Tetamu SK: Tukar dari kad kredit kepada Term Loan

Salam,
Apa kabar Encik Shamsuddin? Harap sihat sejahtera di samping tugas harian. Untuk makluman saya salah seorang peserta kursus Dimensi Diri anjuran PSMB pada 21-22 November 2008 yang lepas.

Saya ada satu persoalan saya harap tuan dapat memberi jawapan segera.

Saya pengguna Kad Kredit bagaimana dan cara apa untuk saya tukar dari kad kredit kepada Term Loan?

Berapa peratus faedah Term Loan?

Terima kasih

JM

——————————–

Salam saudara JM,

Alhamdulilah, sihat walafiat saya juga mendoakan saudara juga sihat dan sentiasa dirahmati oleh Tuhan.

Langkah pertama adalah mengenalpasti jumlah sebenar hutang kad kredit dengan bank tersebut, selepas itu bahagikan hutang itu dengan 12, 24 ataupun 36 bulan. Cuba lihat berapa ansuran yang saudara perlu bayar pada setiap bulan tanpa mengirakan caj faedah semasa. Jika saudara melihat saudara mampu menjelaskan ansuran yang dicadangkan untuk 12 bulan, maklumkan kepada bank, saudara inginkan term loan yang jangka masa pembayaran balik hanya setahun sahaja. Sebaliknya saudara boleh mengambil jangka masa 24 bulan iaitu 2 tahun ataupun 3 tahun. Ianya bergantung kepada jumlah yang saudara boleh bayar pada setiap bulan.

Langkah kedua – Hubungi pihak bank melalui nombor telefon yang tertera di belakang kad kredit tersebut dan maklumkan kepada mereka bahawa saudara sudah tidak ingin mengunakannya lagi dan tidak MAMPU bagi membayarnya secara ansuran jika didasarkan dengan kadar faedah setinggi 18% itu.

Beritahu mereka bahawa saudara komited bagi membayar tetapi tidak mungkin berbuat demikian jika jumlah hutang kad kredit yang terkumpul itu tidak ditukar kepada pinjaman berjangka atau dikenali sebagai ‘Term Loan’. Beritahu mereka berapa tahun yang saudara mahukan.

Ada bank yang menetapkan 5 tahun tempoh pembayaran balik, ada bank yang menghadkan kepada 2-3 tahun sahaja dan ada banyak yang tidak membenarkan kita berbuat demikian.

Kadar keuntungan yang dicajkan oleh bank adalah antara 6% sehingga 12 % masih lebih baik dari kadar kad kredit.

Jika bank tidak benarkan kerana mereka tidak menyediakan pakej tersebut, dapatkan satu pinjaman peribadi yang syariah compliant dan rendah bagi membebaskan kita dari bebanan hutang riba itu.

Antara pantang larang  yang mesti diikuti jika ingin melakukan term loan ataupun pinjaman peribadi adalah seperti berikut:

  • Tidak boleh mengunakan mana-mana kad kredit lagi
  • Tidak boleh membuat hutang baru sama ada dari kad kredit, skim ansuran mudah dan lain-lain
  • Tidak boleh berbelanja ikut konsep lama, mesti ikut konsep ‘sampul surat’ di dalam buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang ada diterangkan.
  • Tidak boleh lagi berhutang…
  • Tukar gaya hidup…buang yang tidak perlu untuk hidup.

Jika kita tidak boleh lagi memohon pinjaman peribadi, masa terbaik untuk kita mendapat khidmat nasihat dari AKPK.

Harap maklumat serba ringkas di atas dapat membantu saudara. Semoga Allah mempermudahkan saudara dalam membebaskan diri dari bebanan tersebut. Amin. Sebaiknya jika kita selalu amalkan doa ini.

“Ya Allah sesungguhnya kami berlindung kepada Mu dari susah dan sedih, kami berlindung kepadaMu dari sifat lemah dan malas, kami berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan kedekut dan kami berlindung kepadaMu dari dibebani dengan hutang dan penindasan orang lain terhadap kami. Ya Allah perkenankan doa kami ini. Amin”

1 comment on “Tetamu SK: Tukar dari kad kredit kepada Term Loan”

  1. Thinkerich Reply

    Ya..satu prinsip yang mudah dan ringkas untuk mencari penyelesaian ke atas hutang ialah dengan mencari alat kewangan yang menggenakan caj faedah yang lebih daripada ebelumnya…

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *