Archive for the Category ◊ Keluarga ◊

09 Apr 2010 Keberkatan dalam perbelanjaan seharian

Komen salah seorang pembaca blog shamsuddinkadir.com . Cik Puan Tina (Bukan nama sebenar)

Salam Tuan,

Saya merupakan kakitangan kerajaan..dan berasa sungguh tertarik dengan artikel2 yang telah tuan tuliskan..ya..bagaimana saya boleh terjumpa dengan rencana-rencana tuan di halaman-halaman ini..mungkin Allah telah memberi laluanNya kepada saya..untuk saya berubah dan cuba berusaha untuk membaiki diri dalam mencari keberkatanNya..

Saya telah bekerja selama hampir 10 tahun..dan tidak pernah terfikir akan kurniaan nikmat yang telah Allah berikan kepada saya sekeluarga..hari ini..dengan membaca artikel tuan, saya telah mendaftarkan diri untuk membayar zakat pendapatan secara potongan gaji bulanan untuk memperoleh keberkatan Allah..dan saya juga telah membayar untuk membeli secara online kesemua buku2 tuan..untuk cuba berubah menjadi lebih positif dalam mengurus kewangan dan hidup saya sekeluarga..

Terima kasih diucapkan atas kesedaran yang ditimbulkan..dan saya sekarang sedang mencari-cari tempat kursus/ceramah tuan yang akan diadakan berhampiran dengan tempat saya di Seremban. InsyaAllah saya akan cuba menghadirinya..

Sekian.Terima kasih.

Cik Puan Tina (Bukan nama sebenar)

07 Jul 2009 Hidup Dengan Memberi Sebanyak-banyaknya
 |  Category: Keluarga |  3 Comments

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Semoga Allah mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada kita semua pada setiap pagi dan petang hari. Amin.

Sudah berpuluh-puluh tahun SK mendengar, melihat dan mengkaji berkenaan dilema adik-beradik selepas berumahtangga. Artikel ini hanya difokuskan kepada salah satu isu sahaja pada kali ini, iaitu pentingkan kejayaan diri, pasangan dan anak.

Banyak berlaku di mana-mana keluhan individu yang akhirnya terpaksa hidup dalam kesusahan tidak mendapat perhatian adik-beradik yang lain. Ada yang sampai meninggal pun tidak diketahui oleh adik beradik.

“Aku hanya cipta manusia (iaitu kita) hanya semata-mata untuk beribadah kepada Allah” itu kata Allah dalam buku tulisannya yang dipanggil Al-Quran.

Gambar hiasan di atas menunjukkan kehidupan dua darjat.

Apabila kita berusaha menambah pendapatan ataupun merancang kepada keperluan kehidupan harian, adik-beradik dan ibubapa adalah termasuk dalam dunia kita.

Apabila sudah berumahtangga kita mungkin terlupa ataupun tertinggal dari memikirkan tentang ‘apa khabar’ adik ataupun kakak kita itu. Adakah mereka ada duit yang cukup untuk makan hari ini?

Adakah mereka sedang menangung hutang kad kredit yang sudah menjadi barah tahap kritikal?

Adakah mereka baru kehilangan kerja?

Adakah mereka ada duit bagi membeli baju baru untuk anak mereka sewaktu hari raya? Bagaimana dengan tangungan bulanan, adakah mereka mampu?

Apabila kita berusaha meningkatkan prestasi keluarga kita dari segi pemikiran, kewangan dan juga kemahiran penting, jangan lupa kita masih ada darah daging yang tersayang yang sedang menanti bantuan.

Oleh itu, hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya. Jika kita mampu membeli kereta baru, tidak perlu kita trade in kereta lama, tetapi hadiahkan kereta lama itu kepada adik-beradik yang kurang upaya dan memerlukannya.

Jika tidak boleh membantu banyak hulurkan RM 50 sebulan secara ‘wajib’ kepada mereka supaya ianya meringankan bebanan mereka. Jika ketika ini kita juga tidak mampu, hadiahkan kepada mereka dengan buku-buku berinspirasi.

Jika mereka bekerja – hadiahkan buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan Makan Gaji Tetapi Kaya, jika mereka ada anak yang sudah bersekolah boleh hadiahkan kepada anak saudara itu dengan buku Biskut Ajaib, Garaj Aiman dan Tukang Gunting Terbang.

Hadiah buku ketika harijadi anak mereka walaupun tiada sambutan yang dilakukan.

Sebelum kedatangan bulan puasa, lawat rumah mereka bawa bekalan keperluan rumah, seperti beras…

Sebelum raya, jengok mereka bagi memastikan anak-anak mereka berbaju baru sewaktu hari raya nanti.

Apabila kita menjaga kesejahteraan ahli keluarga kedua-dua pihak (suami dan Isteri), dengan izin Allah, para malaikat sentiasa mendoakan kesejahteraan kita di dunia dan Akhirat.

Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.

26 Jun 2009 Pembunuh Kualiti Hidup
 |  Category: Anak, dimensi, Keluarga |  Leave a Comment

Apabila kita mengamalkan sambutan harijadi dan hari ulangtahun perkahwinan dengan cara memberi hadiah ataupun meraikan dengan makan secara luarbiasa dari hari biasa, ianya tidak membantu anak, pasangan ataupun diri kita.

Harijadi anak ataupun pasangan kita tetap ada walaupun mereka tidak menunjukkan prestasi yang memenuhi piawaian keluarga kita. Walaupun isteri kita masak tidak sedap, komunikasi beliau tidak bagus, kita mengiktiraf tabiatnya itu dengan meraikan hari jadi yang tepat kujung tiba.

Begitu juga dengan suami kita yang tidak pandai mengambil hati isteri, kita terus menghadiahkan setiap kali kedatangan harijadinya.

Walaupun anak kita itu tidak dengar kata, kita tetap memberi hadiah pada harijadinya.

Apabila kita memberi hadiah ataupun meraikan, ianya bermaksud kita mengiktirafkan perangai mereka yang masih belum kita berpuas hati.

Nabi Muhammad S.A.W juga tidak memberi hadiah yang berjadual iaitu seperti hadiah hari jadi, hari ulangtahun. Nabi memberi ganjaran berdasarkan pencapaian prestasi yang lebih tinggi dari masa ke sama.

Apabila pasangan ataupun anak kita membuat sesuatu yang tersangat baik reward mereka ketika itu, tidak mengapa jika reward ataupun itu diberikan 5 kali setahun. Ianya sudah pasti lebih baik dari sambutan harijadi ataupun ulangtahun, kerana setiap kali kita membelanjakan duit bagi meraikan prestasi ahli keluarga itu, setiap kali itu kualiti hidup kita meningkat.

SK sendiri sudah tidak mengadakan sebagai aktiviti bagi meraikan ulangtahun perkahwinan ataupun hari jadi diri, isteri, anak sejak 2-3 tahun yang lalu. Apa yang kami lakukan adalah sambutan prestasi. Ianya dilakukan secara mengejut, kerana ianya tiada tarikh yang boleh dijangka. Apabila prestasi isteri ataupun anak bertambah baik, kita memberikan kejutan.

Antara kejutan yang saya berikan kepada isteri dan anak pada suatu pagi adalah ” Ain, masukkan pakaian yang diperlukan bagi satu malam”.

“Kenapa abang”? tanya isteri saya.

“Kita akan keluar 1/2 jam lagi, dan malam ini kita tidak akan tidur di rumah, di mana kereta ini berhenti di situlah kita akan tidur”.

Kejutan ini berakhir di sebuah hotel peranginan. Ianya hadiah di atas kejutan prestasi yang dibuat oleh isteri dan anak-anak saya dalam meningkatkan kualiti hidup.

Petang semalam saya memberikan kejutan yang ketiga untuk isteri saya bagi tahun 2009. Isteri saya berkata, “kejutan macam ini lebih ikhlas ‘genuine’ dan saya sukakannya”.

Shamsuddin Kadir

Trainer & Author

Emel: info@shamsuddinkadir.com

22 May 2009 Buku Yang Akan Dibeli Bulan Ini
 |  Category: Buku, Keluarga |  3 Comments

Insyaa-Allah dalam beberapa hari lagi, kita yang makan gaji bakal menerima gaji dalam masa terdekat. Apakah barangan dan servis yang kita akan beli mengunakan duit gaji bulan ini?

Antara perbelanjaan yang kita akan lakukan adalah melabur untuk buku, melabur untuk sumber inspirasi hidup kita. Saya sudah memilih sebuah buku yang saya sudah lama melihatnya, dan pernah memegangnya, tetapi belum berkesempatan memilikinya. Tajukan ‘Blink’ berkenaan dengan berfikir tanpa berfikir, itu maklumat ringkas yang saya dapat tahu dari bicara buku oleh Ally Iskandar di MHI hari ini.

Buku ini bakal menjadi santapan SK pada hujung minggu ini, jika buku itu dapat diperolehi di Kota Kinabalu, Sabah. Insyaa-Allah SK akan berada di Sabah mulai 23 hingga 27 Mei 2009 bagi menjayakan kursus Dimensi Diri untuk kakitalan Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Sabah.

Tetapkan nama buku yang akan dibeli oleh Tuan dan Puan sebelum duit gaji masuk, dan mulakan satu tabiat membuat perlaburan ilmu dengan membeli buku sebagai satu dari belanja awal apabila mendapat gaji. Semoga tabiat ini menjadikan kita semua sebagai orang yang lebih berjaya dari masa ke semasa.

Kepada Tuan dan Puan yang ada memiliki anak yang berusia 7 tahun ke atas, boleh pilih banyak buku-buku yang bermutu yang ada di pasaran.

Kepada Tuan dan Puan yang belum ada slot membaca di rumah, boleh berbincang dengan pasangan dan mulakan langkah itu secepat mungkin. Sebagai permulaan Tuan dan Puan boleh memulakan waktu membaca iaitu pada pukul 8.25 malam sehingga pukul 9 malam. Ketika itu pastikan ruang membaca itu sunyi ‘seperti di perpustakaan’. Tiada bunyi dari TV, Radio dan sebagainya. Itu akan menganggu kita menerapkan apa yang kita baca.

Shamsuddin Kadir

Emel: info@shamsuddinkadir.com

23 Mar 2009 Kesan Negatif Apabila Mengikuti Isu Negatif
 |  Category: Keluarga, Peluang, Risiko |  Leave a Comment

Apabila kita mengikuti isu-isu negatif seperti gosip artis, gosip jiran, rakan sekerja dan saudara mara kita juga akhirnya termasuk di dalam kehidupan yang negatif. Sepanjang hidup sejak dari kecil sehingga hari ini, apakah kebaikan yang diperolehi dengan mengikuti gosip sama ada membaca, menonton, mendengar ataupun bercakap berkenaan gosip.

Yang biasanya berlaku :

  • Rugi. Duit membeli majalah gosip, lihat di rumah kita, cuba kira balik berapa ribu yang kita sudah belanjakan membeli majalah yang laku kerana gosip sahaja
  • Rugi. Masa yang digunakan bagi membaca, mendengar, menonton ataupun bercakap berkenaan gosip (mengumpat), masa itu dapat digunakan bagi membaca ataupun membincangkan perkara-perkara yang boleh meningkatkan kualiti hidup kita.
  • Rugi. Hidup dipenuhi kejadian-kejadian negatif yang menimpa hidup sendiri, akibat suka menjaga ‘tepi kain orang’ akhirnya kain sendiri yang terlondeh.

Banyak juga majalah berkenaan gejala masyarakat yang melakukan maksiat, ianya sebenarnya membantu kita bagi mendekatkan lagi dengan maksiat. Membaca bacaan seperti itu hanya memastikan duit poket kita keluar pada setiap bulan kepada perkara yang tidak mendekatkan diri kita kepada Allah. Perhatikan anak-anak kita juga, kadangkala budaya membaca ‘bacaan tidak sesuai’ itu sudah sebati dengan anak-anak generasi hari ini, jika ianya tidak dibendung dari awal.

Tidak kepada majalah, buku, suratkhabar yang tidak meningkatkan kualiti hidup. Individu yang menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam, tidak ada masa untuk dibuang.

21 Dec 2008 Majlis Perkahwinan Yang Membazir

Hujung minggu terutama ketika musim cuti sekolah, banyak kenduri yang diadakan bagi meraikan pasangan yang baru diijabkabul dan kenduri menyambut menantu di sana sini.

Matlamat utama bagi mengadakan kenduri adalah bagi menghebohkan kepada masyarakat sekeliling bahawa Si Tapah dan Si Tipah telah bernikah dan menjadi pasangan yang sah sudah hampir tenggelam. Apa yang banyak timbul adalah pertandingan membuat majlis perkahwinan yang paling meriah di mana pertandingan di adili melalui :
1. Bilangan khemah yang digunakan – yang paling banyak menjadi Juara

2. Bilangan jemputan yang dipanggil – yang paling banyak menjadi juara

3. Jumlah hantaran yang ditetapkan – Yang paling tinggi menjadi juara

4. Harga katering satu kepala – Yang paling mahal menjadi juara

5. Pelamin yang dipilih – Yang paling cantik menjadi juara

6. Hantaran perkahwinan – Yang paling banyak menjadi juara, Yang paling berjenama menjadi juara

7. Gubahan, hiasan di rumah pengantin – Yang paling menawan menjadi juara

8. Dan banyak lagi…. termasuk kad perkahwinan….

Cukup sedih saya melihat bertapa ramainya manusia yang suka membazir kerana terpengaruh dengan sifat ingin menunjuk-nunjuk, sehingga wang mencecah puluhan ribu ringgit dilaburkan bagi memuaskan perasaan ‘menunjuk-nunjuk’.

Individu yang paling dan cukup menderita adalah pasangan yang baru berkahwin itu, kerana ada yang memaksa diri mengambil pinjaman peribadi dengan menghalalkan perkataan terpaksa kerana ibubapa mereka.

Berapa lama lagi kita perlu mengikut adat seorang tua yang telah meninggal dunia yang menetapkan adat yang tidak membatu kita menguruskan kewangan dengan cekap, adakah adat yang membazir dan bersifat menunjuk-nunjuk perlu kita ikuti?

Saya paling suka menghadiri majlis kenduri kesyukuran perkahwinan kerana ianya bermaksud, majlis di adakan bagi meraikankan perkahwinan dan para tetamu tidak wajib membawa hadiah ataupun duit untuk dihulurkan.

Yang menjadi terlebih kaya adalah peniaga-peniaga yang mencetak kad perkahwinan, penyedia khemah, jurusolek. Ini satu, adakah jurusolek yang mentouch up muka kita sehingga berwajah seperti opera Cina itu yang penting, sehingga tiada lagi muka kita yang asal.

Pembaziran ini membebankan lagi pasangan muda yang terpaksa menunda-nunda tarikh perkahwinan disebabkan ibubapa dan bakal ibubapa mertua yang tidak sanggup membebaskan diri dari perasaan ‘riak’.

Blog www.shamsuddinkadir.com, sama sekali tidak bersetuju dengan majlis perkahwinan yang membazir dan menunjuk-nunjuk dan yang menjadi antara penyebab utama kenapa generasi muda tidak memilih jalan perkahwinan yang sah untuk memenuhi keperluan hidup.

SK juga tidak menyokong 100% mana-mana individu yang memilih untuk berkahwin dengan meminjam pinjaman peribadi. Insyaa-Allah sebuah buku berkenaan dengan pengurusan kewangan untuk Pengantin akan dikeluarkan bagi membebaskan banyak individu yang terpaksa menangung bebanan yang tidak perlu, gara-gara ‘perasaan menunjuk-nunjuk terlekat di jiwa’

Yang paling menarik, tidak ada tetamu yang merasa selesa apabila melihat sebuah majlis perkahwinan yang tidak berpijak di dunia realiti, hanya semata-mata sebuah majlis di dunia khayalan. Majlis perkahwinan yang besar-besaran yang dibuat tanpa ada ‘berkat’ tidak dapat menghasilkan kebahagian, yang ada hanyalah menangung bebanan hutang. Ada yang sudah ada ada 4 tetapi hutang perkahwinan belum selesai.

27 Jun 2008 Hutang Kad Kredit : RM400,000

Ini merupakan berita yang paling menakutkan yang pernah saya dengar. Hampir sehari suntuk saya berada di kawasan Wangsa Maju/Setia Wangsa bagi menghantar 2 manuskrip terbaru.

Ketika di sana saya diberitahu bahawa seorang ketua keluarga menangung hutang kad kredit sebanyak RM400,000. Apabila isterinya menasihatinya agar menjelaskan hutang tersebut ataupun menghentikan pengunaan, dia berkata “Jika dihentikan pengunaan kad kredit itu, dia tidak mampu untuk membeli susu untuk anak”

Sungguh saya tidak sangka walaupun buku saya “Hidup Tenang Walaupun Berhutang” telah menunjukkan kesan yang amat mendalam apabila kita menangung hutang kad kredit, masih ada yang meneruskan amalan berhutang melalui kad kredit.

Ramai pembaca buku tersebut yang telah meninggalkan tabiat berhutang dengan kad kredit. Saya juga terus menerus memaklumkan tentang implikasi yang amat mendalam dalam kehidupan apabila kita tersilap langkah. Masih ada jalan kembali ke pangkal jalan, selagi kita masih hidup.

Saya percaya ramai juga individu yang cukup ‘takut’ apabila ada desakan oleh pemilik stesyen minyak untuk menamatkan pembelian petrol mengunakan kad kredit di stesyen minyak.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

18 Jun 2008 Mengurus Perbelanjaan: Makan Di Luar

Inflasi akan sentiasa meningkat dari hari pertama manusia mengunakan matawang sehingga dunia ini Kiamat.

Apabila kos barangan seperti petrol naik di pasaran, sudah pasti banyak kos lain juga akan turut naik. Apabila  perbelanjaan kita naik melepasi had 70%, maka kita perlu melakukan salah satu ataupun kedua-dua perkara di bawah :

1. Mengurangkan cara/gaya hidup kita pada ketika ini

2. Meningkatkan pendapatan kita

Fokus kita pada hari ini, kaedah mengurangkan/merendahkan cara/gaya hidup kita. Contoh yang akan kita gunakan adalah berkenaan makan di luar.

Jika sebelum ini, setiap kali kita makan di luar, kita mengunjungi restoran-restoran yang ‘agak selesa’ yang harganya juga sederhana tinggi, sudah tiba masanya kita menukarkan ke restoran yang harga lebih murah. Tahap kualiti kebersihan restoran itu kita tidak boleh abaikan. Walaupun ke restoran yang lebih murah, tetapi kita perlu pastikan organ dalaman kita tidak terjejas, iaitu elakkan daripada memasuki kedai makan dengan status ‘C’. Kita akan dibebani dengan kos rawatan hospital bagi merawati penyakit seperti Hepatitis A (Barah Hati) yang disebabkan memakan makanan yang disediakan di tempat kotor.

Jika sebelum ini kita memesang nasi bersama air manis, mungkin sudah tiba masanya kita menukarkan kepada air suam ataupun ais kosong. Dalam lauk dan nasi sudah mengandungi kabohidrat (gula), oleh itu pengambilan makanan dengan minuman manis menambahkan lagi kandungan gula dalam badan kita. Ini memberikan risiko tinggi kepada kita untuk menghidap ‘diabetes’ kencing manis. Ketika sihat kita menangung lebihan kos dengan mengambil minuman manis ketika makanan utama, ketika sakit kita dibebani kos rawatan penyakit kritikal itu.

Tidak salah bagi mendapatkan minuman manis tetapi sebolehnya bukan bersama dengan makanan seperti makan tengahari dan malam.

Setiap kali keluar makan secara individu ataupun dengan keluarga, pastikan semuanya memesan air suam (ini yang terbaik) ataupun ais kosong. Ini sudah pasti menjimatkan beberapa ringgit ataupun puluhan ringgit jika bilangan ahli keluarga besar.

Mulai hari ini tukar menu minuman kepada air suam yang ternyata baik untuk kesihatan. Apabila kita memesan nasi, pastikan kita meminta separuh bukannya sepenuh pinggan. Harga nasi untuk separuh pinggan lebih murah berbanding sepinggan nasi penuh. Mengikut kajian, keperluan manusia bagi makan tengahari dan malam terutama pekerja di pejabat adalah mencukupi dengan nasi separuh yang disertakan dengan sayuran.

Dengan mengikuti panduan menjaga kesihatan dengan memakan mengikut keperluan, kita mengelakkan daripada menangung bil-bil perubatan dan menangung kos sara hidup yang tinggi.

Sekali sekala ataupun sekali sehari anda mengambil minuman manis. Dengan penjimatan sebanyak RM 3 – 5 ringgit sehari selama sebulan anda sudah dapat membiayai kos elektrik, air dan telefon untuk sebulan.

Biasakan untuk membawa air mineral/masak yang dibawa setiap kali pergi membeli belah ataupun bersiar-siar. Anda dapat menjimatkan puluhan ringgit setiap bulan yang dapat anda gunakan untuk membeli beberapa helai tuala yang sudah uzur. 

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

28 Mar 2008 Kenali Diri Anda Melalui Senarai Barangan

Anda boleh mengenali diri anda sama ada anda seorang yang merancang perbelanjaan ataupun sebaliknya. Terdapat banyak cara untuk kita sifat dan tabiat kita. Jika kita ingin melihat muka, kita boleh mengunakan cermin.

Bagaimana jika kita ingin melihat tabiat berbelanja kita? Cara paling mudah untuk melihatnya adalah dengan membuat semakan seperti berikut :

  • Kita membuat senarai sebelum masuk ataupun keluar pasaraya ?

Adakah kita membuat menyediakan senarai barangan yang diperlukan ketika dirumah ? Jika ya, ini bermakna kita merancang barangan yang benar-benar diperlukan.  Ketika di rumah kita dapat menilai dengan jelas tentang keperluan semasa kita, seperti barangan yang kehabisan stok.  Kita mampu mengenalpasti anggaran kos yang diperlukan. Ini bermakna kita dapat tentukan berapa jumlah duit yang perlu dibawa ataupun jumlah perbelanjaan yang akan dibuat mengunakan kad kredit. Apabila jumlah yang dianggarkan itu menepati bajet, kita akan mengunakan terus senarai tersebut, sebaliknya kita membuat beberapa pemotongan yang perlu.

Jika kita tidak menyediakan senarai sebelum ke pasaraya atau kedai, kita hanya balik dengan senarai yang telah disediakan oleh kaunter pembayaran.  Ini bererti kita mungkin terpengaruh oleh strategi pemasaran yang diatur oleh pasaraya sehingga menjadikan diri kita membeli barangan yang kita tidak perlukan. Apabila kita biarkan kaunter pembayaran yang menentukan jumlah senarai barangan yang kita perlu beli dan bayar, kita terdedah kepada pelbagai risiko. Ia juga menunjukkan, kita sebagai seorang yang tidak suka merancang perbelanjaan.

Mengikut Imam Al-Ghazali, nafsu adalah perkara yang paling besar di dalam dunia ini. Jika kita membiarkan nafsu kita sebebas-bebaskan ketika di pasaraya, sudah tentu banyak benda yang membazir kita beli. Banyak barangan yang diluar kemampuan kita ambil. Dengan menyediakan senarai, sebenarnya kita mengikat nafsu kita supaya ianya tidak bermaharajela tanpa ada kita sebagai Tuannya.

Menyediakan senarai sebelum ke pasaraya banyak kelebihan berbanding keluar dari pasaraya dengan memegang senarai bil yang membebankan.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

20 Mar 2008 Didik Keluarga Urus Duit

Adalah menjadi keperluan bagi setiap individu untuk mendidik setiap ahli keluarganya celik kewangan. Tiada gunakan jika kita seorang sahaja ingin berjimat, manakalanya seluruh ahli keluarga kita yang lain itu, berbelanja seolah hari esok tidak akan wujud lagi.

Banyak peserta saya yang mengatakan, mereka mempunyai masalah dengan isteri yang suka berbelanja.

Mengikut kajian saya sendiri, bukan sahaja isteri, suami dan anak-anak adalah sama sahaja dalam tabiat berbelanja. Apa yang membezakan mereka adalah sejarah kehidupan mereka ketika kecil dan juga tahap pendidikan kewangan peribadi yang mereka terima. Apabila seseorang yang biasa dibesarkan dengan keadaan duit yang tidak mencukupi, dia akan tertedah kepada dua keadaan. Sama ada dia menjadi seseorang yang berjimat cermat ataupun yang boros, kerana tidak mahu lagi hidup dalam kesusahan.

Cara yang paling mudah bagi membuatkan setiap ahli keluarga kita termasuk dengan kita bijak menguruskan duit adalah dengan belajar tentang kewangan peribadi. Cara paling mudah adalah dengan membaca buku-buku kewangan dan artikel tentang kewangan peribadi. Melalui pembacaan ianya mengajar kita tentang adab-adab apabila ingin berbelanja. Contohnya, apabila ingin memasuki pasaraya, kita mengetahui bahawa kita perlu membawa senarai. Kita hanya membeli apa yang ada di dalam senarai dan sebagainya.

Semakin tinggi penguasaan ilmu kewangan ini menjadikan kita semakin susah untuk menghabiskan setiap ringgit yang kita ada. Kita menjadikan semua ahli keluarga kita sebagai akauntan dalam membuat keputusan bajet bulanan. Setiap ahli keluarga kita juga adalah auditor yang akan menjalankan audit pada setiap perbelanjaan yang dibuat oleh ahli keluarga yang lain. Ini mewujudkan sistem Check and Balance, di antara satu sama lain di bawah satu keluarga.

Semakin susah  untuk anda menghabiskan duit ‘gaji’ yang anda terima, semakin tenang fikiran anda pada setiap masa. Anda sudah tidak perlu memikirkan ke mana duit anda menghilang pada setiap bulan. Walaupun sudah berkerja selama 25 tahun, masih ada individu yang tidak mampu menentukan ke mana duitnya ghaib pada setiap bulan.

Mulakan dengan mendapatkan buku-buku dalam kewangan peribadi. Buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang adalah buku dalam siri kewangan peribadi.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

12 Feb 2008 Membebankan Diri Dengan Simbol Kekayaan

Mata yang rabun menyukarkan kita untuk melihat dengan jelas. Banyak masalah yang kita hadapi sepanjang masa. Silap langkah kita akan terjatuh ke  dalam longkang. Dapatkan cermin mata jika rabun  supaya kita dapat mengelakkan daripada bahaya yang berada di hadapan mata.

Begitu juga dalam kewangan, bagi individu ataupun keluarga yang tidak mendorong dirinya untuk menjadi celik kewangan terpaksa hidup dalam kumpulan ‘rabun kewangan’.

Orang yang rabun kewangan sentiasa hidup dibebani dengan masalah ‘duit’. Sama ada duit tidak cukup, hutang semakin bertambah, membeli barangan yang salah dan sebagainya.

Orang yang rabun kewangan suka membeli simbol-simbol kekayaan tetapi bukannya kekayaan itu sendiri. Ini yang menyebabkan mereka menangung bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Antara simbol-simbol kekayaan yang dibeli terutama oleh orang yang hidup makan gaji adalah seperti :

1. Susu bayi yang paling berjenama dan yang paling mahal

2. Jenama lampin pakai buang yang berjenama dan mahal

3. Kereta yang paling mahal yang bank boleh luluskan pinjaman

4. Rumah yang paling besar yang bank boleh luluskan pinjaman

5. Pemilikan kad-kad kredit yang bertaraf ‘Gold ataupun Platinum’ Dengan ‘credit limit’ berpuluh ribu.

6. Pakaian yang berjenama tersohor

7. Handphone dari model yang terkini dan termahal

8. Aksesori diri dari jenama yang diiklankan di kaca TV

9. Aksesori kereta dari jenama-jenama luar negara

10. Memasang penghawa dingin di setiap ruang di dalam rumah termasuk dapur dan bilik stor. 

11.  Membeli barangan yang dilihat menarik tetapi barangan itu bukannya satu keperluan

12.  Membeli hampir semua barangan dengan kad kredit, tetapi hanya membayar 5% pada setiap bulan, iaitu bayaran minimun.

13. Hantar anda masuk tadika yang berjenama tinggi dan ‘ada class’ – Tetapi apabila anak berumur 7 tahun, di hantar ke sekolah kebangsaan dan bukannya sekolah swasta yang ‘ada class’. Di tadika bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris, tetapi di sekolah kebangsaan bahasa pengantar dalam bahasa Melayu.

Dan banyak lagi simbol-simbol kekayaan yang anda lebih arif.

Simbol-simbol kekayaan seperti ini bukannya menambahkan kekayaan. Ianya hanya mengakibatkan kita menangung beban besar. Contohnya membeli kereta yang kita terpaksa membayar ansuran selama 9 tahun, mengakibatkan hidup  dibebani dengan ansuran, penyelengaraan, cukai jalan, insurans dan juga petrol.

Untuk mengurangkan ataupun membebaskan diri kita daripada bebanan yang tidak perlu adalah dengan mengelakkan daripada memiliki simbol-simbol kekayaan yang tidak perlu. Rendahkan gaya hidup kita.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

10 Jan 2008 Posting Percubaan (Pertama)

Ini adalah sekadar post percubaan untuk memastikan ruangan kategori mengandungi semua kategori yang diingini.

Nantikan artikel-artikel menarik seterusnya dari En Shamsuddin Kadir.