Archive for the Category ◊ Testimoni ◊

02 Mar 2011 Pertanyaan Sepupu : Tempoh Pinjaman Kereta

Assalamualaikum.

Didoakan agar tuan sihat wal afiat dan dilindungi Allah SWT sentiasa.

Ada sedikit pertanyaan, saya ada membuat pinjaman kenderaan dengan Bank XYZ menggunakan pakej GradHitz selama 10 tahun bermula pada tahun 2008 dengan bayaran ansurannya sebanyak RM617 sebulan.

Saya amat terlambat membeli buku tuan ‘Hidup tenang walaupun berhutang’ yang menyatakan berapa lama tempoh yang patut kita habiskan untuk kenderaan.

Adakah cara yang lain untuk mengurangkan bayaran bulanan kereta saya itu?

Untuk pengetahuan tuan, saya masih belajar dan sudah berkeluarga. Mohon pendapat tuan dan sekian terima kasih.

Ahmad Tarmizi (bukan nama sebenar)

_________________________________________

Waalaikummusalam wbt,

Amin, saya suka di atas doa tuan itu, kerana doa orang yang soleh dimakbulkan oleh Allah SWT.

Saya doakan supaya tuan sentiasa dikurniakan dengan kebaikan yang datang mendadak, pada setiap pagi dan petang hari. Amin.

Tuan aplikasikan sistem sampul surat dalam buku tersebut, elakkan dari terlibat dalam barah kewangan yang lain.

Baca pula buku kedua tulisan Shamsuddin Kadir iaitu Makan Gaji Tetapi Kaya, seterusnya membaca buku Kaya Dengan Rumah dan diikuti Buat Duit Dengan Rumah.

Amalkan doa yang terdapat di antara muka surat terakhir buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang, amalkan setiap kali kita teringat.

Tingkatkan nilai diri kita, mengikut kajian yang dibuat oleh pakar Psikologi, orang yang merasakan dirinya mahal, mereka tidak memerlukan barangan mahal untuk dilekatkan pada badan ataupun disekeliling mereka.

Apabila kita merasakan diri kita murah, kita sibuk membeli simbol-simbol kekayaan palsu, supaya diri kita di lihat sebagai orang kaya, orang berada ataupun orang yang mahal.

Di luar sana ada banyak perangkap yang disediakan oleh Bank-bank, penyedia skim ansuran mudah, Ah long dan lain-lain.

Tuan, teruskan usaha tuan mengerjakan solat Dhuha itu, ianya membantu kita.

Membaca buku-buku tersebut dan artikel di dalam blog ini yang sudah melebih 900, memberikan tuan jalan penyelesaian yang mantap, dengan izin Allah. Tuan terkejut apabila mendapati pinjaman kereta tuan sama ada dijelaskan awal, ataupun waktu tuan sedar itu, pinjaman kereta sudah habis, walaupun belum sampai tempoh pinjaman, iaitu 10 tahun.

Dalam buku itu dan entri dalam blog ini saya ada masukkan ‘mentera’ bagi menghalang kita dari dibebani dengan hutang yang yang tidak perlu.

Apa-apa tahniah tuan, insyaa Allah kita bertemu nanti, jika tiada ruang di sini, kita bertemu di Syurga nanti. Amin.

Shamsuddin Kadir

03 Sep 2010 Jurutera : Teruja dan Gembira Membaca Buku
 |  Category: dimensi, Testimoni |  Tags: | 3 Comments

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya doakan Tuan, isteri dan ahli keluarga berada dalam keredhaan Allah, mendapat berkat di Bulan Ramadhan yang mulia ini dan dipanjangkan umur untuk menyebarkan ilmu kepada seluruh umat Islam.

Tuan,

Pada hari Jumaat yang lepas saya baru sahaja membeli buku Tuan Makan Gaji Tetapi Kaya dan Biskut Ajaib di MPH Mid Valley. Sebenarnya saya sudah membuat pesanan buku-buku tersebut bersama 3 buku tulisan Tuan

yang lain secara online (kedai buku online, tetapi masih belum dipos) namun kerana saya tidak sabar untuk memulakan pembacaan buku-buku itu, saya terus membelinya di MPH walaupun pada harga yang lebih tinggi dari pesanan online saya. Alhamdulillah, pelaburan saya sungguh berbaloi!

Alhamdulillah, suami saya sudah selasai membaca Makan Gaji Tetapi Kaya. Pagi tadi semasa di dalam LRT ke pejabat, saya tamatkan pembacaan Biskut Ajaib. Saya sungguh teruja dan gembira! Terima kasih di atas perkongsian ilmu Tuan kepada kami. Tidak sabar saya mahu membaca buku tulisan Tuan yang lain.

Untuk pengetahuan Tuan, saya dan suami (serta seorang anak) menjalankan hidup yang sederhana dibandingkan dengan rakan-rakan engineer sepejabat yang lain.

Hutang yang ada hanya hutang kereta (Saga) dan rumah. Saya tidak mempunyai kredit kad dan menyimpan hampir 30% duit gaji sebulan. Walaupun kadangkala kami mendapat tekanan dari keluarga kerana tidak hidup “lavish” seperti lagak jurutera, (kami memakai kereta Saga, kawan-kawan memandu Civic, Altis, Accord etc) suami saya tetap berkeras bahawa ini sebenarnya jalan yang terbaik untuk kami yang baru mahu mengemudi alam rumahtangga. (kami berusia 28 tahun)

Setelah membaca buku dan blog Tuan, saya semakin yakin bahawa jalan yang kami pilih adalah tepat, Insya-Allah. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan saya dengan blog Tuan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini dan mendorong terus untuk saya membeli buku-buku Tuan.

Insya-Allah pada Syawal ini, seperti tahun-tahun yang lalu, kami hadiahkan buku kepada adik-beradik kami. Tahun ini buku “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” akan dijadikan hadiah raya untuk mereka, Insya-Allah. Saya mahu adik-beradik saya memanfaatkan ilmu Tuan dan sama-sama dapat menguruskan kewangan dengan bijak. Biskut Ajaib pula akan dihadiahkan kepada anak buah saya.

Saya dan suami berharap dapat berjumpa Tuan suatu hari nanti jika diizinkan Allah.

Terima kasih Tuan. Terima kasih.

Siti Zulaikha (bukan nama sebenar)

———————————-

Waalaikummusalam wbt Cik Puan Siti Zulaikha,

Saya mohon seluruh malaikat yang ada di langit turut mengaminkan doa saya untuk Cik Puan sekeluarga, supaya Cik puan sekeluarga terus menerus dipelihara dari gangguan dosa dan juga dirahmati dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Terima kasih di atas doa Cik Puan, itu saya cukup suka menerima doa dari wanita yang solehah, kerana doa wanita solehah diterima Allah tanpa ada halangan.

Tahniah, Tahniah, Tahniah, kerana Cik Puan dan suami berjaya menguasai fikiran, nafsu dan juga godaan masyarakat disekeliling dari terpengaruh dengan gaya hidup di luar batasan normal seorang Muslim.

Saidina Umar sentiasa berdoa di hadapan Kaabah setiap kali beliau ke Mekah. Doanya lebih kurang begini “Ya Allah jadikan aku termasuk golongan yang sedikit”. Maksudnya, orang yang memilih untuk mengikut dan taat kepada Allah secara sepenuh hati adalah sedikit berbanding dengan golongan yang sesat.

Teruskan mengunakan proton Saga itu. Pahalanya sangat besar, Fardhu Kifayah dipenuhi, keberkatan bersama Cik Puan sekeluarga.

Satu kajian mendapati, Orang yang merasakan dirinya mahal, mereka tidak memerlukan perkara ataupun benda mahal untuk ditempatkan ataupun dilekatkan kepada diri mereka sendiri’

Salah seorang yang menepati ciri-ciri orang mahal adalah Cik Puan dan Suami.

Terus menerus memanfaatkan masa membaca terutama juga dalam LRT. Baca, baca, baca dan hadiahkan buku-buku yang bermanfaat.

Gantikan duit raya dengan Angan-Angan.

Individu seperti Cik Puan dan suami yang dapat menyimpan 30% dari duit gaji sebulan, adalah antara individu yang sangat berkualiti dan berprestasi di pejabat.

Saya baru mendapat jemputan bagi menyediakan modul latihan untuk kakitangan di organisasi Cik Puan. Semoga kita dipermudahkan untuk bertemu suatu hari ini.

Semoga Allah melahirkan lebih banyak sepupu seperti Cik Puan dan Suami dalam kehidupan ini.

Shamsuddin kadir