Katakan Tidak Kepada Kad Kredit?

Saya menemuduga seorang pemilik dan penguna kad kredit yang mula mengunakan kad kredit pada tahun 1984. Umurnya pada waktu ini melebihi 50, hanya tinggal beberapa tahun lagi sebelum mencecah umur bersara.

Sepanjang mengunakan kad kredit, beliau telah ditimpa tiga kali Tsunami yang diakibatkan oleh kad kreditnya. Kali pertama dia terpaksa mengadaikan tanah ibunya bagi mendapatkan wang sebanyak RM25,000 bagi melangsaikan hutang kad kredit yang telah dibawa ke muka pengadilan (mahkamah).

Musibah itu telah menginsafkannya untuk beberapa tahun, sebelum mendapatkan semula kad kredit dari bank lain. Nasibnya tidak menyebelahinya, selepas beberapa tahun, ditimpa dengan Tsunami kedua. Dia tidak mampu untuk menjelaskan hutang kad kredit yang sudah bertimbun itu, akhirnya di menjualkan satu dari asetnya  bagi mendapatkan duit untuk menjelaskan hutang kad kredit yang sudah kritikal.

Beliau terus menjadi insaf dan menjauhi kad kredit. Rupa-rupanya usahanya itu belum memandai, kenikmatan hidup yang diberikan oleh Kad kredit telah menarik dirinya untuk menjadi pengguna kad kredit semula. Hanya dalam beberapa tahun, dirinya dibebani hutang 3 kad kredit, yang masing-masing mencecah had maksimun.  Beliau tiada jalan. Tetapi ketika ini masih mengatakan, setiap individu perlu ada 1 kad kredit  dalam kehidupan.

Beliau mencuba beberapa kali untuk menyelesaikannya, akhirnya beliau berkata bahawa kad kredit tidak boleh dimiliki walaupun satu jika ingin hidup senang sepanjang masa. Katanya lagi, kad kredit tidak membolehkan seseorang untuk hidup di dalam kemampuan.

Beliau yang tinggal di Shah Alam pernah melancong bersama keluarga ke Cameron Highlands, walaupun ketika itu dia hanya ada RM100 di dalam poket. Apa yang dia lakukan adalah bayar petrol mengunakan kad kredit, sewa hotel guna kad kredit, makan di tempat yang murah ataupun cari yang boleh dibayar dengan kad kredit. Itu yang berlaku dalam hidupnya ketika memiliki kad kredit.

Beliau berkata sejak tidak mengunakan kad kredit, dia benar-benar hidup berdasarkan kemampuan dirinya yang sebenar. Tiada lagi peluang makan angin buat masa ini, kerana kebanyakan duit digunakan untuk membayar hutang kad kredit yang sudah bertimbun. Mulai awal tahun 2008, beliau adalah pembayar setia kad kredit dan sudah tidak mengunakan kad kredit lagi.

Beliau membuat kesimpulan, kad kredit menghilangkan kenikmatan hidup apabila kita tidak mampu membayar semua perbelanjaan yang dibuat dengan kad kredit. Nasihat dan pesanannya adalah jangan guna kad kredit.

Baginya, anda dapat hidup dengan gembira walaupun bergaji kecil, asalkan tidak menjadi pemilik dan pengguna kad kredit.

Ini adalah luahan daripada seorang daripada mangsa ‘Kad Kredit’. Adakah anda bersetuju dengannya?

12 comments on “Katakan Tidak Kepada Kad Kredit?”

  1. kart Reply

    Malam tadi saya baru mendengar keluhan rakan karib saya, yang terpaksa menanggung hutang kad kredit berpuluh ribu ringgit angkara suaminya sendiri.

    Seperti yang Tuan Sham pernah jelaskan kepada pendengar Radio IKIM, saya nasihatkan beliau pergi ke Bank tersebut dan cuba berunding dengan pihak Bank jumlah yang dia sanggup bayar pada setiap bulan sehingga selesai hutang-hutang tersebut dan saya juga pinjamkan kepada beliau Buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang untuk dibaca oleh beliau dan suaminya.

    Kad Kredit Adalah Virus Yang Berbahaya – Katakan Tidak Kepada Kad Kredit

  2. Shamsuddin Kadir Reply

    Masih ramai yang tidak menyedari tentang ancaman virus ‘hamba’ yang terdapat di dalam kad kredit. Apabila kad kredit itu digunakan untuk berhutang, maka virus itu menjadi aktif dan berkerja keras untuk menjadikan kita sebagai hamba sepanjang hayat.

    Terima kasih kerana sudi meminjamkan buku tersebut bagi membantu rakan yang sudah tersepit.

  3. hadi Reply

    Assalamualaikum.

    Saya amat setuju kad kredit amat merbahaya. Tetapi itu bagi mereka yang tidak dapat menahan nafsu untuk bebelanja.

    Saya juga pernah menghadapi masalah hutang kad kredit sejumlah hampir RM 10,000 dengan pengunaan maksimum 2 keping kad. Alhamdulilah dengan kesedaran bahawa susahnya ada hutang saya sedikit demi sedikit dapat melangsaikannya. Walaupun kini saya masih ada dua kad kredit, saya hanya menyimpannya didalan beg duit saya sahaja dengan nilai hutang tertunggak RM 0.

    Bagi saya kad kredit amat penting kerana ianya adalah penyelamat ketika terdesak terutamanya apabila saya di arah kerja diluar stesen. Bukan itu saja, mungkin di waktu kecemasan yang lain yang mana pada masa itu tiada wang tunai YANG CUKUP ditangan atau dalam akaun bank aktif saya.

    Untuk perkongsian dengan rakan semua, saya sebenarnya akan mengasingkan sebahagian wang pendapatan saya ke akaun yang agak sukar untuk dikeluarkan. Ini bagi memmastikan perbelanjaan saya hanya mengikut baki setelah tolak simpnan. Hanya keperluan terdesak sahaja yang membolehkan saya mengeluarkan wang tersebut itu pun memerlukan saya memandu sejauh 350km ke HQ dimana wang saya di simpan.

    Itu lah gunanya kad kredit pada saya. Apabila saya menggunakannya, bayaran yang dibuat mestilah tidak akan menggangu akaun simpanan saya.

    Oleh itu kita perlulah berusaha untuk menjadikan KAD KREDIT SEBAGAI HAMBA KEPADA KITA. KENAPA ? ………….FIKIRKAN.

  4. Shamsuddin Kadir Reply

    Pertama-tamanya saya mengucapkan tahniah kepada saudara Hadi di atas kejayaan menukarkan diri dari ‘Hamba’ kepada ‘Tuan kepada kad kredit’.

    Katakan tidak kepada kad kredit adalah bagi orang yang tidak dapat mengawal nafsu dan terus menerus dibebani.

    Kami amat menghargai bagi kebaikan kami semua, untuk memberitahu di mana wang simpanan yang disimpan sejauh 350KM itu? Mungkin para pelawat ini mempratikkannya juga.

  5. Miza Reply

    Salam Tuan Shamsuddin,

    Saya telah memiliki kedua-dua buku tuan, Hidup Tenang Walaupun Berhutang dan Makan Gaji Tetapi Kaya. Alhamdulillah, perkongsian di dalamnya menyedarkan saya tentang banyak perkara.

    Baru-baru ini, suami saya ada membuat pinjaman kenderaan dengan (Nama bank dikeluarkan) bank. Pinjaman tersebut diluluskan & diiringi pula dengan 2 keping kad kredit, master & visa.

    Sedangkan kami tidak memohon pun. Mungkin sewaktu menandatangani perjanjian tersebut, terselit sama permohonan untuk kad kredit tersebut & kami tidak dimaklumkan akan hal ini.

    Setelah mendapat surat supaya mengambil kad, barulah kami mengetahui.

    Suami memujuk supaya menggunakan kad kredit tersebut. Saya berkeras tidak membenarkannya. Tidak mahu terjerat nanti.

    Tuan,

    1. Apakah yang perlu kami lakukan, saya memang tidak mahu menggunakan kad tersebut?
    2. Sekiranya kami tidak menggunakan kad tersebut, adakah pihak bank mengenakan apa-apa caj?

    Terima kasih.

  6. hadi Reply

    Koperasi Permodalan Felda. (KPF)

    Sebenarnya saya merupakan kakitangan kepada Felda Holding Berhad dan ditempatkan Di kluang.
    Hanya Kakitangan dan warga Felda shaja yang boleh melabur di koperasi ini yang menawarkan pulangan lebih 14% setahun.

  7. Shamsuddin Kadir Reply

    Terima kasih sdr Hadi,

    Semoga dengan pulangan yang menarik itu dapat menambahkan lagi perlaburan supaya hasil yang dituai esok turut dapat membantu ahli keluarga dan orang yang memerlukan.

    Kepada anda yang bekerja di Felda ataupun organisasi yang menawarkan pelaburan di atas, elok juga dipertimbangkan untuk melabur di dalamnya.

  8. Shamsuddin Kadir Reply

    Salam Puan Miza,

    Puan, seorang klien saya juga menerima dua kad kredit iaitu satu visa dan satu mastercard apabila pembiayaan keretanya diluluskan.

    Apabila dia memaklumkan kepada bank, bahawa dia tidak memohonnya dan tidak mahu memilikinya, dia diberitahu bahawa pihak bank tidak mengenakan sebarang caj. Pihak bank itu menyuruhnya kembalikan kad itu jika genap setahun dia masih tidak mengunakannya.

    Beliau bersetuju, selepas 3 bulan dia mula mengunakan kad kredit itu. Masuk bulan ke enam, dia sudah berbelanja sampai had. Selepas setahun lebih, kadnya dibatalkan. Dia menghadapi saman. Kini sedang membayar secara ansuran.

    Pandangan saya : Kembalikan kad kredit itu jika selama ini Puan dapat hidup tanpa kad kredit.

    Simpan kad kredit dirumah jika Puan tidak dapat mengawal diri dalam berbelanja.

    Kedua-dua buku saya itu ditulis berdasarkan masalah yang dihadapi individu diluar sana, jangan jadikan Puan sebagai salah satu daripadanya.

  9. kart Reply

    Assalamualaikum Tuan Sham.

    Semalam saya terpaksa bercuti kerana menemani sahabat karib saya ke Bank di KL untuk merayu berkaitan pembayaran kad kredit beliau. Saya amat terkejut kerana Pegawai Bank tersebut (namanya terpaksa di rahsiakan) menasihati saya agar jangan menggunakan kad kredit. Katanya ramai dikalangan orang melayu mempunyai beban hutang yang terlalu tinggi akibat berbelanja menggunakan kad kredit.

    Katanya lagi Kad kredit adalah untuk golongan atasan sahaja. Golongan sederhana dan bawahan janganlah menggunakannya.

    Harap Tuan Sham tidak jemu meneruskan usaha murni menyedarkan orangramai mengenai bahaya Penggunaan Kad Kredit.

  10. Shaffik Reply

    Kredit kad yang yang menyebabkan aku asyik jer short…kalau tahu dulu tak payah laa pakai kredit kad.

Leave a Reply to Miza Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *