai Kuang pada tahun lepas.

Bertenang Apabila Ditimpa Bebanan Hutang

Tuan dan Puan yang saya muliakan, semalam saya dihubungi seorang ibu yang risau tentang masalah anaknya yang berusia 30 tahun. Beliau menghubungi saya dari Terengganu mengunakan nombor telefon yang beliau perolehi pada tahun 2007 sewaktu SK berbicara dalam Duniaku Buku radio IKIM.

Anaknya bersama menantunya telah membeli sebuah proton Gen-2 dengan mengambil pinjaman secara bersama selama 6 tahun. Selepas 2 tahun mengunakan kereta tersebut anaknya kehilangan kerja (saya tidak pasti sama ada diberhentikan ataupun sebaliknya). Mulai dari saat itu anaknya itu tidak mampu lagi membayar ansuran kereta, sehingga kereta itu ditarik. Apa yang saya faham dari perbualan dalam telefon dengan ibunya, kereta itu sudah dilelong tetapi tidak cukup untuk menjelaskan hutang anaknya itu. Kini anak dan menantunya menerima surat saman dari bank bagi menjelaskan RM 30,000 yang tidak mencukupi.

Kini setiap seorang menangung hutang sebanyak RM15,000. Anaknya sudah mendapat kerja lain, dan kini merasa tertekan kerana pihak bank selalu menghubunginya dan memberitahu bahawa beliau akan dibuang kerja di tempat baru, kerana telah diblacklisted. Anaknya juga diberitahu oleh pihak bank bahawa, apabila anaknya itu ingin mengeluarkan gaji melalui kat ATM, duit dalam akaun akan menjadi kosong, kerana sudah diambil oleh bank pada setiap bulan.

SK memberi pandangan kepada ibunya agar berbincang dengan anaknya dan membuat satu surat kepada bank dan pihak peguam yang menghantar surat saman itu, bahawa dia hendak membayar hutang itu secara ansuran berdasarkan jumlah yang mereka mampu.

Teruskan membuat bayaran sebanyak yang dicadangkan ke akaun ansuran kereta, jika akaun itu masih wujud. Apabila tiba masa masuk mahkahmah jika perlu, beritahu kepada pihak mahkamah, bahawa kita bukannya hendak lagi dari membayar ansuran, tetapi disebabkan kita diberhentikan kerja. Kini kita sudah bekerja semula dan sudah ada pendapatan, maka kami ingin meneruskan membayar ansuran tersebut secara bulanan. Kita juga maklumkan kita sudah meneruskan membayar ansuran secara bulanan kepada bank, bawa buktinya sekali.

Jika akaun itu sudah ditutup, masukkan ke dalam akaun simpanan di bank berkenaan jika ada, pada setiap bulan, bawa buktinya, duit itu disimpan bagi dibayar kepada bank berkenaan.

Lupakan tentang ugutan bank berkenaan, blacklisted tidak dapat membuatkan kita diberhentikan kerja, kecuali ada clause dalam undang-undang organisasi bahawa seseorang yang telah diblacklisted tidak boleh bekerja di sini.

Orang yanng Muflis juga masih diberi peluang untuk bekerja di hampir banyak tempat.

Tenangkan fikiran, mulakan membaca buku-buku kewangan diri, supaya tidak dipatuk oleh ular yang sama berkali, kali dan supaya kita dapat belajar ular mana yang telah patuk kawan-kawan kita.

Membaca buku menghalang kita dipatut ular yang sama untuk kali kedua, ianya juga membantu kita mengelakkan  dan mengurangkan risiko dari dipatut oleh ular.

Tenangkan fikiran, kesilapan ataupun bebanan yang kita tanggung pada hari ini adalah sebenarnya satu peluang untuk kita menjadi orang yang lebih kuat, teguh dan bersemangat di masa depan.

Semua ini hanyalah bagi membantu kita menjadi kuat, banyak rahmat Allah disebaliknya dengan syarat kita mengambil iktibar dan jangan lagi BELAJAR DARI KESILAPAN DIRI SENDIRI, tetapi BELAJAR DARI KESILAPAN DAN PENGALAMAN ORANG LAIN. Melalui BUKU dan MENTOR.

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Diari SK: Bicara Santai Di RTM 1 Isnin 25 Mei 09

Apabila dipermudahkan oleh Allah, bicara kewangan secara santai akan ke udara di dalam rancangan respons pada pukul 6.05 pagi di RTM1 pada hari Isnin 25 Mei 2009. Opps sehari selepas hari ulangtahun SK di lahirkan.

Tajuknya kalau tidak salah :Nak Bagi Ke Tak Nak Bagi”

Kepada Tuan dan Puan yang ada kelapangan dialukan bagi menontonnya. Kepada Tuan dan Puan yang sentiasa menonton rancangan respons dan bicara SK terdahulu, tahniah kerana Allah masih memberi ruang kepada kita bagi menontonnya.

Rakaman terbaru pada hari Khamis di Jakim, Blok 9, Putrajaya. Untuk 3 bicara kewangan tetapi menonjolkan roh kewangan Islam. Iaitu ada bicara berkenaan dengan kehendak Allah terhadap produk yang diciptakannya iaitu manusia dalam menentukan pelaburan yang dibenarkan.

Insyaa-Allah semoga bicara itu menjadikan kita manusia yang tidak DERHAKA kepada Allah yang telah menjadikan kita manusia dan bukannya haiwan.

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Diari SK: Pertemuan Hebat Bersama Mentor & Pelanggan

Syukur, hari Isnin 18, SK dapat mengadakan pertemuan dengan seorang dari Mentor yang telah dilantik pada bulan Februari ketika bertemu dengan Tuan Ismail Abas di sebuah kedai buku di Kota Kinabalu, Sabah.

Lebih kurang pukul 10.10 pagi SK sempat mendapat nasihat dan pandangan hampir setengah jam, di tingkat 10 Menara Olympia, Kuala Lumpur. Beliau seorang yang banyak ilmu apabila bersamanya, semakin SK sedar, ilmu yang ada tidak sampai 0.001 % jika dibandingkan secara luaran dengan ilmu yang dicurahkan oleh beliau kepada SK. Ingin mengadakan lagi pertemuan yang seterusnya dalam masa terdekat.

Selepas itu SK bergerak ke Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands ada temujanji dengan Tuan Mazlan berkenaan dengan kursus Dimensi Pekerja yang dicadangkan. Alhamdulilah, projek permulaan di peringkat Awareness akan dirancangkan, sebelum kursus kemahiran diadakan.

Satu lagi pertemuan penting dengan Tuan Rosli Anuar yang bertugas di Felda Holdings juga membawa kepada satu lagi perbincangan yang bermanfaat. Singgah sebentar di pejabat Ultra Mind Resources di Wangsa Melawati.

Ada beberapa lagi mentor yang SK akan membuat kunjungan hormat dalam masa terdekat selepas pulang dari Sabah dan Johor.

Antara nikmat yang paling sedap, apabila semua anggota yang Allah berikan dapat berfungsi seperti yang Allah mahukan. Antaranya Telinga untuk mendengar nasihat-nasihat dari mentor dan orang yang ada ilmu. Mata untuk membaca buku-buku yang bermanfaat. Mulut untuk bertanya tentang perkara yang belum tahu.

Shamsuddin Kadir

Trainer, Author, Reader & Listener.

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Pembiayaan Perlaburan dan Kewangan Melalui Pinjaman

Pelbagai pertanyaan berkenaan dengan pelaburan dengan membuat pinjaman diemelkan ke info@shamsuddinkadir.com.

Pendirian www.shamsuddinkadir.com masih kekal, iaitu halaman ini hanya membicarakan tentang sistem perlaburan yang halal dari segi hukum syarak.

Pembiayaan pinjaman yang melibatkan faedah ataupun RIBA adalah diluar bidang bicara halaman ini. Ia juga bagi menghormati larangan Allah dalam surah Al-Baqarah iaitu yang bermaksud

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan SAKI BAKI RIBA jika kamu orang yang mahu beriman, jika kamu engkar, maka Istiharkanlah PERANG terhadap ALLAH dan RASUL”

Tuan dan Puan boleh merujuk kepada tafsiran Al-Quran yang diterbitkan oleh Yayasan Restu yang juga ada dijual di Pos Malaysia ataupun mana-mana tafsiran sama ada dalam bahasa Melayu, Indonesia ataupun English.

Sebagai menghargai Nikmat yang Allah beri dengan menjadikan kita manusia dan bukannya makhluk lain yang ada di atas muka bumi ini, maka SK tidak menyarankan kepada mana-mana individu bagi melibatkan dengan sistem kewangan yang berlandaskan RIBA @ KONVENSIONAL.

Allah dan Rasul melancarkan perang kepada manusia yang dicipta Allah tetapi mahu melibatkan diri dengan RIBA.

Bayangkan bagaimana malaikat yang datang untuk mencabut nyawa orang yang sudah mengistiharkan perang terhad Allah.

Ada seorang ustaz yang memberitahu kepada SK supaya, manusia yang mati dengan melibatkan diri dengan pinjaman berlandaskan RIBA, supaya menyimpan satu pedang di dalam liang lahad untuk digunakan bagi bertarung dengan Allah.

Sebanyak mana untungnya jika melabur dengan meminjam secara RIBA, sebanyak mana jimat jika ambil pinjaman secara KONVENSIONAL, semua tidak lagi memberi perlindungan mulai saat nyawa dicabut sehingga untuk selama-lamanya.

Dalam Al-Quran, itulah perkara yang Allah paling marah sekali, seperti yang dikaji oleh Iman Al-Ghazali.

Semoga kita diberi kemudahan dan kesempatan untuk menyucikan pinjaman-pinjaman kita yang belum Islamik mulai hari ini.

Mengikut tafsiran Ustaz, jijiknya najis khinzir sama dengan jijiknya RIBA. Kita akan rasai jijiknya yang sebenar mulai saat malaikat mencabut nyawa. Banyak lagi kesannya termasuk dengan rumah yang dibeli dengan pinjaman ‘riba’, doa yang dibuat di dalam rumah tersebut tidak sampai ke langit. Keberkatan tidak masuk ke dalam rumah tersebut, kerana ianya menjijikan dalam pandangan Allah, rasul, dan seluruh malaikatnya.

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Tetamu SK: Pinjaman Kereta Perlu Dipendekkan?

Assalammulaikum en sham..

Saya ingin bertanya dengan En. tentang pinjaman kereta. Saya baru sahaja berkerja sebagai cikgu dan saya membeli kereta dengan pinjaman 9 tahun sebuah kereta viva.  Bila saya membaca tulisan encik saya rasa sangat menyesal dan saya ingat nak buat pinjaman peribadi untuk tempoh 5 tahun. Adakah cara itu terbaik atau saya perlu bayar je ikut 9 tahun  atau ada cara lain yang lebih baik?

Harap tuan dapat memberi pendapat. sekian terima kasih

“It’s what is in your head that determines what is in your hands”

AA (Bukan nama sebenar)

———————————

 Waalaikummusalam Cik Puan,

Semakin banyak perkara baik yang kita baca dan dengar, semakin banyak ilmu yang kita buang ’unlearn’ dari minda kita. Perkara baik yang baru kita pelajari mengantikan ilmu lama yang sudah tidak memberi manfaat.

Cik Puan perlu mengira dahulu berapa jumlah yang Cik Puan perlu tanggung jika membuat pembayaran secara ansuran selama 5 tahun dengan mengambil pinjaman peribadi?  Lihat kepada kos keuntungan yang ditanggung oleh Puan jika memilih untuk berbuat demikian.

Pastikan bank yang membiayai pembelian kereta itu sanggup melepaskan keuntungan untuk 8 tahun yang belum dilalui jika Puan menjelaskan secara tunai hutang kereta tersebut.

Biasanya kadar keuntungan yang dikenakan bagi pinjaman peribadi adalah lebih tinggi berbanding kadar pinjaman kereta kerana pinjaman peribadi tiada cagaran. Walau bagaimanapun Cik Puan boleh menyelidiki kadar tersebut bagi mendapatkan informasi yang jelas.

Cik Puan juga boleh memilih untuk refinance ataupun membiayai semula kereta tersebut dengan mengambil tempoh yang lebih pendek iaitu 4 ataupun 5 tahun sahaja.

Jika tiada cara yang sesuai pada ketika ini, cik puan boleh menunggu dan berusaha untuk menjelaskan awal pinjaman kereta tersebut supaya tidak perlu menunggu 9 tahun.

Walau apapun langkah yang ingin diambil pastikan pembiayaan Cik Puan itu tidak melibatkan ‘RIBA’. Dapatkan pembiayaan yang berlandaskan syariah.

Allah dan Rasul melancarkan perang terhadap makhluk yang Allah jadi manusia tetapi tetap melanggar arahannya dengan melibatkan diri dengan RIBA. Ianya telah termaktub di dalam Surah Al-Baqarah, Al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu. ‘Tidak akan selamat orang yang sanggup berperang dengan Allah untuk selama-lamanya”.

Shamsuddin Kadir

Membudayakan Gaya Hidup Inventor

Apabila kita ingin membudayakan satu gaya hidup yang baharu, di mana kita menukarkan sebahagian tabiat lama dengan tabiat baru. Kita menukarkan sebahagian dari tingkah laku kita.

Apabila kita mengambil keputusan bagi memulakan gaya hidup sebagai inventor ataupun pencipta dan bukannya gaya hidup sebagai pengguna, perkara paling asas adalah kita percaya bahawa kita adalah hebat. Ya sebagai makhluk terbaik yang Allah ciptakan kita dapat mengunakan kelebihan itu bagi menjadi pencipta kepada sekurang-kurangnya satu produk ataupun satu servis yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Berbicara tentang Inventor bukan bererti kita mencipta produk ataupun servis untuk mendapat untung, sebaliknya bagi memberikan yang terbaik kepada komuniti kita.

Sebelum kita dapat membudayakan hidup sebagai Inventor, antara perkara asas yang perlu ada adalah berfikir seperti Inventor.

Antara langkah pertama yang kita boleh lakukan adalah dengan membuat jadual bertindak. Contohnya :

Isikan waktu antara Maghrib dan Isyak jika tidak ke Masjid bagi membaca buku. Waktu sebelum ataupun selepas subuh membaca buku. Jika sampai di pejabat lebih awal baca buku. Libatkan ahli keluarga kita. Jika kita dapat lakukannya secara konsisten selama 40 hari, Insyaa-Allah ianya menjadi tabiat baru kita.

Fikirkan kita sebagai pencipta sejarah, iaitu kita adalah individu yang hebat, yang melakar sejarah. Fikirkan tentang apa yang kita dapat cipta dan sumbangkan kepada komuniti supaya kita semua memperolehi manfaat dengan menjadi lebih pandai ataupun lebih senang melakukan sesuatu.

Adakan diskusi ilmiah di antara kita dengan kawan ataupun pasangan selepas Isyak berkenaan berfikir seperti Inventor.

Apabila dipejabat pesongkan bicara kita sewaktu makan tengahari dengan rakan sekerja, bisnes partner, kawan, saudara kepada persoalan seperti”Apa yang dapat kita cipta hari ini”.

Membudayakan gaya hidup seperti inventor membantu kita menikmati satu lagi hidup yang bertambah bahagia dan bermanfaat. Kehadiran kita di atas muka bumi Allah adalah bagi menyumbangkan dan bukan membebankan.

Shamsuddin Kadir

Trainer, Writer, Reader & Listener

Ultra Mind Resources

Tel: 03 4142 5300 Fax: 03 4142 7300

Pendidikan Anak: Antara Realiti Dan Mimpi

Pendidikan anak adalah satu lagi isu yang tidak pernah selesai dalam mendapatkan kata sepakat. Itu satu dari anugerah Tuhan berikan kepada manusia, supaya saling hormat menghormati dengan pandangan masing-masing.

Walau bagaimanapun, pandangan kita terhadap sistem pendidikan untuk anak kita amat penting bagi mengambil kira apa yang telah dilalui oleh ibubapa yang lebih awal ada anak. Kita dapat melihat kesan bagi setiap sistem pendidikan yang dipakai dan dikuatkuasakan oleh ibubapa.

Apabila kita ingin menentukan kaedah pembelajaran untuk anak, lihatlah terlebih dahulu apa yang telah dilalui oleh ibubapa lain yang telah memilih jalan yang sama dengan kita. Berjayakah anak mereka?

Erti berjaya cukup berbeza dari seorang kepada seorang yang lain. Ada individu yang mengklasifikasikan berjaya itu apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ataupun berjaya tamat belajar di peringkat Ijazah.

Ada individu yang mengklasifikasikan berjaya itu apabila beliau menjadi jutawan.

Ada individu yang mengklasifikasikan berjaya, apabila beliau merasa bahagia dan ceria melalui hidup seharian.

Apabila kita banyak membaca buku dan merasakan tindakan yang kita ingin lakukan itu bercanggah ataupun berlawanan dengan majoriti ibubapa di luar sana, lakukan dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan merealisasikannya.

Susu yang mahal, tadika yang mahal, tuisyen yang mahal tidak menjadi satu jaminan bahawa seorang kanak-kanak itu akan cemerlang dalam hidup. Oleh itu apabila kita tiada kemampuan ataupun tidak ingin menghantar anak ke tempat sedemikian, jangan hiraukan kata-kata orang lain. Demi masa depan anak-anak, biarlah kita tentukan yang terbaik untuknya.

Dalam pendidikan anak, ada dua aliran yang kita boleh pilih bagi membesarkan anak. Aliran pertama membesar dan menjadi seorang pekerja. Aliran kedua membesar dan menjadi seorang majikan. Keputusan yang kita pilih pada hari ini, akan menentukan hala tuju anak kita esok.

Sempena Hari Bapa di MPH & ReadMalaysia ‘09

Assalamualaikum Tuan,

Semoga Tuan sihat sejahtera dan beroleh lebih banyak lagi rezeki hari ini.

Tuan, saya sudah mengesahkan jadual bagi promosi di MPH bulan Jun nanti. Memandangkan Tuan lapang pada tiga tarikh yang dinyatakan, saya sudah menyusun jadual Tuan seperti berikut:

Program: ReadMalaysia ‘09
Tarikh: 7 Jun 2009
Masa: 11.30 - 12.30 pagi
Tempat: MIECC, Mines Resort City
Buku/Isu: Kewangan
Editor in-charge: Encik Aizat

Program: Hari Bapa MPH
Tarikh: 28 Jun 2009
Masa: 3.00 - 4.00 petang
Tempat: MPH Alamanda, Putrajaya
Buku: Siri Usahawan Cilik
Editor in-charge: Cik Ann

Sekian, untuk makluman Tuan. Sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi saya.

Cik Siti Nor Fadilah Salleh

Pegawai PTS

———————————–

Waalaikummusalam Cik Fadilah,

Semoga Allah menambah-nambahkan kebaikan yang datang mendadak kepada Cik Puan di atas tabiat Cik Puan yang suka mendoakan kesejahteraan orang lain. Amin.

Terima kasih di atas peluang dan ruang yang sentiasa diberikan. Terima kasih.

Dengan kemudahan yang Allah izinkan, saya akan menghadiri kedua-dua program tersebut.

Terima kasih sekali lagi kepada Cik Fadilah, Tuan Aizat dan Cik Ann di atas sokongan yang berterusan.

Shamsuddin Kadir.

*****

Di alu-alukan kepada Tuan dan Puan yang ada kelapangan bagi turut sama dalam diskusi yang akan diadakan Mines dan Alamanda.

Tetamu SK:Melatih Diri Supaya Minat Membaca

Assalamualaikum

Pertanyaan:
 
Bagaimana untuk melatih diri supaya menjadi minat membaca?

Untuk pengetahuan tuan, semua buku tulisan tuan tidak terdapat di Kedai Buku Sekitar Bandar Baru Bangi yang lain terbitan PTS adalah jadi setelah membaca Website tuan timbul rasa ingin membaca buku penulisan tuan.

Kenali ShamsudinKadir apabila saya menonton sepintas lalu bicara Tuan di  TV3 dan kemudian melayari WEBsite tuan. Kali pertama saya melayari WEBSITE  tidak membuat apa apa keputusan sehinggalah kali keduanya iaitu 3 May 2009  saya telah membuat keputusan untuk membelinya.

Yang sedihnya setiap kedai  buku di Bandar Baru Bangi tidak ada buku tuan.

 Terima Kasih

Ahmad (Bukan nama sebenar)

—————————
Waalaikummusalam Tuan,

Terima kasih di atas inisiatif Tuan dalam mendapatkan pengetahuan. Langkah itu adalah antara asas yang paling utama iaitu ada keinginan dan disusuli dengan usaha bagi mendapatkannya.

Untuk makluman Tuan semua buku-buku tersebut sudah diulang cetak dan banyak kedai buku yang sudah kehabisan stok.

Apa yang Tuan boleh lakukan adalah dengan membelinya secara online di www.shamsuddinkadir.com jika masih tidak berjaya mendapatkannya di kedai buku yang berhampiran.

Melatih diri agar minat membaca, adalah Tuan boleh lakukan dengan membaca buku Hidup Tenang Walaupn Berhutang dan Makan Gaji Tetapi Kaya. Insyaa-Allah kedua-dua buku ini akan menjadi pencetus kepada penerokaan baru dalam hidup Tuan. Jika Tuan menemui sesuatu yang amat berguna kepada Tuan, teruskan dengan membaca buku-buku yang bermanfaat yang menyokong kepada kemajuan diri dan minda. Tuan akan menjadi ketagih membaca apabila satu persatu ilmu dan pengalaman baru yang Tuan perolehi dengan mudah melalui buku-buku yang dibaca.

Teruskan mendekati halaman website yang penulisnya juga seorang pembaca setia buku-buku berinspirasi. Cari kawan yang suka membaca buku-buku berinspirasi. Tetapkan bahawa setiap bulan sekurang-kurangnya sebuah buku dibeli dan dibaca. Gunakan hari lapang untuk membawa diri ataupun sekeluarga ke kedai-kedai buku yang bersesuaian.

Tetapkan waktu untuk membaca di sebelah malam, sebolehnya telivsyen dan radio dipadamkan sekurang-kurangnya sewaktu masa untuk membaca. Libatkan pasangan dan anak. Mungkin kepada anak boleh diberikan buku Biskut Ajaib, Garaj Aiman ataupun Tukang Gunting Terbang, manakala buku Makan Gaji Tetapi Kaya diberikan kepada Isteri.

Bangun awal setengah jam dari biasa jika perlu, bagi memperuntukkan masa untuk membaca 1 muka surat ataupun 1 bab.

Baca doa ini sebelum membaca buku jika ada kelapangan :

“Ya Allah kurniakan kepada ku dengan

kefahaman para Nabi,

Hafalan para Rasul

Ilham para Malaikat yang hampir denganMU,

Wahai Allah yang maha pembuka dan tahu,

bukalah hatiku seperti orang yang arif lagi bijaksana.

Ya Allah perkenankanlah doaku ini. Amin.

Semoga Allah mengurniakan minat dalam diri Tuan bagi membaca, selepas Tuan berusaha ‘memaksakan’ diri terlebih dahulu. Ada ulama yang berkata, kita perlu memaksa diri terlebih dahulu, walaupun belum timbul rasa ikhlas bagi membuat baik, kerana jika hanya ingin menunggu keiklasan tiba, kita mungkin tidak berpeluang.

Shamsuddin Kadir

Trainer, Writer, Reader & Listener

Emel: info@shamsuddinkadir.com

 

Kursus Dimensi Diri Di LHDN Sabah 25-26 Mei 2009

Insyaa-Allah Shamsuddin Kadir akan berada di Sabah mulai 23 Mei 2009 bagi menjayakan Kursus Dimensi Diri untuk kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sabah.

SK akan pulang pada petang 27 Mei 2009 selepas menghadiri beberapa temujanji dengan bakal-bakal pelanggan di Kota Kinabalu.

Ultra Mind Resources

Tel: 03 4142 5300 Fax: 03 4142 7300

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Menguatkan Semangat Membetulkan Langkah

Individu yang berjaya mendorong diri sendiri bagi menjadikan membaca itu budaya hidup harian mendapatkan dua kebaikan segera, iaitu bertambah semangat dan dapat melangkah dengan betul.

Kuasa yang ada pada buku-buku yang bermanfaat adalah buku yang menguatkan lagi semangat kita untuk menjadi lebih cemerlang, ianya memberikan panduan kepada kita supaya melangkah lebih jauh dari yang sepatutnya.

SK sendiri apabila membaca buku terbaru ‘The creation of money without money’ meniupkan kembali satu dari azam dan impian sejak kecil, kini semakin berputik, yang menariknya ianya bukan impian untuk diri sendiri tetapi hanya untuk masyarakat. Apabila kita membaca sebuah buku yang sama, kadangkala ianya meniup semangat yang berbeza untuk dua individu yang berlainan.  Satu dari apa yang SK suka berkenaan dengan buku ini adalah ianya menceritakan tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Los Angeles pada tahun 1982 menyamai KDNK Singapura, manakala KDNK California sama dengan KDNK Australia.

Itu satu dari sebab kenapa Amerika itu menjadi kuasa ekonomi dunia. Kita juga dapat mengembangkan lagi potensi diri kita supaya ianya mempercepatkan hasil bagi mengembangkan KDNK setiap negeri di Malaysia, supaya setiap satu negeri itu menyamai dengan negara lain.

Apabila setiap negeri itu menghasilkan KDNK yang besar, semakin ramai individu termasuk Tuan dan Puan yang ada pendapatan besar dapat membantu orang lain yang belum ‘bernasib baik’.

Shamsuddin Kadir

Trainer, Writer, Reader & Listener

info@shamsuddinkadir.com

 

Bicara Buku Yang Telah Tuan & Puan Baca

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kepada Tuan dan Puan dengan kebaikan yang datang mendadak dan dilindungi dari segala kejahatan yang ada di dalam dunia ini. Amin

Bakal-bakal Tan Sri, Dato Sri, Datuk, Datin, Tuan dan Puan yang saya amat muliakan, semoga doa saya ini dimakbulkan oleh Allah. Amin. 

Kita mengalu-alukan sebarang sumbangan dari Tuan dan Puan yang sudi bagi menghantarkan rumusan buku yang Tuan dan Puan telah baca dalam 1-2 muka surat. Buku-buku yang dirumuskan itu mestilah buku-buku yang bermanfaat dan perkara baik yang Tuan dan Puan ketemui dalam buku tersebut.

Emelkan rumusan Tuan dan Puan itu ke info@shamsuddinkadir.com, jika tidak berjaya, baru gunakan shamsuddinkadir@yahoo.com

Tim SK akan berusaha bagi memuatkan rumusan dalam 1-2 muka surat itu di dalam entri www.ShamsuddinKadir.com dari masa ke semasa. Supaya kita sama-sama dapat belajar dan meningkatkan ilmu. Kepada yang berminat boleh mula menghantar nama buku yang telah dibaca, kepada kami.

Rumusan itu tidak semestinya mengunakan bahasa di dalam buku tersebut, Tuan dan Puan dialu-alukan mengunakan bahasa Tuan dan Puan sendiri, supaya kita lebih memahaminya.

Tuliskan Nama, jawatan, lokasi, nombor telefon dan emel. Hanya Nama, jawatan, lokasi yang akan dipamerkan. Alamat emel hanya dinyatakan jika dibenarkan. Contohnya :

Shamsuddin Kadir

Trainer

Shah Alam

Saya mendoakan agar setiap minggu sekurang-kurangnya ada satu ulasan buku yang dapat ditunjukkan di halaman ini. Sasaran SK adalah sehari, satu ulasan buku.

Buku-buku yang ditulis oleh SK sendiri juga boleh diulas oleh kita.

Bengkel Berhijrah Menjadi Usahawan Di Johor

Ahad 31 Mei 2009 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Parit Raja, Batu Pahat, bengkel Berhijrah Menjadi Usahawan bakal diadakan.

Bengkel ini dibawa ke Johor, di atas permintaan banyak individu yang mencadangkan ianya diadakan di Johor bagi memudahkan lebih ramai individu dapat menyertainya.

Antara peserta yang menghadiri bengkel-bengkel yang terdahulu, rakyat negeri Johor adalah di antara peserta yang paling ramai menyertainya, walaupun diadakan di Kuala Lumpur.

Bengkel Berhijrah ini adalah bertujuan memberikan latihan dan kemahiran kepada mana-mana individu sama ada yang masih bekerja, ataupun yang baru hendak berniaga ataupun sudah berniaga mempelajari kaedah mudah dan jimat memulakan bisnes sendiri yang berjaya.

Antara kelebihan yang peserta akan dapat :

  • Dapat memulakan bisnes tanpa perlu menangung tangan terbakar di mana duit yang dilabur hangus
  • Dapat memulakan banyak jenis bisnes dengan modal sebesar RM 100 sahaja.
  • Berfikir seperti ahli bisnes, satu peralihan pemikiran yang membantu kita menjadi usahawan
  • dan banyak lagi.

Hanya RM 150 sahaja, tempat adalah terhad.

Sila layari  www.glowglokal.com/seminar.html ataupun menghubungi Tuan Hasrizal di 019 769 0809 bagi tujuan pendaftaran ataupun maklumat lanjut.

Trainer untuk bengkel ini adalah Shamsuddin Kadir (SK).

Menarik Minat Membaca Buku

Banyak lagi individu yang masih bertanya bagaimana menarik minat membaca buku? Terbaru, seorang dari peserta kursus Dimensi III di LHDN Melaka bertanya kepada SK.

Membaca buku-buku negatif ataupun yang tidak bermanfaat tidak sama dengan membaca buku-buku yang bermanfaat. Apabila kita membaca buku-buku yang tidak berfaedah, ianya tidak membantu meningkatkan kualiti hidup kita, di mana kita tidak dapat melihat, merasai kehebatan sebuah buku yang dapat membantu kita.

Apabila kita membaca buku-buku berinspirasi iaitu buku-buku ilmiah terutama yang berkaitan dengan pembangunan diri ’self help’, ianya meningatkan semangat kita dan membuka lebih besar ruang baru untuk kita terokai.

Buku-buku ini juga membantu kita memahami lebih banyak perkara yang kita belum tahu ataupun yang kita mungkin tidak sempat bagi melaluinya. Kita sebagai seorang manusia tidak ada kuasa ataupun upaya bagi melalui semua pengalaman yang telah dilalui oleh orang lain. Dengan fikiran dan kuasa yang terbatas, buku membantu kita mempercepatkan langkah kita bagi menghasilkan kejutan demi kejutan dalma hidup kita.

Buku-buku ini sebenarnya menjadikan diri kita sebagai ‘pencipta’ ataupun ‘inventor’ dan bukannya pengguna ataupun ‘user’. Kita dapat mencipta produk-produk ataupun servis baru bagi kegunaan masyarakat pada hari ini.

Apabila kita tidak membaca buku, kita hidup dengan melakukan kesilapan demi kesilapan, dan kita hanya belajar dari kesilapan yang dilalui oleh diri sendiri. Apabila kita membaca kita mengurangkan dari melakukan kesilapan yang tidak perlu dengan mempelajari dari apa yang telah dilalui oleh orang lain.

Petang tadi, apabila membawa keluarga ke kedai buku yang terletak di SACC Mall, Shah Alam, saya sempat membeli sebuah buku bertajuk “The Creation of Money without Money’.  Alhamdulilah, sementara menunggu Isyak, saya sempat menghabiskan dua bab.

Ada beberapa penemuan baru yang saya pelajari. Lebih kurang pukul 11.55 malam, isteri saya memaklumkan kepada saya berkenaan dengan satu latihan bagi modul berani bercakap di hadapan orang ramai. Beliau juga membaca dua buah buku secara bergilir-gilir, sehingga di saat ini iaitu pada pukul 1 pagi, masih bersemangat memberitahu saya tentang penemuan baru beliau yang dapat membantu training SK.

Shamsuddin Kadir

Trainer & Writer

1.05 pagi Shah Alam