07 Jul 2009 Hidup Dengan Memberi Sebanyak-banyaknya
 |  Category: Keluarga

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Semoga Allah mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada kita semua pada setiap pagi dan petang hari. Amin.

Sudah berpuluh-puluh tahun SK mendengar, melihat dan mengkaji berkenaan dilema adik-beradik selepas berumahtangga. Artikel ini hanya difokuskan kepada salah satu isu sahaja pada kali ini, iaitu pentingkan kejayaan diri, pasangan dan anak.

Banyak berlaku di mana-mana keluhan individu yang akhirnya terpaksa hidup dalam kesusahan tidak mendapat perhatian adik-beradik yang lain. Ada yang sampai meninggal pun tidak diketahui oleh adik beradik.

“Aku hanya cipta manusia (iaitu kita) hanya semata-mata untuk beribadah kepada Allah” itu kata Allah dalam buku tulisannya yang dipanggil Al-Quran.

Gambar hiasan di atas menunjukkan kehidupan dua darjat.

Apabila kita berusaha menambah pendapatan ataupun merancang kepada keperluan kehidupan harian, adik-beradik dan ibubapa adalah termasuk dalam dunia kita.

Apabila sudah berumahtangga kita mungkin terlupa ataupun tertinggal dari memikirkan tentang ‘apa khabar’ adik ataupun kakak kita itu. Adakah mereka ada duit yang cukup untuk makan hari ini?

Adakah mereka sedang menangung hutang kad kredit yang sudah menjadi barah tahap kritikal?

Adakah mereka baru kehilangan kerja?

Adakah mereka ada duit bagi membeli baju baru untuk anak mereka sewaktu hari raya? Bagaimana dengan tangungan bulanan, adakah mereka mampu?

Apabila kita berusaha meningkatkan prestasi keluarga kita dari segi pemikiran, kewangan dan juga kemahiran penting, jangan lupa kita masih ada darah daging yang tersayang yang sedang menanti bantuan.

Oleh itu, hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya. Jika kita mampu membeli kereta baru, tidak perlu kita trade in kereta lama, tetapi hadiahkan kereta lama itu kepada adik-beradik yang kurang upaya dan memerlukannya.

Jika tidak boleh membantu banyak hulurkan RM 50 sebulan secara ‘wajib’ kepada mereka supaya ianya meringankan bebanan mereka. Jika ketika ini kita juga tidak mampu, hadiahkan kepada mereka dengan buku-buku berinspirasi.

Jika mereka bekerja – hadiahkan buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan Makan Gaji Tetapi Kaya, jika mereka ada anak yang sudah bersekolah boleh hadiahkan kepada anak saudara itu dengan buku Biskut Ajaib, Garaj Aiman dan Tukang Gunting Terbang.

Hadiah buku ketika harijadi anak mereka walaupun tiada sambutan yang dilakukan.

Sebelum kedatangan bulan puasa, lawat rumah mereka bawa bekalan keperluan rumah, seperti beras…

Sebelum raya, jengok mereka bagi memastikan anak-anak mereka berbaju baru sewaktu hari raya nanti.

Apabila kita menjaga kesejahteraan ahli keluarga kedua-dua pihak (suami dan Isteri), dengan izin Allah, para malaikat sentiasa mendoakan kesejahteraan kita di dunia dan Akhirat.

Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

3 Responses

  1. 1
    Rahmat 

    Tuan SK,

    Betulkah Tindakan Saya.

    Artikel tuan ini datang amat bertepatan dengan suasana yang sedang saya alami – perbualan telefon dengan abang saya beberapa jam yang lepas. Dalam telefon tersebut beliau menyatakan keperluannya untuk mendapatkan RM20000 dalam masa yang terdekat bagi membiayai pengajian anaknya dalam bidang farmasi di mesir. Katanya anaknya itu sudahpun berada di mesir sekarang.

    Abang saya sudahpun pencen beberapa bulan yang lepas. Beliau amat lemah dalam pengurusan kewangan. Disamping sepanjang hidupnya bergelumang dengan segala macam hutang dan kad kredit, beliau tetap juga menghantar anak-anaknya ke luar negara seperti jordan, seria dan mesir. Adik beradiklah tempat dia bergantung kerana beliau ternyata tidak mampu membiayainya. Belaiu ada menerima wang ganjaran pencen tetapi daripada perbualan tadi menunjukkan wang itu sudah pun habis! (RM80k lesap dalam masa tak sampai setahun).

    Dalam perbualan itu beliau mengharapkan saya memberi pinjam kepadanya atau saya meminjam wang daripada bank sebanyak rm20k dan dia akan membayarnya kepada saya kerana katanya dia sudah tidak mampu lagi naik turun bank tetapi tiada bank yang sudi memberi pinjam kepada orang pencen. Katanya saya boleh meminjam kerana saya masih berkerja.

    Saya selalu berpegang kepada kata-kata ‘jangan hampakan harapan orang, terutama adik-beradik – kalau tak dapat tunai semua, tunaikan sebahagian’. Tetapi dalam kes kali ini saya merasa peluang saya untuk bertegas tentang perinsip pengurusan kewangan dengan beliau.

    Antara lain jawapan saya kepada beliau tadi ialah:

    1. Meminjam wang daripada bank bukanlah tindakan yang baik samada bagi orang sudah pencen atau orang masih berkerja.
    2. Meminjam bank adalah mencipta masalah, bukan memnyelesaikan masalah.
    3. Jika keperluannya hari ini boleh diselesaikan dengan pinjaman rm20k, bagaimana pula keperluan untuk tahun -tahun depan?
    4. Saya meminta beliau membawa balik anaknya dari mesir dan sambung pelajaran dalam negara.
    5. Menjelaskan kepada anak supaya berkorban dalam masa sukar ini dan boleh sambung lagi di mesir apabila sudah bersedia dari segi kewangan kelak.

    Dalam responnya abang berkata: memanggil balik anaknya akan menyebabkan kekecewaan pada anaknya jiwa dan raga. Saya meminta dia menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada anak dan minta anak berkorban dan tangguh dahulu hasrat belajar di mesir.

    Beliau berkata sampai bila pun dia sudah tidak akan mampu menyediakan wang yang cukup untuk anaknya memandangkan umurnya sudah mencecah 56 tahun. Saya menjawab tiada yang terlewat untuk merancang dan mengatur strategi yang baru.

    Walaupun saya optimis degan dengan masa depan, tetapi saya sendiripun tidak tahu apa yang perlu beliau buat supaya kewangannya pulih dan mampu mengumpul wang dalam usianya.

    Adakah tindakan dan jawapan saya betul atau apakah pandangan tuan dan pembaca sekalian.

    T. kasih.

  2. Tuan Rahmat,

    Saya bersetuju dengan tindakan Tuan. Membantu bagi meringankan bebanan abang itu sesuatu yang mulia, tetapi tidak dengan sesuatu yang kita sendiri juga tidak berkemampuan.

    Bekalkan abang kita itu dengan ilmu kewangan. Hadiahkan kepada beliau dengan buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang’. Jika kita dapati abang kita itu membacanya, hadiahkan pula buku kedua iaitu ‘Makan Gaji Tetapi Kaya’. Dari kedua-dua buku ini, abang kita itu dapat melihat di mana beliau sebenarnya menuju.

    Sentiasa memberikan tips kewangan setiap kali kita bertemu ataupun menghubungi beliau.

    Tahniah di atas tindakan yang positif yang Tuan telah ambil.

    Nampaknya semakin banyak saudara kita yang dibebani dengan gaya hidup yang kurang berlandaskan hukum celik wang.

  3. 3
    dira 

    Assalamualaikum Tuan Shamsuddin,
    Cerita pasal nak menolong adik-beradik ni memang panjang nak dibahaskan.Baru-baru ini suami saya diminta oleh adiknya untuk menggunakkan namanya bagi membeli rumah.Saya tidak begitu bersetuju dengan cadangan itu kerana kedudukan kewangan adiknya tidak begitu baik.Lagi pun nak membayar ansuran rumah memakan masa yg panjang.Adiknya pun pernah tidak membayar ansuran kereta satu ketika dahulu,nasiblah bukan suami saya yg menjadi penjaminnya.Adakah saya ni mementingkan diri Tuan SK? Saya cuma nak menyelamatkan suami saya daripada menanggung hutang sekiranya adiknya tidak mampu membayarnya suatu hari nanti.Manalah tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan,sukar diramalkan.Sekiranya rumah yg dibeli itu ada nilai dan strategik,bolehlah disewa atau dijual balik.Sekiranya tidak, bagaimana?Kami bukannya orang yang senang sangat.Buat masa ini kami cuma mempunyai satu hutang rumah tetapi kereta pun dah berusia 13 tahun,tunggu masa sahaja nak berhutang semula.

Leave a Reply