Archive for January, 2011

Apakah Perancangan Kita di Tahun 2011?

Assalamualaikum dan salam ceria untuk semua sepupu yang dimuliakan oleh Allah dan dikasihi oleh nabi,

Tahun 2011 sudah menjelma, ada yang sudah membuat persiapan dan perancangan untuk tahun 2011. Dengan matlamat yang ditulis ianya menjadi lebih cerah untuk kita mencapainya, kerana kita dapat mengingati apa yang kita inginkan dan setiap kali melihatnya, kita dapat berusaha bagi memastikan ianya berlaku.

Tahun 2011 ini juga mungkin menjadi tahun keramat untuk ahli keluarga kita di mana tarikh mati kita yang telah Allah tetapkan itu jatuh pada tahun ini. Ini juga memerlukan persiapan untuk kita meninggalkan dunia ini.

Apabila kita melihat keindahan dunia ini, termasuk rumah, kereta, aksesori kehidupan, bangunan-bangunan besar dan tempat-tempat menarik, timbul satu persoalan siapakah yang mencipta semua yang cantik-cantik ini? Jawapan yang timbul di hati kita adalah Allah. Jika hasil yang dicipta itu cantik-cantik, sudah pasti Tuhan yang menciptakan semua ini lebih cantik. Sehingga hari ini, kita belum berkesempatan melihat ke semua kecantikan, dan kita belum dapat nikmati semua kenikmatan, bagaimana pula dengan kecantikan yang Maha Kaya iaitu Allah dan juga bagaimana pula dengan nikmat yang Allah sediakan untuk kita di negara yang kekal abadi Akhirat?

Sudah pasti kita teringin mendirikan solat malam, kerana sayang takut waktu pagi cepat sampai, supaya masa untuk kita berdiri di atas tikar sejadah mengadap Tuhan yang Maha Cantik, Maha Penyayang dapat dipanjangkan.

Tahun 2011 ini juga adalah tahun kita meneruskan pengembaraan mencari yang hakiki. Menggunakan sedikit bekalan yang tidak kekal di dunia ini bagi meneruskan kehidupan mencari yang kekal Abadi.

Permainan seperti Playstation sudah pasti menjauhkan lagi anak-anak kita dengan ketagihan untuk mengadap Tuhan yang Maha Cantik dan Maha Indah itu.

Di sebut dalam pengajian agama, apabila malaikat maut datang mencabut roh kita, ketika roh itu sudah berada di leher, kita mohon kepada Allah supaya dipanjangkan umur, bukan untuk apa, tetapi untuk menghadiahkan semua harta kita walaupun satu sen untuk diberikan kepada orang fakir, miskin, yatim dan orang yang amat memerlukan bantuan.

Ini bererti apa yang kita cari dalam bentuk kebendaan, tidak lagi kita perlukan apabila nyawa kita sudah tiada.

Tahun 2011 tahun untuk kita merendahkan keperluan zahir (jasad) dan meningkatkan keperluan roh iaitu, keperluan berdiri di atas tikar sejadah sewaktu manusia lain sedang enak tidur.

Ya Allah permudahkanlah impian kami untuk bangun malam bagi menambahkan lagi taat setia kami dengan menyembahMu. Amin.