Archive for December, 2009

Tahun 1431 @ 2010 Perjuangan Diteruskan

Syukur kepada Allah, kerana di saat ini kita masih diberi peluang untuk memperbaiki diri sebelum malaikat maut datang untuk mencabut nyawa. Seperti peringatan Tuan Azemi Ali sepupu kita yang menyatakan malaikat Maut datang melawat 30 hari sehari. Berapa kali kita menyedari kedatangan beliau dalam kehidupan kita?

Saya akan meneruskan Perjuangan agar tiada lagi sepupu saya yang memiliki barah kewangan dan kepada sepupu yang belum terjebak, perjuangan saya adalah supaya mereka dapat menghidarkan diri.

Matlamat peribadi saya, adalah bagi memastikan dalam 3 – 6 bulan pertama 2010, semua hutang yang saya ada semuanya selesai kecuali  hutang pembelian Rumah  yang disewakan sahaja. Semoga saya dapat kekal untuk tidak membuat hutang baru lagi kecuali hutang bagi pembelian rumah demi rumah bagi menyediakan tempat tinggal dengan harga sewa yang berpatutan.

Tahun 1431 @ 2010 juga saya ingin membiayai seorang lagi anak yatim. Saya juga bercadang untuk menangung sewa rumah untuk sebuah keluarga yang tidak mampu.

Saya juga bercadang untuk menghadiahkan barangan keperluan asas untuk keluarga yang memerlukan antaranya adalah :

1. Peti sejuk

2. Mesin Basuh

3. Sofa

4. Dapur masak

5. Buku

dan lain-lain yang diperlukan.

Masih ingin hidup dalam keadaan suasana rumah, kereta, dalam banyak hal adalah sederhana. Masih kekal dengan stail untuk tidak menjadikan menonton movie sebagai satu keperluan hidup.

Menyiapkan buku perjuangan ‘Jalan Pulang’ dan juga memastikan lebih ramai sepupu yang mendapatkan kemahiran kritikal yang ditawarkan oleh kumpulan SK melalui kursus-kursus yang dianjurkan.

Insyaa-Allah halaman web rasmi kumpulan sk yang sudah 90% siap akan diumumkan dalam sedikit masa lagi. Halaman ini fokus kepada bidang latihan yang disediakan oleh Ultra Mind Resources.

Apa yang paling penting dalam hidup saya adalah bagi melihat semua sepupu saya dapat melalui kehidupan dengan ketenangan, kebahagian tanpa dibebani dengan hutang yang tidak perlu. Semoga tiada lagi sepupu saya, tidak lagi menfokus kepada kebahagiaan kebendaan.

Kepada sepupu yang tarikh matinya bakal sampai di tahun 1431 @ 2010, semoga saudara kembali membawa amalan.

Mencari untuk ditinggalkan, meninggalkan apa yang patut dibawa (bekalan)…segala apa yang kita cari iaitu duit, kereta, rumah..sofa, hp canggih, tv plasma semuanya akan ditinggalkan, apa yang dibawa kain kapan untuk hiasan luaran dan AMALAN itu sahaja yang menjadi tiket ke Syurga.

Mengurangkan melayari halaman internet kepada 60 minit sahaja (MAKSIMUM) untuk sehari iaitu bagi menghantar,  membaca dan membalas emel, mengupdate website dan berbicara di halaman sosial.

Shamsuddin Kadir

Kanser Kewangan Merompak Nikmat Tenang

Tuan, Puan dan semua sepupu Shamsuddin Kadir yang dihormati,

Semoga hari ini menjadi satu lagi hari bagi kita berusaha meningkatkan kualiti hidup kita. Amin.

Tidak semua kaedah pembelian barangan ataupun nikmat yang membantu kita hidup dengan lebih selesa dan tenang. Ada kaedah membeli barangan ataupun servis yang menjahanamkan kehidupan kita ada sampai ke liang lahad.

 

Skim Ansuran Mudah adalah satu dari barah kewangan yang perlu kita elakkan seumur hidup. Sucikan diri kita dari terdedah kepada bakteria kewangan ini. Jika ketika ini kita sudah terjebak, antara langkah yang kita boleh lakukan adalah JANGAN membaca lagi ‘flyer’ yang dihantar ke dalam peti surat kita. Dalam ‘flyer’ itu ada jampi yang sudah berjaya membuat kita menangung hutang yang luarbiasa. Jiran kita membeli sofa yang berharga RM 1,500 dengan harga RM1,300. Kita membelinya dengan harga RM 2,000. Untuk barang yang sama, kita terpaksa membayar lebih.

Pinjaman Peribadi adalah merupakan antara barah kewangan yang paling merebak ke dalam masyarakat kita. Jika ibubapa kita dahulu tidak perlu pun dnegan pinjaman peribadi untuk membesar dan menjadikan kita orang yang hebat. Apa yang menyebabkan kita memerlukannya? Ianya tidak lebih dari ‘jampi bisnes’ yang digunakan bagi membuatkan kita terpedaya, terperangkap. Nikmat yang kita rasa sebelum ada hutang ini, sudah tiada lagi, ianya hanya dapat kembali apabila hutang kita habis dibayar dengan sepenuhnya.

Kad kredit adalah antara barah yang paling bengis, kerana ianya membuatkan pemilik ataupun pemegangnya menjadi cepat tension, pemarah dan semuanya tidak kena. Jika dahulu, orang semua menghormati kepada pengguna kad kredit di pasaraya dan di station minyak, tetapi kini masyarakat melihat orang yang mengunakan kad kredit sebagai orang yang tiada duit dan hidup diluar kemampuan. Hanya segelintir yang guna kad kredit yang menjelaskan hutang sepenuhnya pada setiap bulan.

Barangan kita yang sudah lusuh ataupun kelihatan buruk itu sebenarnya membawa banyak kebaikan kepada kita, kerana ianya mengingatkan kita bahawa, kita juga sebenarnya sudah semakin ‘tua’ semakin dekat dan hampir dengan tarikh mati kita.

Hidup dalam keadaan yang kita mampu bayar dan tanpa merendah-rendahkan sepupu kita yang lain. Jika kita ada duit, agihkan sebahagiannya kepada ahli keluarga kita dan semua sepupu kita.

Supaya kita tidak pernah berjaya untuk menyesal sewaktu di dunia kerana membiarkan nikmat tenang dirampas, dirompak dan diambil dari kita akibat tindakan kita.

‘Orang yang merasakan diri mereka berharga, mereka tidak memerlukan barangan yang mahal untuk dilekatkan kepada mereka, ataupun disekeliling mereka (kereta, rumah…). Orang yang percaya diri mereka mahal @ beharga, mereka sibuk membantu orang lain hidup dalam keadaan tenang iaitu nikmat yang tidak boleh dibeli dengan bebanan hutang.

Shamsuddin Kadir

Trainer Korporat & Penulis 9 Buah buku di Malaysia dan Indonesia

Mohon Maaf Di Atas Segala Kesilapan Shamsuddin Kadir

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Semoga Tuan, Puan dan semua sepupu saya berada dalam keadaan sihat walafiat. Amin.

Di sini saya ingin memohon maaf di atas setiap kesilapan dan segala apa yang pernah saya lakukan sama ada secara sedar ataupun terlupa. Jika saya masih menangung hutang yang saya lupa ataupun terlupa untuk bayar, emelkan kepada saya di info@shamsuddinkadir.com

Jika ada saya berjanji untuk bertemu tetapi tidak menunaikan janji, maklumkan kepada saya, insyaa-Allah saya berusaha bagi menepati janji tersebut.

Sesungguhnya tarikh mati saya telah ditetapkan, jika ianya sampai semoga, saya dapat meninggalkan dunia ini tanpa menangung dosa di atas kehodohan tingkahlaku saya sewaktu berada di dunia ini.

Saya juga memohon maaf, kerana halaman ini juga mungkin terhenti dengan sendiri apabila nyawa saya sudah tidak lagi berada di alam ini. Semoga setiap apa yang dikongsikan dalam halaman ini sejak 2006 ini menjadi panduan bagi kita semua.

Tidak ada apa yang saya akan bawa dari dunia ini, walaupun sekeping duit RM1, saya hanya pinta kemaafan dari Tuan dan Puan selama kita bersaudara (sepupu) di atas muka bumi ini.

Jangan bimbang, jika di dalam hidup Tuan dan Puan pernah ada rasa benci ataupun Tuan dan Puan pernah mengkhianati terhadap saya, tidak usah dihiraukan, kerana saya sentiasa menghalalkan dan memaafkan Tuan dan Puan sampai bila-bila.

Mesti ada yang bertanya saya, kenapa? Sebenarnya, saya sedang mengidapi satu jenis penyakit yang biasanya mengakibatkan saya mati. Doktor tidak dapat memberikan saya tarikh yang lebih tepat, oleh itu, lebih baik dari masa ke semasa saya memohon maaf dari Tuan dan Puan, takut tidak sempat memohon maaf. Saya selalu lalai, kesibukan membuatkan saya terlupa akan penyakit yang saya hidapi.

Impian saya hanyalah satu, iaitu supaya kita semua sentiasa memesan di antara satu sama lain, tentang keperluan hidup berlandaskan apa yang Tuhan suruh termasuk dalam menguruskan hal-hal berkaitan dengan kewangan kita.

Maafkan saya, maafkan saya, maafkan saya

Shamsuddin Abdul Kadir

Hutang Habis Apabila Gaya Hidup Direndahkan

Saudara-saudara yang ada menangung hutang yang membebankan ketika ini, kita boleh melakukan beberapa perkara di bawah. Hasilnya telah terbukti dapat membebaskan diri kita seumur hidup dari menjadi hamba kepaa hutang.

1. Rendahkan gaya hidup kita. Di mana kita tidak memerlukan handphone canggih, tv plasma, dan barangan yang cepat rosak ataupun tidak tahan lama seperti sofa berfesyen.

2. Beli barangan ikut senarai yang dibuat di rumah.

3. Tidak berkampung di dalam pusat membeli belah pada setiap hujung minggu.

4. Tidak membeli majalah yang akhirnya membuatkan nafsu kita meningkat, sama ada nafsu untuk mengubah suai kereta, rumah, hiasan dalaman rumah, alat kecantikan muka (make up).

5. Tidak lagi membeli barangan mengunakan kad kredit, skim ansuran mudah dan pinjaman peribadi.

6. Tidak lagi menukar kereta dengan mengambil pinjaman demi pinjaman.

7. Membantu dan memaklumkan kepada kawan, rakan, saudara mara ataupun kepada orang yang kita tidak kenali, tetang bahayanya BERHUTANG. Apabila kita membantu orang lain, Allah (Tuhan) akan membantu kita.

Selamat berusaha, Shamsuddin Kadir akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Tuan dan Puan kerana kita semuanya adalah sepupu.

Shamsuddin Kadir

Kunjungan Hormat Ke Johor Mencapai Sasaran

Syukur, kunjungan hormat ke negeri Johor Darul Takzim, mencapai sasaran dan menghasilkan beberapa hasil diluar jangkaan.

Terima kasih kepada semua kenalan lama yang memberi layanan kelas ‘A’ antaranya Pak Haji sekeluarga di Kebun Teh dan Abang Man di Bandar Putra. Hanya 2 tetamu yang tidak dapat berjumpa iaitu Tuan Hariss dan pelajar darjah 3 yang sedang rancak membuat bisnesnya sendiri.

Tidak dilupakan klien, iaitu Cikpuan Zam, Cikpuan Mahyuni dan lain-lain.

Semoga Kumpulan SK berjaya menjayakan kursus pertama di Johor dalam bulan Februari 2010 nanti. Amin.

Shamsuddin Kadir

Ramai Jadi Papa Kerana Bank dan Koperasi

Di akhir ini, semakin bertambah individu yang menjadi lebih miskin dari kehidupan mereka yang sepatutnya. Ada di antara kita yang tidak sepatutnya menjadi miskin, walau bagaimanapun terpaksa menjadi miskin apabila terjebak dengan produk barah yang ditawarkan oleh bank dan koperasi.

Perkara pertama yang membuatkan hidup kita merana adalah pengaruh dadah kewangan no. 1 iaitu kad kredit. Kepada Tuan dan Puan yang ketika ini ada memiliki kad kredit yang sudah ada baki hutang walaupun RM 300, ambil langkah untuk tidak mengunakannya lagi sebelum ianya menjadikan kita papa kedana.

 

Perkara kedua yang membuatkan kita menjadi papa adalah pinjaman peribadi. Saya mendoakan dan berusaha agar pinjaman ini tidak lagi diberikan untuk aktiviti yang menjadikan rakyat papa kedana.

Perkara ketiga yang membuatkan kita menjadi papa adalah skim ansuran mudah. Berapa banyak ansuran yang kita perlu beli secara ansuran? sebenarnya ‘0’ (kosong).

Ketiga-tiga jenis pinjaman di atas adalah yang tidak perlu ada dalam kehidupan kita seharian. Gantikan kad kredit kepada Kad Debit.

Shamsuddin Kadir

Tazkirah Kewangan di Surau Al-Munir Taman Equine Malam Ini

Insyaa-Allah (If God willing), Shamsuddin Kadir akan menyampaikan tazkirah @ ceramah kewangan di Surau Al-Munir malam ini, Ahad 27 Disember 2009. Majlis bermula selepas solat Maghrib.

Surau Al-Munir terletak di hadapan pintu masuk apartmen Sri Indah, Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan atau lebih dikenali Surau Al-Munir Taman Equine.Kedudukan yang berhampiran dengan Pasar Borong Selangor dan Jusco Taman Equine

Tuan, Puan dan semua sepupu dijemput hadir.

Shamsuddin Kadir

Kunjungan Hormat Ke Johor Darul Takzim Isnin 28 Dis 09

Tuan, Puan dan semua sepupu yang dikasihi,

Shamsuddin Kadir sekeluarga akan ke Johor pada pagi Isnin 28 Disember ini dan akan berada di sana sama sehingga 29 ataupun 30 Disember 2009.

Ianya adalah kunjungan hormat kami sekeluarga kepada Tuan rumah (Pak Aji dan Mak Aji) tempat kami menyewa sewaktu bertugas sebagai krew kargo, dan juga jiran kami (Abang Man dan Kak Nor). kedua-dua keluarga ini adalah teramat baik sekali, ‘kelas A’.

Shamsuddin Kadir juga akan melakukan kunjungan hormat kepada Klien utama kumpulan SK, dan juga singgah di UTM bagi menemui mentor yang tidak pernah bersua iaitu Dr. Khatijah.

Sudah pasti sebelum pulang singgah di Senai Airport bertemu rakan lama yang pernah bersama ketika saya bertugas di Airport ini.

Banyak juga kenangan manis kami di Johor.

Shamsuddin Kadir

Orang Makan Gaji Jangan Buat Bisnes?

Tuan Roslan berkata:

Tuan sham, kalau begitu nampak gayanya orang makan gaji jangan buat business part time kalau menjejaskan fokus terhadap kerja.

Dalam keadaan ekonomi sekarang ramai yang makan gaji buat macam-macam business. Macam cerita P.ramlee cikgu Saari yang tidur dalam kelas kerana mengantuk pasal malam kerja part time main muzik di kelab…

“Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola…sorang demi sorang murid membaca di papan hitam hinggalah seorang murid berkata: cikgu suka tidur hari-hari cikgu tidur, mari kita main….hahaha..”

Apa komen tuan Sham.

———————————

Tuan Roslan, saya suka suka dengan penjelasan yang Tuan berikan melalui pertanyaan Tuan, saya bersetuju dengan Tuan. Kisah P. Ramlee itu sudah menunjukkan kepada kita dengan jelas, bahawa kita tidak dapat fokus dengan pekerjaan kita jika kita ada agenda selain daripadanya.

Jika kita percaya kita ada kebolehan @ bakat dan juga sudah ada kemahiran bisnes, kenapa kita tidak yakin yang kita boleh buatkan bisnes kita sebagai sumber mencari rezeki kita dan tidak lagi makan gaji.

Kerugian timbul di pihak organisasi yang membiayai kita, apabila kita ada tujuan mereka mengambil kita tidak dapat mereka dapat dengan kualiti 100% kerana sudah pasti walaupun ketika di pejabat fikiran kita melayang sekali sekala ataupun ‘berkali-berkala’ memikirkan tentang ‘bisnes kita’ dan bukannya ‘bisnes majikan kita yang membiayai majoriti kos sara hidup kita.

Jika bisnes part time kita bagus dan jika kita benar-benar ada ciri usahawan, apa yang menyebabkan kita tidak berpindah dari pekerja menjadi majikan?

Jika kita memilih dunia pekerjaan sebagai sumber mencari rezeki halal, pastikan kita ada target ataupun sasaran yang membuatkan kita sentiasa ceria, bahagia dan berduit dengan cara yang berkat.

Kursus ‘Dedikasi Pekerja’ yang dianjurkan oleh Ultra Mind Resources adalah bagi memastikan kita juga boleh menghasilkan pendapatan gaji yang berlipat kali ganda dari apa yang kita dapat hari ini dengan Mendahsyatkan Peribadi Kita yang biasa kepada Luarbiasa.

Organisasi yang memiliki pekerja yang fokus 99% -100% adalah organisasi yang memiliki 100% pekerja yang komited kepada agenda Organisasi.

Shamsuddin Kadir

Trainer Korporat dan Penulis 9 buah buku

Bajet Sekolah Di SPM RTM 1 Sabtu 26 Dis 2009

Esok, Sabtu 26 Disember 2009, Shamsuddin Kadir akan bersiaran di dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi membicarakan topik ‘Bajet Sekolah’. Ianya dijangka bermula sekitar 7.30 Pagi.

Kepada Tuan dan Puan yang ada kelapangan dan ingin turut serta dalam perbincangan isu tersebut, dipersilakan untuk menghubungi pihak penerbit melalui nombor telefon yang akan dimaklumkan oleh pengacara pada pagi Sabtu nanti.

Shamsuddin Kadir

Kebanjiran Pekerja Membuat Bisnes 2 Dalam 1

Terdapat dua asas utama dalam menghasilkan duit bagi membiayai kos sara hidup kita sewaktu di dunia ini. Yang pertama adalah dari sumber pekerjaan ‘makan gaji’ dan yang kedua dan terakhir adalah ‘bisnes’.

Di mana seorang individu muslim pernah berkata, 1/10 dari sumber pendapatan yang ada di atas muka bumi ini adalah melalui pekerjaan iaitu makan gaji. Manakala 9/10 sumber pendapatan datang dari perniagaan.

Di dalam masyarakat Malaysia,

  • ada sepupu kita yang membuat pilihan untuk menjadi pekerja sebagai pilihan bagi mendapat duit keperluan bagi memenuhi keperluan hidup.
  • ada sepupu kita yang membuat pilihan untuk mendapat duit dengan berniaga sebagai usaha bagi memenuhi keperluan hidup.

Kedua-dua cara ini adalah murni dan kedua-dua cara ini adalah berkat. Tidak ada kekurangan dari segi keberkatan (duit ke syurga) walaupun kerjaya mana yang kita pilih. Tahniah dan syabas kepada sepupu kita yang memilih salah satu daripada profession yang halal di atas.

Kini timbul satu lagi konsep baru di mana ada individu memilih untuk menjadi pekerja dan pada masa yang sama membuat bisnes. Adakah ianya konsep yang terbaik iaitu 2 dalam 1?

Adakah ada individu yang membuat bisnes sepenuh masa dan membuat kerja (menjadi pekerja) separuh masa ‘part time? Rasanya seperti tidak ada, ada yang berkata mustahil ianya berlaku.

Bagaimana dengan individu yang ‘makan gaji’ dan pada masa yang sama membuat bisnes? Ini yang paling banyak, dan berkembang setiap hari.

Apabila timbul kebanjiran individu yang makan gaji yang mengunakan masa iaitu dalam 24 jam itu bagi membuat bisnes sama ada online ataupun offline :

  • apakah kesan kepada majikan tempat beliau bekerja?
  • apakah kesan kepada fokus beliau terhadap pekerjaan ‘makan gaji beliau itu’
  • Apakah servis yang dapat mereka berikan kepada pelanggan bisnesnya yang part time itu?
  • Apa yang membuatkan beliau terus menerus makan gaji, walaupun sudah membuat bisnes?

 Bilakah waktu individu iaitu sepupu kita yang makan gaji itu membuat bisnesnya ? Selepas waktu pejabat ataupun setiap masa?

Apakah yang menyebabkan mereka menceburi bidang bisnes part time?

  • Jiwa bisnes lahir dari keluarga yang 100% bisnes
  • Menangung bebanan hutang yang besar (loan kereta 9-12 tahun, loan rumah lebih dari 20 tahun)
  • Menangung bebanan barah (pinjaman peribadi, skim ansuran mudah, kad kredit…)
  • Ingin jadi kaya (MLM, Direct seling dan juga bisnes online)
  • Ingin duit lebih…

Adakah individu yang bekerja sebagai pekerja dan pada masa yang sama buat bisnes secara part time, bolehkah mereka memberikan komitmen kepada pekerjaan mereka? 

Organisasi yang ingin berjaya perlu mempunyai garis panduan yang jelas, sama ada membenarkan ataupun tidak membenarkan pekerja mereka dari melakukan dua kerja dengan matlamat yang berbeza.

Jika bisnes part time diusahakan bagi memberikan mereka masa antara 6 – 12 bulan untuk berhenti kerja, mungkin tidak keterlaluan untuk majikan membenarkannya.  Jika pekerja itu tetap menjadi pekerja walaupun sudah 1 tahun membuat bisnes online ataupun offline tetapi tidak juga berhenti kerja, apakah lebih baik untuk majikan?

Jika kita in membuka bisnes ‘real’, adakah kita ingin mengambil orang seperti kita menjadi pekerja sepenuh masa?

Soalan ini bagus ditanya kepada individu yang bekerja makan gaji dan telah membuat bisnes online ataupun offline melebihi 1 tahun.

Sebuah Syarikat MLM Besar Sedang Merayu

Berita yang saya terima dari sumber yang boleh dipercayai, sebuah syarikat MLM ‘besar’ yang banyak disertai oleh masyarakat kita, logo-logo syarikat ini banyak tertera di kereta-kereta agennya sedang merayu supaya lesen mereka tidak ditarik balik. Puncanya disebabkan oleh syarikat MLM itu yang menjalankan sistem operasi menyimpang dari sistem pemasaran yang dibenarkan. Mereka menghantar sistem marketing untuk agen yang biasa, untuk kelulusan lesen. Apabila lesen sudah lulus, mereka mengunakan sistem pemasaran yang ‘PANAS’

Sekarang mereka laris menjual pangkat-pangkat dengan harga puluhan ribu ringgit, ini bagi menarik individu yang ada pangkat yang tidak mahu bermula dari bawah. Ianya juga dapat menarik individu yang pangkatnya dipejabat rendah tetapi ada duit banyak.

Bagi individu yang tiada duit tunai, agen MLM ini akan membantu individu bagi membuat pinjaman peribadi (barah kewangan) dan ada yang mengajar individu supaya keluarkan duit mengunakan kad kredit. Awas!!!!

Seorang peserta saya yang pernah bergaji RM 9,000 berhenti dan membeli pangkat agen sebanyak RM20,000 dan sekarang beliau sudah menangung kerugian melebih RM 130,000 dalam MLM.

Apa berlaku kepada agen apabila syarikat ini diharamkan @ tutup apabila rayuan mereka tidak diterima?

Apa yang berlaku kepada individu-individu yang kita cadangkan kepada mereka supaya membeli pangkat yang berharga puluhan ribu ringgit itu?

Syarikat yang sudah ditutup akibat lesen di tarik balik teramat banyak, dan banyak juga MLM yang beroperasi walaupun tiada dan lesen sudah TAMAT.

Adakah Sistem Bisnes Barat Sesuai Untuk Kita?

Adakah setiap sistem bisnes yang diciptakan barat adalah sesuai dengan keperluan agama, budaya dan adat ketimuran kita?

Contohnya, sistem Multi Level Marketing (MLM). Jika kita melihat antara syarat untuk mendapat lesen jualan langsung  di Malaysia adalah, kadar keuntungan sesebuah produk tidak boleh melebihi 4 kali ganda harga kos. Ini bermaksud, jika harga kos sebuah barang itu RM 100 ianya akan dijual dengan harga tidak lebih dari RM 500 (Kos RM 100 + RM 100 X 4).

Barangan yang  lebih kurang sama biasanya dijual oleh peniaga di pasaran terbuka dengan harga 35% lebih tinggi dari harga kos. Maka hara jualannya adalah RM 135 (RM 100 + RM 100 X 35%).

 

Di sini kita dapat melihat apabila kita menjadi pelanggan ataupun pengguna bagi produk MLM, kita membayar sehingga 4 kali ganda iaitu RM 500 bagi barangan yang sama dengan kawan kita yang membelinya di pasaran terbuka dengna hargam RM 135.

Kenapa harga barangan yang dibeli melalui agen ataupun syarikat MLM tinggi berkali ganda? Kerana individu yang ‘makan’ untung juga adalah ramai ‘multi’. Dengan keuntungan setinggi itu, semua upline, downline yang bertingkat-tingkat itu dapat untung di atas usaha mereka.

Kenapa sistem MLM diperkenalkan?

  • Supaya usahawan yang ingin untung cepat dapat dilakukan kerana mereka dapat memasarkan produk mereka sekelip mata ke semua rumah di Malaysia melalui perlantikan agen-agen mereka.
  • Supaya ianya menarik minat orang lain supaya menjual produk kita, kerana mereka juga dapat membuat untung bukan sahaja di atas jualan yang dibuat oleh mereka tetapi juga downline ‘orang bawahan’ mereka.
  • Produk itu dapat dijual dalam kuantiti besar, walaupun sesuatu produk itu sebenarnya tidak laku di pasaran terbuka. Ada produk yang sudah masuk pasaran terbuka yang tidak laku, dikeluarkan dan dijual melalui pasaran MLM.
  • Dapat menarik individu yang ingin mencari duit lebih supaya menjadi Agen
  • Dapat menarik individu yang tidak ada pekerjaan (penggangur) untuk membuatnya sepenuh masa
  • Dapat menarik individu yanga ada banyak hutang ataupun duit gaji tidak cukup untuk membuat kerja ke-2.
  • Dapat menarik individu yang bercita-cita ingin menjadi kaya.

Apa kesannya apabila sebuah MLM yang dibina itu telah ‘MATANG’?

  • Di mana ke mana sahaja kita pergi sudah ada orang yang menjadi agen MLM itu, kita sudah tidak boleh memasuki pasaran, kerana orang lain juga adalah agennya. “Tuan, sayapun agen MLM ini”.

Apa kesannya seperti yang sudah berlaku pada hari ini, di mana hampir setiap orang yang kita jumpa setiap hari, adalah agen kepada 1-4 jenis MLM.

“Tuan B saya ada produk bagus” Kata Tuan A, ”  “Tuan A, saya ada produk yang paling hebat di atas muka bumi ini” Kata Tuan B. Masing-masing sudah menjadi agen MLM.

Apabila sampai di tahap MATANG seperti yang berlaku hari ini, semakin banyak individu melompat dari satu MLM ke satu MLM. Ianya terus berlaku sehingga mereka sampai usia persaraan.

Kita membayar sehingga 4 kali ganda bagi sebuah produk yang individu lain boleh dapat dengan harga 1/5 ?

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Sepupu SK : Kursus Skor A Di Luar Dewan Peperiksaan

Salam Tuan SK,

Baru terbaca mengenai ‘Skor A diluar Dewan Peperiksaan’, saya pernah tanya dahulu semasa menghadiri kelas tuan mengenai masalahsituasi anak saya dalam pelajaran dan tuan ada memberitahu mengenai program seperti ini tetapi belum tahu bila.

Bilakah lagi akan diadakan agar dapat saya bersama isteri menghadirinya. Terima Kasih atas perkongsian    ini.

Saad Abdullah

————————–

Diari SK : Ceramah Kesihatan Kewangan di Putrajaya

Dengan izin Allah, Shamsuddin Kadir akan menjayakan satu ceramah (program kesedaran) berkenaan dengan ‘Kesihatan Kewangan’  di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Putrajaya.

Ianya akan dijayakan Esok Rabu 23 Disember 2009. Ianya di atas jemputan Tuan Abdul Haris Mohd Darudin. Kepada semua rakan sekerja Kementerian Perdagangan dialu-alukan bagi memeriahkan lagi majlis ilmu ini nanti. Semoga setiap dari individu yang hadir dikurniakan dengan kebaikan yang datang mendadak serta ilham para malaikat yang hampir dengan Allah. Amin.

Saya akan membawa beberapa buah buku yang boleh dibeli oleh para peserta nanti. Jumlahnya amat terhad.

Shamsuddin Kadir

Trainer Korporat dan Penulis 9 buah buku

Emel: info@shamsuddinkadir.com

Tel: 03 4142 5300