Archive for the Category ◊ Masyarakat ◊

06 Aug 2013 Bismillah. Kaedah Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia banyak terpengaruh.

Bismillah. Kaedah Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia banyak terpengaruh.

Apabila usia semakin tua ini, semakin saya memahami mengapa banyak aktiviti yang tiada di dalam sunnah ataupun ajaran Islam dilakukan sewaktu raya di Malaysia.

Apabila disemak, adalah antara puncanya kita mempunyai beberapa perayaan mengikut agama lain yang menjadi contoh. Di mana cara perayaan orang Kristian, Cina dan Orang hindu.

Kita dapat lihat dalam ketiga-tiga perayaan, masyarakat mereka memakai baju baru.

Berbeza dengan apa yang diberitahu kepada saya (betulkan sekiranya maklumat itu salah) bahawa, Sunnah di dalam Islam, supaya memakai pakaian terbaik yang kita miliki. Jadi ianya tidak semestinya pergi beli yang baru.

Tiada sunnah memberi duit raya pada pagi hari raya. Aktiviti ini ditiru dari budaya orang Cina yang memberi Angpow pada hari raya. Tidak haram meniru aktiviti ini, kerana memberi hadiah duit itu juga mendapat pahala, apabila kita niat ikhlas. Sebaliknya sekiranya niat kerana nanti apa kata orang lain…

Mereka menghias rumah mereka, saya tidak mengetahui sama ada mana-mana hadis yang mengatakan perlu menghias rumah di hari raya Aidil fitri. Ini juga adalah tempias perayaan orang beragama lain.

Kebanyakan mereka terutama golongan berbangsa Cina memandu kereta yang baru pada tahun baru, sekiranya mereka mampu. Budaya ini juga sudah menular di kalangan orang Islam, di mana banyak staf JPJ yang susah untuk dapat cuti kerana terpaksa bekerja sehingga hampir dengan raya, kerana permohonan pembelian kereta, pertukaran kereta banyak dilakukan di musim perayaan.

Disebabkan bulan Ramadhan itu tiada di dalam kepercayaan agama lain, itu yang menyebabkan ada segelintir umat Islam yang membiarkan ianya berlalu. Asalkan hari raya datang awal. Ada ustaz yang menyebut “Mohon maaf, saya tidak mahu terencat akal mengucapkan selamat hari raya di bulan Ramadhan ini”

Terdapat perbezaan umpama langit dan bumi antara perayaan mengikut sunnah dan perayaan mengikut adat dan budaya juga agama lain.

Sehingga menyebabkan Aidil Fitri menjadi lebih hebat berbanding Aidul Adha. Sedangkan takbir raya hanya bergema selama 1 hari di hari raya Aidil fitri, manakala 3 hari pada hari raya Aidil Adha.

Kata tok siak “Hanya Jauhari Mengenal Manikam”

Kata Tok Imam “Hanya orang-orang yang betul-betul memahami dan mendalami sunnah dan ajaran agama Islam mengenal yang mana ajaran Islam dan mana yang disalin dari ajaran ataupun amalan orang bukan Islam”

Ramadhan itu adalah bulan tarbiah untuk kita mengenal yang mana satu permata dan kaca, Insyaa Allah.

Astaghfirullah. Wallahu’alam.

Lain sekolah raya, lain pula ajarannya. Ikut sekolah yang kita suka, kerana itu adalah pilihan kita.

Facebook Malaysia | Shamsuddin Kadir

09 Apr 2010 Keberkatan dalam perbelanjaan seharian

Komen salah seorang pembaca blog shamsuddinkadir.com . Cik Puan Tina (Bukan nama sebenar)

Salam Tuan,

Saya merupakan kakitangan kerajaan..dan berasa sungguh tertarik dengan artikel2 yang telah tuan tuliskan..ya..bagaimana saya boleh terjumpa dengan rencana-rencana tuan di halaman-halaman ini..mungkin Allah telah memberi laluanNya kepada saya..untuk saya berubah dan cuba berusaha untuk membaiki diri dalam mencari keberkatanNya..

Saya telah bekerja selama hampir 10 tahun..dan tidak pernah terfikir akan kurniaan nikmat yang telah Allah berikan kepada saya sekeluarga..hari ini..dengan membaca artikel tuan, saya telah mendaftarkan diri untuk membayar zakat pendapatan secara potongan gaji bulanan untuk memperoleh keberkatan Allah..dan saya juga telah membayar untuk membeli secara online kesemua buku2 tuan..untuk cuba berubah menjadi lebih positif dalam mengurus kewangan dan hidup saya sekeluarga..

Terima kasih diucapkan atas kesedaran yang ditimbulkan..dan saya sekarang sedang mencari-cari tempat kursus/ceramah tuan yang akan diadakan berhampiran dengan tempat saya di Seremban. InsyaAllah saya akan cuba menghadirinya..

Sekian.Terima kasih.

Cik Puan Tina (Bukan nama sebenar)

09 Jun 2009 Tetamu SK: Kesedaran Tentang Perangkap Untuk Semua
 |  Category: Masyarakat, Pekerja |  Leave a Comment

MT,KK
profitoptima1@gmail.com

Salam kepada semua pengunjung blog SK,

Kesedaran tentang perangkap-perangkap kewangan perlu diuar-uarkan kepada semua pekerja agensi kerajaan mahu pun swasta kerana tanpa kesedaran ini, rakan-rakan kita akan terus terjebak dengan promosi-promosi dari pihak bank.

Carilah ruang untuk memasukkan elemen pendidikan kewangan ke tempat kita bekerja sama ada mengedar risalah ataupun menjemput pakar Kewangan seperti Encik Shamsuddin Kadir untuk memberikan ceramah atau pun kursus Dimensi Diri.

Saya pasti dengan sedikit tenaga dan usaha sebegini akan dapat membantu rakan-rakan kita yang belum atau pun yang sedang tersepit. Percayalah usaha sebegini selain membantu orang lain untuk berjaya dan hidup lebih tenang ianya juga adalah ibadah.

Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan,ilham para nabi dan rahmatnya kepada Encik Sham.

————————

15 May 2009 Membudayakan Gaya Hidup Inventor

Apabila kita ingin membudayakan satu gaya hidup yang baharu, di mana kita menukarkan sebahagian tabiat lama dengan tabiat baru. Kita menukarkan sebahagian dari tingkah laku kita.

Apabila kita mengambil keputusan bagi memulakan gaya hidup sebagai inventor ataupun pencipta dan bukannya gaya hidup sebagai pengguna, perkara paling asas adalah kita percaya bahawa kita adalah hebat. Ya sebagai makhluk terbaik yang Allah ciptakan kita dapat mengunakan kelebihan itu bagi menjadi pencipta kepada sekurang-kurangnya satu produk ataupun satu servis yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Berbicara tentang Inventor bukan bererti kita mencipta produk ataupun servis untuk mendapat untung, sebaliknya bagi memberikan yang terbaik kepada komuniti kita.

Sebelum kita dapat membudayakan hidup sebagai Inventor, antara perkara asas yang perlu ada adalah berfikir seperti Inventor.

Antara langkah pertama yang kita boleh lakukan adalah dengan membuat jadual bertindak. Contohnya :

Isikan waktu antara Maghrib dan Isyak jika tidak ke Masjid bagi membaca buku. Waktu sebelum ataupun selepas subuh membaca buku. Jika sampai di pejabat lebih awal baca buku. Libatkan ahli keluarga kita. Jika kita dapat lakukannya secara konsisten selama 40 hari, Insyaa-Allah ianya menjadi tabiat baru kita.

Fikirkan kita sebagai pencipta sejarah, iaitu kita adalah individu yang hebat, yang melakar sejarah. Fikirkan tentang apa yang kita dapat cipta dan sumbangkan kepada komuniti supaya kita semua memperolehi manfaat dengan menjadi lebih pandai ataupun lebih senang melakukan sesuatu.

Adakan diskusi ilmiah di antara kita dengan kawan ataupun pasangan selepas Isyak berkenaan berfikir seperti Inventor.

Apabila dipejabat pesongkan bicara kita sewaktu makan tengahari dengan rakan sekerja, bisnes partner, kawan, saudara kepada persoalan seperti”Apa yang dapat kita cipta hari ini”.

Membudayakan gaya hidup seperti inventor membantu kita menikmati satu lagi hidup yang bertambah bahagia dan bermanfaat. Kehadiran kita di atas muka bumi Allah adalah bagi menyumbangkan dan bukan membebankan.

Shamsuddin Kadir

Trainer, Writer, Reader & Listener

Ultra Mind Resources

Tel: 03 4142 5300 Fax: 03 4142 7300

10 May 2009 Sedekah Untuk Yang Terpilih Sahaja?
 |  Category: Masyarakat |  2 Comments

Adakah sedekah atau bantuan yang dihulurkan hanya untuk yang benar-benar memerlukan? Ataupun untuk sesiapa yang meminta?

Apabila orang datang meminta dari kita, sama ada yang meminta adalah seorang yang :

1. Buta

2. Cacat anggota badan

3. Bisu

4. Pekak

5. Miskin

6. Fakir

7. Duit mereka telah diragut

8. Sempurna dari segi fizikal dan mental

Mereka layak menerima bantuan dari kita apabila kita melihat mereka yang meminta itu dari dua sudut mata hati, iaitu :

  • Allah masih memberikan kita nikmat menjadi orang senang yang tidak perlu meminta-minta. Sehingga ke saat ini, kita tidak perlu meminta-minta dari orang lain. Itu satu dari nikmat yang Allah masih kurniakan kepada kita.

 

  • Kita masih bernyawa. Ini kerana, orang yang meminta sama ada duit ataupun bantuan hanya meminta dari orang yang masih bernyawa. Tidak ada seorang pun akan datang meminta bantuan dari kita jika hanya jasad kita yang masih berdiri tetapi roh kita sudah diambil oleh Allah. Ini satu lagi nikmat yang Allah masih beri kepada kita, bahawasanya kita masih hidup. Syukur Alhamdulilah di atas nikmat yang Allah belum tarik ini.

Apabila kita melihat dari mata hati, Insyaa-Allah tidak boleh bagi sepuluh ringgit, RM 5 sebagai ganti. Jika RM 5 sesuatu yang kita tidak mampu, RM 1 menjadi pelaburan yang kekal abadi di dunia dan diakhirat. Jika ketika duit tidak mengizinkan, Insyaa-Allah RM 0.50 masih tidak mampu menjadikan kita kaya tanpa menghadiahkan kepada yang meminta.

Alhamdulilah, kita masih hidup sehingga ke saat ini, semoga setiap tabiat kita yang mensyukuri nikmat Allah itu diterima dengan penuh keredhaanNya.

Shamsuddin Kadir

Trainer & Writer

Ultra Mind Resources

28 Apr 2009 Orang Yang Ingin Ataupun Sudah Berjaya Diperlukan
 |  Category: Masyarakat |  17 Comments

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Shamsuddin Kadir (SK) sedang mencari individu yang ingin ataupun sudah berjaya bagi projek komunitinya iaitu membantu dan membanyakkan lagi individu rakyat Malaysia BERJAYA.

Apakah yang dimaksukkan dengan BERJAYA pada pandangan SK?

  • Individu yang sentiasa memperlengkapkan diri dengan ilmu yang baik dan bermanfaat
  • Individu yang suka berguru sepanjang hayat, bagi mempelajari lebih banyak ilmu yang berguna
  • Individu yang suka melihat orang lain berjaya tanpa ada kepentingan peribadi
  • Individu yang suka membincangkan dan merealisasikan projek membantu masyarakat
  • Individu yang suka meningkatkan ketrampilan diri dari masa ke semasa
  • Individu yang suka membantu orang lain menjadi pemimpin
  • Individu yang suka membantu orang lain menguasai kewangan diri
  • Individu yang suka berfikir di luar kotak
  • Individu yang suka membaca buku-buku yang berfaedah
  • Individu yang suka menghabiskan semua masa untuk aktiviti yang berfaedah
  • Individu yang suka melihat orang lain senang
  • Individu yang suka melihat orang lain bahagia
  • individu yang suka melihat orang lain berjaya lebih hebat darinya
  • Individu yang suka mendoakan supaya orang lain sejahtera, bahagia, kaya dan baik
  • Individu yang suka berusaha walaupun tidak pernah berhasil

Program komuniti ini adalah bagi melahirkan lebih ramai individu yang berjaya supaya mereka menjadi agen perubahan, mengubah pemikiran lama yang hidup sebagai pengguna kepada hidup sebagai pencipta kepada banyak produk, servis dan juga pengurusan masyarakat yang kehadapan.

Sesiapa sahaja yang bercita-cita ataupun ada hati bagi membantu orang lain berjaya di alu-alukan bagi menyertainya. Satu bengkel khas akan di adakan nanti di Taman Permata, Hulu Klang berhampiran dengan Giant Taman Permata tidak lama lagi. Tiada bayaran yang dikenakan.

“Insyaa-Allah dalam bengkel ini Tuan dan Puan akan mendapat apa yang Tuan dan Puan inginkan”

Pelajar Universiti juga dialu-alukan bagi menyertainya.

Kepada yang berminat boleh mendaftar di sini dengan menulis nama, nombor telefon dan alamat emel.

08 Apr 2009 Belanja Bulanan Termasuk Belanja Wajib
 |  Category: Buku, dimensi, Masyarakat |  Tags: | Leave a Comment

Setiap kali kita mendapat wang gaji antara perkara yang paling asas yang perlu di bayar adalah ansuran kereta, rumah, bil-bil dan belanja dapur.

Belanja-belanja tersebut amat penting bagi memastikan jasad kita di lihat segar, sihat, bertenaga dan kemas. Apabila kita meninggalkan dunia ini dalam keadaan jasad berpisah dengan roh? Jasad itu akan menjadi busuk di makan oleh ulat sebelum ianya bertukar menjadi tanah kembali. Selama mana kita membelanjakan duit untuk jasad, itu sahaja yang kita mampu bawa sehingga ke liang lahad nanti, selepas itu jasad itu akan terbinasa dengan sendirinya.

Belanja bulanan yang wajib ada, jika kita tidak termasuk dalam kategori orang yang dalam keadaan kebuluran adalah belanja membeli buku. Ya buku yang memajukan ‘minda’ supaya bukan sahaja jasad sahaja yang hidup tetapi minda kita juga hidup. Seorang ulama dahulu kala pernah berkata, di luar sana aku lihat banyak keranda yang hidup. Beliau menganggap orang yang tidak menghidupkan ‘roh’ adalah bangkai manusia yang masih bergerak.

Bagaimana dengan roh ataupun minda kita yang juga memerlukan perbelanjaan agar minda itu juga diberi ‘makan’ supaya kehidupan di dunia ini kita sentiasa ceria, tenang dan ‘kaya’ dan kenikmatan ini terus kita nikmati di Taman Barzakh dan di alam Akhirat.

Kata-kata ulama itu terasa amat benar, terutama apabila kita berada bersama orang yang tidak ‘membaca’ hanya membaca suratkhabar, majalah dan juga menonton tv. Kita merasakan kita berada di dunia yang amat berbeza dengan mereka, pemikiran mereka lebih kepada keperluan jasad, isu berkaitan minda tidak menjadi satu keperluan bagi dunia mereka.

Setiap bulan kita memperuntukan sejumlah duit bagi membeli buku yang memberi manfaat kepada roh dan minda. Apabila setiap dari kita membantu individu lain yang belum menyediakan makanan roh ataupun minda, kita dapat membebaskan ‘keranda hidup’ dalam masyarakat kita.

Insyaa-Allah bukan sahaja kadar jenayah semakin berkurangan, kita juga mempunyai masyarakat yang mampu mendorong diri mereka sendiri.

Shamsuddin Kadir

Trainer, Writer & Timbalan Bendahari Tamrin

www.ShamsuddinKadir.com

info@shamsuddinkadir.com

21 Dec 2008 Majlis Perkahwinan Yang Membazir

Hujung minggu terutama ketika musim cuti sekolah, banyak kenduri yang diadakan bagi meraikan pasangan yang baru diijabkabul dan kenduri menyambut menantu di sana sini.

Matlamat utama bagi mengadakan kenduri adalah bagi menghebohkan kepada masyarakat sekeliling bahawa Si Tapah dan Si Tipah telah bernikah dan menjadi pasangan yang sah sudah hampir tenggelam. Apa yang banyak timbul adalah pertandingan membuat majlis perkahwinan yang paling meriah di mana pertandingan di adili melalui :
1. Bilangan khemah yang digunakan – yang paling banyak menjadi Juara

2. Bilangan jemputan yang dipanggil – yang paling banyak menjadi juara

3. Jumlah hantaran yang ditetapkan – Yang paling tinggi menjadi juara

4. Harga katering satu kepala – Yang paling mahal menjadi juara

5. Pelamin yang dipilih – Yang paling cantik menjadi juara

6. Hantaran perkahwinan – Yang paling banyak menjadi juara, Yang paling berjenama menjadi juara

7. Gubahan, hiasan di rumah pengantin – Yang paling menawan menjadi juara

8. Dan banyak lagi…. termasuk kad perkahwinan….

Cukup sedih saya melihat bertapa ramainya manusia yang suka membazir kerana terpengaruh dengan sifat ingin menunjuk-nunjuk, sehingga wang mencecah puluhan ribu ringgit dilaburkan bagi memuaskan perasaan ‘menunjuk-nunjuk’.

Individu yang paling dan cukup menderita adalah pasangan yang baru berkahwin itu, kerana ada yang memaksa diri mengambil pinjaman peribadi dengan menghalalkan perkataan terpaksa kerana ibubapa mereka.

Berapa lama lagi kita perlu mengikut adat seorang tua yang telah meninggal dunia yang menetapkan adat yang tidak membatu kita menguruskan kewangan dengan cekap, adakah adat yang membazir dan bersifat menunjuk-nunjuk perlu kita ikuti?

Saya paling suka menghadiri majlis kenduri kesyukuran perkahwinan kerana ianya bermaksud, majlis di adakan bagi meraikankan perkahwinan dan para tetamu tidak wajib membawa hadiah ataupun duit untuk dihulurkan.

Yang menjadi terlebih kaya adalah peniaga-peniaga yang mencetak kad perkahwinan, penyedia khemah, jurusolek. Ini satu, adakah jurusolek yang mentouch up muka kita sehingga berwajah seperti opera Cina itu yang penting, sehingga tiada lagi muka kita yang asal.

Pembaziran ini membebankan lagi pasangan muda yang terpaksa menunda-nunda tarikh perkahwinan disebabkan ibubapa dan bakal ibubapa mertua yang tidak sanggup membebaskan diri dari perasaan ‘riak’.

Blog www.shamsuddinkadir.com, sama sekali tidak bersetuju dengan majlis perkahwinan yang membazir dan menunjuk-nunjuk dan yang menjadi antara penyebab utama kenapa generasi muda tidak memilih jalan perkahwinan yang sah untuk memenuhi keperluan hidup.

SK juga tidak menyokong 100% mana-mana individu yang memilih untuk berkahwin dengan meminjam pinjaman peribadi. Insyaa-Allah sebuah buku berkenaan dengan pengurusan kewangan untuk Pengantin akan dikeluarkan bagi membebaskan banyak individu yang terpaksa menangung bebanan yang tidak perlu, gara-gara ‘perasaan menunjuk-nunjuk terlekat di jiwa’

Yang paling menarik, tidak ada tetamu yang merasa selesa apabila melihat sebuah majlis perkahwinan yang tidak berpijak di dunia realiti, hanya semata-mata sebuah majlis di dunia khayalan. Majlis perkahwinan yang besar-besaran yang dibuat tanpa ada ‘berkat’ tidak dapat menghasilkan kebahagian, yang ada hanyalah menangung bebanan hutang. Ada yang sudah ada ada 4 tetapi hutang perkahwinan belum selesai.

31 Aug 2008 Selamat Hari Merdeka Ke-51 Tahun
 |  Category: dimensi, Masyarakat |  6 Comments

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 51. Ini bermakna sudah 51 tahun kita ‘merdeka’ iaitu bebas dari ‘dijajah’. Apakah erti kemerdekaan kepada kita jika walaupun kita di negara sendiri tetapi terpaksa menjadi ‘hamba’ kepada nafsu dan ‘hamba’ kepada hutang. Bebaskan diri kita dan keturunan kita yang seterusnya sehingga hari Kiamat daripada terjebak ataupun menangung bebanan akibat terpenjara akibat bebanan kewangan yang tidak perlu.

Selain daripada membebaskan diri kita, ahli keluarga kita, keturunan kita daripada ‘penjajahan’ era baru, kita juga ada tanggungjawab bagi membebaskan ‘saudara’ kita dari dijajah. Setiap orang Islam itu adalah bersaudara, bantu-membantu di antara satu sama lain, adalah sifat manusia sebenar.

Insyaa-Allah sebuah buku lagi yang sedang saya siapkan berkenaan dengan bagaimana ekonomi umat Islam dapat dibangunkan supaya semua umat Islam hidup dalam keadaan bersatu, tenang dan bahagian sepanjang hayat, Insyaa-Allah. Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan bagaimana kita dapat membangunkan ekonomi setiap muslim bagi memastikan kita dapat menguasai diri kita sendiri dan bukan dijajah.

Kita amat terbelakang di dalam menguasai ekonomi di dalam masyarakat kita sendiri. Semoga kehadiran buku itu nanti di pasaran mendapat sokongan Tuan dan Puan nanti. Semoga ianya menjadi amalan yang kita bawa ke akhirat nanti.

Salam kemerdekaan, bebaskan diri dari belenggu stres akibat kewangan diri.

27 May 2008 Dimensi Muslim : Mencipta dan Membuka Peluang

Semoga Allah senantiasa mengurniakan kebaikan yang datang mendadak kepada saudara/i dan dilindungi daripada segala kejahatan yang ada di dalam dunia ini, Ya Allah perkenankan doaku ini. Amin.

Jika kebanyakan bisnes barat bergantung kepada keupayaan mencipta peluang, bagi memastikan mereka dapat menembusi pasaran, ianya sedikit berbeza dengan bisnes muslim. Apabila setiap muslim mempratikkan setiap apa yang dituntut melalui ‘Fardhu Kifayah’, secara terang-terangan ianya dapat mencipta dan membuka 1001 peluang kepada setiap muslim yang ingin menceburi dan berjaya dalam bisnes.

Kejayaan setiap ahli bisnes muslim tidak hanya bergantung kepada kepandaiaannya menguruskan bisnes, tetapi secara majoritinya bergantung kepada pelanggannya. Apabila setiap individu berusaha menjadi seorang individu muslim yang super, sudah pasti tiada lagi alasan kenapa ahli perniagaan muslim tidak dapat berjaya.

Apakah ciri seorang individu yang memiliki ciri muslim super, iaitu ciri muslim yang dituntut oleh Pencipta manusia iaitu Allah?

  • Memenuhi Fardhu Ain

  • Memenuhi Fardhu Kifayah

Seseorang Muslim yang menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung di dalam Fardhu Ain, menjadikan dirinya seorang yang jujur dan amanah. Ini sudah memastikan beliau tidak akan menipu, mengkhianati ataupun melakukan sesuatu dengan niat untuk merugikan orang lain.

Apabila seorang muslim yang mempunyai ciri itu melengkapkan dirinya dengan menjalankan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam ‘Fardhu Kifayah’, maka beliau akan memastikan setiap aktivitinya adalah memberikan kebaikan yang paling maksimun kepada individu muslim lain.

Contoh yang paling mudah adalah, apabila seseorang muslim itu merasai akan nikmat yang diberikan oleh Penciptanya, beliau akan memastikan setiap perbuatannya adalah menepati Fardhu Ain dan Kifayah. Apabila ingin membeli barangan keperluan harian, beliau akan mengutamakan kedai yang dimiliki oleh saudara seagamanya (orang Islam itu adalah bersaudara). Apabila membeli barangan, beliau juga memastikan barangan itu terdapat tanda halal yang diiktiraf (Jika di Malaysia, tanda halal Jakim). Apabila ingin membeli kereta buatan luar negara, beliau akan membeli dengan jurujual muslim supaya komisen yang diterima oleh jurujual muslim itu dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan dirinya yang menjadi sebahagian daripada masyarakat Islam.

Apabila di lihat di dalam kontek negara Malaysia, masyarakat Muslim dapat hidup dan berdiri tanpa bergantung kepada kumpulan masyarakat lain. Apabila setiap orang Islam itu mula mempratikkan tuntutan Fardhu Kifayah, timbulnya keperluan mendadak dalam masyarakat bagi mengadakan lebih banyak pasaraya muslim, bengkel kereta muslim, kedai roti dan kek muslim, stesyen minyak muslim, dan banyak lagi… Ini dengan sendirinya membuka peluang kepada individu ataupun syarikat yang dimiliki orang muslim untuk menguasai pasaran lebih daripada 10 juta masyarakat muslim di Malaysia.

Tuhan Allah yang menciptakan manusia, turut menciptakan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah bagi menyenangkan setiap muslim untuk hidup dengan tenang dan bahagia tanpa perlu bergantung kepada masyarakat yang belum mengenali Allah.

Menjadi muslim super adalah impian bagi setiap manusia yang mensyukuri nikmat Allah yang telah menjadikan mereka manusia dan bukannya makhluk lain yang ada di sekeliling kita.

www.shamsuddinkadir.com

Membina Dimensi Sebenar!

14 May 2008 Rakyat Malaysia Berbelanja 67 Billion?

Rakyat Malaysia dan pelancong menghabiskan RM67 Billion untuk berbelanja di pasaraya pada tahun 2007. Di jangka jumlah itu akan meningkat menjadi RM71.8 Billion pada tahun ini.  Di kala seruan dari pelbagai pihak termasuk persatuan pengguna, masih tinggi lagi individu yang suka menghabiskan duit mereka terutama ketika jualan mega di beberapa pasaraya besar di seluruh tanahair.

Mengikut lapuran akhbar New Straits Times bertarikh 14 Mei 2008, kebanyakkan pembelian yang dibuat adalah bagi membeli alat permainan, peralatan senaman, produk kacamata, fesyen dan aksesori fesyen.

Masih ramai individu yang menafsirkan membeli barangan ketika jualan mega atau jualan murah adalah pilihan terbaik. Adakah ianya benar-benar betul ataupun hanya satu perangkap serampang 3 mata?

Membeli barangan ketika jualan murah atau mega dapat menjimatkan banyak duit berbanding membelinya ketika tiada jualan murah. Tetapi, apa gunakan penjimatan yang kita terima, jika barangan yang dibeli itu kita sebenarnya tidak memerlukan. Ataupun ianya adalah barangan yang diluar kemampuan kita. Sebagai contohnya, apabila ada jualan mega untuk barangan seperti beg bimbit ‘handbag’, adakah menjadi keperluan untuk memastikan kita membelinya bagi menikmati diskaun sehingga 70%? Ya, beg yang dahulunya berharga RM 400, kini kita dapat membelinya dengan harga RM120, sungguh menjimatkan.

Di rumah kita sudah ada beg bimbit yang bilangannya sama dengan warna pelangi. Setiap beg bimbit itu berwarna sama dengan salah satu warna pelangi. Alasan membeli beg bimbit yang terbaru ini kerana dapat berjimat sebanyak RM280. Persoalan utamanya, perlu kita membeli handbag itu?

Banyak individu yang saya temui mengatakan, mereka menghabiskan duit membeli ketika ‘Jualan Murah’ tetapi ianya bukannya barang yang diperlukan.

Tips hari ini :

Elakkan daripada memasuki pasaraya yang menawarkan jualan murah, tanpa membawa senarai barangan yang ingin dibeli. Sila pastikan harga yang dibajetkan bagi setiap barangan tersebut dituliskan bersama. Contohnya apabila anda menyenaraikan satu helai kemeja lengan panjang untuk menghadiri temuduga. Maka tulis dalam senarai seperti berikut.

1. Kemeja lengan panjang – berwarna cerah, kain koton RM 70.

Apabila anda memasuki pasaraya itu pastikan anda mencari baju yang selepas diskaunnya berharga RM70 ataupun baju yang berharga RM70 sebelum diskaun. Kedua-dua cara ini masih selamat untuk mengelakkan anda daripada berbelanja diluar kemampuan.

Saya mengalu-alukan setiap pembaca dan pelawat blog ini bagi memberikan pandangan, tentang bagaimana untuk mengelakkan daripada berbelanja diluar batasan kemampuan. Ia juga bagi membantu individu daripada membeli barangan yang diluar kemampuan mereka.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

08 May 2008 Kesan Kenaikan Minyak AS$120 Setong

Kenapa setiap pengguna perlu celik dalam isu berkaitan dengan kewangan dan ekonomi dunia? Ini bagi memastikan kita dapat bersedia dan menyediakan perancangan yang terbaik bagi menangani kejadian yang tidak diingini yang membebankan kita.

Bagi sesetengah pengguna, mereka tidak menghiraukan tentang arus perubahan ekonomi dunia. Contohnya keperluan mengambil berat tentang kenaikan harga minyak dan barangan makanan di peringkat dunia. Ini kerana di seluruh dunia, pengguna perlu membayar mengunakan duit mereka untuk mendapatkan  minyak petrol dan makanan.

Ya sehingga ini, pengguna di Malaysia masih dibekalkan dengan subsidi, ini bermakna sebahagian daripada kos kita ditanggung oleh ‘subsidi @ bantuan’. Adakah kita pernah mengkaji harga petrol yang kita perlu bayar, jika tiada subsidi diberikan? Adakah kita masih boleh berbelanja dalam lingkungan maksimun iaitu 70% daripada pendapatan bulanan kita, jika kita perlu membayar petrol dengan harga tanpa ‘bantuan’.

Syukur kita kepada Tuhan yang menjadikan bumi Malaysia kaya dengan hasil galian iaitu minyak. Selama mana minyak itu dapat disedut dari perut bumi? Adakah minyak itu tidak akan habis sehingga dunia ini kiamat? Bagaimana hidup anak, cucu kita apabila minyak sudah tidak tiada lagi untuk dikeluarkan dari perut bumi bertuah ini?

“Mengikut lapuran satu suratkhabar tempatan pada pertengahan tahun 2007, salah seorang pengurusan tertinggi syarikat mengatakan, Malaysia akan mula mengimport minyak mulai tahun 2011. Pengeluaran minyak mulai tahun itu dijangka tidak lagi dapat menampung keperluan semasa dalam negara.”

Jika kita terus hidup bergantung kepada bantuan, kita bukan sahaja tidak mampu untuk berdiri sama tinggi dengan barat, kita akan terus lemah dan memerlukan tempat bergantung. Walaupun ketika ini kita diberikan bantuan, sudah semestinya itu yang kita harapkan daripada kerajaan, kita sebagai pengguna perlu berhati-hati supaya celik tentang kenaikan harga barangan di peringkat dunia adalah sesuatu yang diluar kawalan kita.

“Bantuan itu adalah satu kemudahan untuk kita, tetapi jangan jadikan bantuan itu sebagai penyebab kita tidak dapat berdikari sampai bila-bila”

Semak kos bulanan kita dapat menentukan sama ada kita berbelanja di bawah 70% ataupun melebihi daripada kemampuan kita. Sebelum kita dikejutkan dengan lebih banyak berita tentang kenaikan kos, pastikan kita sudah menyediakan benteng pertahanan pendapatan yang kukuh.

www.shamsuddinkadir.com 

Membina Dimensi Sebenar Anda!

11 Apr 2008 Anda Mahu Wang Tunai Segera?

Jika dahulu kita yang perlu berusaha mencari peluang untuk mendapatkan wang tunai segera. Kini kita boleh mendapatkan dengan mudah apabila agen-agen bank dan pelbagai skim datang kepada kita.

Pada hari ini, selepas mendirikan sembahyang Jumaat di sebuah Masjid di Selangor, saya melihat ada seorang perempuan yang sedang mengedarkan ‘flyer’ di pintu masuk utama pagar masjid. Saya mendekatinya bagi mendapat tahu informasi yang sedang diagihkan kepada para jemaah Masjid.

Selepas mendapat satu, baru saya memahaminya. Ianya adalah maklumat untuk menarik orang ramai untuk membuat pinjaman peribadi. Katanya lagi pinjaman itu dapat diluluskan dalam masa kurang daripada 7 hari. Sungguh menarik tawarannya itu, pasti dapat mempengaruhi sebahagian daripada pengunjung.

Apabila dibaca isi kandungannya, hampir semua cadangan tujuan untuk digunakan duit itu adalah bagi membiayai :

  • Melancong

  • Perkahwinan

  • Kereta Baru

  • Rumah Baru

  • Pendidikan

  • Barangan dalam rumah

Bayangkan wang tunai segera ditawarkan bagi mempengaruhi pengunjung untuk menambahkan lagi bebanan kewangan hidup dengan melibatkan diri dengan :

  • Pergi melancong walaupun tidak mampu pada ketika ini. Ini adalah bagi memuaskan nafsu.

  • Membeli perabut baru rumah sedangkan perabut lama, masih boleh digunakan. Ini bagi menjadikan kita sebagai orang yang suka menunjuk-nunjuk. Apa kelebihan makan nasi di atas meja lama dengan meja baru? Adakah meja baru dapat mempercepatkan proses penghadaman dalam perut, ataunya membantu mengenyangkan apa yang di makan?

  • Melangsungkan perkahwinan diri ataupun anak, dengan meriah dan mewah, walaupun sebenarnya tidak mampu berbuat demikian. Sehingga dapat cucupun hutang ketika kahwin dahulu belum diselesaikan. Kenapa masih ingin menunjuk-nunjuk walaupun tidak mampu.

  • Adakah dengan membeli kereta baru dapat memastikan perjalanan kita lebih cepat sampai dan selamat berbanding kereta yang kita pandu sekarang?

  • Adakah dengan membeli rumah baru, kita dapat hidup dengan lebih tenang? Sudah pasti ansuran di rumah baru tinggi, ianya pasti membebankan kita untuk membayarnya.

Ramai individu yang tersangkut dengan ‘nikmat sementara’ ini. Kuasa adalah ditangan anda, oleh itu tentukan yang mana terbaik untuk anda.

Dengan meminjam sebanyak RM30,000 anda perlu membayar balik ansuran selama 7 tahun. Jumlah ansuran yang anda bayar adalah RM 47,800. Iaitu 17,800 melebihi dari apa yang anda pinjamkan. Dari setiap ansuran bulanan sebanyak RM570, anda sebenarnya menghadiahkan kepada bank sebanyak RM 213 pada setiap bulan, kerana meminjamkan anda sebanyak RM30,000.

Bagaimana pula dengan sahabat kita yang ingin dapatkan wang tunai segera daripada ‘Skim-Skim Internet?’ Insyaa-Allah di bincangkan pada entri akan datang.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

27 Mar 2008 Kad Kredit Adalah Keperluan Asas!

Setiap kali saya mengadakan kursus ataupun ceramah, ada peserta yang mengatakan “Kad kredit adalah satu keperluan dan ianya mesti di miliki”.

Apabila saya menanyakan kenapa ? Salah satu sebab yang diberikan adalah kerana tayar kereta botak dan tidak mempunyai duit untuk menukarkannya.  Jika dibiarkan tayar botak, akan membahayakan keselamatannya. Pandai pula mereka memikirkan tentang keselamatan di jalan raya. Tetapi adakah dengan membiarkan diri tidak ‘berduit’ bukan sahaja menyempitkan hidup bahkan membahayakan keselamatan diri.

Tanpa mempunyai duit yang mencukupi sebagai simpanan bagi kecemasan dan pelaburan :

  • Kita tidak mampu untuk menukar tayar kereta yang sudah haus (botak) dengan tayar yang baru

  • Kita tidak mampu memperbaharui cukai jalan dan Takaful

  • Kita tidak mampu mendapatkan rawatan berbayar apabila sakit

  • Kita tidak mampu menangung kos apabila kereta kita rosak

  • Kita tidak mampu menjelaskan kos yang timbul akibat musibah yang melanda

  • Kita tidak mampu mendapatkan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak

  • Kita tidak mampu untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi

  • Kita tidak mampu berbuat apa-apa melainkan ‘merungut’ dan menyalahkan kepada keadaan ataupun takdir

Apabila kita tidak ada duit simpanan, perkara yang tidak wajib menjadi wajib. Contohnya kad kredit. Ianya menjadi kewajipan bagi orang yang tiada duit. Ini bagi memastikan apabila musibah melanda, mereka dapat menyelesaikan masalah itu. Ianya hanya dapat menyelesaikan untuk sementara waktu sebelum ketua segala masalah datang menuntut bayaran.

Kad kredit adalah satu kemudahan bagi individu yang mempunyai wang simpanan yang mencukupi. Kad kredit digunakan untuk mendahului pembayaran sesuatu transaksi dan ianya akan dijelaskan sebaik sahaja menerima penyata daripada bank.

Pemilik kad kredit yang tertipu akan melihat dirinya layak mendapat beberapa perkhidmatan yang mereka sebenarnya tidak layak. Contohnya mendapat rawatan di hospital swasta dengan mengunakan kad kredit untuk dirinya ataupun pasangan. Seperti bagi melahirkan anak. Alasan mengunakan kad kredit kerana tidak ada duit untuk membayarnya. Ini bermakna ketika itu, anda belum layak untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Apa yang anda layak pada ketika itu adalah rawatan di hospital kerajaan.

Pastikan anda dapat membezakan antara mampu dengan layak. Apabila anda ada kad kredit anda layak mengunakannya, tetapi ianya tidak bermaksud anda mampu untuk membayar hutang yang dibuat dengan kad itu.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008

24 Mar 2008 Jaga Periuk Nasi!

Isu ini bukannya berlaku hanya pada zaman ini, bahkan ianya  wujud sejak manusia mula hidup berniaga dan makan gaji.  Jika di zaman kegemilangan umat manusia pada zaman dahulu adalah bertunjangkan kepada amanah dan kejujuran. Di zaman ini kebanyakan individu dibebani dengan kos sara hidup, oleh itu mereka mengutamakan masa depan pekerjaannya berbanding dengan maruahnya.

Apabila sesebuah organisasi dipenuhi dengan wargakerja yang ‘jaga periuk nasi’ segala tindakan yang melampau ataupun menyalahi peraturan tidak akan diambil tindakan, jika ianya dilakukan oleh pekerja atasan. Ini bagi memastikan pekerja bawahan tersebut tidak di ambil apa-apa tindakan oleh pekerja atasan ataupun ketua jabatannya itu.

Kualiti kebanyakan organisasi semakin menurun pada ketika ini, apabila sejumlah besar kakitangan mempunyai masalah dengan kewangan. Hutang yang keliling pinggan, wang gaji tidak dapat menampung kos harian, bla…bla… itu adalah sebahagian daripada komen yang diberikan oleh wargakerja.

Apabila kita tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi, kita tidak dapat fokus dengan pekerjaan kita. Kita juga mudah menjadi umpan bagi pekerja lain untuk mengambil kesempatan ke atas kekurangan kita. Ini yang banyak memberikan tekanan kepada kakitangan.

Salah satu daripada cara untuk meningkatkan prestasi sesebuah organisasi adalah dengan membebaskan kakitangannya daripada menjadi ‘takut’ kepada diri sendiri. Ini boleh di lakukan dengan mendidik kakitangan supaya bijak menguruskan wang gaji mereka.  Kurus Dimensi Diri adalah salah satu daripada penyelesaiannya.

Shamsuddin Kadir 
info@shamsuddinkadir.com Hakcipta Terpelihara Shamsuddin Kadir 2008