Archive for ◊ December, 2010 ◊

30 Dec 2010 Pertanyaan: 1 Rumah, 2 Rumah ataupun Rumah Dan Bisnes
 |  Category: Bisnes (Dewasa), Risiko |  2 Comments

Salam Tuan SK,

Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih, kami mendapat manfaat daripada buku tuan “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” dan sedang mempraktikkan sistem sampul, ianya membantu,,Alhamdulillah…

Saya ingin memohon pendapat tuan,

Saya dan suami ingin membina rumah di atas tanah sendiri(diberi ayah) dengan anggaran kos kurang 150 ribu(Pinjaman)… saya dan suami bekerja..berikut beberapa pilihan perancangan yg kami bincangkan;

1. Buat rumah dalam kos tersebut beserta termasuk perabot sekali(termasuk semua kos)

2. Buat rumah berkembar yang sederhana, satu kami duduki, satu lagi disewakan utk menampung kos pinjaman.

3. Buat rumah dalam kos 100k dan selebihnya 50k atau kurang dijadikan modal perniagaan sampingan bakeri kecil2an.

Menurut tuan mana satu yang paling sesuai atau tuan ada cadangan lain. Jika tuan dapat memberi pandangan ringkas pun saya amat hargai dan saya mendoakan tuan sekeluarga sentiasa dilimpahi Rahmat Allah S.W.T…Amin.

Salam.

——————————-

Apa pendapat Tuan dan Puan yang dimuliakan?

27 Dec 2010 Pendaftaran Kursus Kewangan : Sistem Sampul Surat
 |  Category: Kursus |  Leave a Comment

Tarikh: Akan diberitahu kemudian. (Jangkaan pada hari sabtu ataupun ahad)

Tempat: SekolahBimbingan  Al-Ikhlas, Taman Permata, Hulu Kelang, Kuala Lumpur ataupun di Learning Station, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur

Masa: 10 pagi – 1 petang

Yuran: RM 50

Tulis nama penuh, alamat emel dan nombor HP. emelkan ke info@sk.my.

Kursus ini adalah sesuai untuk setiap individu yang ada duit, yang dapat gaji ataupun yang perlu membelanjakan duit.


24 Dec 2010 Pertanyaan Sepupu : Kereta Untuk Graduan Bekerja
 |  Category: dimensi |  2 Comments

Cik Puan Adawiah (bukan nama sebenar) menulis:

Salam

Saya seorang fresh grad, baru sebulan bekerja dan ingin membeli kereta bagi memudahkan pergi kerja.

Jadi, saya ingin mendapatkan nasihat daripada SK mengenai perbelanjaan yang patut saya lakukan.

Bagaimana saya dapat menggunakan khidmat runding beliau?

Boleh call atau ada emel saja?  Adakah perlu bayar sebarang fee?

—————————————————

Waalaikummusalam cik puan,

Saya doakan supaya cik puan sentiasa dilimpahi dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Amin.

Bagi memulakan hidup yang ceria, gembira, bahagia dan bebas bebanan hutang yang tidak perlu, mulakan dengan membeli kereta terpakai, sebaiknya kereta yang sudah 4 ataupun 5 tahun sudah digunakan oleh orang lain. Cadangan kereta harga yang tidak lebih dari RM 40,000. Semakin rendah harga yang dibeli semakin bagus. Harga sekitar RM 25,000 adalah yang ideal.

Ambil pinjaman tidak lebih dari 5 tahun. Tidak perlu ditambar dengan aksesori yang tidak menjimatkan minyak ataupun yang tidak mengurangkan kos kita. Sebelum beli boleh buat solat hajat ataupun membaca doa seperti ini “Ya Allah aku tidak tahu apa-apa, maka bantulah aku”

Beli kereta baru  TIDAK DISOKONG, banyak risiko menanti kita, termasuk rugi harian yang teramat tinggi.

Baca buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang.

Wallahualam

Shamsuddin Kadir

Sehingga hari ini, Shamsuddin Kadir masih memandu kereta yang sudah berusia lebih dari 10 tahun.

Konsultan boleh diperolehi sama ada melalui telefon ataupun datang ke pejabat, caj bayaran adalah di atas kemampuan dan keikhlasan cik puan. Mohon rujuk kepada artikel berkenaan dengan konsultan.

23 Dec 2010 Pertanyaan Sepupu : ‘Service Apartment’
 |  Category: Rumah |  One Comment

Cik Puan Alawiah (bukan nama sebenar) menulis:

Salam Tuan Shamsuddin. Semoga berada dalam keadaan yang baik. Saya ingin tanya pendapat Tuan berkenaan saya hendak membuat pilihan untuk membeli ataupun tidak rumah servis apartment di Shah Alam berharga RM247,000. Saya join nama dengan suami. Saya keliru hendak beli ataupun tidak dan saya dah bayar booking RM1,000.00. Saya tak tahu adakah keputusan membeli rumah itu  terbaik atau sebaliknya.  Ini adalah rumah pertama saya dan suami. Saya kena keluar wang KWSP saya dan suami untuk membeli rumah tersebut.

Saya keliru adakah patut saya membeli rumah tersebut sedangkan saya berminat untuk mengambil skim bajet 2011 rumah pertamaku.  Jadi saya ingin bertanya adakah patut ataupun tidak membeli rumah tersebut.

Mohon Tuan dapat membalas pertanyaan saya ini. Terima Kasih.

———————————————

Waalaikummusalam Cik Puan Alawiah,

Semoga Allah sentiasa melindungi cik puan dari bebanan hutang dan penindasan orang lain terhadap cik puan. Amin.

Isu berkenaan ‘service Apartment’ kita sudah bicarakan di dalam buku, mohon cik puan rujuk buku Kaya Dengan Rumah dan Buat Duit Dengan Rumah. Antara kelemahan Apartmen Berservis adalah perlaburan yang paling risiko, kerana kos penyelenggaraannya tinggi, tetapi harganya tidaklah meningkat seperti roket.

Dengan harga RM 247,000 kita dapat beli rumah di atas tanah, sama ada rumah setingkat ataupun 2 tingkat di Shah Alam.

Membeli rumah pertama menggunakan skim bajet 2011 juga bagus, tanpa menggunakan duit KWSP. Hendak guna KWSP pun juga bagus.  Jika cik puan sudah membaca kedua-dua buku tersebut, insyaa Allah cik puan bertambah jelas dengan pilihan.

Membeli rumah dengan nama berdua, tidak digalakkan, mohon rujuk sama ada kepada artikel dalam blog ini yang terdahulu ataupun dalam buku-buku tulisan Shamsuddin Kadir.  Risikonya lebih banyak.

Lebih baik rugi duit booking RM 1,000 dari menangung bebanan di atas harga RM 247,000 itu.

Wallahualam, yang baik itu datang dari Pencipta, manakala yang buruk itu datang dari yang dicipta.

Shamsuddin Kadir

21 Dec 2010 Pertanyaan : Pinjaman Perumahan
 |  Category: dimensi, Perlaburan, Rumah |  One Comment

Assalamualaikum Tuan SK,

Cuma nak tanya berapa had kelayakan (dalam bentuk pinjaman rumah) dari bank, kalau dah ada 5 buah rumah TETAPI tetapi bayaran bulanan tidak gagal ada kemungkinan ditolak atau diterima? Umur sekarang  40 TAHUN.

Ahmad Fairus (bukan nama sebenar)

———————————–

Waalaikummusalam Tuan Ahmad Fairus yang dirahmati Allah dan dikasihi nabi,

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada Tuan pada setiap pagi dan petang hari.

Bank tidak menentukan kelayakan mengambil pinjaman berdasarkan bilangan rumah yang kita miliki. Mereka menetapkan jumlah ansuran rumah yang layak kita bayar adalah 1/3 dari pendapatan kita ataupun ada bank yang menetapkan 40% dari pendapatan kita.

Contohnya jika gaji kita RM 3,000, maka kita layak antara RM 1,000 – RM 1,200 sebulan. Apabila kita membeli sebuah rumah dengan ansuran RM 1,200, maka kita hanya layak sebuah rumah sahaja. Jika kita beli rumah dengan ansuran RM 600 sebulan, kita layak 2 buah rumah.

Persoalan umur memainkan peranan dengan tempoh pinjaman yang kita boleh ambil, ini bererti jumlah ansuran bulanan untuk sesebuah rumah kita tidak dapat rendahkan sangat, kerana tempoh pinjaman menjadi semakin terhad.

Tuan boleh membawa ke semua 4 – 5 rumah yang tuan sewakan kita kepada bank, dan tunjukkan bukti penerimaan sewa yang konsisten, pembayaran ansuran yang konsisten dan juga aliran cashflow yang positif di mana pendapatan dari sumber makan gaji ataupun perniagaan belum ataupun hanya terusik sedikit sahaja bagi membayar ansuran kelima-lima buah rumah tersebut.

Semoga Allah terus menerus melimpahkan hidayah dan nur kebahagiaan kepada tuan sekeluarga di atas usaha menyediakan perlindungan (rumah) untuk sepupu-sepupu diluar sana dengan menyewakan rumah kita itu. Amin

Shamsuddin Kadir

16 Dec 2010 Shamsuddin Kadir di Alor Setar Centre Point 19 Disember 2010
 |  Category: Diari SK, Informasi |  Leave a Comment

Dengan izin Allah Pencipta dan pemilik sekelian alam,

Shamsuddin Kadir diundang bagi menjayakan Kedaibuku Popular Bookfair di Alor Setar Centre Point Pada 19 Disember 2010.

Tuan Shamsudin Kadir yang menulis buku-buku motivasi antaranya Makan Gaji Tetapi Kaya, Hidup Tenang Walaupun Berhutang. Dapatkan maklumat berguna mengenai perancangan kewangan dan kehidupan daripada beliau di Popular Bookfair ini.

Tarikh: 19 Dec – 19 Dec 2010 (AHAD) • 4.00 – 4.45 petang
Tempat: POPULAR Bookfair, Concourse Area, Alor Setar Centre Point, Alor Setar, Kedah

15 Dec 2010 Perkhidmatan Konsultan Bersama Shamsuddin Kadir
 |  Category: Informasi |  One Comment

Assalamualaikum dan Salam Ceria, Tuan dan Puan yang dimuliakan,

Di atas permintaan bagi mendapatkan khidmat rundingan secara perseorangan, pihak www.ShamsuddinKadir.com akan membuka ruang kepada Tuan dan Puan yang ingin mendapatkan khidmat konsultan dengan Shamsuddin Kadir.

Ianya akan bermula pada 21 Disember 2010. Emelkan nama, nombor telefon serta tarikh dan masa yang dikehendaki hantarkan ke info@sk.my. Nyatakan juga berapa jam yang kita ingin jumpa. (Maksimum 2 jam sahaja untuk setiap khidmat konsultan).

Kami memberi ruang kepada Tuan dan Puan yang ingin mendapatkan khidmat rundingan bagi mencadangkan Caj yuran khidmat Konsultan itu untuk setiap 1 jam. Ini bagi memastikan kadar itu bersesuaian dengan Tuan dan Puan yang ingin mendapatkan khidmat konsultan. Setiap bulan kami hanya terhadkan kepada beberapa sesi sahaja, ianya bergantung kepada kelapangan Shamsuddin Kadir iaitu pada hari beliau tidak menjayakan kursus, temujanji dan mesyuarat.

————————————-

13 Dec 2010 Jutaan Kesukaan Atas Perkongsian Ilmu BDDR Hari ini
 |  Category: dimensi |  Leave a Comment

Salam Maal Hijrah buat tuan dan warga Ultra Mind Resources. Jutaan kesukaan saya ucapkan buat tuan atas perkongsian, dorongan serta motivasi yang saya perolehi sepanjang berkursus di tempat tuan hari ini. Suatu pengalaman yang pastinya akan membuatkan saya lebih teruja untuk merealisasikan impian untuk menjadi Tuan Rumah Jutawan Yang Beriman. Semoga jasa dan keikhlasan tuan dibalas Allah dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dapat.

Saya doakan serta gambarkan.. Semoga Allah juga memberi kekuatan untuk saya terbang dengan tinggi dan tidak berpaut pada tempat yang salah walaupun baru berlatih untuk terbang.

Doakan saya berjaya ya Tuan. Sampai jumpa lagi.

Dari: Razif (Perserta kursus Buat Duit Dengan Rumah 121210)

————————————————-

Waalaikummusalam Tuan Razif (sepupuh yang dikasihi)

Ya Allah, limpahilah sepupuku ini dengan kebaikan yang datang mendadak pada setiap pagi dan petang hari. Dan lindungilah beliau dari kejahatan yang datang mendadak. Amin.

Insyaa Allah kita pasti bertemu lagi wahai sepupu yang dirindui.

Doa kami akan sentiasa mengiringi penerbangan saudara sepanjang masa.

Shamsuddin Kadir

Kuala Lumpur

11 Dec 2010 Jual Tanah Untuk Bayar Pinjaman Peribadi

Pertanyaan yang dihantar ke emel

Salam, Tuan.

Saya adalah seorang kakitangan kerajaan. semasa diusia muda saya, saya tidak pernah terfikir pinjaman peribadi yang saya buat akan memakan diri saya pada waktu sekarang.

Untuk makluman tuan, keadaan kesihatan kewangan saya memang tenat (pada pandangan saya). Ini kerana pendapatan bulanan saya sekarang ini hanyalah cukup-cukup untuk membayar ansuran kereta, pinjaman pelajaran, easy-payment dan kad kredit.

saya mempunyai 2 kad kredit. Ansuran kereta saya RM670. Oleh kerana potongan gaji saya telah mencapai had maksimum (60%) saya perlu menyelesaikan dahulu hutang pinjaman peribadi saya supaya saya boleh membuat pinjaman perumahan. saya ada sebidang tanah tetapi tidak bercadang untuk membuat rumah di situ memandangkan ianya jauh dari tempat kerja saya. saya bercadang untuk menjual tanah tersebut

(Tanah lot untuk membina rumah) dan membayar hutang pinjaman peribadi saya.

Jadi, saya dapat memohon untuk pinjaman perumahan. Apa pandangan tuan?  Terima kasih atas perhatian tuan.

Cik Puan Rozita (bukan nama sebenar)

————————————-

Waalaikummusalam Cik Puan Rozita,

Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepadaMu dari dibebani dengan Hutang dan penindasan orang lain terhadap kami. Amin.

Cik Puan Rozita yang dirahmati Allah,

Jual tanah untuk jelaskan semua hutang pinjaman peribadi dan kad kredit. Mulakan untuk menghentikan pengunaan kad kredit apabila mendapat gaji bulan ini. Jika kad kredit itu tidak dihentikan penggunaan cik puan akan menangung hutang kritikal dalam masa 5 – 10 tahun akan datang.

Elakkan dari membeli rumah, selagi kad kredit itu masih digunakan. Bebaskan diri dari apa-apa skim ansuran mudah.

Sebaiknya, mohon cik puan bagi membaca buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang sebelum menjual tanah tersebut.

Banyakkan membaca doa seperti yang tercatat dalam buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang, insyaa Allah dipermudahkan olehNya.

Shamsuddin Kadir

10 Dec 2010 Pembelian Rumah Lelong : Kebaikan dan Keburukannya
 |  Category: Rumah |  One Comment

Cuan Siti nooraisah Binti Manap menulis,

Selamat sejahtera kepada Tuan Shamsuddin, keluarga dan rakan sekerja. Mohon

bertanya, bagaimana cara-cara pembelian rumah lelong? Apakah kebaikan dan keburukannya untuk jangkamasa pendek atau jangkamasa panjang?

Apakah syarat-syarat atau kelayakan yang diperlukan?

Sekian, terima kasih.

_________________________________

Insyaa Allah, Tuan Shamsuddin Kadir akan memberikan informasi berkenaan dengan persoalan ini dalam masa terdekat di blog ini.

Nor Aini Mohamed

__________________________________________________________________________________________________

Langkah untuk kita membeli rumah lelong, adalah yang pertama biasakan diri menghadiri majlis lelong rumah seperti yang diiklankan dalam flyer yang dihantar ke peti surat rumah kita, ataupun iklan yang dipaparkan di dalam akbar dan juga di bank.  Di situ kita dapat mempelajari selok belok proses lelongan berlangsung dan juga proses pembelian.

Secara asasnya, kita perlu menyediakan 5% bank draf berdasarkan harga ‘reserve price’ seperti yang diklankan, jika kita menjadi pelelong tertinggi, maka kita membuat penempah serius dengan memberikan bank draft tersebut ke pihak yang melelong tersebut. Dalam tempoh tertentu kita perlu menjelaskan bayaran baki keseluruhan  harga yang kita tawarkan itu. Masanya cukup bagi kita memohon pinjaman bank.

Apabila disebut rumah lelong,

  • Ianya bagus dibeli jika rumah itu dilelong disebabkan pemilik yang mempunyai masalah kewangan.
  • Ianya tidak bagus dibeli jika rumah itu dilelong kerana tidak dapat dijual ataupun disewakan  oleh pemiliknya.
Kes terbaru, seorang individu membeli sebuah kondominium dengan harga RM 20,000 di bawah harga pasaran, melalui sistem rumah lelong. Apabila ingin memasukinya, beliau terpaksa membayar RM 30,000 tunai bagi menjelaskan hutang-hutang yang ditanggung oleh pemilik asal termasuk kos penyelenggaraan kondominium itu yang tertunggak.
Rumah lelong sesuai dibeli oleh orang yang ingin membeli di bawah harga pasaran dan pada masa yang sama ada masa lebih untuk mencari, menghadiri tempat lelongan dan juga melawat rumah tersebut sebelum proses lelongan dan bersedia dengan kemungkinan yang akan berlaku. Pastikan kita selidik dahulu berkenaan dengan kos tertunggak berkenaan dengan apartment tersebut dengan membuat semakan di pejabat penyelenggaran apartment ataupun kondominium. Ini bagi memastikan kita dapat membuat analisis lebih awal sama ada unit itu sesuai ataupun tidak untuk kita beli.
Membeli rumah lelong bagus apabila kita dapat membeli rumah di bawah harga pasaran dan pasa masa yang sama kondisi rumah itu tidak perlu dibaiki.
Rumah lelong boleh dibeli sama ada secara tunai ataupun dengan pembiayaan oleh bank.

10 Dec 2010 Kursus Buat Duit Dengan Rumah Siri 2 Ahad 12 Disember 2010
 |  Category: dimensi |  2 Comments

Kemaskini terkini : Ada dua lagi kekosongan tempat. Kepada yang berminat boleh mengemelkan nama dan nombor telefon ke info@sk.my, pembayaran perlu dibuat pada hari ini ataupun selewat-lewatnya esok.

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Di atas lebihan peserta yang ingin menyertai kursus Buat Duit Dengan Rumah, maka pihak kami membuka ruang kepada individu-individu yang ingin menyertai kursus tersebut untuk siri kedua iaitu pada hari Ahad 12 Disember 2010.

Insyaa-Allah pada  hari Ahad bersamaan dengan 21 November 2010 akan diadakan satu workshop berkenaan perlaburan dalam hartanah @ iaitu rumah. Ianya sesuai kepada Tuan dan Puan yang ingin memiliki lebih dari sebuah rumah sebagai sumber pendapatan pasif.

Ada orang melihat sampah itu kotor, ada orang melihat sampah itu duit

Ada orang melihat rumah itu membebankan kerana perlu keluar duit, ada orang melihat rumah itu menguntungkan kerana duit masuk

semuanya bergantung kepada perspektif kita. Apa yang dapat menukar perspektif kita adalah ilmu yang kita perolehi melalui pengalaman baru sama ada melalui buku, training dan mentor.

Pelajari bagaimana kita dapat duit ekstra, harta ekstra dan bersara awal jika perlu.

Antara yang kita akan perolehi melalui kursus ini adalah “

1. Bagaimana membeli rumah dengan diskaun 80 – 110 % berdasarkan pengalaman trainer itu sendiri

2. Membeli rumah dengan menggunakan duit orang lain

3. Membeli lebih dari sebuah. Ada yang membeli 4 dan ada yang memiliki 120 buah rumah sewa

4. Menghasilkan Insurans pendidikan anak-anak yang Islamik dan percuma

Dan Insyaa-Allah banyak lagi jika dipermudahkan dan diizinkan oleh Allah, pemilik sekelian alam

Yuran Perlaburan RM 188

Pembayaran awal sebelum 4 Disember adalah RM 158

Terhad : Maksimum 15 orang sahaja.

Trainer : Shamsuddin Kadir

Kursus akan bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir pada pukul 4 petang. di Learning Station 11-2 Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Melawati, 53300 Kuala Lumpur.

Mohon diemelkan ke info@sk.my, kepada yang berminat untuk menyertai siri kedua dengan menyertakan nama, nombor telefon yang boleh dihubungi dan juga alamat.

Yuran pelaburan RM 188, pembayaran sebelum 4 Disember RM 158.  Maybank 562106-200279  atas nama Shamsuddin Abdul Kadir. Mohon diemelkan ke info@sk.my berkenaan pembayaran yang telah dibuat.

Walaupun kursus ini dibuka untuk pendaftaran sehingga bulan Disember, pengesahan tempat adalah TERHAD berdasarkan kepada peserta terawal yang membuat pembayaran.

09 Dec 2010 Mulakan Akaun Bank Emosi Dengan Setiap Individu
 |  Category: Bahasa, dimensi |  One Comment

Maafkan saya,

Assalamualaikum dan salam ceria buat Tuan dan Puan yang amat dirindui, Semoga semuanya sentiasa dalam rahmat Allah dan dilimpahi dengan rasa ceria dan seronok sepanjang masa. Amin.

Saya cukup tertarik apabila membaca pada malam ini, apabila terbaca berkenaan dengan Bank Emosi, apabila diselidiki rupa-rupanya kursus Komunikasi Kecantikan Sosial yang dijayakan oleh SK Training sudah memiliki apa yang dipanggil Bank Emosi.

Apabila disebut akaun bank, kita deposit wang ke dalam akaun tersebut, dan mengeluarkannya apabila perlu.  Akaun Bank Emosi menggambarkan jumlah kepercayaan dan keyakinan yang terkumpul dalam hubungan kita dengan seseorang.

Bagaimana kita menyimpan dalam akaun bank emosi orang lain?

Kita membuat deposit melalui hubungan yang baik, menjaga nama individu yang kita berkawan itu, menghormati individu tersebut termasuk memuji mereka di atas kebaikan yang dilakukan oleh orang tersebut.

Apabila akaun Bank Emosi yang kita buka pada seseorang itu sudah meningkat nilainya, maka hubungan kita dengan individu tersebut menjadi mudah, beliau akan mudah membantu kita jika kita memerlukannya.

Dalam islam ianya dipanggil Silaturrahim. Allah telah menjanjikan, orang yang menyambung ataupun berbuat kebaikan kepada individu lain, kita dapat dua kebaikan. Panjang umur dan rezeki yang tidak putus.

Menanyakan khabar dan mendoakan untuk individu tersebut antara cara yang kita dapat menambah deposit dalam akaun bank emosi individu tersebut.

Bersesuaian dengan kata-kata ini’ “Tidak beriman seseorang kamu, selagi mana dia tidak mencintai orang lain seperti mana dia mencintai dirinya sendiri”

Shamsuddin Kadir

Kuala Lumpur

04 Dec 2010 Hutang Rumahtangga Setinggi Gunung

Maafkan saya,

Assalamualaikum, Tuan dan Puan yang dirahmati Allah dan dikasihi nabi,

Ya Allah tuhan kami, sesungguhnya kami berlindung kepadaMu dari rasa susah dan sedih,

kami juga berlindung kepadaMu dari rasa lemah dan malas

dan sesungguhnya kami juga berlindung kepadaMu dari sifat kedekut dan pengecut

dan kami juga berlindung kepadaMu dari dibebani dengan hutang dan tekanan orang lain terhadap kami.

Mengikut laporan terbaru oleh majalah The Edge Malaysia, hutang peribadi mencecah RM560.1 bilion pada 31 Ogos 2010 yang lalu.

Hutang ini termasuk hutang pembiayaan rumah, pembiayaan kenderaan dan pembiayaan peribadi seperti pinjaman peribadi dan juga kad kredit.

Sepupu yang dihormati,

Tiga perkara yang paling asas yang dapat mengelakkan dari menanggung bebanan hutang ‘rumahtangga’ yang tinggi adalah :

  • Mencari untuk ditinggalkan, meninggalkan untuk bekalan
Rumah, kereta, jam tangan, handphone terkini, laptop, cincin, tv plasma, status gelaran seperti Dr, dan lain-lain, kita meninggalkan ke semuanya sebaik sahaja roh kita dikeluarkan dari jasad kita. Ketika itu usaha kita mencari untuk ‘kenikmatan peribadi yang berlebihan’ ditinggalkan. Apa yang kita bawa, hanyalah sedekah ataupun bantuan yang kita telah lakukan sewaktu kita hidup serta amalan baik yang kita lakukan setiap hari seperti sembahyang dan juga berzikir.
  • Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya, bukan menerima sebanyak-banyaknya
Hidup ini tidak lebih dari hidup dalam keadaan berusaha bagi mencukupi keperluan hidup diri dan keluarga dan juga  mencari lebihan untuk memberi kepada orang yang lebih memerlukan.
  • Orang yang merasakan dirinya mahal, mereka tidak memerlukan benda ataupun perkara yang mahal untuk dilekatkan pada badan ataupun ditempatkan di sekeliling mereka.
Apabila kita sudah mencapai tahap kemuliaan diri sendiri, kita semakin tidak memerlukan barangan ataupun sesuatu bagi menunjukkan kepada orang lain bahawa kita sebenarnya mahal. Antara barangan yang ditunjukkan bagi menyatakan kita mahal adalah kereta, rumah, perabot dalam rumah, handphone dan lain-lain.
Apabila kita membeli rumah, kereta dan barangan lain yang lebih tinggi harganya dengan pinjaman, semakin kurang nilai ketenangan yang kita nikmati. Semakin kurang peluang untuk kita membantu memberi sedekah yang lebih tinggi nilainya.
Apabila orang meminta sedekah kita hanya mampu memberi RM 1 – 2 apabila kita menangung bebanan ansuran rumah, kereta dan lain-lain yang tinggi. Apabila kita tiada bebanan yang tinggi, tabung akhirat kita semakin berisi, kerana kita bukan sahaja boleh memberi kepada orang yang meminta sedekah dengan jumlah yang lebih besar seperti RM 50, kita juga rasa seronok apabila dapat mengejar dan mencari orang yang memerlukan bantuan, kerana kita tidak puas, selagi mana duit kita tidak dihabiskan setiap hari untuk membantu orang lain.
Apabila kita meneruskan menggunakan kereta yang sudah habis bayar ansuran, kita ada lebihan sekitar RM 500 – 1000 sebulan untuk dibelanjakan tempat lain. Duit itu juga boleh digunakan bagi membuat simpanan sebahagiannya dan  sebahagian lagi digunakan untuk membuat bekalan bagi menikmati kemodenan dan kesenangan yang luarbiasa di negeri yang kekal selama-lamanya. Iaitu Akhirat Jaya.
Ketika Tuan dan Puan membaca entri ini, juga tidak mustahil, penulisnya juga sudah tiada di muka bumi ini. Maka apakah yang di bawa balik ke Alam Barzakh ?
Maafkan saya, sekali lagi.
Dari sepupu
Shamsuddin Kadir