Archive for the Category ◊ Kerjaya ◊

29 May 2011 Berfikir Seperti Bos

Assalamualaikum wbt,

Saudaraku yang dirahmati Allah dan saudariku yang disayangi Nabi,

Kepada sepupuku yang ketika ini bekerja dengan majikan sama ada swasta ataupun kerajaan,

Terdapat dua cara berfikir utama dalam dunia pekerjaan, iaitu berfikir seperti pekerja dan berfikir seperti bos.

Apabila kita berfikir seperti pekerja, kesannya kita lebih memandang apa yang organisasi ataupun majikan kita dapat berikan kepada kita. Antara tindakan yang kita lakukan adalah seperti berikut :

  • Bekerja apabila ada gaji
  • Buat kerja mengikut arahan bos
  • Menunggu arahan
  • Memikirkan keperluan diri sendiri
  • Memikirkan apa yang majikan dapat berikan
  • Bekerja mengikut waktu pejabat
  • Memohon maaf apabila melakukan kesilapan
  • Hanya buat kerja apa yang disuruh oleh majikan
  • Buat kerja dalam bidang tugasan sahaja
  • Tidak kisah berkenaan keperluan staf lain yang kita tidak kenal dalam organisasi
  • Memerlukan pujian
  • dan lain-lain
Apabila kita berfikir seperti majikan ataupun bos, kita lebih memikirkan apa yang kita dapat sumbangkan kepada organisasi.
  • Bekerja walaupun tidak dapat gaji
  • Tidak menunggu arahan
  • Lebih memikirkan keperluan organisasi dan staf lain
  • Memikirkan apa kita dapat disumbangkan kepada organisasi
  • Banyak buat kerja yang akan disuruh oleh bos dan juga kerja yang tidak akan disuruh oleh bos
  • Buat kerja dalam semua bidang tugasan yang dapat memanfaatkan organisasi ataupun staf lain
  • Tidak memerlukan pujian, sebaliknya sibuk memberi pujian kepada staf yang layak
  • Buat kerja sebelum arahan dikeluarkan, iaitu kerja siap sebelum arahan diberikan.
Informasi di atas ada dibicarakan dalam buku Makan Gaji Tetapi Kaya, tulisan Shamsuddin Kadir.
Apabila kita berfikir seperti kerja kita membuat kerja sama ataupun kurang dari gaji yang kita terima, apabila kita berfikir seperti bos, kita membuat kerja lebih dari gaji yang kita terima. Di mana kita membuatnya kerana Ehsan.
‘Kereta tanpa brek, masuk ke gaung, manusia tanpa ehsan masuk ke neraka’
Modul di atas, adalah modul teras  untuk kursus Menanda Aras Eksekutif/Pegawai/Warga Kerja  Super – SK TRAINING ACADEMY SDN BHD
Didoakan kita semua mendapat rahmat Allah, supaya perjalanan pulang ke Syurga dipermudahkan oleh Allah. Amin.
Maafkan saya,
Shamsuddin Kadir
29 Mei 2011
Ampang, Selangor
18 Oct 2009 Fokus Kerja Ataupun Fokus Hutang?

Ketika ini ada di antara kita yang sedang dalam dilema antara kerja ataupun hutang. Fokus kepada kerjaya ataupun bebanan hutang ?

Individu yang memiliki hutang rumah impian iaitu rumah yang dibeli untuk diduduki sendiri dengan mengambil pinjaman ataupun pembiayaan dengan bank melebihi dari 20 tahun. Individu yang sudah membuat komitmen bagi membiayai rumah melebihi tempoh 20 tahun bagi rumah diduduki sendiri mulai merasai tamparan hutang itu selepas 5 tahun yang pertama.

Individu yang membeli kereta impian dengan mengambil pembiayaan bank melebihi 4 tahun tempoh pinjaman, mulai merasai barah duit selepas tahun ke 3. Kesan ini mulai dirasai bagi individu yang mengambil pinjamana antara 6 sehingga 12 tahun. 

Individu yang terlibat dengan skim ansuran mudah, mulai merasakan perabot ataupun barang yang dibeli dengan ansuran itu semuanya tidak berbaloi selepas 1 tahun, tetapi apa hendak buat ansuran hanya berakhir 5 tahun dari sekarang.

Individu yang tersangkut dengan perangkap pinjaman peribadi, hidup dalam penuh tekanan sejak tahun kedua sehingga hutang itu habis.. jika 15 tahun, maka hidup terseksa jiwa dan batin selama 15 tahun itu.

Individu yang masih mengekalkan pengunaan kad kredit secara berhutang dan tidak Islamik, akan merasai barah di mana semakin hari mendatang, semakin duit gaji menjadi tidak cukup. Lama-lama tidak merasai nikmat lagi bekerja, kerana kita sudah bekerja sebagai hamba bukannya bekerja bagi mencapai kepuasaan hidup dan menyara keluarga.

Apabila kita tidak mengambil langkah yang bijak dengan mendapat nasihat ataupun tunjuk ajar dari mentor yang berkenaan, kita akan akhiri hidup selepas umur 55 tahun bukan sebagai pesara tetapi penganggur.

Bagi individu yang sudah terlibat dengan hutang-hutang yang tidak baik, jangan risau ada jalan keluar untuk kita. Antara apa yang kita boleh lakukan adalah :

  • Baca doa Al-Matsurat berkenaan dengan hutang – ada di muka surat belakang buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang
  • Baca buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang – Pratikkan kaedah yang ada dalam buku itu
  • Dampingin individu yang tiada hutang seperti kita, walaupun mereka bergaji sama besar dengan kita
  • Tetapkan prinsip. Antara prinsip penting SK telah kongsikan kepada peserta kursus-kursus, ada juga yang SK telah kongsikan di dalam blog ini. Baca artikel-artikel terdahulu.
  • Banyak baca buku ‘self help’. Selain buku SK, baca buku ‘Supaya poket tidak kosong lagi’, Didik anak urus wang, dan lain-lain. Nanti SK kongsikan…
  • Bersabar mempratikkan pelan membasmi hutang, kita akan berjaya apabila kita melepasi ujian sabar.

Saya tertinggal antara yang terpenting, mentor, mentor. Attend pelbagai majlis ilmu yang dapat membantu kita melepasi ujian sabar itu. Cari dan lantik Mentor.

Untuk bulan Oktober, saya baru melantik mentor saya yang seterusnya semalam. Nama beliau Tuan Iskandar ataupun lebih dikenali dengan nama Dr. Bubble, beliau memiliki ciri seorang mentor yang hebat dalam dalam satu kepakaran.

Kita hanya dapat fokus kepada kerjaya apabila kita yakin pelan pembasmian hutang itu akan berjaya.

SK

info@shamsuddinkadir.com

10 Jun 2008 Prestasi Pekerja Kerajaan dan Swasta Menurun?
 |  Category: Dilema, Diri, Duit @ Money, Kerjaya |  3 Comments

Sejak dari kenaikan minyak yang di umumkan beberapa hari lalu, di mana sahaja terdengar perbualan para pekerja sama ada di kedai kopi, stesyen komuter, di pasar raya, membicarakan tentang implikasi kenaikan petrol ke atas gaya hidup mereka sekeluarga.

Ramai yang rungsing dengan kenaikan harga barangan yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Impak yang paling kuat adalah tahap tekanan yang perlu dihadapi oleh setiap wargakerja yang hidup dengan membelanjakan 100% dari duit gaji setiap bulan. Ini bermakna mereka tidak ada duit simpanan. Apabila kenaikan kos minyak yang akan meningkatkan lagi pelbagai barangan lain, memberikan mereka ruang bagi menangung hutang yang tidak berbayar (hutang yang tidak dapat dijelaskan).

Pekerja yang sudah biasa membeli barangan di luar kemampuan adalah di antara individu yang akan menerima kesan awal. Ini berlaku apabila jumlah bagi tidak berbayar bagi setiap hutang kad kredit dan skim ansuran mudah meningkat..

Jika anda seorang pengguna kad kredit pastikan jumlah yang dibelanjakan di dalam kad kredit adalah tidak melebihi apa yang anda telah peruntukan dalam senarai perbelanjaan bulanan.

Jika anda tidak dapat menurunkan kos perbelanjaan bulanan kepada 70%, ianya bakal menimbulkan tekanan apabila anda terpaksa hidup ibarat ‘Kais bulan makan bulan’. Fikiran senantiasa memikirkan tentang bebanan hutang, anda menjadi semakin stres, fokus kepada pekerjaan akan turun, ini sudah pasti menurunkan prestasi anda.

Bagi pencegahan yang efektif, senaraikan semula semua perbelanjaan bulanan dan lihat di tangga mana anda sedang berada. Adakah anda seorang yang berbelanja di bawah 70% ataupun melebihi 100% daripada wang gaji yang diterima? Lihat jenis sabun yang kita gunakan, jenama-jenama yang kita gunakan, adakah ianya berbaloi untuk dikekalkan ataupun perlu ditukar kepada jenama yang lebih murah tetapi dalam kualiti yang kita perlukan.

Mengikut kajian yang saya lakukan terutama kepada peserta saya, majoriti daripada menyatakan, bahawa mereka tidak dapat fokus dalam tugasan yang dipertanggungjawabkan. Ini kerana minda mereka asyik memikir bagaimana untuk mencari duit lebih dan bagaimana mereka dapat menjelaskan hutang-hutang itu.

Kos minyak di jangka akan meningkat kepada AS$ 200 berbanding AS$135 setong pada waktu kini.  Bayangkan apa yang berlaku pada anda apabila harga petrol meningkat sebanyak 48% apabila ianya meningkat AS$200 setong dalam masa 24 bulan?

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

 

23 May 2008 Zam : Kursus Untuk Menjadi Jutawan Segera!

Salam En. Din,

Kekalutan akan timbul bila rezeki yg dikurniakan untuk kita dirasakan tak pernah cukup. Lebih menyedihkan apabila budaya kehidupan hari ini lebih mendorong kepada memiliki barangan ‘kehendak’ melebihi barangan ‘keperluan’.

Melihat kepada trend ini, wujud sekelompok manusia yg kononnya cuba membantu golongan di atas untuk mencapai impian mereka. Kebelakangan ini terdapat banyak kursus-kursus untuk menjadi jutawan segera samada dihebahkan melalui phamplet atau iklan di media cetak.

Minta pandangan En. Din tentang perkembangan ini.

Salam.

Nota Sham : Penyebab utama kenapa semakin ramai orang ingin menjadi ‘Jutawan Segera’ adalah disebabkan oleh kesempitan hidup. Kesempitan hidup yang bukannya disebabkan oleh kekurangan duit bagi memenuhi keperluan asas, sebaliknya bagi memenuhi kehendak di luar batasan kemampuan.

Penyebab utama individu pada zaman ini dapat membolosi had berbelanja melebihi wang gaji adalah kad kredit.  Dengan kad kredit seseorang itu boleh berbelanja sehingga berpuluh-puluh kali ganda wang gaji bulanannya. Apabila kehidupan  tersempit akibat gaji tidak dapat membayar bebanan gaya hidup yang diluar batasan normal, individu berkenaan akan mencari ataupun mencipta peluang bagi menyelesaikan masalahnya dengan segera.

Fokus utamanya adalah untuk menyelesaikan bebanan hutang kad kredit, skim ansuran mudah, ansuran rumah dan kereta, pinjaman peribadi dan banyak lagi hutang yang tidak disenaraikan di sini. Apabila tiada jalan mudah bagi memperolehi wang dalam jumlah yang banyak, maka pelbagai cara dicipta bagi menyakinkan orang ramai tentang ‘Program mendapat duit dengan segera’.

Tiada lagi konsep berniaga jual barang (keperluan) secara nyata akan dilakukan, banyak program yang hanya memerlukan anda memasukkan sejumlah duit, sama ada sebagai pendaftaran, pelaburan dan banyak lagi nama-nama yang indah yang digunakan.

Beberapa peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang menghadiri program Dimensi III telah mengambil pinjaman sehingga berpuluh-puluh ribu bagi melabur dalam program ‘Jutawan Segera’. Apa akan terjadi apabila pelaburan itu lenyap?

Masjid juga menjadi tempat para ‘peniaga jutawan segera’ memasarkan pamplet bagi memancing ‘pelanggan’.

 Sebahagian individu suka ‘mencuba’ terlebih dahulu walaupun Bank Negara sudah menasihatkan melalui pengedaran risalah di bank-bank dan juga iklan di media elektronik. Ada individu yang terlebih dahulu suka mengelakkan daripada belajar daripada kesilapan diri sendiri. 

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

22 May 2008 Kakitangan Gelabah…Gaji Belum Masuk Hari Ini

Saya menerima sms pada pagi ini, tentang isu kakitangan kerajaan mengelabah di Putrajaya. Penghantar memaklumkan beliau telah menghantar informasi lengkap ke shamsuddinkadir@yahoo.com

Assalamualaikum Sham,

Pagi ini di ofis saya, ramai pegawai dan kakitangan bising dan gelabah sebab gaji yang sepatutnya  masuk hari ini tidak masuk. Ramai yang hampa.

Betullah pandangan Sham, kita perlu ada wang simpanan. Saya bernasib baik kerana mengikut nasihat Sham, jadi tak lah saya gelabah.

Terima kasih

Suhaila (Bukan nama sebenar)

Kakitangan kerajaan, Putrajaya

Nota Sham : Perkara ini bukan baru berlaku pada hari ini, tetapi sejak manusia mula menceburi dunia pekerjaan. Apabila seorang pekerja membelanjakan semua  duit gaji pada setiap bulan, dia tidak dapat menerima impak apabila gaji seterusnya tidak diterima pada waktu yang sepatutnya.

Ukur baju di badan sendiri bukannya bermakna, kita perlu membelanjakan semua duit gaji pada setiap bulan. Ianya bermaksud, berbelanja dengan tidak melebihi 70% daripada gaji yang diterima pada setiap bulan.

Perbelanjaan kita biasanya melebihi daripada 70% apabila kita membiarkan orang lain iaitu seperti bank bagi menentukan gaya hidup kita. Tindakan ini akan membebankan kita apabila setiap bulan kita membelanjakan hampir ataupun melebihi separuh daripada duit gaji untuk membayar ansuran.  Pelbagai ansuran yang kita tanggung, ansuran kereta, rumah, kad kredit, skim ansuran mudah, ansuran pinjaman peribadi…

Masalah ini adalah masalah ‘sulit’ yang kebanyakan kakitangan tidak dapat menyelesaikannya dengan hanya berdiam diri. Masalah sulit ini di antara penyebab utama kenapa prestasi kakitangan atasan dan bawahan menurun.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

21 May 2008 Surat Pembaca : Berniaga Atau Sambung Belajar
 |  Category: Dilema, dimensi, Kerjaya, Peluang |  4 Comments

Saya ingin mendapat pendapat tuan,

I am studying at UiTM in diploma business study…. saya dalam semesta terakhir…. apa pendapat tuan, if i futher my study to degree… saya harap tuan dapat memberi pendapat, kursus apa yang perlu saya sambung when I further my study….. and one more thing, saya keliru sama ada untuk sambung belajar atau memulakan bisnes sendiri ?

Ahmad Nizam (Bukan nama sebenar)

Nota Shamsuddin Kadir : Pertama-tamanya saya mengucapkan rasa syukur di atas pemikiran saudara yang amat terbuka.

Soalan pertama – adakah saya perlu sambung dalam kursus yang sama di peringkat Ijazah? Mengambil jurusan yang berbeza ketika diperingkat diploma dan Ijazah memberikan kita satu kelebihan berbanding seorang graduan yang hanya menumpukan kepada satu bidang profesion sahaja. 

Contohnya. Encik Ali adalah tukang kayu  yang bekerja selama 5 tahun dalam kilang membuat kerusi, membantunya menguasai kemahiran membuat kerusi sahaja. Gajinya adalah RM 3,000.

Manakala Encik Burhan adalah tukang kayu yang berkerja selama 4 tahun dalam kilang membuat kerusi dan meja, memberikan dia dua kemahiran yang berlainan. Kemahiran membuat kerusi dan kemahiran membuat meja. Gajinya RM3,000.

Jika anda ingin memulakan perniagaan membuat perabut, siapa yang menjadi pilihan anda?

Itu jika dilihat dari satu dimensi. Bagaiamana jika anda bercita-cita untuk menjadi ahli yang pakar dalam satu bidang sahaja contohnya Akauntan, Peguam, Doktor, Arkitek, Jurutera ? Sebaiknya anda hanya fokus dalam jurusan itu sahaja, akan tetapi ianya tidak salah jika anda ingin mempelajari juga dalam bidang lain sebagai ‘tambah nilai’ kepada perkhidmatan yang anda akan berikan kepada pelanggan. Contohnya anda adalah graduan dalam bidang kedoktoran dan menyambung dalam bidang psikologi bagi membantu dirinya melayani pesakit-pesakit dengan nilai tambah.

Apa yang penting sekarang, adalah anda perlu mengenalpasti keinginan diri anda. Apa yang anda ingin capai. Jumpa dengan orang yang sedang dan sudah berjaya bagi mendapatkan pandangan sebelum anda membuat keputusan.

 “Degree is just a license, but it is not license to kill”

Seorang sahabat karib saya, mengambil jurusan perniagaan ‘business study’ ketika di peringkat diploma dan menyambung dalam bahagian perakaunan di peringkat ijazah. Beliau memulakan pekerjaan sebagai audit dalaman dan kini bekerja di bahagian perolehan ‘procurement’.

Seorang lagi sahabat karib saya memulakan pengajian dalam bidang perakaunan di peringkat diploma dan menyambung dalam bidang pemutusan ‘Decision-Making’ di peringkat Ijazah.

Soalan Kedua – Jika berkemampuan sambung belajar di peringkat Ijazah dan sambil itu berkecimpung dalam bisnes. Sebolehnya bisnes trading iaitu bisnes jual barang. Jika boleh elakkan barangan yang diperolehi melalui skim jualan langsung, kerana ketika ini anda memerlukan kemahiran bergantung atas diri sendiri 100% supaya anda dapat melihat dimensi anda ketika itu.

Maklumkan kepada saya dari masa ke semasa di halaman blog ini, supaya saya dan rakan pembaca dan pelawat lain dapat memberikan pandangan. Di jemput saudara dan saudari untuk turus menyumbangkan pandangan dan nasihat.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

 

19 May 2008 Dilema Pekerja : Kenaikan Gaji Yang Selamat

Ini adalah salah satu daripada soalan cepu emas yang biasanya berlegar di minda para pekerja. Bagi saya soalan ini perlu diketahui terutama pekerja swasta. Pekerja di sektor awam yang gajinya berdasarkan kelayakan di peringkat Ijazah dan ke atas tidak menerima kesan seperti mana pekerja bawahan (yang belum ada Ijazah) yang paling menerima impak maksimun ke atas ‘inflasi’ dan pelbagai kejutan kos sara hidup.

Kadar inflasi bagi lembah Klang seperti yang dilapurkan di dalam akhbar tempatan pada 2007 adalah 6%. Ini adalah 2 kali ganda daripada kadar inflasi yang sampai dicorong telinga kita. Ini bermakna Jika gaji kita pada ketika ini RM1,000  maka kenaikan sebanyak RM60 hanya menampung ‘inflasi’ ataupun kesusutan kuasa beli bagi setiap RM 1. Kita perlu mendapatkan kenaikan sekurang-kurangnya 11% iaitu 5 % di atas kos inflasi setempat.

Jika syarikat ataupun tangga gaji jawatan kita tidak mampu memberikan kita kenaikan sebanyak itu, maka kita perlu mengambil beberapa langkah segera bagi mengelakkan duit kita itu di makan oleh anai-anai (inflasi) dalam jumlah yang menyebabkan kita menangung bebanan hutang keliling pinggang.

Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan :

1. Tingkatkan kelayakan (Sijil, Diploma, Ijazah) ataupun ambil kursus-kursus singkat bagi meningkatkan kemahiran ‘Soft skill’ bagi memberikan nilai tambah kepada organisasi yang kita sertai.

2. Tingkatkan mutu kerja, kembangkan potensi dan serlahkan prestasi. Ini dapat dilakukan dengan kita mencari mentor yang amat terkenal dengan prestasi yang memberangsangkan. Tingkatkan pembacaan buku-buku yang dapat memberikan semangat dan juga panduan dalam melihat keupayaan kita yang sebenar.

3. Tukar ke jabatan lain ataupun mencari kerja di syarikat lain yang dapat meningkatkan pengalaman kita dan juga memberikan imbuhan yang dapat menjaminkan masa depan kita.

4. Jika boleh dapatkan seorang mentor yang berjaya didalam bidang perniagaan untuk memberikan pandangan tentang kemampuan kita. Kadang kala kita tidak nampak keupaayaan kita sebenar, tetapi orang yang berjaya dapat melihat ciri-ciri seorang pejaya. Siapa tahu, kita mungkin mempunyai keupayaan untuk memulakan langkah menjadi seorang ahli bisnes di masa hadapan. Jika tidak, kita boleh melatih anak kita untuk memulakan bisnes sendiri selepas tamat pengajian mereka.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

15 May 2008 Dilema Pekerja : Menghadiri Temuduga
 |  Category: dimensi, Kerjaya, Pelajar, Risiko |  7 Comments

Sejak terlibat dalam proses mengambil pekerja baru mulai tahun 1999, saya masih merasa sedih di atas ‘dimensi’ graduan dan pekerja yang memohon kerja. Masih banyak tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemohon pekerjaan.

Hampir 10 tahun sudah berlalu, pemohon pekerjaan yang saya menemuduga masih dengan ‘dimensi’ lapuk. Antara kelemahan yang ditonjolkan oleh pemohon pekerjaan adalah seperti berikut:

  • Tidak membawa sijil dan dokumen sokongan yang asal

  • Tidak membawa sekurang-kurangnya satu salinan photostat sijil dan dokumen

  • Tidak mengetahui protokol menghadiri temuduga seperti tidak memberi salam

  • Sijil tidak disusun mengikut susunan tahun sijil itu diperolehi

  • Tidak memakai pakaian yang bersesuaian, contohnya hanya memakai t-shirt berkolar

  • Tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan diri. Di mana pemohon tidak tahu apa yang ingin dipercakapkan bagi 5 minit pertama yang diberikan apabila Penemuduga mengarahkan pemohon untuk menerangkan secara ringkas latar belakang diri

  • Tidak tahu faktor ‘X’ iaitu sesuatu kelebihan yang ada pada dirinya yang dapat membantu penemuduga memilihnya.

  • Resume yang bercelaru dan yang dipenuhi dengan maklumat yang tidak penting.

Untuk makluman bakal pemohon, walaupun sijil itu perlu disediakan dalam persembahan yang kemas dan menarik, ianya tidak menjaminkan anda mendapat pekerjaan itu. Ada sebahagian pemohon yang saya ambil bekerja adalah pekerja yang tidak mempunyai ‘sijil’. Sijil hanya syarat asas apabila menghadiri temuduga.

Pemohon perlu mempersiapkan diri dengan membawa dua salinan gambar passport yang terkini dengan memaparkan wajah yang kemas dan ceria. Berikan gambar tersebut apabila penemuduga mengkehendakinya.

Banyak lagi yang ingin saya perkatakan. Ianya akan disambung. Dijemput para pelawat dan pembaca setia untuk memberikan pandangan anda. Kami amat menghargai setiap pandangan yang diberikan.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

30 Apr 2008 Surat Pembaca : Makan Gaji Tetapi Kaya

Assalamualaikum,

 

Apa khabar Tn Sham? Buat pengetahuan Tuan, saya sebenarnya baru sahaja menghabiskan bacaan saya untuk buku Tuan yang bertajuk “Makan Gaji Tetapi Kaya’. Pertama kali melihat buku tersebut di Popular, saya begitu teruja untuk membacanya. Oh ya tetapi sebelum itu, saya ingin memperkenalkan diri saya sebagai Anis (Bukan nama sebenar) dan berumur 22 tahun. Saya telah pun setahun menamatkan pengajian saya dalam pengurusan Perniagaan dan selama setahun juga saya telah bekerja ‘makan gaji’ sebagai branch administrator di sebuah syarikat swasta di Johor.

 

Pada mulanya, saya amat menyukai kerja ini, maklumlah kerja pertama. Saya memang tidak pernah berkira dengan kerja. Bagi saya, kerja itu satu kepuasan dan sememangnya saya ingin sekali menjadi rakan kongsi seperti yang Tuan nyatakan dalam buku Tuan itu. Tetapi, hampir setahun bekerja, saya mula berasa bosan yang amat kerana saya seakan sudah tidak ada kerja lagi melainkan menjadi kuli kepada rakan-rakan sekerja.

 

Buat pengetahuan Tuan, kerja saya ini sememangnya tidak mempunyai job description yang specific. Kebanyakannya ialah ‘To ensure cleanliness, to ensure event run smoothly’ dan banyak lagi ayat yang bermula dengan to ensure.  Jadi, semenjak dua menjak ini, aktiviti saya di pejabat seakan tidak ada. Tambahan pula, major business syarikat ini ialah sales. Selepas pukul sebelas pagi (lebih kurang) semua sales rep akan lesap dan tinggallah saya terkontang kanting sendirian (kadang- kadang bersama bos).

Semangat dan motivasi saya mula menurun dan menyebabkan saya rasa perlunya saya melakukan sesuatu yang lain bagi menjana otak saya ini kembali bekerja.

Persoalan saya ialah:

1)      Adakah saya perlu berhenti kerja dan mencari kerja lain yang lebih memerlukan tenaga saya? (buat pengetahuan tuan, saya amat menyukai syarikat ini kerana ia adalah syarikat multinational, mempunyai benefit yang baik, bonus yang tinggi, trip keluar Negara, dan gaji yang agak baik. (Jawapan Sham : Cuba mohon pertukaran di bahagian lain di syarikat tersebut. Beri sebab untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam mengurus tugas dengan lebih efektif. Ataupun Anis boleh memohon untuk menjadi salah seorang daripada Sales untuk memastikan suasana pekerjaan senantiasa mencabar. Bekerja sebagai jurujual amat mencabar dan dapat memberikan kepuasaan, kemahiran dan menambahkan lagi network kepada kita. 

 

 

2)      Pada pendapat Tuan, apakah perkara yang patut saya lakukan untuk menambahkan pendapatan saya ? (Jawapan Sham : Sambung belajar secara separuh masa di universiti berhampiran ataupun melalui program jarak jauh. Fikirkan bagaimana untuk kembangkan perniagaan majikan ini menjadi 25% lebih besar daripada sekarang. Saya tidak dapat memberikan cadangan terbaik, kerana saya tidak dapat melihat situasi sebenar di tempat Anis bekerja dan kemampuan Anis. Apa yang Anis boleh lakukan, adalah dengan mengkaji keupayaan diri dan berfikir secara kreatif supaya menemukan idea bagi meningkatkan lagi pendapatan Anis.)

 

3)      Mengikut buku Tuan, kita mungkin boleh menjadi part time lecturer, tapi untuk orang setahun jagung seperti saya ini, adakah kolej yang sudi mengambil untuk dijadikan part time lecturer mereka? (Jawapan Sham: Anis telah memohon ataupun belum lagi? Jangan memberi penghakiman sebelum anda membuat sesuatu. Contohnya, Jika kita ingin berniaga jual goreng pisang, elakkan daripada berkata, ‘Nanti tiada orang ingin membelinya’. Sebelum pecah ruyung, macam mana hendak dapat sagunya. Sebelum Anis mencuba jangan berkata ‘tidak boleh’. Contoh pensyarah itu adalah salah satu cadangan sahaja. Lihat apa yang bersesuaian dengan kelayakan kita. Saya percaya Anis layak sekurang-kurangnya  untuk menjadi Tutor (adik kepada lecturer).

 

4)      Adakah punca sebenarnya kerana saya berada di Johor dan peluang pun tidak banyak? (Jawapan Sham : Tidak. Di mana kita berada tidak menjadi banyak halangan. Yang penting, kebijakan kita mencipta peluang. Ya, dari tiada menjadi ADA.

 

5)      Apakah ciri2 perniagaan MLM yang benar? ( buat pengetahuan tuan, saya pernah tertipu dengan perniagaan begini semasa zaman belajar dahulu. Hampir beratus duit saya hangus begitu sahaja). (Jawapan Sham : Mohon maaf, ini di luar bidang dan kemampuan saya. Anis boleh mendapatkan daripada orang yang berpengalaman ataupun rujuk kepada buku-buku yang berkenaan.)

 

6)      Semalam saya ternampak, satu iklan di tepi jalan semasa saya menunggu traffic light bertukar hijau. “Perniagaan yang menguntungkan. Hanya perlukan modal sebanyk RM 40.00 sahaja untuk menjana pendapatan sebanyak RM 5000.00” Boleh percaya ke? (Jawapan Sham : Ini juga di luar bidang dan kemampuan saya, cuma nasihat saya, berhati-hati dengan ‘Skim Cepat Kaya versi moden’. Anis boleh rujuk kepada Bank Negara dan sebagainya.

 

7)      Dalam buku Tuan, banyak berkisah tentang orang yang sudah berpendapatan tinggi (RM 3000 ke atas dan sudah lama bekerja. Bagaimana dengan pekerja seperti saya yang sudah lah baru setahun jagung bekarja, gaji pula tidak sampai 3,000. Di mana saya nak carik duit untuk memulakan perniagaan hartanah yang memerlukan modal yang tidak sedikit itu? (Jawapan Sham : Mungkin berlaku sedikit kekeliruan, Sehingga kini, buku saya itu ditulis berdasarkan sumber rujukan dari pekerja yang bergaji di bawah RM 1,000 dan sehingga orang yang mendapat pendapatan melebihi RM10,000 sebulan. Salah satu contoh RM3,000 yang digunakan adalah untuk memudahkan bagi pekerja yang pendapatan diri dan pasangannya hanya RM3,000 sebulan. Dapatkan buku ‘Buat Duit dengan Rumah” yang akan berada di pasaran pada bulan Jun 2008 nanti. Anis akan dapati melabur dalam rumah tidak memerlukan modal besar dan Anis juga boleh melabur tanpa mengeluarkan duit muka untuk rumah. Semuanya diterangkan di dalam buku tersebut.

 

8)      Saya berminat juga dengan cadangan Tuan tentang menulis rencana/ artikel atau buku bagi menjana pendapatan tambahan, tapi saya tidak tahu di mana saya perlu mula. Lagi pula, buku apa yang perlu saya tulis, Untik menulis buku non fiksyen seperti Tuan, pengalaman yang diperlukan bukanlah sedikit. Saya rasa mustahil untuk menulis buku begitu. (Jawapan Sham : Ini adalah salah satu peluang yang Anis boleh gunakan untuk menambahkan pendapatan. Anis boleh mempelajarinya dengan mendapatkan buku ‘Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas’ yang ditulis oleh Tuan Zamri Mohamad. Insyaa-Allah buku ini dapat memberikan panduan kepada Anis dalam mengasah bakat yang ada.

 

Maaf lah, kerana email saya yang agak panjang ini, tapi saya amat menghargai sekiranya Tuan sudi membalas dan berkongsi pendapat dan pengalaman dengan saya.  (Jawapan Sham :  Emel ini mengandungi informasi yang jelas dan lengkap, mudah untuk saya memberikan pandangan. Bagi meningkatkan penguasaan ilmu, idea dan kemahiran, dapatkan buku ‘Hidup Tenang Walaupun Berhutang, Kaya Dengan Rumah dan Buat Duit dengan Rumah’.)

 

 

Regards,

Anis, Johor

 

Nota Sham :

Kepada Anis, sila maklumkan kepada saya, jika saudari ada sebarang pertanyaan lagi.

11 Apr 2008 Anda Mahu Wang Tunai Segera?

Jika dahulu kita yang perlu berusaha mencari peluang untuk mendapatkan wang tunai segera. Kini kita boleh mendapatkan dengan mudah apabila agen-agen bank dan pelbagai skim datang kepada kita.

Pada hari ini, selepas mendirikan sembahyang Jumaat di sebuah Masjid di Selangor, saya melihat ada seorang perempuan yang sedang mengedarkan ‘flyer’ di pintu masuk utama pagar masjid. Saya mendekatinya bagi mendapat tahu informasi yang sedang diagihkan kepada para jemaah Masjid.

Selepas mendapat satu, baru saya memahaminya. Ianya adalah maklumat untuk menarik orang ramai untuk membuat pinjaman peribadi. Katanya lagi pinjaman itu dapat diluluskan dalam masa kurang daripada 7 hari. Sungguh menarik tawarannya itu, pasti dapat mempengaruhi sebahagian daripada pengunjung.

Apabila dibaca isi kandungannya, hampir semua cadangan tujuan untuk digunakan duit itu adalah bagi membiayai :

  • Melancong

  • Perkahwinan

  • Kereta Baru

  • Rumah Baru

  • Pendidikan

  • Barangan dalam rumah

Bayangkan wang tunai segera ditawarkan bagi mempengaruhi pengunjung untuk menambahkan lagi bebanan kewangan hidup dengan melibatkan diri dengan :

  • Pergi melancong walaupun tidak mampu pada ketika ini. Ini adalah bagi memuaskan nafsu.

  • Membeli perabut baru rumah sedangkan perabut lama, masih boleh digunakan. Ini bagi menjadikan kita sebagai orang yang suka menunjuk-nunjuk. Apa kelebihan makan nasi di atas meja lama dengan meja baru? Adakah meja baru dapat mempercepatkan proses penghadaman dalam perut, ataunya membantu mengenyangkan apa yang di makan?

  • Melangsungkan perkahwinan diri ataupun anak, dengan meriah dan mewah, walaupun sebenarnya tidak mampu berbuat demikian. Sehingga dapat cucupun hutang ketika kahwin dahulu belum diselesaikan. Kenapa masih ingin menunjuk-nunjuk walaupun tidak mampu.

  • Adakah dengan membeli kereta baru dapat memastikan perjalanan kita lebih cepat sampai dan selamat berbanding kereta yang kita pandu sekarang?

  • Adakah dengan membeli rumah baru, kita dapat hidup dengan lebih tenang? Sudah pasti ansuran di rumah baru tinggi, ianya pasti membebankan kita untuk membayarnya.

Ramai individu yang tersangkut dengan ‘nikmat sementara’ ini. Kuasa adalah ditangan anda, oleh itu tentukan yang mana terbaik untuk anda.

Dengan meminjam sebanyak RM30,000 anda perlu membayar balik ansuran selama 7 tahun. Jumlah ansuran yang anda bayar adalah RM 47,800. Iaitu 17,800 melebihi dari apa yang anda pinjamkan. Dari setiap ansuran bulanan sebanyak RM570, anda sebenarnya menghadiahkan kepada bank sebanyak RM 213 pada setiap bulan, kerana meminjamkan anda sebanyak RM30,000.

Bagaimana pula dengan sahabat kita yang ingin dapatkan wang tunai segera daripada ‘Skim-Skim Internet?’ Insyaa-Allah di bincangkan pada entri akan datang.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

01 Apr 2008 Apabila Gaji Tidak Cukup

Setiap individu ada kefahaman tersendiri tentang apa yang di maksudkan dengan gaji tidak cukup. Melalui kursus Dimensi Diri, saya dapati ramai peserta memberikan jawapan gaji tidak cukup yang menjadi penyebab mereka dihimpit tekanan.

Apabila kita menyebut duit gaji yang diterima tidak cukup, sudah pasti kita sebenarnya menerima gaji tidak setimpal dengan kos sara hidup setempat. 

  • Adakah kita menjadi mangsa majikan yang tidak bertimbang rasa?

  • Adakah majikan kita tidak menyedari bahawa kos sara hidup sudah naik?

Apakah jumlah minimun gaji yang mencukupi untuk menangung keperluan sara hidup bulanan di kota dan di luar bandar?

Apabila gaji tidak cukup untuk menangung kos sara hidup termasuk bayaran ansuran kereta, rumah dan barangan dapur, kita mula merungut. Adakah kita berbelanja melebihi daripada kemampuan kita? Bagaimana kita berbelanja sehingga 100% daripada duit gaji yang diterima? Sedangkan had kemampuan kita untuk berbelanja adalah 70% daripada wang gaji?. Dilema hidup di luar kemampuan dengan menghabiskan semua duit gaji pada setiap bulan adalah cara hidup yang tidak sihat.

Apabila kita menghabiskan semua wang gaji dengan berbelanja secara tunai adalah lebih selamat daripada wang itu habis bagi menjelaskan hutang kad kredit dan skim ansuran mudah. Apabila wang dibelanja secara boros, kita dapat mengubah sikap kepada lebih berjimat dengan serta merta dan hasilnya kita dapat menyimpan sebahagian daripada duit.

Apabila kita terpaksa menghabiskan duit pada setiap bulan bagi menjelaskan ansuran kad kredit, ansuran skim ansuran mudah, kita tidak dapat mengurangkan kos kita secara serta merta. Ini kerana sebahagian besar duit gaji kita pada setiap bulan, sudah dimiliki oleh orang lain untuk beberapa tahun ataupun sehingga kita pencen. Kita merasakan gaji sentiasa tidak mencukupi apabila berada dalam kelompok ini. Ianya tidak mencukupi bukan kerana kos sara hidup yang tinggi, tetapi disebabkan gaya hidup berbelanja yang tidak sihat.

Langkah yang perlu kita lakukan, adalah dengan menyenaraikan segala perbelanjaan dan hutang yang kita tanggung. Ini dapat memberikan kita gambaran sebenar tentang kedudukan kewangan semasa kita. Daripada senarai tersebut potong kos-kos yang kita boleh elakkan ataupun di luar kemampuan kita.

Pelajari juga bagaimana untuk berjimat. Ya, berjimat dalam menguna elektrik. Itu adalah salah satu daripada kos yang kita perlu tanggung. Seorang individu yang tidak berjimat mengunakan elektrik 3 kali ganda daripada apa yang dia sebenarnya perlu. Bayangkan jika keperluan sebenarnya adalah RM 50, dia terpaksa menangung bil elektrik RM150. Itu hanya yang berkaitan dengan elektrik.

Bedah siasat gaji anda untuk memastikan sama ada gaji yang tidak cukup ataupun anda yang terlebih berbelanja.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

24 Mar 2008 Kursus Dimensi Diri I Di FRIM

Alhamdulilah, kursus Dimensi Diri I telah berjaya dijalankan pada 24 Mac yang lalu di bilik Garcinia, FRIM, Kepong. Ini adalah kali ketiga saya memasuki Institut Kajian Perhutanan Malaysia (FRIM). Pemandangan dan suasana di dalam kawasannya memukau setiap mata yang memandang. Di penuhi oleh pokok-pokok hutan yang amat besar yang menghiasi sebahagian besar kawasan FRIM.

Terima kasih kepada Cik Ruziah dan Cik Nur Azani dari Pusat Sumber Manusia yang banyak memberi bantuan sepanjang program ini berlangsung.

Terima kasih juga kepada para peserta yang tidak putus-putus memberikan pandangan dan juga mengambil bahagian sehingga program ini berakhir.  Banyak juga perkara baru yang dapat saya pelajari daripada para peserta dari FRIM ini yang mempunyai pengalaman yang luas.

Melalui perbincangan awal dengan Cik Ruziah, berkemungkinan besar program ini akan diteruskan dalam siri II ataupun III.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

24 Mar 2008 Jaga Periuk Nasi!

Isu ini bukannya berlaku hanya pada zaman ini, bahkan ianya  wujud sejak manusia mula hidup berniaga dan makan gaji.  Jika di zaman kegemilangan umat manusia pada zaman dahulu adalah bertunjangkan kepada amanah dan kejujuran. Di zaman ini kebanyakan individu dibebani dengan kos sara hidup, oleh itu mereka mengutamakan masa depan pekerjaannya berbanding dengan maruahnya.

Apabila sesebuah organisasi dipenuhi dengan wargakerja yang ‘jaga periuk nasi’ segala tindakan yang melampau ataupun menyalahi peraturan tidak akan diambil tindakan, jika ianya dilakukan oleh pekerja atasan. Ini bagi memastikan pekerja bawahan tersebut tidak di ambil apa-apa tindakan oleh pekerja atasan ataupun ketua jabatannya itu.

Kualiti kebanyakan organisasi semakin menurun pada ketika ini, apabila sejumlah besar kakitangan mempunyai masalah dengan kewangan. Hutang yang keliling pinggan, wang gaji tidak dapat menampung kos harian, bla…bla… itu adalah sebahagian daripada komen yang diberikan oleh wargakerja.

Apabila kita tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi, kita tidak dapat fokus dengan pekerjaan kita. Kita juga mudah menjadi umpan bagi pekerja lain untuk mengambil kesempatan ke atas kekurangan kita. Ini yang banyak memberikan tekanan kepada kakitangan.

Salah satu daripada cara untuk meningkatkan prestasi sesebuah organisasi adalah dengan membebaskan kakitangannya daripada menjadi ‘takut’ kepada diri sendiri. Ini boleh di lakukan dengan mendidik kakitangan supaya bijak menguruskan wang gaji mereka.  Kurus Dimensi Diri adalah salah satu daripada penyelesaiannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

17 Mar 2008 Rabun Kewangan Mengundang ‘Petaka’

Seorang pekerja yang bernama Firdaus (bukan nama sebenar) pergi ke bilik pameran kereta bagi membeli sebuah kereta idaman. Selepas  berpuas hati dengan penerangan oleh jurujual dan memandu uji kereta itu, maka urusan penempahan bermula.

Firdaus membayar RM 1,000 untuk penempahan dan melantik jurujual tersebut bagi menguruskan pembiayaan bagi pembelian kereta tersebut. Beliau juga memberikan maklumat peribadi yang dikehendaki termasuk satu salinan Mykad untuk urusan yang berkaitan.

Beliau bersetuju dengan pelan ’emas’ bagi  pembiayaan kereta tersebut iaitu,  pembiayaan sebanyak 95% daripada harga jualan dan tempoh pembayaran balik adalah 9 tahun. Pelan ini dapat memastikan dia hanya perlu keluar duit muka sebanyak 5% sahaja daripada harga kereta. Ia juga membantunya meringankan ansuran bulanan kepada bank.

Sebelum meninggalkan bilik pameran beliau berkata kepada jurujual “Dapatkan pembiayaan maksimun dan ambil tempoh yang paling maksimun”

Sehari kemudian, Firdaus dihubungi oleh jurujual tersebut mengatakan permohonan pembiayaan maksimun telah diluluskan dan beliau dikehendaki hadir menandatangani dokumen dengan bank.

Seminggu kemudian, jurujual tersebut menelefonnya ” Tuan Firdaus, kereta Tuan sudah sampai di pejabat kami, pukul berapa Tuan ingin datang mengambilnya?”

Firdaus menjawab ringkas “Sekarang, saya datang”

Dua tahun kemudian, dia sudah tidak selesa memandu kereta tersebut, apabila melihat ada model baru di pasaran. Apabila beliau menghubungi jurujual untuk ‘trade in’, beliau diberitahu bahawa beliau terpaksa membayar duit tambahan kepada bank kerana baki hutang dengan bank lebih tinggi daripada harga kereta tersebut dipasaran. Firdaus melupakan hasratnya itu. Beliau terus mengunakan kereta.

Genap ulang tahun kelima, keretanya mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang memerlukan kereta itu dihantar ke bengkel. Beberapa keping duit RM100 di hulurkan kepada juruwang bengkel tersebut. Selang beberapa bulan, Firdaus datang lagi, memberitahu penghawa dingin keretanya tiba-tiba tidak berfungsi. Pemilik bengkel memberitahunya bahawa kompressor penghawa dingin telah rosak, dan kos membaikinya adalah RM1,000 +++. Mata Firdaus tiba-tiba terbeliak, terkejut mendengar angka keramat itu. Jumlah sebenar tidak dapat ditentukan sehingga mekanik membuka satu persatu komponen penghawa dingin kereta tersebut.  Mekanik itu memaklumkan jumlah ke semua kos adalah RM 1,350.  Beliau hampir pengsan kerana tidak mempunyai duit sebanyak itu. Mindanya lantas terfikir tentang satu kad ajaib yang terdapat di dalam dompetnya. Akhirnya Firdaus menjelaskan bil itu dengan mengunakan kad kredit.

Dari hari itu, beliau tidak mampu untuk membayar balik kepada bank kerana telah mengunakan duit kad kredit sebanyak RM1,300.

Beliau menyesal kerana telah mengambil pinjaman maksimun untuk kereta tersebut dan juga mengambil tempoh maksimun. Ketika ini, beliau tidak tahu bila ansurannya akan berakhir. Keretanya keluar masuk workshop hampir setiap bulan.  Harga keretanya sudah jatuh merudum di pasaran akibat penawaran model-model yang bukan sahaja baru tetapi dilengkapi dengan teknologi terkini.

Jangan biarkan hidup kita juga ditimpa dengan bebanan seperti Firdaus yang sanggup menempuhi hidup dalam keadaan ‘rabun’. Rabun bukan sahaja bererti untuk mata yang kabur, ia juga bermaksud pemikiran yang cetek dalam hal berkaitan dengan kewangan.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

14 Mar 2008 Tazkhirah Jumaat : Satu Keluarga Satu Bisnes

Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah. Tuhan yang telah menjadikan kita sebagai makhluk ciptaannya yang terbaik, iaitu sebagai Manusia.

Satu Keluarga Satu Bisnes adalah tajuk bagi Tazkhirah Jumaat pada hari ini. Bagi memastikan ekonomi umat Islam sentiasa teguh dan kuat, setiap manusia tidak kira lelaki ataupun perempuan perlu memainkan peranan.

Bagi individu yang sudah bergelar suami dan isteri, perancangan bagi memiliki anak yang bukan sahaja baik dari segi zahir dan batin, bahkan juga sebagai pendokong kepada kemakmuran ekonomi umat Islam.

Bagi mencapai impian itu, setiap keluarga perlu melahirkan sekurang-kurangnya seorang anak yang melibatkan diri dalam bisnes. Ini dapat dijayakan apabila setiap ibubapa memainkan peranan dengan mendidik anak-anak untuk melibatkan diri dalam bidang bisnes sejak di bangku sekolah.

Langkah pertama bagi mendekati anak-anak dengan bisnes adalah dengan memberikan mereka pendedahan tentang duit. Apabila kanak-kanak memahami fungsi duit dan bagaimana untuk mendapatkan duit. Mereka menjadi semakin berminat untuk mencari duit. Ketika ini beri dorongan kepada mereka untuk memulakan bisnes.

Dengan mendedahkan semua anak-anak dengan dunia bisnes, Insyaa-Allah, kita dapat melihat anak mana yang amat berminat dengan bisnes. Teruskan bagi galakan positif kepada anak yang berminat dengan bisnes. Manakala bagi anak yang di dapati belum bersedia ataupun tiada minat untuk meneruskan, bagi dorongan untuk mereka membaca buku-buku dalam bidang pengurusan. Ini dapat menjadikan anak kita berjaya sama ada sebagai ahli bisnesman ataupun pengurus-pengurus syarikat dan di agensi awam yang berjaya.

Semakin ramai umat Islam yang menguasai ekonomi dan jawatan pengurusan, semakin banyak faedah yang dapat dirasai oleh masyarat Islam itu sendiri. Sumbangan, sadeqah, zakat, sokongan daripada anak-anak yang berjaya ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup masyarat Islam yang ditimpa kesusahan. Anak-anak ini juga sebagai tiang-tiang yang terus menyokong ekonomi umat Islam supaya tidak jatuh fakir ataupun merempat seperti berlaku di kebanyakan negara yang majoritinya adalah orang Islam yang miskin.

Dalam keghairahan kita menyambut tuntutan fardhu kifayah ini,  jangan kita abaikan perkara yang paling mustahak iaitu, dekati anak kita itu dengan Penciptanya iaitu Allah. Dengan iman yang kuat, sudah pasti anak-anak kita itu bebas daripada barah yang merosakan dan menghancurkan ekonomi orang Islam iaitu Rasuah, Penipuan dan Riba.

Kepada individu yang belum berumahtangga, anda semua juga boleh mengunakan peluang ini bagi meningkatkan taraf penguasaan ilmu kewangan dan bisnes yang dapat digunakan dalam kehidupan harian.

Memastikan segala keperluan umat Islam di sediakan oleh orang Islam adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam. Oleh itu marilah kita sama-sama membantu saudara seagama yang melibatkan diri dalam perniagaan yang halal untuk terus maju. Membantu yang di maksudkan adalah dengan menyumbang modal, idea, tenaga ataupun membeli di kedai mereka.

Di samping itu, Allah tidak membenarkan kita membuat perniagaan yang salah di sisi Islam. Ketika ini masih ramai manusia yang percaya kepada Allah  yang tidak menghiraukan larangan Allah ini.

Mulakan langkah pertama kita pada hari ini dengan menyuntik anak-anak kita dengan dunia bisnes yang halal.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008